Sunday, July 19, 2026

OVERDO - CDrama (2026) [Zhang Ling He]


19 Julai 2026 - Ahad [4 Safar 1448H]

Drama bersiri CDrama'Overdo' ini mula ditayangkan pada 19 Julai 2026. Drama sebanyak 33 episode di iQIYI. Drama yang berbentuk historical, romance dengan jalan cerita yang penuh emosi, konflik dan ketegangan. Penangan drama Pursuit of Jade di [SINI], buatkan aku terus 'tersangkut' dengan Zhang Ling He. 


Overdo' is based on a novel by China's Queen of Emotional Damage.

Trailer Overdo di [SINI]

Drama romantik dan pengintipan berlatarbelakangkan era Republik China.


- SYNOPSIS -
In Shanghai during the Republic of China, Murong Qing Yi, the youngest son of a warlord, was abused by his adoptive father because he was taken away by mistake. When he escaped as a teenager, he was saved by Ren Su Su, but his family suffered a catastrophe. After years of reunion, the two secretly fell in love, but Ren Su Su resolutely faked her death and fled to save others, leaving Murong Qing Yi to sink into the pain of losing love.

Three years later, Ren Su Su returned and became Murong Qing Yi's prospective sister-in-law. Now, one is full of resentment at being betrayed, and the other hides unspeakable pain, with love and hate intertwined between temptation and pulling. When misunderstandings are gradually resolved and deep affection is rekindled, a national disaster comes. Murong Qing Yi and Ren Su Su are determined to fight against powerful enemies. Where will their fate lead them?


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
 
[Main Role | code name]:
Zhang Ling He — Murong Qing Yi
Wang Chu Ran — Ren Su Su / Fang Mu Lan
Fu Xin Bo - Murong Qing Yu
Xu Zhen Xuan - Li Bai Ze
He Qiu - Ye Zhi Hong
Wang Zi Su - Hai Tang Qing

[Support Role | code name]:
Myolie - Cheng Jin Zhi
Sha Bao Ling - Li Rong Zhang
Mao Hai - Huo Shao Xiang
Momo Wu - Murong Jin Rui
Lu Qi - Zhang Ming Shu
Wei Qing - Sun Rong Ci
Liu Ling Zi - Fang Mu Lan
Kang Ke Ren - Huo Min Xian
Chen Xi Jun - Huo Zong Qi
Huang Bo Si - Lai Yi
[sebahagian watak dari keseluruhan dalam drama ini]



Mampukah mereka mengatasi segala dugaan dan mengubah takdir yang telah ditentukan?

Aku..?
Sekarang masanya menikmati setiap episod adakah segala konflik, plot twist dan sama ada penamatnya benar-benar memuaskan hati atau tidak.

#RemajaPurba: - sumber dari iQIYI dan mydramalist -

Tentang Fasa PJJ


Fasa PJJ ini bukan sekadar tentang jarak. Ia juga tentang belajar mengurus rutin yang berubah, membuat keputusan sendiri, memastikan rumah serta keluarga terus berjalan seperti biasa. Setiap hari ada cerita yang berbeza. Ada hari yang tenang, ada hari yang penuh debar. Aku hanya berharap satu.. moga semua yang aku sayang sentiasa berada dalam keadaan baik-baik.


18 Julai 2026 - Sabtu [3 Safar 1448H]

Pagi..
Hujan mengiringi perjalanan. Dalam debar, aku memandu Mr. Black merentasi tiga buah negeri untuk menghantar dan mengambil barang dak Kakak. Aku kena kekal tenang dan fokus supaya tak tersalah keluar di exit.

Kalau aku memandu di laluan yang jarang aku lalui, memang macam ni. Radio kena tutup. Badan tegak. Kedua-dua belah tangan di stereng. Mata fokus ke depan. Jari sentiasa bersedia memberi isyarat kiri atau kanan. Memang tak boleh bersembang. Sekali orang ajak berbual, alamatnya otak terus 'masuk alam lain'. Tapi kalau en. Hubby jadi co-pilot, lain pula ceritanya, otak aku terus jadi error. Hilang keyakinan, asyik bertanya.. 'Masuk kiri ke kanan atau terus je?'.

Sebaik sampai di tempat dak Kakak, sementara menunggu, aku sempat tengok whatapps. Terkejut aku bila jiran taman send gambar seekor kucing di dalam group bertanya siapa pemilik kucing tersebut. Berderau darah aku sebab kucing tu hampir seiras dak Jasmine.

Menjadikan hati aku tak tenang nak memandu balik. Dahlah ketika itu aku berada jauh dari rumah. Bila aku tanya dak Kakak dan dak Nuha, mereka berdua yakin itu bukan dak Jasmine. Kata mereka, dak Jasmine ada di dalam rumah, tak keluar.


Ini gambar kucing dalam dalam group whatapps taman aku.

Ini pula dak Jasmine

Ada beza pada hidungnya, dak Jasmine punya warna kelabu.
Alhamdulillah.. lega sikit hati, bolehlah kekal tenang memandu balik.


Tengah hari..
Dalam perjalanan pulang, dak Nuha request nak makan sardin masak sambal, telur dadar dan pucuk ubi rebus. Sampai saja di rumah, terus aku masuk dapur. Penat aku tolak ke tepiyang penting, hajat anak nak makan tertunai. Alhamdulillah, kenyang..

Petang..
Kembali berdua dengan dak Nuha, sunyi rumah bila tak cukup korum ni. 

