13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]
Kisah beliau ini sebenarnya panjang dan aku tak tahu bagaimana nak ringkaskannya sebab setiap bahagiannya menarik. Jadi, aku cuba pecahkan kepada beberapa bahagian. Apa-apapun aku cuba update sehingga selesai kerana masih ada beberapa bahagian lagi yang perlu aku susun sebelum dapat dikongsikan sepenuhnya.
Sambungan dari [SINI]..
Saya menunggu selama sebulan sebelum Mahkamah Rayuan memanggil saya semula dan memberikan pengurangan hukuman.
Hukuman asal saya ialah 12 tahun penjara. Namun, jumlah itu meningkat kepada 46 tahun kerana kegagalan membayar sejumlah denda. Sekiranya denda tidak dibayar, ia akan ditukar kepada tempoh penjara tambahan mengikut budi bicara hakim.
Jangan sangka apabila mendapat pengampunan penjara, semuanya akan selesai. Hakikatnya, di dalam penjara masih banyak cabaran dan pelbagai insiden sesama banduan yang perlu dihadapi. Cabaran hidup dalam penjara ini sangat hebat dan memerlukan kekuatan mental yang tinggi.
PENGALAMAN DI DALAM PENJARA:
Di dalam penjara, apa sahaja boleh dijadikan senjata. Tulang ayam pun boleh disimpan dan digunakan untuk menikam. Pensel yang diasah tajam juga mampu menjadi alat yang berbahaya — boleh digunakan untuk menikam mata. Saya sendiri pernah hampir ditikam dan sehingga hari ini saya tidak tahu siapa yang tidak berpuas hati dengan saya. Mungkin kerana saya bekas penguatkuasa menjadikan saya sasaran ancaman.
Oleh sebab itu, saya diletakkan sebagai banduan berstatus perhatian khas dan dikawal selia dengan rapi bagi mengelakkan sebarang insiden. Jika mengikut peraturan, saya sepatutnya berada di bahagian asingan di dalam 'chamber'.
Banduan yang berprofil tinggi tak boleh bercampur dengan banduan yang hukuman singkat sebab buat kita sakit hati. Dia nak berkawan dengan kita, kita ok je, kita tak buat apa-apa kat dia tapi yang jadi masalah dia cerita nak balik yang kita tak nampak lagi jalan balik.
Sebab itu saya lebih memilih untuk berkawan dengan banduan yang menjalani hukuman panjang. Lebih mudah untuk berbual, berkongsi pengalaman dan mencari kembali semangat diri yang hilang. Kita perlukan sokongan daripada orang yang dekat dengan kita, lebih-lebih lagi apabila keluarga berada jauh.
Atas sebab itu, saya memilih untuk tidak duduk terkurung. Jika dibiarkan terasing, saya boleh tertekan dan 'mati awal'. Saya sendiri yang meminta untuk dicampurkan dengan banduan lain, walau proses itu mengambil masa yang lama untuk saya pulih untuk keluar dari kepompong kemurungan.
KENANGAN SAMBUTAN HARI LAHIR DI DALAM PENJARA:
Pernah menerima 'hadiah hari lahir' yang luar biasa daripada seorang kawan di dalam penjara. 'Aku ada hadiah untuk kau, nanti kau lalu dekat bengkel ukiran kau tengok aku buat untuk kau. Aku buat cantik untuk kau'. Bila saya lalu dan tengok, ada dua batang — batu nisan. Nama saya ditulis lengkap dalam tulisan Jawi, cuma tarikh kematian sahaja yang dibiarkan kosong. Walaupun gurauannya kasar, saya tahu niatnya baik. Di tempat seperti itu, bila ada orang masih mahu membuat kita ketawa, itu tanda dia menghargai kita sebagai kawan. Alhamdulillah, kawan saya tu pun dah jadi 'orang' pun sekarang.
Begitulah cara kami bergurau senda di dalam penjara — gurauan yang kadangkala kedengaran keras, tetapi itulah satu-satunya hiburan yang dapat mengurangkan tekanan hidup di sebalik tembok besi. Dalam keadaan semua orang menanggung beban masing-masing, sedikit gelak tawa itu sangat bermakna. Gurauan seperti itulah yang membuatkan kami masih mampu bertahan dan mengingatkan diri bahawa kami masih manusia, bukan sekadar nombor banduan.
Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.
@RemajaPurba: ..
No comments:
Post a Comment