Followers Remaja Purba

Friday, May 17, 2024

PERMOHONAN UPUOnline®️ - 15 PANDUAN PERMOHONAN


Melalui pendidikan seseorang individu menimba ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran dan mampu mendepani cabaran apabila mereka melangkah meninggalkan alam persekolahan.


Buat mereka yang sedang mengisi borang permohonan UPUOnline®️ Fasa 2 bagi Sesi Akademik 2024/2025, di sini aku kongsikan panduan permohonan, tips memilih program dan kenapa permohonan itu berjaya atau pun tidak. Moga bermanfaat.

TARIKH TUTUP PERMOHONAN UPUOnline®️ Fasa 2 pada 09 JUN 2024 (5:00 petang)

Maklumat lanjut mengenai permohonan ini boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi 
https://upu.mohe.gov.my di SINI..




15 PANDUAN PERMOHONAN:
  1. Bayaran proses UPUOnline
  2. Layari portal rasmi UPU di upu.mohe.gov.my
  3. Pastikan kategori anda
  4. Semak syarat kelayakan di e-panduan UPUOnline
  5. Kira merit
  6. Semak tren permohonan dan penawaran
  7. Semak laluan kerjaya
  8. Isi permohonan UPUOnline
  9. Pastikan anda mengisi maklumat bertanda (*) dengan lengkap
  10. Pilih pilihan program mengikut keutamaan
  11. Lengkapkan borang permohonan
  12. Klik butang 'SIMPAN'
  13. Cetak slip permohonan
  14. Simpan slip permohonan sebagai bukti permohonan telah dibuat
  15. Semakan dan kemaskini permohonan adalah tanpa had



TIPS MEMILIH PROGRAM yang boleh dijadikan panduan dan rujukan semasa mengisi permohonan UPUOnline ®️
  • Memenuhi Syarat Am dan Syarat Khas Program
  • Pilih Program Yang Diminati
  • Semak Purata Merit
  • Susun Program Mengikut Keutamaan
  • Rujuk Kaunselor
  • Pelbagai Pilihan dan Bidang IPTA/ILKA

- sumber dari Kementerian Pendidikan Tinggi -


KENAPA BERJAYA DAN GAGAL?

BERJAYA:
  • Borang permohonan BERJAYA diterima UPUOnlline
  • MEMENUHI syarat am dan khas program pengajian
  • ADA kekosongan tempat
  • BERJAYA dalam saringan temu duga/ujian
  • Kedudukan merit TINGGI
GAGAL:
  • Tidak tekan butang SIMPAN
  • TIDAK memenuhi syarat am dan/atau khas program pengajian
  • TIADA kekosongan tempat, terutamanya program kompetitif
  • GAGAL dalam saringan temu duga/ujian
  • Kedudukan merit RENDAH

LALUAN KHAS MELIBATKAN EMPAT KUMPULAN SASAR


Laluan khas melibatkan empat kumpulan sasar yang boleh dijadikan panduan dan rujukan semasa mengisi permohonan UPUOnline ®️

B40
Berdaftar dengan e-Kasih (Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri

ORANG ASLI
Berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai kaum Orang Asli

OKU/LEPASAN INSTITUSI DI BAWAH JKM
Berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

ATLET
Berdaftar dengan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM atau Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik (BPS), KPT
*Penyertaan sukan sekurang-kurangnya mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.


- sumber dari SINI -


FAKTA DAN ANGKA
  • 503   - Program Pengajian Lepasan SPM
  • 1111 - Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf
  • 20     - Universiti Awam
  • 36     - Politeknik
  • 105   - Kolej Komuniti
  • 4       - Institusi Latihan Kemahiran Awam

#RemajaPurba: Masih jauh lagi perjalanan..

Thursday, May 16, 2024

GURU JAUHARI DIGITAL ASPIRASI NEGARA MADANI


16 Mei 2024 - Khamis (7 Zulkaedah 1445H)

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 Tahun 2024 bertemakan 'GURU JAUHARI DIGITAL ASPIRASI NEGARA MADANI'.