Malam..
Hujan yang turun sejak pagi bersambung lagi dari petang hingga ke malam. Bila hujan berlarutan begini, hati aku mula rasa risau. Sudahlah sekarang aku sedang melalui fasa PJJ dengan en. Hubby. Moga semuanya sentiasa berada dalam lindungan-Nya dan dipermudahkan segala urusan. Aamiin.


Fasa PJJ 

Perjalanan boleh meletihkan.. Hujan boleh merisaukan.. tapi hati akan kembali tenang bila tahu semua yang kita sayang selamat di tempat masing-masing.


#RemajaPurba: ..

Friday, July 17, 2026

Pesta Durian di Tempat Kerja


12 Julai 2026 - Ahad [26 Muharram 1448H]

Balik kampung hari tu, kisah di [SINI], buah manggis di kebun PakBusu aku masih lagi hijau. Tak ada rezeki nak merasa makan buah manggis di bawah pokok.

Tak sangka pula rezeki datang dari tempat lain. Jiran kami balik dari Terengganu bawa buah manggis untuk dijual dan aku beli untuk anak-anak makan. Puas deme berdua makan. Buahnya banyak, isinya elok dan manis.. memang berbaloi. 

Manggis dari kebun jiran di Terengganu


Itu kisah hari Ahad lepas. Hari ini pun ada rezeki buah manggis, lagi banyak daripada yang aku beli tempoh hari cuma kali ini bukan sekadar cerita tentang buah manggisada kisah lain yang datang sekali. Biasalah.. setiap rezeki kadang-kadang datang bersama ceritanya.

17 Julai 2026 - Jumaat [2 Safar 1448H]

Pagi..
Rutin harian berjalan seperti biasa.

Tengah hari..
Kalau sebut pesta buah, dah tentulah durian menjadi tumpuan. Pertama kali diadakan di tempat kerja. Selepas solat Jumaat, pesta pun bermula. Selain durian, manggis, dukung dan rambutan pun adayang tak ada hanya mereka yang tak makan durian termasuk aku.

Daripada aku menahan bau durian sambil bekerja, lebih baik aku balik awal.. tambahan pula aku sakit kepala tak cukup tidur.


Durian telah sampai petang semalam di tempat kerja.

Gambar pesta..?
Atas dasar privacy, gambar tak dapat dikongsikan.


Ada orang sanggup beratur semata-mata nak makan durian. Aku pula sanggup ambil half day semata-mata nak mengelak baunya.

Petang..
Aku balik awal bukan semata-mata kerana durian. Aku nak berehat dan kumpul tenaga untuk pagi esok. Esok aku perlu menghantar dak Kakak. Babahnya tak dapat hantar kerana perlu standby di luar daerah. Tambahan pula sekarang aku dan en. Hubby sedang melalui fasa PJJ.

Tentang fasa PJJ ni, aku sedang belajar menerima walau pernah melaluinya waktu anak-anak kecil dulu. Sekarang.. anak pun dah besar. Banyak urusan dah boleh diatur sendiri. Kita sebagai ibu pula, cuma pastikan apa yang perlu. Paling penting moga perjalanan esok selamat pergi dan balik.

#RemajaPurba: ..

Thursday, July 16, 2026

Baca Dulu, Jangan Cepat Terasa


16 Julai 2026 - Khamis [1 Safar 1448H]

Maaf..
Ceritaku tidak bertujuan untuk menyindir tapi jika merasa tersindir, itu bererti tepat ke sasaran.

Kalau ada yang membaca lalu terasa seolah-olah cerita itu tepat mengenai dirinya, mungkin kerana mesej itu kebetulan menyentuh sesuatu yang dekat dengannya. Hakikatnya, semua tulisan aku ada yang sekadar luahan, ada yang sekadar renungan dan ada juga yang ditulis supaya kita sama-sama boleh mengambil pengajaran.

Jadi, tak perlu cepat terasa.
Dunia ini luas dan kisah hidup kita pun pelbagai. Kalau bukan tentang kita, anggaplah ia sekadar bacaan. Kalau terasa, mungkin itu peluang untuk kita muhasabah diri, bukan terus mencari salah penulisnya.


Menulis bukan untuk mencari musuh tapi berkongsi cerita. Kalau ada yang terasa, mungkin ini masa terbaik untuk muhasabah, bukan melatah.

#RemajaPurba: ..

Bahagia Ikut Cara Kita


Penat? Rehatlah.
Lapar? Isi perut dulu.
Ada duit? Belanja diri sekali-sekala.
Tak ada duit? Pergilah kerja, bukan cari alasan.
Malas mengemas? Jangan kemas, rumah tu takkan lari.
Bosan? Keluar sekejap, hirup udara dan tenangkan fikiran.

Jangan terlalu keras pada diri sendiri.
Hidup ni bukan perlumbaan.

Bahagia tak selalu datang dengan sendiri.
Kadang-kadang, kita yang kena ciptanya.

Tak perlu hidup ikut rentak orang lain untuk rasa bahagia.
Teruskan melangkah dengan cara dan rentak kita sendiri

#RemajaPurba: Penat itu biasa. Bahagia itu usaha.

Wednesday, July 15, 2026

Mak Mana Boleh Duduk Diam


Ada orang kata, bila anak dah besar, kerja seorang mak pun makin kurang. Hakikatnya.. Mak tetap mak. Anak mengadu tak sihat sikit, hati mak dah mula tak senang. Walaupun anak kata 'tak apa', telinga mak dengar lain. Walaupun anak kata 'boleh tahan', hati mak tetap rasa kena buat sesuatu, sebab tu.. mak mana boleh duduk diam.


