Sekarang ni, rasanya makin banyak rumah yang menggunakan auto gate. Tekan saja remote dari dalam kereta, pintu pagar terus terbuka. Tak perlu turun kereta, semuanya jadi lebih mudah, lebih-lebih lagi bila balik kerja dalam keadaan penat atau ketika hujan.
Aku..?
Pagar rumah aku akan bertukar jadi auto gate setiap kali musim cuti persekolahan. Bila dah agak-agak nak sampai rumah, aku cuma perlu telefon rumah. Sampai saja depan pagar, pintu dah siap terbuka. Tak perlu lagi aku turun kereta untuk buka sendiri. Bukan setakat pintu pagar terbuka, sekali pakej segala beg dan barang dalam kereta pun akan diangkat masuk ke dalam rumah. Memang berbaloi bila tiba musim cuti persekolahan.
Kalau di luar musim cuti persekolahan pula?
Kalau en. Hubby ada di rumah, lagi mudah — tak perlu telefon pun, memang pagar rumah sentiasa terbuka. Bagi aku, selagi mereka ada, gunakanlah manfaat yang ada. Memudahkan kerja Mak Budak yang dah penat memandu. Tambahan pula, bila jejak kaki ke tanah, rasa macam kaki dah bertukar jadi agar-agar.
Walaupun rumah aku tiada auto gate, aku tetap rasa bersyukur — sebab aku ada 'remote' yang tak ada dijual di mana-mana. Cukup dengan satu panggilan telefon, pintu pagar terus terbuka.
Kadang-kadang, perkara yang nampak kecil beginilah yang buat hati rasa berbunga-bunga. Bukan kerana canggihnya teknologi tapi kerana ada insan yang sentiasa menunggu kita pulang.
#RemajaPurba: ..
No comments:
Post a Comment