Pemilihan tema Hari Guru bagi tahun ini adalah selari dan bersesuaian dengan senario pada masa sekarang kerana teknologi digital telah menjadi sangat rapat dengan kehidupan kita, termasuklah dalam bidang pendidikan. Konsep tema Hari Guru ini menekankan peri pentingnya peranan guru sebagai agen perubahan yang membentuk pemikiran kritis, nilai-nilai murni serta sikap positif dalam kalangan generasi muda. Guru berperanan membangunkan negara MADANI sekali gus menjadi suri teladan bagi melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing.
- sumber, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia -



Selamat Hari Guru buat semua guru di seluruh negara..
Semoga dikurniakan kesihatan yang baik dalam menjalani rutin harian, dilapangkan dari kesulitan dan dilimpahkan rezeki yang berkat serta berpanjangan. 
Aamiin Ya Rabbal Alamiin.. 🤲🏻

SELAMAT Hari Guru..
Happy Teacher's Day..


Terima kasih di atas segala khidmat dan jasa yang dicurahkan dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan cemerlang dan tonggak pemimpin pada masa hadapan.

Melalui pendidikan seseorang individu menimba ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran dan mampu mendepani cabaran apabila mereka melangkah meninggalkan alam persekolahan.

#RemajaPurba: Tanpa Guru siapalah kita pada hari ini..

Wednesday, May 15, 2024

Tak Post Tentang Keluarga, Kawan dan Pasangan


Tak post tentang keluarga, tak semestinya tak sayang
Tak post tentang kawan, tak semestinya tak ada kawan
Tak post tentang pasangan, tak semestinya tak bahagia
Some people have life beyond social media
- sumber X -


Tentang Keluarga..
Di awal pembabitan dalam dunia blog ini, kisah tertumpu pada dak Adik dan turut diselang-selikan dengan kisah dak Kakak dan dak Nuha. Bila deme makin besar, aku cuba kurangkan bercerita mengenai deme, lebih kepada menjaga privacy. Selagi mengikut piawaian mata dan pemikiran, selagi itulah ianya bertahan.

Tentang Kawan..
Tiada sebab untuk aku kongsikan di sini. Lama dah tak accept friend request. Sejak kes beberapa tahun dahulu hingga aku terima sekeping memo amaran di SINI.. aku unfriend semua yang ada kaitan dengan mereka dan juga yang lain. Kecewa itu ada tapi sekiranya dilayan boleh meninggalkan kesan 'benci' di dalam hati. Aku lebih tenang dengan circle sedia ada. Kamu tak kenal aku dan aku tak kenal kamu seperti di SINI.. 'Lepas dah kecilkan circle, aku lagi aman. Kawan tak ramai tapi aku tenang dan bahagia'.

Tentang Pasangan..
Ada tapi dalam acara/majlis tertentu barulah watak en. Hubby muncul di sini. Tak perlu terlalu 'macam kau seorang je ada suami'. Bukan semua perkara perlu dikongsikan di sini.. Some people have life beyond social media.

Adakala hidup ini perlukan privacy.

#RemajaPurba: ... yang nampak tu nampak la.. 😆

Thursday, May 9, 2024

Tugas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selain dari Pengumuman Puasa dan Raya


Dah penghujung Syawal baru teringatkan entry ni masih terdiam sepi di bahagian draf.


09 Mei 2024 (Khamis) - 30 Syawal 1445H

Setiap kali menjelangnya Ramadan dan Syawal, siaran paling ditunggu di kaca television adalah Pengumuman Puasa dan Pengumuman Raya. Jika dulu berteka-teki mengenai tarikhnya, kini berteka-teki pula warna baju yang dipakai oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. Beliau bertanggungjawab mengumumkan tarikh permulaan puasa dan hari raya menurut titah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Raya dan Rancangan Telelevision (tv)
Dulu..
Bahagian intisari rancangan di dada akhbar pasti menjadi rujukan, nak tahu filem atau drama apa akan ditayangkan. Bersama keluarga, lepak depan tv sambil makan menu raya.

Kini..
Tidak lagi melekat di depan tv dan tak minat nak menonton rancangan yang ada. 'Dah tualah tu, tak suka tengok tv'. Bukan tua tetapi myAnak Fruits conquer rancangan kartun. Ditambah bila berjumpa orang tua, sanak-saudara, takkan nak hadap tv aje, bergossip sakanlah jawabnya.