Kisah semalam..
Selain dari kes di [SINI], dak Nuha pula yang memerlukan perhatian aku.

Petang..
Dak Kakak menemani aku mengambil dak Nuha di sekolah. Seronok betul dia hari ni sebab aku sendiri yang ambil memandangkan van sekolah cuti sehari atas urusan peribadi.

Sampai aje di rumah, dia mula mengadu seluruh badan terasa gatal. Lepas mandi, makin kuat pula dia merengek sebab tak tahan. Aku ajak ke klinik tapi dia tak nak, boleh tahan lagi katanya. 

Malam..
Dak Nuha kalau tak dipaksa, dia akan tahan rasa sakit tu sebab dia tak nak susahkan aku. Aku pulak.. sebelum darah harimau ni masuk semula ke dalam badan, aku bawa dak Nuha ke klinik.

Di klinik.. sementara menunggu nama dipanggil, dak Nuha merengek tak tahan gatal.
'Itulah, kalau degil tak nak juga ke klinik tadi, siapa nak bangun tengah malam keluar ke klinik? Babah bukan ada'.

Bila masuk jumpa doktor, doktor maklumkan kemungkinan dak Nuha mengalami alahan cuma puncanya belum dapat dipastikan. Tak tahu sama ada daripada makanan atau ada benda lain. Buat masa ni, kena pantau dulu keadaan dia dalam beberapa hari akan datang

Masa ambil ubat di kaunter, sempat lagi staff nurse bergurau..
'Ubat sapu ni kalau pakai waktu malam, jangan keluar rumah. Terkejut orang nanti'.

Terus aku tergelak. Dalam kepala dah terbayang badan dan muka dak Nuha nanti putih melepak guna ubat sapu tu.


Hari ini..
Alhamdulillah, ada sedikit perubahan. Ruam dan rasa gatal nampak makin baik, tak seteruk malam tadi.
Dak Nuha berkeras nak pergi sekolah, tapi aku tak benarkan. Bukan sebab doktor bagi cuti sakit tapi aku nak pastikan dia betul-betul baik. Biarlah berehat sehari supaya esok takdelah aku huru-hara di tempat kerja.

Nasib baik dak Kakak ada di rumah. Kurang sikit rasa risau. Jadi rutin hari ni mudah je..
Rehat → Makan → Rehat → Tidur


'Menjadi seorang ibu bukan bermakna kita sentiasa kuat. Kadang-kadang, kita hanya belajar untuk terus bertahan walaupun diri semakin penat'.

#RemajaPurba: ..

Auto Gate Paling Bernilai


Sekarang ni, rasanya makin banyak rumah yang menggunakan auto gate. Tekan saja remote dari dalam kereta, pintu pagar terus terbuka. Tak perlu turun kereta, semuanya jadi lebih mudah, lebih-lebih lagi bila balik kerja dalam keadaan penat atau ketika hujan.

Aku..?
Pagar rumah aku akan bertukar jadi auto gate setiap kali musim cuti persekolahan. Bila dah agak-agak nak sampai rumah, aku cuma perlu telefon rumah. Sampai saja depan pagar, pintu dah siap terbuka. Tak perlu lagi aku turun kereta untuk buka sendiri. Bukan setakat pintu pagar terbuka, sekali pakej segala beg dan barang dalam kereta pun akan diangkat masuk ke dalam rumah. Memang berbaloi bila tiba musim cuti persekolahan.

Kalau di luar musim cuti persekolahan pula?
Kalau en. Hubby ada di rumah, lagi mudahtak perlu telefon pun, memang pagar rumah sentiasa terbuka. Bagi aku, selagi mereka ada, gunakanlah manfaat yang ada. Memudahkan kerja Mak Budak yang dah penat memandu. Tambahan pula, bila jejak kaki ke tanah, rasa macam kaki dah bertukar jadi agar-agar.

Walaupun rumah aku tiada auto gate, aku tetap rasa bersyukursebab aku ada 'remote' yang tak ada dijual di mana-mana. Cukup dengan satu panggilan telefon, pintu pagar terus terbuka.

Kadang-kadang, perkara yang nampak kecil beginilah yang buat hati rasa berbunga-bunga. Bukan kerana canggihnya teknologi tapi kerana ada insan yang sentiasa menunggu kita pulang.

#RemajaPurba: ..

Tuesday, July 14, 2026

Kejadian Lori Tersangkut Kabel

 
13 Julai 2026 - Isnin [27 Muharram 1448H]

Ada hari yang berjalan seperti biasa. Tiada perkara luar biasa. Cuma rutin harian yang berulang, dari pagi membawa ke petang. Namun, kadang-kadang di sebalik rutin itulah terselit cerita kecil yang membuatkan kita berhenti seketika.. 'Eh.. macam ni pun boleh jadi?'.

Pagi..
Ribut kat dalam rumah. Aku terlajak bangun, alarm telefon yang kejutkan aku, aku shut down kan. Nasib baik di luar rumah masih gelap, tak adalah kelam-kabut macam dulu.

Dulu.. melompat turun dari katil tak tahu nak buat mana dulu, mandi dulu ke, minum air dulu ke? kemaskan katil dulu ke? 

Sekarang.. walaupun dah sedar lambat, tetap ada rasa kelam-kabut, cuma masih terkawal. Aku tak nak terbawa-bawa rasa kelam-kabut tu waktu memandu sebab itu boleh membahayakan keselamatan. Bila dah tahu memang lambat, pasrah ajelah, yang penting sampai tempat kerja dengan selamat.

