Followers Remaja Purba

Thursday, November 27, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 15]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Beliau menceritakan kembali detik manis ketika bertemu dengan anak di Program Jalinan Kasih. Detik itu bukan sekadar pertemuan fizikal tetapi juga awal sebuah perjalanan penuh harapan dan ikatan yang kuat antara ayah dan anak.


Kisah Benar:
Ketika darjah satu, anak saya pernah menolak untuk ke sekolah kerana terlalu banyak kecaman ke atas dirinya yang masih kecil. Dia hidup tidak sama seperti anak-anak lain — dihina, dicerca, dilabel sebagai anak kepada 'orang jahat'. Bila mahu bermain, hanya satu perkataan yang dia dengar daripada sekeliling.. 'Jangan kawan dengan dia. Nanti kau pun jadi jahat macam bapa dia'.

Di sekolah, bila ada kes hilang pemadam, pensil, pembaris — dituduh anak saya dahulu. Anak saya tak mampu terima hakikat itu hingga satu masa, dia diejek pula sebagai anak yang 'tak ada bapa'. Traumanya anak saya, kesan sengsara yang anak saya tanggung pada peringkat usia yang masih muda.


Isteri saya pernah berkata kepada anak, 'Kalau tak mahu pergi sekolah, tak apa.. tapi kena cakap dengan abah. Jangan cakap dengan ibu'.

Bila anak dan isteri saya datang ke penjara, anak saya cakap dia tak mahu ke sekolah. Saya kata kepadanya, 'Kalau abang tak mahu pergi sekolah, abang jangan datang jumpa abah lagi'. Saya terpaksa bertegas demi masa depan dia. 

Saya bukan marah kerana tak sayang tapi kerana masa depan dia lebih penting. Apa yang dia lalui memang menyakitkan, memang membuatkan saya geram — sampai saya pernah tumbuk dinding, saya sepak pintu besi sampai kaki saya bengkak.

Hakikatnya, saya seolah-olah menghukum diri sendiri kerana perbuatan saya tetapi yang paling terkesan bukan saya. Keluarga saya, anak saya. Mereka yang menanggung kesannya sedangkan merekalah yang paling saya mahu lindungi.


Dan Alhamdulillah.. masuk darjah dua, dia jadi best student di sekolah elit tempat dia belajar. Budak yang dibesarkan oleh ibunya hidup dalam keadaan serba sederhana, serba kurang tapi dia tetap bangkit.

Bila anak saya dapat jadi best student, isteri saya tanya, 'Abang nak hadiah apa?'. Dia tak mahu apa-apa, cuma dia nak satu — dia nak jumpa saya. Tuhan Yang Maha Mendengar suara anak kecil itu. Jadi dia dapat jumpa saya secara live ketika Program Jalinan Kasih di [SINI].

Bila saya dapat tahu anak saya sendiri akan datang untuk bertemu saya, saya terdiam. Sebagai seorang banduan, apa hadiah yang saya mampu bagi? Saya tak ada apa-apa. Semuanya serba kekurangan tapi saya tetap nak buat sesuatu sebagai seorang bapa.

Dengan inisiatif saya sebagai tukang masak, ration makanan yang saya masak hari itu, saya tak makan. Saya tapau dan saya seludup keluar untuk bagi anak saya makan. Saya tahu perbuatan itu salah. Saya tahu saya boleh ditangkap, boleh kena tindakan tapi demi anak saya, saya sanggup buat apa saja — untuk meraikan kecemerlangan anak saya dalam pelajaran.

Saya masak dengan air tangan saya sendiri sebagai tukang masak. Saya kata pada dia, 'Abah masak ni. Abah tak ada hadiah lain nak bagi. Inilah hadiah yang abah mampu bagi. Abang rasalah'. Anak saya makan dengan penuh selera sehingga saya tengok, saya pun tak makan. Dia senyum, dia mungkin tak luahkan apa-apa tapi saya tahu apa yang ada dalam hati dia.

Dia tak sentuh sebarang makanan di atas meja kecuali makanan yang saya bawa. Dia hanya makan makanan yang saya bawa. Hanya makanan yang dimasak oleh abah dia sendiri — seorang lelaki yang hidup di balik pintu besi.


Ingatlah.. anak-anak kita perlukan perhatian kita.
Mereka perlukan kasih sayang, bimbingan dan kehadiran kita. Jangan sampai kita pentingkan diri sendiri hingga sanggup melanggar integriti — kerana setiap perbuatan salah yang kita buat, bukan kita sahaja yang menanggungnya tapi anak-anak dan keluarga kita juga menjadi mangsa. Mereka yang menanggung malu, mereka yang menanggung pedih, mereka yang menanggung luka yang tidak pernah mereka minta.


Tolong.. saya merayu dengan sepenuh hati:
Berkhidmatlah dengan penuh integriti. Jalankan amanah dengan jujur. Kerana hanya dengan integriti, anda dapat menjalani kehidupan yang tenang, damai dan sempurna bersama keluarga. Jangan ulangi kesilapan saya. Jangan biarkan orang yang anda sayang menanggung akibat daripada pilihan kita sendiri.


AKHIR KATA DARI PENCERAMAH:
Pilih integriti tolak korupsi dan seterusnya hormati kehidupan, hargai keluarga, hargai kebebasan dan pelihara sulur galur keberkatan. Halal pun jelas, haram pun jelas. susur galur itu samar-samar. Anda kena pandai untuk membezakan arahan tersebut. 


Terujanya aku..
Apabila aku dapat kebenaran dari empunya diri part yang ini aku akan kongsikan dalam entry terakhir selepas ini.

@RemajaPurba: ..

No comments:

Post a Comment

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...