Tapi..
Walau tidak menonton tv, masih banyak platform selain dari tv yang boleh ditonton. Banyak iklan-iklan raya dan filem pendek yang menarik di media massa. Ada yang lucu tapi banyak yang bermain dengan jiwa seperti di SINI, di SINI atau pun boleh tanya pada en. Google sendiri. Dipendekkan cerita, rancangan tv bukan lagi pilihan utama.

========================================

Pernah terfikir, apa tugas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selain dari membuat pengumuman tarikh permulaan puasa dan hari raya?

Jadi, sedikit perkongsiaan mengenai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja seperti berikut:

PENGAJIAN AM Topik 4 Kerajaan Malaysia

- sumber en. Google -

YDPA - Yang di-Pertuan Agong
MRR - Majlis Raja-Raja


Tugas Penyimpan Mohor Besar Raja-raja
  • Menerima dan mengedarkan kertas kerja yang akan dikemukakan dalam persidangan
  • Memanggil mesyuarat MRR atas arahan YDPA atau MRR
  • Menghadiri mesyuarat dan menyimpan minit-minit mesyuarat
  • Mengesahkan semua keputusan MRR
  • Memaklumkan keputusan pemilihan YDPA kepada Majlis Parlimen
  • Mengumumkan keputusan MRR, tarikh berpuasa, tarikh hari raya umat Islam
Fungsi :  Memastikan segala urusan sebelum, semasa dan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berkaitan dengan elemen pentadbiran, kewangan dan logistik dilaksanakan dengan cekap dan teratur. 


Aku..?
Raya paling seronok disambut adalah zaman BudakPurba. Makan, main mercun. tengok rancangan raya di tv dan kumpul duit raya. Indahnya waktu itu. 

#RemajaPurba: Dulu kumpul duit raya, sekarang kita pula bagi duit raya.

Wednesday, May 8, 2024

TIGA Simbol Terpapar di Dashboard Kereta


05 Mei 2024 - Ahad (26 Syawal 1445H)

Dari 22 Syawal 1445H aku tidak sihat (batuk + selesema) dan tak sangka 'berjangkit' pula pada cikPutih hinggakan en. Hubby terpaksa belikan ubat 'bateri baru' buatnya. 


06 Mei 2024 - Isnin (27 Syawal 1445H)

Cuti Kecemasan disebabkan cikPutih breakdown selepas plaza tol di sini ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.

Kisahnya:
Sewaktu tiba  di plaza tol menunggu giliran untuk TnG di laluan tol di sini, aku perasan power window cikPutih menjadi lambat untuk diturunkan. Berdasarkan pengalaman dari SINI.. langkah segera perlu ku ambil dengan mencari ruang di tepian highway untuk berhenti kerana simbol Battery Light menyala.

Walau telah berhenti di tepian highway ku tetap risaukan keselamatan, berdoa moga semua motosikal yang lalu akan nampak cikPutih di laluan kecemasan di situ. 

Alhamdulillah, myAdik Helmi datang membantu. Inilah untungnya ada adik lelaki, bila kita call, pasti skuad bantuan cepat sampai. Kali ini dia sendiri yang datang bantu disebabkan skuad bantuan terhampir berada di luar kawasan.

Ok cikPutih, jomlah kita balik

Bagaimana sesaknya jalan, begitulah sesaknya kepala ni nak hantar kereta untuk di repair.


Ketika kejadian, ada tiga simbol terpapar di dashboard kereta - Battery Light, Check Engine dengan Oil Pressure

Lampu Bateri - Battery Light

Sekiranya lampu ini menyala, menandakan bateri kereta mungkin rosak atau lemah dan sudah tiba masanya untuk menukar dengan bateri yang baru. Mungkin juga alternator bateri bermasalah mengakibatkan tidak dapat menghidupkan enjin kereta.


Lampu Enjin - Check Engine

Inilah simbol pada meter kereta yang paling terkenal. Lampu ini memberi maksud keadaan enjin kereta. Indikator ini akan menyala sekiranya kereta tidak boleh dihidupkan atau menghadapi kesukaran untuk dihidupkan. Besar kemungkinan terdapat masalah pada enjin kereta.


Lampu Minyak Enjin - Oil Pressure

Jika lampu ini bernyala, ia merupakan amaran kuantiti minyak hitam/minyak enjin berkurangan.


Moga cikPutih kembali pulih dan dapat meneruskan tanggungjawab membawaku ke tempat kerja seperti biasa.

