13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]
Ini bukanlah writer's block — cuma malas nak update blog tapi bila sesekali datang rajin tu, nah.. aku kongsikan satu lagi kisah tentang INTEGRITI. Sebelum ni pun aku pernah tulis tentang Integriti dan Rasuah — boleh baca di [SINI]..
Amalkan Integriti dalam melaksanakan tanggungjawab anda..
Tersohor manusia kerana integriti..
Tercela manusia kerana rasuah..
Hari lntegriti Kebangsaan disambut pada 5 November setiap tahun semenjak tahun 2005 bagi membudayakan integriti sebagai cara hidup dan amalan masyarakat Malaysia. Pengukuhan Integriti merupakan tanggungjawab penting bagi memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan budaya integriti dalam sesebuah agensi.
Satu sesi ceramah Integriti bertajuk 'Pengkisahan Dari Tirai Besi Modul: Guarantee Money' telah diadakan ditempat kerja aku. Perkongsian ini disampaikan oleh seorang mantan pegawai unit beruniform yang pernah bertugas menjaga sempadan negara, namun akhirnya disabitkan bersalah dan dipenjarakan. Kini beliau menjadi penceramah dan motivator profesional bertauliah.
Penyampaiannya santai, tak membosankan langsung. Intipati dalam entry ini pun adalah berdasarkan apa yang aku rakam melalui voice note sepanjang ceramah tersebut.
Apa maksud disebalik TUMBUK RUSUK dan bagaimana ia berkaitan dengan TIRAI BESI?
Di sinilah beliau merungkaikan istilah tersebut melalui Pengkisahan Dari Tirai Besi dan berkongsi pengalaman sebenar yang pernah dilaluinya dan meragut kebebasannya. Program ini diadakan untuk memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih jelas kepada semua tentang apa itu integriti yang sebenar. Bukan hanya pada nama tapi pada tindakan dan pilihan yang kita buat setiap hari.
Di sinilah bermulanya titik perkenalan: mengenal apa itu rasuah, bagaimana ia bermula dan apa hukuman yang menanti apabila seseorang tergelincir walau sekali.
APA ITU RASUAH?
Suapan terdiri daripada:
WANG, HADIAH, BONUS, UNDI, PERKHIDMATAN, JAWATAN, UPAH DAN DISKAUN
Rasuah bukan hanya datang dalam bentuk duit. Ia boleh hadir dalam pelbagai cara dan situasi tanpa kita sedar. Lapan elemen yang dikongsikan ini merupakan antara bentuk-bentuk rasuah yang sering berlaku — dan setiap satunya mampu menjerumuskan sesiapa sahaja jika kita tidak berhati-hati.
SEBAGAI CONTOH:
DALAM ELEMEN PERKHIDMATAN:
- Seorang model dari negara jiran ingin memasuki negara, namun dokumen yang diserahkan tidak lengkap. Sepatutnya permohonan itu perlu ditolak tapi pegawai di kaunter tetap meluluskannya — dengan satu syarat: model tersebut perlu berjumpa dengannya di sebuah hotel. Selepas pertemuan itu dan selesai apa yang berlaku antara mereka, pegawai tersebut pergi begitu sahaja. Apabila model itu menyedari dirinya sebenarnya telah diperdaya dan dipergunakan, dia terus membuat laporan.
- Di situlah timbulnya cabaran. Apabila sesuatu kes dibawa ke mahkamah, ada proses dan kriteria tertentu yang perlu dipenuhi untuk membuktikan bahawa benar wujudnya unsur rasuah. Persoalan pertama yang akan timbul: ada atau tidak elemen duit? Bagaimana nak sabitkan seseorang? Bagaimana SPRM boleh mendakwa bahawa wujudnya unsur rasuah dalam situasi tersebut?
- Walaupun mungkin tiada duit yang bertukar tangan secara jelas, tindakan itu tetap boleh disabitkan kerana elemen yang berlaku menjurus kepada nilai atau harga visa tersebut. Nilai itulah yang akhirnya mengikat dan menjatuhkan pegawai terlibat. Semuanya berpunca daripada satu tindakan yang sia-sia — demi RM100. Sedapnya hanya beberapa saat tapi akhirnya hilang segalanya.
DALAM ELEMEN DISKAUN:
- Seorang pegawai sering menerima diskaun hanya kerana memakai uniform, menggunakan kuasa yang ada dengan cara yang salah. Bagaimana peniaga Acheh di sini beroperasi menggunakan lesen yang tidak sepenuhnya sah. Mereka ada proksi, ada rangkaian dan ada kartel yang membolehkan mereka membuka kedai satu demi satu. Sebab itu walaupun kedai ditutup, tak lama kemudian akan buka balik. Tutup — buka semula. Tutup — buka lagi. Kenapa?
- Sebab selagi wujud peluang dan ruang, mereka akan tetap menggunakan jalan yang sama untuk mendapatkan keuntungan.