Di tempat kerja.. tugasan harian berjalan seperti biasa,
Kerja → rehat → kerja → balik.


Petang..
Penat + mengantuk mula terasa ketika memandu balik kerja. Terasa letih sikit hari ni walaupun kerja taklah terlalu membebankan.

Ketika melalui jalan kampung, dari jauh aku nampak seperti ada kemalangan berlaku. Pelik juga sebab beberapa kenderaan berat lain berpatah balik. Bila semakin hampir, barulah aku faham apa yang berlaku. Ada sebuah lori terhenti di tengah jalan kerana lori tersebut telah 'menarik' semua kabel elektrik bersama tiang lampu sehingga menghalang laluan.




Gambar dan video yang aku kongsi ni daripada group taman. Aku takde ambil gambar pun sebab laluan aku keluar ke kiri dari simpang dalam gambar tersebut. Kejadian pula berlaku pada waktu puncak ketika orang ramai balik kerja dan anak-anak balik dari sekolah.


Semasa kejadian

Bila tengok gambar yang ini, barulah nampak puncanya. Rupanya.. ada lori di atas lori. Patutlah tak lepas. Memang semua kabel yang melintang di atas jalan habis tersangkut dan tertarik sekali. Lewat petang, lori tersebut akhirnya berjaya dialihkan


- video dari penduduk setempat -


Malam..
Team berkaitan bertungkus-lumus membaiki tiang serta kabel yang rosak. Moga semuanya dapat disiapkan malam ini supaya tidak mengganggu perjalanan orang ramai pada pagi esok.

Menjelang tengah malam, terus hilang talian internet. Masa tu aku dah terfikir, memang betullah sangkaan aku. Bila lori 'menarik' sekali segala kabel di simpang tu, hinggakan line internet pun turut terjejasupdate kisah di [SINI]

Aku...?
Masa untuk shutdown. Tidur dulubagi badan kembali bertenaga.

#RemajaPurba: ..

Bila Satu Taman Hilang Internet


14 Julai 2026 - Selasa [28 Muharram 1448H]

Sejak tengah malam tadi, kawasan sekitar perumahan kami terganggu tanpa talian internet. Aku syak ia ada kaitan dengan kejadian semalam, sebuah lori tersangkut pada wayar elektrikupdate di [SINI]. Dalam hati dah terdetik, silap-silap jangan kata elektrik, line internet rumah pun terbabit sama.

Rupa-rupanya sangkaan aku memang betul. Sejak tengah malam tadi, talian internet masih belum pulih tapi syukur juga tidak melibatkan elektrik. 'Ini kalau elektrik dan internet takde, macam mana nak buat kerja?'. Mujurlah line handphone boleh digunakan sebagai hotspot. Kalau tidak, memang tergendalalah segala urusan. Aku pula hari ini bekerja dari rumah kerana perlu menguruskan pengangkutan dak Nuha ke sekolah sebab van sekolahnya cuti sehari atas urusan peribadi. 

Anak-anak pula dah mula mengeluh. Nak tengok Netflix pun tak boleh. Sesekali bila tiada internet, terus suram hidup masing-masing.


Bila jadi macam ni, terus teringat kejadian kecurian kabel internet beberapa tahun lepas. Awalnya kami sangka kerja-kerja penyelenggaraan, rupa-rupanya kabel internet dicuri. Kejadian sama berulang dua tiga kalilah tiap kali malam raya. Malam raya? Tak payah berharap sangat nak layan internet sebab memang dah tahu bekalan terputus. Kita sibuk nak update persiapan raya, deme pula sibuk potong kabel. Yea.. esok raya tapi si pencuri kabel paling gembira.

Syukurlah selepas beberapa kejadian, ia tak lagi berulang. Sekarang jika tiada line internet, biasanya sama ada bil tertunggak ataupun memang kawasan sekitar sedang mengalami gangguan atau kerja-kerja penyelenggaraan.

Ketika entry ini ditulis.. Alhamdulillah.. masalah telah selesai sepenuhnya dan buat pemandu lori tersebut, jadikan pengajaranini bukan jalan persekutuan tapi jalan kampung.


Bila Offline 

Kadang-kadang bila internet terputus, barulah kita sedar betapa banyak urusan harian bergantung kepadanya.



#RemajaPurba: Internet hilang beberapa jam pun dah rasa gelisah, inikan pula hampit seharian.

Monday, July 13, 2026

Hari-Hari Berdepan Dengan Lane Hogger


13 Julai 2026 - Isnin [27 Muharram 1448H]

Setiap hari, pasti akan berjumpa dengan pelbagai jenis pemandu. Ada yang memandu mengikut keadaan jalan, ada yang terlalu laju dan ada juga yang terlalu perlahan tanpa mempedulikan pengguna jalan raya yang lain. Sedikit common sense dan bertimbang rasa mungkin mampu mengelakkan kesesakan, kemarahan atau kemalangan yang tidak diingini.

Tapi seperti biasa, ada juga lane hoggerseperti di [SINI]. Santai, tenang, macam jalan raya dia yang punya. Orang di belakang beratur panjang tapi dia masih kekal di situ ditambah sikap tidak peka dengan keadaan sekeliling. Memang boleh merosakkan mood memandu.

Pandangan aku pada setiap lorong di jalan raya:

LORONG KIRI:
  • Biasa nampak kereta dipandu perlahan sehingga lori terpaksa mengikut rapat di belakang. Bila lori bertukar lorong, mulalah ada yang menganggap pemandu lori memandu laju atau berbahaya — sedangkan puncanya ialah kereta yang dipandu terlalu perlahan. 
  • Aku..? Jika nampak lori semakin dekat, aku akan jauhkan diri. Berdebar-debar sebab terasa seperti megatron transformers mengekori rapat.