#RemajaPurba: Selagi ada nyawa..

Monday, May 6, 2024

Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Sekolah dan Taman


Kenangan Hari Raya Aidilfitri di peringkat sekolah dak Adik dan dak Nuha bagi tahun 2024 telah diadakan pada:

15 April 2024 - Isnin (06 Syawal 1445H)

Sebaik sesi persekolahan bermula selepas seminggu berhari raya telah diadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Sekolah dak Nuha telah diadakan di SRA di SINI.

========================================

26 April 2024 - Jumaat (17 Syawal 1445H)

Selepas dibuat di SRA dak Nuha, Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Sekolah dibuat pula di SK di sini. Dak Nuha hanya mahu membawa jajan ke sekolah. Dia risau kalau bawa makanan yang dimasak takut takde yang nak makan.

Antara menu potluck yang disajikan.

Dak Nuha nun di sana.. tudung biru.

Tak banyak gambar yang dikongsikan oleh guru kelas dak Nuha

'Nuha makan apa..?'
'Macam-macam Nuha makan, dorang tak habis makan, dorang bagi Nuha'.
'Kan ibu dah pesan, jangan ambil. Nanti Nuha yang besar, dorang macam tu jugak'.
'Dah memang Nuha besar kan'.
'Nuha kena jaga badan, takkan lupa apa kata doctor dekat Nuha'.
'Ye.. Nuha ingat, tapi masalahnya dorang bagi juga dekat Nuha..' Penuh perasaan dia bercerita.
'Nuha kena belajar menolak, kata tak nak'.
'Yelah ibu..'

========================================

03 Mei 2024 -  Jumaat (24 Syawal 1445H)

Selepas dak Nuha, dak Adik pulak. Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Sekolah di SMK di sini. Menu potluck, dak Adik request nak bawa makanan ke sekolah tapi tidak pula dia nyatakan nak bawa apa, makanya aku bekalkan yang mudah dan ringkas. Nak masak menu berat, kepala MakBudak dah sedia berat, tak larat.

Cantik.. kreatif..

Kelas Tingkatan Lima SMK di sini.. besar dah deme semua.

Sebahagian yang ada..


Aku..?
Cuti Kecemasan akhirnya. Sungguh aku tak larat, pewai. Berpusing kepala, makan ubat mata ni nak tidur je. Sambungan dari SINI..

========================================

04 Mei 2024 - Sabtu (25 Syawal 1445H)

Dengan tema 'Raya Setaman' telah diadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat TDBi di sini, dimulakan seawal pukul lapan malam sehingga selesai.

Gotong-royong telah bermula sejak malam sebelumnya, rewang + bergossip.

Aku..?
Berehat di rumah. Hanya en. Hubby sebagai wakil kerana beliau ditugaskan untuk memasak menu utama. Dak Adik dan kawan-kawan dia pula jadi runner dan tolong mana yang perlu.

Malamnya, aku hadir sekadar memeriahkan suasana, tidak selesa kerana keadaan diri yang kurang sihat. Haruslah tunjukkan muka bila ramai yang bertanya pada en. Hubby aku di mana?

Gambar?
Maaf, tiada. Tidak teruja nak mengambilnya.

#RemajaPurba: Masih belum baik.

Sunday, May 5, 2024

Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Bahagian


01 Mei 2024 - Rabu (22 Syawal 1445H)

Pagi..
Aku di SINI..

Malam..
Memandangkan dak Nuha pun sama tidak sihat (batuk + selesema), en. Hubby bawa kami untuk mendapatkan rawatan di klinik. Dapatlah cuti sakit untuk sehari buat dak Nuha dan aku..?


02 Mei 2024 - Khamis (23 Syawal 1445H)

Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat bahagian di tempat kerjaku.
Kali ini aku tidak teruja disebabkan aku tidak sihat tetapi demi menu utama bahagian yang ditempah dari en. Hubby, gigihlah aku ke tempat kerja. Makna kata.. tiada maknalah sijil cuti sakit yang aku terima daripada doktor malam tadi.

