13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]
Sambungan dari [SINI]..
Untuk entri kali ini, aku fokus kepada kisah benar — Pengkisahan dari Tirai Besi: Guarantee Money yang disampaikan melalui penceramah iaitu mantan pegawai unit beruniform yang pernah disabitkan bersalah dan menjalani hukuman penjara.
Kisah Benar:
Dalam sebuah laporan akhbar pada Ogos 2010, telah didedahkan kegiatan kartel yang terbongkar melalui maklumat seorang ejen yang menggunakan orang tengah bagi menguruskan urusan dengan sebuah jabatan kerajaan. Laporan tersebut turut menghuraikan bagaimana kartel di pintu masuk negara beroperasi, termasuk dakwaan berlakunya pemberian habuan besar kepada pegawai tertentu. Inilah titik permulaan kepada pendedahan berskala besar.
Pada ketika itu, Dato’ KP baharu bagi jabatan berkenaan telah dilantik menggantikan Dato’ KP sebelumnya yang direhatkan akibat isu salah guna kuasa. Kehadiran beliau membuka semula beberapa isu tertunggak dan susulan pendedahan tersebut, seramai 20 orang pegawai telah diarahkan untuk bertukar serta-merta.
Ketika kejadian berlaku, saya sendiri sedang bertugas di salah satu pintu masuk utama warga asing ke negara ini. Apabila arahan pertukaran besar-besaran itu dikeluarkan, nama saya tidak tersenarai — dan waktu itu saya benar-benar berasa lega.
Punca sebenar saya tidak ditukarkan? Kerana saya adalah watak utama dalam cerita ini. Dalam salah satu laporan akhbar, nama saya didedahkan sebagai 'mastermind' dalam kes rasuah berkenaan. Ia menjadi satu fenomena sensasi pada waktu itu kerana kes ini bergerak seiring dengan isu PKSZ Klang. Ketika itu, pihak berkuasa melakukan ambush besar-besaran di pintu-pintu masuk negara dengan pelbagai siri kes. Mereka yang terkena tempias waktu itu memang peritlah.
Saya yang dikaitkan dengan kes tersebut direman oleh SPRM selama enam hari. Namun kisah saya bukanlah tentang tempoh reman itu — tetapi hakikat bahawa saya sebenarnya bukan yang terawal dipanggil untuk siasatan, meskipun saya didakwa sebagai 'mastermind'. Aduan tersebut bukanlah tangkapan mengejut atau situasi di mana saya ditahan ketika memberi duit, sebaliknya ia melibatkan pembongkaran kartel yang didedahkan melalui media.
Siasatan hanya bermula selepas beberapa pegawai diperlukan untuk diambil keterangan. Proses reman pula berlaku apabila terdapat aduan atau penjelasan yang tidak selari serta memerlukan pihak SPRM menjalankan siasatan lanjut terhadap pegawai terlibat.
Isu Guarantee Money ini sebenarnya tidak melibatkan seorang individu sahaja tapi satu pasukan. Ketika saya ditahan, pegawai SPRM yang datang bukanlah individu yang saya jangka, dia ialah kawan baik saya — seseorang yang sudah lama saya tidak bertemu sejak kami berpisah haluan. Rupanya selama ini kawan baik saya itu adalah salah seorang pegawai SPRM yang melakukan undercover bagi mendapatkan maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan.
Kadang-kala kita terlalu percaya pada seseorang hingga semuanya kita nak kongsikan, sedangkan kita sebenarnya tidak pernah tahu siapa dia. Itulah hakikatnya — kita tak boleh menjangka watak sebenar 'kawan baik' kita.
SPRM pula bukan menunggu rasuah berlaku baru hendak menyiasat. TIDAK! Siasatan selalunya sudah lama berjalan dalam diam. Apabila ada sahaja unsur mencurigakan, pasukan mereka sudah pun turun menyiasat tanpa pengetahuan kita. Rekod asas tentang kita mungkin sudah ada, mereka hanya bertindak apabila menerima aduan. Bila aduan itu sampai, biasanya siasatan mereka sudah pun lengkap.
Kisah ini bukan sekadar tentang kesalahan atau hukuman tapi tentang realiti di sebalik sistem, ketelitian pihak berkuasa dan hakikat bahawa setiap tindakan kita, besar atau kecil, ada rekodnya. Ia menjadi pengajaran bahawa integriti dan kewaspadaan tidak boleh dipandang ringan.
- bersambung -
Ok cukup dulu setakat ini, ada banyak lagi.. nanti aku kongsikan di entry akan datang.
@RemajaPurba: ..

No comments:
Post a Comment