LORONG TENGAH:
  • Inilah lorong kegemaran lane hogger, mesti ada spesies ni. 
  • Bila diberi lampu tinggi, dia buat tak tahu. Bila dibunyikan hon, kita pula dipandang macam pesalah. Sedangkan merekalah punca aliran trafik menjadi perlahan.

LORONG KANAN:
  • Kalau laju, memang laju betul.
  • Ada juga yang tiba-tiba membrek sedangkan di hadapan takde halangan atau jarak dengan kenderaan depan masih jauh. Tindakan macam ni boleh menyebabkan kenderaan di belakang brek mengejut dan boleh berlakunya kemalangan.


Aku..?
Waktu pergi dan balik kerja, aku jarang berada lama di lorong paling kanan kerana terlalu banyak kejadian kenderaan mengekori terlalu rapat dan membrek secara mengejut. Dulu.. darah pendekarmemandu nak laju aje tapi sekarang.. darah Mak Budaklebih memikirkan keselamatan dan emosi diri.


Jangan jadi Lane Hogger 

Kita mungkin tak mampu mengubah cara orang memandu tapi kita masih boleh memilih untuk memandu dengan berhemah dan menghormati hak pengguna jalan raya yang lain.

'Sampai cepat itu rezeki'
'Sampai dengan selamat itu nikmat'


#RemajaPurba: Mudahkan perjalanan orang lain, bukan punca orang lain hilang sabar.

Sunday, July 12, 2026

Bila Rumah Kembali Berpenghuni


10 Julai 2026 - Jumaat [24 Muharram 1448H]

Pagi..
Pagi-pagi lagi dah ada episod mencabar. Sebelum pergi kerja, en. Hubby sempat siram air pada body Mr. Black. Tahu apa jadi? Habis basah dalam kereta di sebelah pemandu. Rupanya pintu Mr. Black tak ditutup rapat waktu en. Hubby start enjin kereta. Geramnya lahai..

Mungkin sebab geram itu masih berbaki, sepanjang perjalanan aku lepaskan rasa geram aku pada pemandu lane hoggerada kisah di [SINI]. Ada yang aku hon, ada yang aku bagi high beam. Kalau memandu bawah 80 km/j di lebuh raya sambil buat macam tengah menikmati pemandangan di tepian pantai, siapa tak hangin.

Petang..
Dak Nuha bertolak menyertai Kem Pintar Anak Soleh anjuran sekolah. Segala kelengkapan telah aku siapkan malam tadi, jadi takdelah dia kelam-kabut dan aku tak huru-hara di tempat kerja.

Aku balik kerja lewat sejam daripada biasa. Kali ini tak rushing nak sampai rumah atau fikir nak memasak kerana rumah kosong. Malam itu, buat pertama kalinya aku berseorangan di rumah. Sunyi. Mujur ada dak Jasmine, si bulus kesayangan en. Hubby yang setia menemani.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

11 Julai 2026 - Sabtu [25 Muharram 1448H]

Pagi..
Santai berehat di rumah.

Petang..
Aku keluar mengambil dak Kakak di stesen LRT. Kebetulan masa aku sampai, terus nampak kelibat dia keluar dari stesen. Aku turunkan tingkap kereta sebab dah tahu mesti dak Kakak tak perasan sebab dulu kami pernah salah masuk keretaada kisah di [SINI]. Siap gelak lagi bila aku usik.. 'Rasa macam bawa Grab ambil penumpang'.

Belum sempat kereta bergerak jauh, soalan pertama dak Kakak.. 'Ibu masak apa hari ni?' Rupanya dari pagi dia belum makan. Aku hanya mampu jawab, 'Balik nanti baru ibu masak'.

Selesai mengambil dak Kakak, kami terus balik menuju ke sekolah untuk mengambil dak Nuha pula. Sebaik aje kami sampai, dah ada sebuah bas tiba. Dari dalam kereta dak Kakak mengambil video gelagat adiknya.

Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan hari itu. Walaupun jalan sesak, semuanya berjalan lancar dan anak-anak pun tak perlu menunggu lama. Sampai di rumah, barulah terasa penat selepas hampir empat jam memandu. 

Malam..
Makan malam.. lepas tu masing-masing berehat dek kepenatan.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

12 Julai 2026 - Ahad [26 Muharram 1448H]

Hari ini pula dihabiskan dengan berehat di rumah bersama dak Kakak dan dak Nuha. Cuma dak Adik je yang tak dapat balik. Walaupun tak cukup korum, sekurang-kurangnya rumah kembali meriah. Aku masak, mereka makan, kemudian kami sama-sama berehat hingga ke malam.

Esok..
Rutin harian kembali seperti biasa. Bezanya, kali ini dak Kakak ada di rumah. Jadi, tugas memasak diserahkan kepadanya. Katanya dah lama tak pegang senduk dan kuali.


Hujung minggu ini mungkin biasa pada pandangan orang lain tapi bagi aku, ia cukup bermakna. Vibe hujung minggu yang sederhana tapi penuh dengan moment kecil bersama keluarga.

#RemajaPurba: ..

Nasihat dan Tips untuk Blogger Baru Kekal Konsisten


Dalam satu entry aku di [SINI], ada satu komen bertanyakan:

Melihat pada arkib blog puan, sudah lama puan dalam dunia blogging ini.
Ada apa-apa nasihat atau tips untuk blogger baru yang boleh dikongsi?
Terima kasih.