Kerjasama antara mereka

Sungguh, aku tak larat masa ni

Simpan sini sebagai kenangan

Bersama salah seorang boss bahagian

side dish

Air Botol Legend - Oren Bodo/Air Long Chan

Menu utama:
Nasi Minyak, Ayam Masak Merah, Dalca, Jelatah, Jambu Batu

Menut Potluck:
Laksa Johor, Laksa Utara, Rendang Ayam, Rendang Daging, Ayam Masak Ungkep, Nasi Impit, Kuah Kacang, Masak Lodeh, Sate, Lemang, Mee Rebus, Buah Pisang dan ada lagi aku tak ingat.


Dirasmikan oleh Boss Bahagian.

Gambar seterusnya.. ada banyak tapi maaf aku tak dapat nak kongsikan.

Aku..?
Hanya ini yang aku makan.
Hilang sekejap 'selera besarku' dek tidak sihat.


Boss Bahagian izinkan aku balik awal 'biar mereka yang basuh bekas tu' tapi aku tak sampai hati. Takpe, aku tunggu. Selepas sesi menapau selesai, dengan kebenaran boss, aku terus gerak balik. 

Menggigil badan bila sampai di rumah, hujan pula tu. Merengek pada en. Hubby untuk pergi ke klinik semula malam nanti tapi selepas makan ubat tak sedar apa dah. Aku rasa aku tidur sekejap, bila sedar hampir dekat tengah malam. Dah tengah malam memang takdelah nak ke klinik semula. Sempat mengemas dapur sebelum sambung tidur semula.


03 Mei 2024 - Jumaat (24 Syawal 1445H)

Aku cuti kecemasan.. 'demam raya'.
Sudahlah batuk, selesema, migrain pula. Bantal je pasangan terbaik aku untuk hari ini.

#RemajaPurba: Masih belum ok.

Saturday, May 4, 2024

PROGRAM PERMUAFAKATAN IBU/BAPA/PENJAGA SRA di sini

 
01 Mei 2024 - Rabu (22 Syawal 1445H)

Bertempat di Dewan Imtiaz SRA di sini telah dijalankan Program Permuafakatan Ibu/Bapa/Penjaga bagi murid Tahun 4, 5 dan 6.

Bermula seawal 8:30 pagi dan berakhir pukul 11:00 pagi aku gagahkan diri menghadirinya walau dalam keadaan diri dah mula rasa dedor nak demam. Face mask aku wajibkan pakai ke atas diriku dan ini memang menjadi rutin aku setiap hari sebenarnya bila berada di tempat kerja dan kawasan yang ramai orang.


Ok. Program ini dirancang khas untuk ibu/bapa/penjaga dan guru-guru SRA di sini. Matlamatnya:
  • Membentangkan strategi kecemerlangan Tahun 4, 5 dan 6 yang telah dirancang oleh Jawatankuasa Kurikulum (program sepanjang tahun).
  • Memberi pendedahan tentang aspek-aspek penting dalam kemahiran keibubapaan.


Ucapan dari Guru Besar SRA di sini:
Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada ibu/bapa/penjaga yang dapat hadir walaupun pada hari ini merupakan cuti umum. Ini menunjukkan komitmen ibu/bapa/penjaga terhadap kecemerlangan anak-anak tuan/puan dari segi kurikulum, ko-kurikulum dan sahsiah. 

Tujuan diadakan permuafakatan pagi ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara guru-guru dan ibu/bapa/penjaga. Ini dapat memberi peluang ibu/bapa/penjaga berbincang mengenai masalah pembelajaran anak-anak supaya guru-guru dapat mengesan kelemahan awal murid-murid bagi tindakan seterusnya. Juga turut diberikan penerangan berkenaan aktiviti yang dirancang sepanjang tahun ini bagi menghadapi peperiksaan UPPK dan PSRA. Pihak sekolah berharap ibu/bapa/penjaga lebih komited untuk membantu anak-anak di rumah untuk berjaya di pelajaran Jawi, peperiksaan UPPK dan PSRA.


