Followers Remaja Purba

Saturday, November 22, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 8]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Kisah ini bermula apabila saya menjalani hukuman penjara selama lima tahun selepas rayuan saya ditolak di Mahkamah Tinggi. Disebabkan tempoh hukuman yang lama, saya telah memohon rayuan di peringkat mahkamah yang seterusnya.

Secara umumnya, proses mahkamah mempunyai tiga peringkat berikut:
    • Mahkamah Seksyen
    • Mahkamah Tinggi
    • Mahkamah Rayuan
Jika sesuatu kes bermula di Mahkamah Tinggi, proses rayuannya akan berakhir di Mahkamah Persekutuan yang diadili oleh lima orang hakim.




Selama lima tahun melalui proses perbicaraan dan rayuan, perjalanan saya berakhir dengan keputusan rayuan ditolak di Mahkamah Tinggi. Saya akan ditempatkan semula di bawah kuarantin selama tujuh hari dan tidak dibenarkan turun ke blok. Setiap kali prosiding ditangguhkan atau ditunda, proses yang sama berulang. Prosedur kuarantin ini dilaksanakan ke atas mana-mana banduan yang keluar dari kawasan penjara sebagai langkah keselamatan — bagi mengelakkan penyeludupan barang terlarang, khususnya dadah masuk semula ke dalam penjara. Dalam tempoh itu, banduan akan melalui pemeriksaan tertentu.


Walaupun kes saya berbeza, saya tetap kena melalui prosedur kuarantin yang ditetapkan. Setiap kali dikuarantin, saya ditempatkan di bahagian chamber, iaitu kawasan berhampiran sel asingan. Bangunan chamber ini turut menempatkan ruang pelaksanaan hukuman gantung dan bilik yang saya duduki merupakan bilik yang pernah digunakan untuk penahanan Mona Fandey sebelum hukuman dijalankan. Sepanjang tempoh kuarantin itu, saya mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam disebabkan adanya 'gangguan'. Rasa tidak tenteram itu berlarutan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.

Sebagai banduan yang dikategorikan sebagai perhatian khas, saya dikuarantin secara bersendirian dan tidak dibenarkan ditempatkan bersama banduan lain. Saya juga menjalani hukuman dalam tempoh yang panjang di penjara dengan pemeriksaan pegawai dilakukan setiap tiga puluh minit bagi tujuan pemantauan berterusan.


Menunggu selama lima tahun untuk keputusan mahkamah akhirnya berakhir dengan hukuman saya dikekalkan, meninggalkan rasa kecewa yang amat mendalam. Pada waktu itu, anak saya berusia empat tahun dan isteri yang merupakan suri rumah sepenuh masa, terpaksa berjuang sendiri tanpa sokongan tambahan dari keluarga terdekat. Keadaan ini amat mencabar dan penuh kesusahan.

'Isteri saya ni tak pandai bawa kereta, pandai naik bas. Hari tersebut, dia bawa beg baju dan anak naik bas sampai ke seksyen 16, naik grab pergi ke mahkamah tinggi mengharapkan suaminya pulang selepas lima tahun duduk di dalam penjara tapi keputusan yang sampai itu adalah keputusan yang mengecewakan'.  Masa ni kami di dalam dewan rasa sebak dan rasa sayu bila beliau menceritakan keadaan ketika itu.

Saya kemudian terpaksa kembali ke penjara untuk meneruskan baki hukuman. Saat itu, melihat anak saya, soalan pertama yang dia ajukan kepada seorang sahabat saya yang hadir pada waktu itu, 'Pakcik, abah saya macam mana?'. Inilah hakikat yang saya kena terima. Saya hanya mampu memeluk dan menciumnya seketika tapi tidak dapat bersama dengannya kerana terpaksa kembali ke penjara dalam keadaan kecewa yang mendalam.


Proses menjalani hukuman ini sangat perit dan saya berharap agar kamu tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jangan mengikut 'contoh' saya semata-mata untuk menjadi penceramah atau tampil di pentas. Hakikatnya, Allah SWT yang menentukan perjalanan hidup saya seperti sekarang ini. Saya husnuzon dan terima sepenuhnya ketentuanNYA sambil berusaha melakukan yang terbaik dalam berdakwah kepada masyarakat mengenai bahaya pelanggaran integriti.


- Bersambung dalam entry akan datang -


@RemajaPurba: ..

No comments:

Post a Comment

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...