Jika melihat pada arkib blog aku, memang nampak banyak entry yang telah aku publish sejak tahun 2009. Namun, bila ada yang bertanya apakah nasihat atau tips yang boleh aku kongsikan, jawapan akuuntuk kekal bertahan dalam dunia blogging bukan kerana mengejar trafik yang tinggi tapi kerana konsisten menulis. Tulis bila ada cerita. Kongsi bila ada manfaat.

Jangan takut jika tulisan kita nampak biasa. Kadang-kadang, tulisan yang sederhana itulah yang paling dekat di hati pembaca. Aku menulis bukan untuk menjadi popular tapi jika tulisan itu mampu memberi manfaat, buatkan mereka yang membaca tersenyum, itu lebih bermakna buat aku.



Tempoh yang lama tidak semestinya menjadikan kita lebih hebat daripada orang lain. Setiap blogger ada cara, identiti dan perjalanan masing-masing.


Sedikit Nasihat atau Tips yang aku pegang selama ini:
  • Jadilah diri sendiri.
  • Menulis kerana minat bukan semata-mata mengejar jumlah pembaca atau trafik.
  • Jangan risau jika pada awalnya tiada komen atau jumlah pembaca masih sedikit. Semua blogger pun bermula dari kosong.
  • Tulis mengikut keselesaan sendiri. Tak perlu berlumba dengan orang lain atau memaksa diri mengejar trend jika itu bukan diri kita.
  • Sentiasa hormati hasil kerja orang lain. Jika berkongsi maklumat atau gambar, berikan kredit yang sepatutnya.
  • Paling penting, nikmati proses menulis. Blog bukan sekadar tempat berkongsi cerita tapiruang menyimpan kenangan yang suatu hari nanti kita sendiri akan kembali membacanya.


Dunia Blogging 

Teruskan menulis. Jangan berhenti hanya kerana merasakan tulisan kita biasa-biasa. Kadang-kadang, tulisan yang kita anggap biasa itulah yang memberi makna kepada orang lain.


Aku..?
Blog ibarat sebuah diari digital. Ada cerita gembira, ada kisah sedih, ada pengalaman, ada juga ilmu yang dikongsi. Mungkin hari ini hanya beberapa orang yang membacanya, tapi akan datang, kita tak tahu siapa yang 'masih bertahan' dengan kita. Malah kita sendiri akan tersenyum apabila mengimbau semula setiap catatan yang pernah ditulis.

#RemajaPurba: Jangan kejar trafik sampai hilang identiti.

Thursday, July 9, 2026

Blog Yang Masih Setia Mendengar


Ketika orang lain berkongsi cerita dan kisah menarik di platform socmed, aku pula lebih selesa meluah rasa di sini. Bukan tak nak berkongsi di platform lain, cuma di sinilah tempat yang paling selesa untuk aku menjadi diri sendiri. Blog ini ibarat sebuah diari, tempat aku menyimpan kenangan, melepaskan rasa yang adakala diluahkan secara tersirat.

Bukanlah untuk mencari perhatian cuma untuk menyimpan perjalanan. Andai suatu hari nanti aku terlupa bagaimana aku pernah bertahan, blog ini akan mengingatkan bahawa aku pernah melalui semuanyasatu demi satu.

Terima kasih juga buat awak yang masih sudi singgah di blog ini. Walaupun aku kadang-kadang mengambil masa untuk kembali menziarahi blog awak, percayalah setiap kunjungan itu sangat aku hargai.


Bukan semua cerita perlu ke socmed 

Bila emosi menulis, cerita mungkin melepaskan rasa.
Bila hati sudah tenang menulis, cerita itu akan meninggalkan makna.


#RemajaPurba: Diam sekeltika lebih kuat daripada seribu patah perkataan..

Sunday, July 5, 2026

Isteri Bukan Mak Kedua


Tak mustahil ada yang masih terbawa-bawa dengan pemikiran bahawa apabila seorang wanita bergelar isteri, secara automatik semua urusan rumah menjadi tanggungjawabnya. Sedangkan hakikatnya, sebuah rumah tangga dibina atas dasar saling membantu, bukan saling melepaskan tanggungjawab.


Bro.. zaman dah berubah bro tapi tanggungjawab sebagai suami jangan pula tertinggal di zaman lama. Rumah itu milik bersama, maka urusannya juga tanggungjawab bersama. Jangan berkahwin dengan harapan isteri akan mengambil alih tugas yang selama ini dilakukan oleh emak. Isteri itu bukan orang gaji atau pengganti emak.


Isteri pun bekerja tapi suami expect rumah berkemas? 

Isteri itu pasangan hidup, bukan caretaker yang perlu menggalas semua beban rumah tangga seorang diri. Seorang lelaki tidak akan hilang sifat kelelakiannya hanya sebab membantu di rumah. Sebaliknya.. di situlah terserlah kematangannya sebagai seorang suami.


Bila berjauhan dengan isteri, terus full coverage, signal 5G laju bukan main. Dengan kawan boleh bersembang berjam-jam, dengan game sanggup berjaga sampai lewat malam tapi bila isteri minta tolong, tiba-tiba terus auto E bar — penat, letih, tak larat jadinya.

Penat itu semua orang rasa. Isteri pun penat. Apa yang isteri perlukan selalunya bukan bantuan yang besar atau luar biasa. Kadang-kadang cukup sekadar suami peka melihat apa yang perlu dibuat, kemudian terus menghulurkan tangan tanpa perlu disuruh berkali-kali. Dalam rumah tangga, kerjasama itu penting daripada seribu alasan 'penat' atau 'tak larat'.