Ucapan dari YDP PIBG SRA di sini:
Memberi tumpuan terhadap empat perkara berkenaan 'kerjasama' iaitu:
  • Kerjasama daripada ibu/bapa/penjaga dan pihak sekolah
  • Daripada kerjasama tersebut, kita akan mendapat kesepakatan apa yang kita bincangkan hari ini
  • Persetujuan ibu/bapa/penjaga berkenaan perkara yang kita akan laksanakan agar tidak berlaku pertikaian.
  • Tawakkal. Kita telah diterapkan dengan budaya berdoa kepadaNYA. Janganlah jadikan doa itu sebagai ubat yang kita ambil ketika mana kita perlukan tetapi jadikan doa itu sebagai air yang kita perlukan setiap hari. 
===========================================


Perancangan dan Program bagi Tahun 4 sepanjang tahun 2024 adalah seperti:
  • Kelas tambahan Jawi bermula pada setiap hari Isnin - Khamis bermula dari jam 17:35 - 18:15 dengan penglibatan murid seramai 258 orang.
  • Tujuan kelas tambahan Jawi dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kefahaman dalam menguasai kandungan pelajaran (membaca, mengeja dan menulis) dengan lebih baik dan berkesan.
  • Kursus Pemantapan Jawi akan dilaksanakan pada bulan Jun, 2024 di mana pihak sekolah akan menjemput penceramah yang pakar Jawi untuk membantu murid-murid Tahun 4 yang lemah Jawi agar lebih baik dan cemerlang di dalam pelajaran.
  • Program Motivasi dijangka akan dibuat pada bulan Julai 2024 bagi memberi semangat kepada murid-murid dalam meningkatkan prestasi agar mereka lebih bersemangat dan minat dalam menguasai mata pelajaran yang diajar terutamanya Jawi.

===========================================

Perancangan dan Program bagi Tahun 5 sepanjang tahun 2024 adalah seperti:

Untuk makluman ibu/bapa/penjaga, UPKK merupakan peperiksaan bersijil yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan ianya dijalankan ke atas semua murid Tahun 5 di sekolah KAFA di seluruh Malaysia.

Syarat bagi menduduki peperiksaan UPKK adalah seperti berikut:
  • Calon hendaklah dikalangan murid yang bersekolah di SRA, SRAI, KAFAI  atau Sekolah Agama Persendirian yang telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam. Jika murid tersebut tidak bersekolah di sekolah agama, murid tersebut tidak boleh menduduki peperiksaan itu.
  • Calon perlulah sekurang-kurangnya belajar tiga tahun sebelum menduduki peperiksaan UPKK (paling kurang bermula dari darjah tiga). Syarat ini bergantung kepada JAKIM kerana syarat ini boleh berubah. Seperti tahun 2022 (satu tahun sudah cukup melayakkan calon) tetapi pada tahun 2023 dan 2024, JAKIM menetapkan syarat tiga tahun kepada calon. Buat masa ini belum ada syarat yang tetap lagi.
  • Calon itu berdaftar untuk menduduki UPKK di dalam Sistem JAKIM (Sistem Maklumat Pendidikan Islam - Simpeni). Pihak sekolah yang akan mendaftarkan. Pihak ibu/bapa/penjaga hanya perlu menyerahkan salinan sijil kelahiran anak kepada guru kelas untuk tindakan selanjutnya.
  • Umur kemasukan ke SRA, SRAI, KAFAI Sekolah Agama Persendirian sama seperti umur kemasukan ke Sekolah Kebangsaan. Calon perlu juga belajar di Sekolah Kebangsaan.
  • Calon yang bertukar sekolah dari negeri lain, telah mengikuti KAFA sekurang-kurangnya tiga tahun belajar di negeri asal.
  • Bagi calon bukan warganegara, calon tersebut mestilah bersekolah di Sekolah Kebangsaan dengan melampirkan surat pengesahan dari Sekolah Kebangsaaan sebagai rujukan.

Terdapat lapan mata pelajaran bagi peperiksaan UPKK:
  • Tiga mata pelajaran amali dan lisan (sesi soal jawab dengan guru) iaitu: Pelajaran Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam dan bidang Al-Quran (Hafazan).
  • Lima mata pelajaran bertulis iaitu: Ulum Syariah, Sirah, Jawi & Khat, Adab dan Lughatul Quran. 

Pemarkahan Gred UPKK:
  • A (Cemerlang: 80 - 100)
  • B (Baik: 60 - 79)
  • C (Memuaskan: 40 - 59)
  • D (Kurang Memuaskan: 1 - 39)
Tahap pemarkahan ini, tidak ada satu pun yang gagal walaupun calon itu mendapat markah D, calon tersebut tetap dikira sebagai lulus. Gred pemarkahan ini tertakhluk kepada sebarang perubahan, ianya tidak tetap dan mungkin boleh berubah.

