Followers Remaja Purba

Tuesday, November 25, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 12]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Kali ini lebih kepada pengalaman beliau tentang integriti, kuasa dan godaan duniawi — yang mana beliau pernah tewas kepada godaan harta dan gagal menjaga integriti. Dari pengalaman beliau, kita dapat belajar bahawa kuasa dan tradisi boleh memerangkap sesiapa sahaja.


Sambungan dari [SINI]..

Kisah Benar:

Tahun 2020 perkara yang sama kembali berlaku. Mereka yang terlibat dengan rasuah telah ditahan oleh SPRM. Nak dijadikan cerita, waktu itu mereka memakai pakaian berwarna oren. Semasa saya ditahan dulu, saya tidak memakai pakaian oren kerana ketika itu tempahan pakaian tersebut masih belum siap.




Jika dilihat pada gambar di atas, gred biasa tapi 'jutawan', dapat pula menggunakan kereta mewah. Namun Alhamdulillah, saya dahulu hanya menggunakan kereta Wira ketika barangan saya disita. Wira saya turut disita kerana menggunakan enjin turbo. Orang lama memang bijak menyembunyikan perkara — kata mereka, 'luar setinggan, dalam kondo'.

Kita ni terlalu mengikut senior dan mudah terpengaruh dengan apa yang kita lihat. Kita cenderung menjadikan mereka sebagai idola kerana mengikuti tradisi yang mereka lakukan sehingga tanpa sedar kita meniru rentak mereka. Kita tengok pegawai kita melakukan rasuah tetapi kita tak belajar untuk mengubah keadaan — sebaliknya kita rasa tidak puas hati dan mahu menyaingi mereka. 'Kalau mereka boleh makan, kenapa aku tidak boleh? Kalau kena, kenalah sekali'.


Ketika saya ditangkap dulu, kenapa hanya lapan orang sahaja yang didakwa walaupun ramai yang terlibat? Jika SPRM menuduh semua, satu jabatan boleh lumpuh. Sebenarnya, jika mengikut bukti, ramai yang terlibat.

Kenapa begitu?
Sistem 'guarantee money' ini bersifat pusingan. Apabila saya keluar, orang lain akan masuk dan menyambung. Oleh itu, orang baru inilah yang menjana ekonomi untuk pegawai-pegawai lain yang tidak berada di tempat ada income — kerana kita bekerjasama.

Apabila dilihat dari segi hierarki, rasuah yang berlaku secara sistematik dan membentuk satu kumpulan yang terlibat — ia tidak dapat berjalan secara individu. Setiap orang mesti ada kumpulannya sendiri. Dalam konteks tradisi ini, jika seseorang mengambil peluang, yang lain turut terikut. Jika kita tidak mengambil, peluang itu akan diberikan kepada rakan lain. Dari situlah mereka boleh menjadi kaya, manakala kita mungkin tidak. Prinsipnya sama sahaja — sama ada mengambil atau tidak, risiko tetap ada. Jika tidak mahu menghadapi risiko, satu-satunya pilihan ialah berhenti kerja.

Jika kita tidak mahu bekerja di bahagian yang berisiko tinggi dan terdedah kepada isu rasuah, sebaiknya berhenti kerja dan buat kerja lain. Namun, jika memilih untuk terus berkhidmat dalam tugas yang penuh halangan dan cabaran, kita perlu berusaha menjaga diri agar tidak terjebak dalam melakukan kesalahan. Saya sendiri banyak belajar daripada pengalaman yang telah berlaku.



PUNCA BERLAKU


AGAMA:
Ini adalah salah satu bentuk pelanggaran yang paling serius. Apabila gagal menjaga agama, seseorang akan mudah melakukan pelanggaran integriti tanpa disedari. Percaya dan yakinlah, jika seseorang lalai dalam agama — culas dalam solat atau dalam menegakkan hukum agama — berlaku pelanggaran integriti dalam tingkah laku ketika bekerja atau menjalani kehidupan seharian.


KENAPA BEGITU?
Kerana saya sendiri telah melalui proses itu. Sejak kecil hingga dewasa, saya terlibat secara aktif dalam aktiviti keagamaan. Dalam konteks agama, tidak mustahil saya boleh memegang jawatan sebagai biro ketua agama dalam jabatan tersebut tapi itu tidak semestinya menjadikan saya seorang yang alim. Akhirnya, apabila saya tewas dengan godaan duit, saya mula mengabaikan agama dan gagal menjaga integriti.

Fahamilah dengan betul keadaan kita sebagai manusia yang diciptakan di muka bumi ini — untuk apa kita diciptakan? Adakah untuk melakukan kejahatan? Adakah untuk melakukan perkara yang tidak baik?


Semua perintah agama dalam mana-mana kitab suci tidak pernah mengajar kita melakukan kejahatan. Namun, mereka yang melakukan perkara jahat melakukannya atas kehendak sendiri — suka melanggar integriti. Perintah agama tidak menyuruh kita berbuat begitu, semuanya datang dari diri sendiri. Menyesal selepas berlaku tidak berguna, jika nak menyesal, mulakan sekarang. Jangan berpura-pura. Tanggalkan topeng itu sendiri dengan kesedaran sendiri.


Apabila kita memiliki pangkat dan kuasa, kita mudah terlupa tanggungjawab sebenar. Apa yang sepatutnya dilakukan, kita abaikan kerana kita terlalu bangga dengan kuasa yang hanya dipinjamkan sementara kepada kita.
Apabila diberikan kuasa yang hanya dipinjamkan sementara, laksanakanlah tanggungjawab itu dengan penuh integriti. InsyaAllah, kehidupan di dunia dan di akhirat akan dirahmati. Sebenarnya perkara ini mudah difahami - apa yang kamu lakukan, itulah yang akan menjadi timbal balik untuk kamu.

Saya mungkin dikategorikan dalam kalangan mereka yang berada dalam satu kartel yang rasa diri ini macam'Eh.. orang lain boleh buat tapi kenapa yang kena dekat aku? Tidak adil'. Memang rasa tidak adil kerana saya yang menanggung sedangkan rakan-rakan lain tidak. Tapi, saya bersyukur kerana Allah SWT menyayangi saya. Dia ingin saya kembali kepada fitrah asal supaya tidak lagi terlibat dalam jenayah rasuah hingga akhir hayat. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas peluang itu.


Integriti bukan sekadar pilihan, ia adalah cara hidup. Apa yang kita lakukan hari ini akan menjadi cerminan diri kita esok dan rahmat Allah sentiasa memberi peluang untuk kita kembali ke jalan yang benar.


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang. Tinggal sikit je lagi nak habis.

@RemajaPurba: ..

No comments:

Post a Comment

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...