13 Julai 2026 - Isnin [27 Muharram 1448H]
Ada hari yang berjalan seperti biasa. Tiada perkara luar biasa. Cuma rutin harian yang berulang, dari pagi membawa ke petang. Namun, kadang-kadang di sebalik rutin itulah terselit cerita kecil yang membuatkan kita berhenti seketika.. 'Eh.. macam ni pun boleh jadi?'.
Pagi..
Ribut kat dalam rumah. Aku terlajak bangun, alarm telefon yang kejutkan aku, aku shut down kan. Nasib baik di luar rumah masih gelap, tak adalah kelam-kabut macam dulu.
Dulu.. melompat turun dari katil tak tahu nak buat mana dulu, mandi dulu ke, minum air dulu ke? kemaskan katil dulu ke?
Sekarang.. walaupun dah sedar lambat, tetap ada rasa kelam-kabut, cuma masih terkawal. Aku tak nak terbawa-bawa rasa kelam-kabut tu waktu memandu sebab itu boleh membahayakan keselamatan. Bila dah tahu memang lambat, pasrah ajelah, yang penting sampai tempat kerja dengan selamat.
Di tempat kerja.. tugasan harian berjalan seperti biasa,
Kerja → rehat → kerja → balik.
Petang..
Penat + mengantuk mula terasa ketika memandu balik kerja. Terasa letih sikit hari ni walaupun kerja taklah terlalu membebankan.
Ketika melalui jalan kampung, dari jauh aku nampak seperti ada kemalangan berlaku. Pelik juga sebab beberapa kenderaan berat lain berpatah balik. Bila semakin hampir, barulah aku faham apa yang berlaku. Ada sebuah lori terhenti di tengah jalan kerana lori tersebut telah 'menarik' semua kabel elektrik bersama tiang lampu sehingga menghalang laluan.
Gambar dan video yang aku kongsi ni daripada group taman. Aku takde ambil gambar pun sebab laluan aku keluar ke kiri dari simpang dalam gambar tersebut. Kejadian pula berlaku pada waktu puncak ketika orang ramai balik kerja dan anak-anak balik dari sekolah.
Semasa kejadian
Bila tengok gambar yang ini, barulah nampak puncanya. Rupanya.. ada lori di atas lori. Patutlah tak lepas. Memang semua kabel yang melintang di atas jalan habis tersangkut dan tertarik sekali. Lewat petang, lori tersebut akhirnya berjaya dialihkan
- video dari penduduk setempat -
Malam..
Team berkaitan bertungkus-lumus membaiki tiang serta kabel yang rosak. Moga semuanya dapat disiapkan malam ini supaya tidak mengganggu perjalanan orang ramai pada pagi esok.
Menjelang tengah malam, terus hilang talian internet. Masa tu aku dah terfikir, memang betullah sangkaan aku. Bila lori 'menarik' sekali segala kabel di simpang tu, hinggakan line internet pun turut terjejas — update kisah di [SINI]
Aku...?
Masa untuk shutdown. Tidur dulu — bagi badan kembali bertenaga.

No comments:
Post a Comment