Program Khas Tahun 5:
  • Kelas tambahan akan bermula minggu kedua Mei 2024 (setiap hari Isnin - Khamis).
  • Makanan Sunnah (pemberian kismis dan air zam zam seminggu sekali).
  • Solat hajat secara perdana di masjid dan solat hajat mingguan di surau SRA.
  • Motivasi UPKK: Memberi semangat menghadapi UPKK.
  • Klinik UPKK: Membantu calon yang lemah.
  • Bengkel Teknik Menjawab: Akan memberi penerangan lebih lanjut.
  • Pemantapan Jawi
  • Gerak Gempur UPKK
  • Kelas Intensif (Pecutan Akhir Minggu Peperiksaan)

===========================================

Perancangan dan Program bagi Tahun 6 sepanjang tahun 2024 adalah seperti:

Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) merupakan ujian yang dijalankan di SRA, SRAI dan KAFAI di seluruh Selangor. Ianya satu peperiksaan bersijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Bahagian Pendidikan Islam dan ianya dijalankan ke atas semua murid Tahun 6. Ujian ini berbeza sama sekali dengan UPKK. 


PSRA adalah peperiksaan terakhir untuk menentukan langkah seterusnya ke tingkatan satu. Jumlah calon bagi sesi kali ini adalah sebanyak 231 orang dan diharapkan semua calon berusaha bersungguh-sungguh bagi mendapatkan keputusan terbaik.

Ujian Tilawah dan Hafazan akan berlangsung pada penghujung Jun/awal Julai 2024, sebanyak 60 markah melalui bacaan dan 40 markah melalui hafazan. Surah yang perlu dibaca dan dihafal berdasarkan dari silibus Tahun 5 dan 6. 

Dua ujian percubaan akan dibuat sebelum peperiksaan sebenar berlangsung pada pertengahan bulan Oktober 2024. Semua murid perlu bersedia agar dapat menjawab dengan mudah dan lancar. Juga, semua murid perlu menyerahkan dua keping gambar berukuran passport untuk digunakan oleh pihak sekolah semasa peperiksaan berlangsung nanti.

Pemarkahan Gred PSRA:
  • Mumtaz (Cemerlang: 90 - 100)
  • Jayyid Jiddan (Sangat Baik: 75 - 89)
  • Jayyid (Baik: 60 - 74)
  • Maqbul (Lulus: 40 - 59)
  • Musaadah (Perlu Bimbingan: 0 - 39)

Program Khas Tahun 6:
  • Kelas tambahan bermula pada 22 April 2024 (setiap hari Isnin - Khamis).
  • Kelas tambahan pada hari Sabtu dan cuti sekolah. Sekiranya pihak SK mengadakan kelas tambahan pada sebelah pagi, maka SRA akan dibuat pada sebelah petang.
  • Klinik PSRA: Membimbing murid yang lemah dan menyuntik semangat untuk belajar.
  • Pemantapan Jawi: Memberi bimbingan supaya murid dapat menguasai penulisan dan pembacaan Jawi.
  • Motivasi PSRA: Penceramah dari luar untuk memberi ceramah untuk menyuntik semangat agar lebih cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.
  • Solat hajat secara perdana di masjid dan solat hajat mingguan di surau SRA.
  • Seminar PSRA: Teknik/kaedah murid untuk menjawab soalan dengan baik.
  • Gerak Gempur PSRA: Murid akan dibekalkan dengan soalan latih-tubi berdasarkan soalan dari peperiksaan terdahulu supaya murid biasa dengan bentuk soalan dan menjawab dengan cara yang betul.
  • Kelas Intensif (Pecutan Akhir Minggu Peperiksaan).

Selain dari itu, terdapat program yang akan dijalankan selepas PSRA:
  • Program Pengurusan Jenazah.
  • Khatam Al-Quran Perdana.
  • (Hafazan) Surah Al-Waqiah dan Al-Kahfi Challenge.
  • Program Sukaneka (dah penat hampir setahun belajar bagi murid bergembira pula)
  • Program Motivasi Melangkah ke Alam Remaja.
  • Program Amali Sembelihan: Murid diajar cara sembelihan ayam dan selepas itu akan dibuat jamuan bagi meraikan semua murid Tahun 6;
  • Beberapa program lagi yang telah dirancang oleh pihak sekolah, antaranya cara mandi wajib, wuduk, praktikal solat.

