13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]
Untuk yang baru membaca entry ini, disarankan rujuk dahulu entry sebelum ini. Terdapat beberapa siri yang telah aku kongsikan dan sekarang masih ada beberapa lagi dalam draft akan aku kongsikan untuk bacaan bersama. Ceramah yang aku hadiri pada 13 November 2025, membuatkan aku ingin kongsikan apa itu TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi – Guarantee Money – dengan izin dari empunya badan.
GUARANTEE MONEY atau MONEY SETTING
Kisab Benar:
Pada Mei 2011, saya telah dituduh di mahkamah atas 31 pertuduhan yang melibatkan kemasukan warga asing ke Malaysia tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Tiga hari selepas itu, saya menerima surat penahanan kerja. Bermulalah satu fasa baru dalam hidup saya, di mana saya tidak lagi dibenarkan hadir ke pejabat dan gaji hanya dibayar separuh kerana terlibat dalam prosiding mahkamah.
Bagaimana boleh timbul 31 pertuduhan?
Semua berpunca daripada transaksi wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank yang bukan milik saya tapi milik ejen. Ejen ini terlibat secara langsung dalam kartel, bertindak sebagai orang perantara untuk 'guarantee money'. Dia mengumpulkan wang itu, menyerahkan bahagian kita dan mengekalkan bahagiannya sendiri. Ejen ini juga bekerjasama dengan pegawai yang terbabit.
Konflik berlaku apabila ejen tidak berpuas hati disebabkan pengurangan daripada pihak pelanggan. Perselisihan ini akhirnya membawa kepada laporan kepada media oleh salah seorang yang kecewa. Ejen yang ditahan SPRM pula tidak dikenakan pertuduhan, malah ditukarkan menjadi saksi kerana dia yang membuat laporan.
Jangan mudah percaya kepada orang tengah seperti ini.
Sikap ejen yang dididik oleh kartel adalah untuk mencipta peluang atau 'engagement' dengan pegawai berkepentingan bagi membina hubungan. Dia bermula sebagai kawan, kemudian membawa kepada 'tolong adjust'. Kadang-kadang, dia bagi tugasan yang mudah dahulu kemudian tugasan lebih sukar. Kita yang termakan sedikit demi sedikit akhirnya terjerumus ke situasi yang lebih parah sehingga menjadi ancaman kepada kita. Kita tak boleh nak menolak walaupun tahu ia salah di sisi undang-undang. Dari awal, kita sudah tergadai kerana mengambil perkara yang nampak simple tapi membawa implikasi besar.
GUARANTEE MONEY ini apa?
Secara ringkas – wang jaminan yang dibayar untuk memastikan sesuatu kepentingan atau urusan berjaya, biasanya dalam rangka hubungan tidak rasmi antara pegawai dan pihak tertentu.
Bila seorang melanggar peraturan, orang lain akan ikut. Perlanggaran kecil seperti ini menimbulkan penyalahgunaan etika dan berpotensi membesar jika dibiarkan kerana ia menjadi asas kepada pelanggaran yang lebih serius. Itulah yang saya lihat sewaktu berkhidmat dalam jabatan kerajaan.
Sebab itu, saya ingin pesan kepada semua pegawai, sama ada di agensi kerajaan atau swasta – jangan sekali-kali melanggar integriti, walaupun sekecil mana. Sekali kamu langgar, ia membuka ruang kepada pelanggaran yang lebih besar, bermula daripada tindakan kamu sendiri yang kadang-kadang tidak disedari.
Jadi, apabila saya dikenakan 31 pertuduhan, ia berkait dengan kartel yang wujud iaitu berhubung dengan 'guarantee money'. Walaupun ramai mungkin tidak perasan, perkara ini masih berlaku, contohnya di pintu masuk negara dengan adanya 'kaunter setting'. Dulu ia dikenali sebagai 'guarantee money', sekarang nama ditukar kepada kaunter setting - sama ada je keadaannya, sama je fitrah kejadiannya.
Kalau ditanya kenapa sampai 2025 perbuatan itu masih wujud?
Ini isu kartel. Peluang untuk melakukan perbuatan tersebut memang ada dan sesiapa yang berjaya mencipta ruang di situ boleh menghasilkan perbuatan yang jahat itu tapi jika kamu menolak untuk bersekongkol dengan kartel, kamu bebas daripada terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.
Ambillah kisah ini sebagai peringatan - bukan untuk menuding sesiapa tetapi untuk mengingatkan kita tentang pentingnya memilih jalan yang betul sejak awal.
- bersambung -
Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.
@RemajaPurba: ..

No comments:
Post a Comment