Tak perlu menjadi suami yang sempurna. Cukuplah menjadi suami yang tahu menghargai penat lelah isterinya, ringan tulang membantu dan sentiasa ada ketika diperlukan. Percayalah, perkara yang nampak kecil itulah yang sering membuat seorang isteri berasa paling dihargai.

#RemajaPurba: If u cant solve the problem, be a part of the problem. Play along.

Saturday, July 4, 2026

Beri Ruang Untuk Tubuh Berehat


04 Julai 2026 - Sabtu [18 Muharram 1448H]

Hujung minggu selalunya sinonim dengan pelbagai rancangan tapi aku kena perlahankan langkah. Bila badan mula memberi isyarat, mungkin inilah masanya untuk berehat tanpa rasa bersalah.

Pagi..
Bangun pagi, terasa pinggang sebelah kanan aku sakit. Sakitnya sampai nak berjalan pun tak boleh. Semalam badan dah mula rasa tak sedap, hari ini ditambah pula dengan sakit pinggang. Betul-betul terasa 'purba' Mak Budak kali ni.

Tengah hari..
Aku cuma masak tomyam, menu ringkas untuk makan tengah hari. Lagipun dak Nuha tak berapa berselera nak makan. En. Hubby pula, lepas balik kerja pagi tadi terus berehat. Selesai lunch, aku makan ubat dan rehatbiar pinggang cepat baik.

Dak Nuha..?
'Ibu.. boleh tak Nuha nak tidur je hari ni, esok baru bangun?'Alahai anak.. dia punya letih macam baru lepas pikul batu-bata.
'Pergilah tidur Nuha, kalau lapar nanti, bangunlah makan'.

Aku..?
Badan perlukan rehat, jadi jomlah rehat. Bagi betul-betul pulih agar tak susahkan orang lain.

Malam..?
Aktivti hanya di dalam rumahberehat.

Moga aku cepat sembuh kerana nikmat sihat itu benar-benar terasa nilainya bila badan mula memberi isyarat untuk berehat seketika.

#RemajaPurba: ..

Friday, July 3, 2026

Rutin Yang Sama, Tenaga Berbeza


03 Julai 2026 - Jumaat [17 Muharram 1448H]

Ada hari yang semuanya berjalan seperti biasa. Rutin tetap diteruskan, kerja tetap diselesaikan, perjalanan tetap ditempuh. Bezanya cuma badan mula memberi isyarat supaya sedikit perlahan dan jangan terlalu memaksa diri.

Pagi..
Tenang memandu ke tempat kerja seperti biasa walau hujan mengiringi.

Tengah hari..
Rehat sekejap. Badan pun perlukan tenaga untuk drive balik kerja nanti.

Petang..
Badan dah mula rasa 'dedor' macam nak demam. Drive pun jadi tak seronok sebab badan letih, mata terasa mengantuk walau layan lagu dari [SINI].

Malam..
Berehat sambil melayan CDrama. Dak Nuha pun kepenatan. Katanya, hari ni sakit perut lagi. Harap-harap esok kami berdua kembali sihat dan bertenaga seperti biasa.


Kadang-kadang berehat bukan tanda kita lemah..
Berehat adalah cara tubuh mengingatkan bahawa nikmat sihat itu sangat berharga.


Moga Allah kurniakan tubuh yang lebih sihat, hati yang lebih tenang dan langkah yang lebih ringan untuk meneruskan rutin seperti biasa.

#RemajaPurba: Bila badan meminta rehatdi [SINI]

Bila Rutin Mula Berubah


01 Julai 2026 - Rabu [15 Muharram 1448H] 

Hari ini, bermulalah satu fasa baru buat kami sekeluarga. Sedikit sebanyak, rutin harian kami juga akan berubah mengikut keadaan. En. Hubby akan memulakan kerja agak jauh dari rumah. Nampaknya, aku pun kena belajar berdikari semula kerana selepas ini masa en. Hubby lebih banyak di luar berbanding bersama kami di rumah.

Aku..?
Pengalaman dulu banyak mengajar aku. Dulu, aku dah terbiasa menguruskan rumah tangga tanpa kehadiran en. Hubby di sisi. Waktu dak Kakak dan dak Adik masih kecil, hampir semua urusan aku yang uruskan sendiri. Boleh dikatakan macam pasangan PJJ juga waktu tu.

Bezanya sekarang, walaupun en. Hubby akan lebih banyak berada di luar dan kami akan berjauhan lebih lama, aku tetap bersyukur kerana anak-anak semuanya sudah besar. Tak perlulah lagi terkejar-kejar menguruskan mereka seperti dahulu. Moga en. Hubby dapat bekerja dengan tenang, dipermudahkan segala urusan, sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan berada dalam lindungan Allah sepanjang masa.

Hari ini juga, ada pegawai baru melapor diri di tempat kerjaku. Moga segala urusan dipermudahkan dan perjalanan kerja selepas ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Aku..?
Saling menghormati, bekerjasama dan menjalankan amanah masing-masing itulah yang menjadikan satu team lebih mudah bergerak ke hadapan. Jangan sombong, jangan berlagak.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

02 Julai 2026 - Khamis [16 Muharram 1448H] 

Hari ini aku work from home sebab tiada siapa yang boleh menjaga dak Nuha. Sejak dia tak sihat di [SINI], lagi buat aku risau, tambah bila dia takde selera nak makan. Nak suruh makan pun kena dipujuk dan dipaksa, itu pun hanya beberapa suap. Baru seminggu ni dia ada selera makan, lega sikit hati aku. Tiada yang lebih melegakan hati seorang ibu selain melihat anak sihat dan kembali ceria seperti biasa.