Kadar yuran bagi program untuk Tahun 4, 5 dan 6 ini telah ditetapkan berdasarkan persetujuan bersama ibu/bapa/penjaga. Surat rasmi akan dikeluarkan oleh pihak sekolah dalam masa terdekat.

Nota:
Semua maklumat di atas berdasarkan rakaman suara yang aku buat memandangkan aku dalam keadaan kurang sihat takut hilang tumpuan.


#RemajaPurba: Berita gembira buat penjawat awam di SINI..

Friday, May 3, 2024

Tema Hari Pekerja 2024 - PEKERJA KESUMA BANGSA


01 Mei 2024 - Rabu (22 Syawal 1445H)

Pagi..
Aku dah mula rasa dedor (dedar), nak demam tapi dek satu Majlis Permuafakatan IbuBapa di SRA dak Nuha di sini, ku gagahkan juga pergi. Nanti aku kongsikan kisahnya.


Dalam masa yang sama, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada jam 10:00 pagi dan disiarkan secara langsung oleh RTM TV1, rakyat Malaysia terutama penjawat awam teruja untuk mengetahui intipati ucapan daripada Perdana Menteri YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim.



Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim mengumumkan berita gembira buat penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji sebanyak 15 peratus mulai 01 Disember 2024. Kadar kenaikan ini adalah yang tertinggi di dalam sejarah perkhidmatan awam negara.


Kenaikan ini adalah berbeza dari kenaikan yang pernah dilaksanakan dalam pentadbiran terdahulu. Pendekatan lama yang digunapakai lebih memberi keutamaan kepada kelompok perjawatan gred tinggi berbanding pendekatan terkini yang lebih tertumpu kepada peringkat lebih rendah. Ini bagi menghargai penjawat awam yang memberikan sumbangan dan dedikasi kepada usaha meningkatkan keupayaan negara dalam sudut ekonomi, sosial dan sebagainya.


============================================

Tema Hari Pekerja Tahun 2024
PEKERJA KESUMA BANGSA

Logo Hari Pekerja 2024
Bertepatan dengan penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia kepada KESUMA




- Sumber dari SINI

Tanggal 1 Mei setiap tahun merupakan tarikh yang amat sinonim dan bermakna bagi kesemua pekerja di Malaysia kerana ianya merupakan cuti khas bagi golongan pekerja. Tidak kiralah kita sebagai pekerja di sektor awam, sektor swasta mahupun bekerja sendiri. Ianya tetap menjadi faktor penyumbang kepada kemajuan negara.

Sambutan Hari Pekerja 2024 akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang akan dihadiri oleh lebih daripada 3,000 pekerja yang terdiri dari kesatuan badan berkanun, sektor awam dan swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

YAB Perdana Menteri Malaysia akan menyampaikan beberapa Anugerah Hari Pekerja pada perhimpunan tersebut sebagai usaha menghargai sumbangan pekerja kepada pembangunan negara. Pada tahun ini, 12 Anugerah akan dikurniakan kepada pekerja, majikan, kesatuan, media dan kontinjen. Selain menyampaikan anugerah, YAB Perdana Menteri juga akan melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia 2030.

Beberapa aktiviti sempena Hari Pekerja turut dirancang seperti 4 Siri Pocket Talk, Larian Hari Pekerja, Perhimpunan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan, Khutbah Jumaat, Forum Perdana dan Karnival Kerjaya yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dan pameran Jabatan dan Agensi Kerajaan. Program-program ini dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai hak dan tanggungjawab pekerja dan majikan, peluang pekerjaan serta kursus kemahiran teknikal yang ditawarkan kepada anak-anak muda.

Tema Hari Pekerja Tahun 2024 ialah 'PEKERJA KESUMA BANGSA' dan Logo Hari Pekerja 2024 bertepatan dengan penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia kepada KESUMA.

Pemilihan tema ini adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nila dan aspirasi yang sama disamping berkompetensi untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baru yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing dan kemakmuran masa depan negara.


#RemajaPurba: Terima kasih Dato' Seri dan tahniah buat semua penjawat awam di seluruh negara.

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...