- Satu perkara yang perlu diingat: selagi mindsetnya 'takpe, tutup satu.. buka kedai lain'. Masalah tak akan selesai. Lebih teruk, mereka sendiri mencipta ruang rasuah itu — dengan menyogok pegawai kerajaan untuk melindungi operasi mereka.
DALAM ELEMEN WANG:
- Kita perlu berhati-hati. Jika ingin melakukan sesuatu dan tidak mahu menjerumuskan diri sendiri, percayalah pada diri sendiri — elakkan daripada menerima atau melakukan rasuah. Perbuatan rasuah hanya wujud apabila ada yang menawarkan tapi siapa suruh kita terima? Jangan cipta masalah sendiri.
- Ramai orang terlalu cepat berfikir dan mahukan semuanya pantas. Jika dokumen lengkap dan prosedur diikuti, tiada masalah. Tapi apabila cuba melangkaui proses semata-mata untuk cepat dapat hasil, di situlah masalah timbul. Kita sendiri yang membuka ruang untuk rasuah. Jabatan tidak minta tetapi kita yang beri.
- Setiap tindakan yang melanggar undang-undang bukan sahaja salah, ia merosakkan diri sendiri. Sekali hilang batas, segala-galanya boleh hilang — reputasi, kerjaya, maruah. Ingatlah, tidak ada jalan pintas untuk integriti.
APAKAH HUKUMAN UNTUK JENAYAH RASUAH?
Tindakan yang diambil untuk hukuman ini adalah yang tidak baik, tidak elok, memeritkan dan menyukarkan hidup kita.
HUKUMAN PENJARA:
Hukuman maksimum bagi kes di bawah Akta SPRM, Seksyen 24 ialah penjara sehingga 20 tahun. Ramai mungkin fikir 'penjara satu hari sekejap saja, penjara 20 tahun baru lama' tapi hakikatnya dari segi kesan, ia tetap sama — kedua-duanya meninggalkan rekod dan aib yang tidak boleh dipadam. Walaupun hanya sehari, seseorang itu tetap akan melalui proses yang sama:
- Tetap digari.
- Tetap melangkah masuk ke balik pintu besi.
- Tetap diambil cap sepuluh jari.
- Tetap bergambar sambil memegang nombor plat.
- Tetap memakai baju banduan.
- Dan yang paling menakutkan — rekod itu dihantar ke KDN dan rekod itu kekal. Tidak boleh dipadam. Tidak boleh diubah. Ia menjadi bayang-bayang yang mengikut sepanjang hidup.
Bila keluar semula, pintu penjara mungkin terbuka tetapi pintu-pintu lain terus tertutup.
- Nak kembali bekerja di tempat lama? Tak boleh.
- Nak buka bisnes sendiri? Pun tersangkut — kerana nak buka akaun bank pun sudah menjadi cabaran.
Semua ini terjadi hanya kerana satu keputusan, satu tindakan, satu kelalaian yang melanggar integriti.
Satu hari di tirai besi mungkin pendek tapi kesannya sepanjang hayat.
Dalam rutin kerja kita hari ini, banyak perkara yang kita anggap biasa.
Masuk kerja lambat. buat kerja lima minit, kemudian hilang pergi makan. Anggap semua itu normal — 'alah, biasalah'. Perkara-perkara inilah yang akhirnya menjadi budaya kerja sebab kita belajar daripada orang lama. Kita ikut cara mereka tanpa benar-benar memahami struktur, skop dan peraturan kerja kita sendiri. Kita buat ikut masa sendiri, janji kerja siap tapi pernah tak kita rasa bersalah? Pernah tak terlintas — gaji yang kita terima itu setimpal atau tidak dengan disiplin kerja kita?
Apabila kita melanggar integriti dalam bekerja — walaupun kita beragama, berpegangan dan tahu apa yang betul — hidup tetap akan menerima kesannya. Lambat atau cepat, balasannya tetap datang. Integriti yang kita rosakkan hari ini akan kembali menghantui masa depan kita.
Ingat satu perkara: Perbuatan baik ada ganjarannya. Perbuatan yang melanggar integriti juga ada balasannya.
HUKUMAN DENDA:
Di bawah Akta SPRM, hukuman untuk kes rasuah bukan sesuatu yang boleh dirunding atau dipilih. Tiada 'ambil penjara saja', tiada 'bayar denda saja'. Pesalah wajib menerima kedua-duanya sekali — penjara dan denda serentak.
Dan dendanya pula bukan sembarangan. Ia ditetapkan lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi — dan paling menyakitkan. Maknanya, kalau suapan hanya RM500 pun, hukuman tetap boleh melambung berlipat kali ganda.
Ingat formula ini: 20, 5, 10
20 tahun penjara
5 kali ganda nilai suapan
10 ribu mana lagi tinggi
Satu kesilapan. Satu kelalaian.
Dan semuanya boleh merosakkan hidup, kerjaya, reputasi — semuanya hilang dalam sekelip mata. Ini bukan ancaman kosong. Ini realiti yang akan menghantui sesiapa sahaja yang sanggup mengabaikan integriti.
Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.
@RemajaPurba: Sakit pinggang ku makin menjadi-jadi.
No comments:
Post a Comment