Aku..?
Ada rasa risau, ada tanggungjawab yang perlu digalas dan ada perubahan yang perlu diterima. Moga setiap langkah yang kami lalui sentiasa dipermudahkan oleh Allah, diberikan kesabaran dalam setiap ujian dan dikurniakan kekuatan untuk menyesuaikan diri dengan rutin yang baru. Semoga segala yang diusahakan membawa kebaikan buat keluarga dan urusan kerja kami semua.

#RemajaPurba: Perubahan mungkin mengubah rutin..

Thursday, July 2, 2026

Kenangan Di Sebalik Sebungkus Nasi Lemak


Dahulu..
Ketika zaman sekolah, aku pernah beli nasi lemak bungkus daun pisang untuk dijadikan bekal ke sekolah. Bagi budak kampung macam aku, itu perkara biasa tapi bila bertukar sekolah di bandar, lain pula ceritanya.

Suatu hari, masa aku nak makan bekal, ada seorang kawan lelaki mengejek nasi lemak yang aku bawa. Waktu itu, aku cuma mampu diam. Malu dan sedih. Aku tertanya-tanya dalam hati, apa salahnya nasi lemak daun pisang?

Bukan itu je, kalau bawa bekal dari rumah pun aku rasa segan. Dalam fikiran budak sekolah ketika itu, orang mungkin akan anggap keluarga aku tak ada duit sebab tak membeli makanan di kantin. Rasa rendah diri itu memang pernah wujud.


Sekarang..
Aku dah tak kisah apa orang nak kata. Janji perut kenyang dengan makanan yang aku suka. Nasi lemak daun pisang tetap menjadi pilihan kalau ada. Aku sedar.. yang memalukan bukan bekal dari rumah tapi mereka yang suka merendahkan orang lain.

Jangan sesekali memperlekeh rezeki atau bekal orang lain. Kita tak pernah tahu berapa lama kata-kata itu akan tinggal dalam hati mereka.

Bagi aku, entry ni ada nilai nostalgianya sendiri. Ia bukan sekadar pasal nasi lemak daun pisang tapi tentang bagaimana pandangan orang lain pernah mempengaruhi keyakinan diri aku.

@RemajaPurba: ...

Wednesday, July 1, 2026

Balik Kampung Musim Buah Durian


28 Jun 2026 - Ahad [12 Muharram 1448H]

Sambungan dari [SINI]

Kali ni balik kampung, rupanya tak ada gambar yang sempat aku simpan untuk dijadikan kenangan di sini. Musim durian sedang rancak. Pokok durian Pak Busu galak betul berbuah. Untunglah dak Adik, dapat makan durian sepuas hati. Belum lagi buah rambutan, tinggal petik dan makan kat bawah pokok.

Dak Nuha..?
Bibirnya kena gigit semut waktu kopek kulit rambutan. Comel je bila dia bercerita. Tak perasan buah tu ada semutlah tu.

Aku..?
Sambil petik rambutan, sambil makan. Tak sedar, kenyang dibuatnya.

Durian..?
Bukan dalam list aku dan dak Nuha tapi en. Hubby bawa balik sebiji yang dah siap dikupas. Siap simpan dalam bekas, dibungkus dengan surat khabar dan diikat dengan plastik elok-elok, untuk elakkan mr. Black tak 'berbau durian' sepanjang perjalanan balik.

Buah rambutan dari kebun pakBusu.


Rambutan yang aku bawa balik dari kampung terus aku kupas dan simpan dalam peti sejuk. Memang nikmat bila makan dalam keadaan sejuk, rasa segar dan lega tekak. Lagipun semut memang banyak sangat. Daripada semut tu bersiar-siar dalam rumah, baik aku kupas siap-siapsimpan dalam bekas.

Buah manggis je belum boleh dipetik sebab masih hijau di pokok. Bagi aku, buah manggis kini menjadi antara buah yang rare sebab mahal, siapa yang ada pokok manggis dan sedang berbuah, bersyukurlah kerana tak perlu belihanya perlu petik dan makan di bawah pokok.


Musim buah-buahan 

 Buah boleh dimakan habis, musim boleh berganti tapi kenangan di kampung akan sentiasa berbuah dalam ingatan.


#RemajaPurba: Mengumpul kenangan hari ini, supaya esok masih ada cerita untuk dikenang.
 

EPISOD Ketujuh - JULAI 2026

01 Julai 2026 - Rabu [15 Muharram 1448H]

Dalam episod ke-enam - JUN 2026

Ku tutup Jun dengan satu kata - Alhamdulillah..
Dan ku buka Julai dengan satu doa - Ya Allah, mudahkanlah.


Goodbye June 

 Goodbye to the first half of 2026.
Time has moved quickly.
There were days I smiled, days I struggled and days I simply kept going.
Through it all, Allah never stopped providing.

As I step into the second half of this year — Moga Allah terus menguatkan langkah, membuka jalan yang terbaik dan mengurniakan hati yang sentiasa yakin kepada setiap aturan-Nya.


Kita tidak tahu apa yang menanti di hadapan tapi kita tahu kepada siapa tempat bergantung. Moga setiap hari di bulan ini dipenuhi rahmat, keberkatan dan kebaikan.

#RemajaPurba: Bismillah.

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...