Followers Remaja Purba

Tuesday, November 25, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 13]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Entry kali ini aku kongsikan untuk kita merenung, mengambil pengajaran dan meneguhkan hati untuk terus hidup dengan kejujuran, kesabaran dan keberkatan dari Allah swt.


Sambungan dari [SINI]..


TAHU dan SEDAR
Kita tahu benda salah tetap salah tapi kenapa kita masih melakukannya? 
Kalau setakat tahu sahaja tak cukup, kita perlu sedar. Menyedari kesalahan itu dan faham akibatnya kena jalan seiring — hanya dengan itu kita benar-benar faham mengapa pelanggaran integriti perlu dielakkan.


Setiap tindakan ada timbal baliknya. Fikirkan secara terbuka dan fahami dengan jelas apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang. Janji Allah itu pasti: 'Barang siapa yang melakukan kejahatan, akan dibalas dengan kejahatan dan begitu juga sebaliknya'. Inilah konsep asas yang perlu kita fahami dan patuhi. Sama ada cepat atau lambat, setiap perbuatan akan tetap ditanggung, itu adalah perintah Allah swt.


Saya masuk penjara, senior-senior saya tidak. Memang pada awalnya saya rasa sakit hati tapi bila tengok apa yang berlaku kepada mereka sekarang, saya mula memahami.

Selepas saya keluar penjara:
Ada senior yang betul-betul insaf dan rasa bersalah datang menemui saya..
'Kalau boleh, abang minta maaf dengan awak kerana abanglah punca yang menyebabkan awak terikut sekali dalam situasi ini'.

'Kalau tak kerana akak yang kenalkan kau dengan pegawai macam ni, kau takkan terjebak. Kau takkan jadi macam ni, mesti kau dah jadi seorang pegawai yang baik tapi masalahnya, akaklah yang jadi punca dulu'. Saya jawab.. 'Tak apalah kak, benda dah lepas. Dah jadi dah pun. Akak teruskanlah perkhidmatan akak dengan baik, jaga elok-elok. Akak nak pencen dah'.

Ada pula yang datang jumpa saya dan berkata..
'Saya tak bahagia'.
Saya tanya.. 'Kenapa?'
Dia jawab.. 'Mungkin saya tak masuk penjara tapi apa yang saya ada sekarang, rasa macam takde ketenangan. Saya ada rumah, ada tanah — semua yang Tuhan bagi tapi silap saya beli semua pakai duit tepi'.

Harta yang tiada keberkatan. Tanam pokok atas tanah, pokok tak berbuah. Bina rumah guna duit tepi, rumah nampak buruk, retak sana sini.. sentiasa ada masalah. Hidup sentiasa ada halangan.

Satu perkara penting: Harta, pangkat dan kuasa tanpa keberkatan tidak memberi kebahagiaan. Keikhlasan dan Integritilah yang menentukan ketenangan sebenar dalam hidup.

Halal dan haram mesti difahami kerana itu fitrah kita. Kalau gaji kecil, jangan merungut — itu ujian Tuhan untuk mengajar kita mencukupkan apa yang ada dengan sabar dan bijak. 'Jangan berbelanja melebihi kemampuan - memang tak cukuplah kalau ikut perbelanjaannya'Hidup dalam keadaan mencukupi adalah kunci ketenangan. Walaupun duit terasa tidak cukup, jangan mengeluh. Hargai rezeki Allah beri, jaga keberkatan setiap yang dibelanjakan. 'Tuhan uji dengan duit tak cukup pun nak merungut'.

Kita dijadikan di atas muka bumi ini untuk melalui pelbagai ujian sebelum akhirnya dikembalikan kepada Allah. Saya kongsikan perkara ini kerana ia ada kaitan rapat dengan cara kita menjalani kehidupan beragama.


Satu amanat dari:
Dato' Abdul Samat Kasah
Mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.


'Mencegah rasuah adalah usaha akhir ibarat kita mencuci air kotor di muara sungai, tetapi pembudayaan integriti adalah penjagaan dari hulu sungai supaya air dari hulu itu bersih maka kita tidak lagi mencuci air kotor di muara'.



Maksudnya begini:
Apabila kita menjaga nilai integriti dari awal, kita akan dapat melihat hasilnya. Jaga integriti kita, InsyaAllah, hati kita akan lebih tenang. Tidak perlu lagi berfikir tentang cara nak buat duit tepi atau mencukupkan nilai kewangan secara salah. Jangan lupa bahawa Allah swt lah yang mencukupkan keperluan kita. Kita sebagai manusia mudah alpa, terlalu bergantung kepada usaha sendiri tanpa mengingati Tuhan Yang Maha Esa — itulah silap kita.


Kesilapan saya dahulu jangan dijadikan tauladan tapi jadikan sebagai sempadan — pengajaran supaya kita tidak terjerumus ke jalan yang sama.


Setiap tindakan ada akibatnya. Hidup dengan integriti bukan sekadar bercakap tapi perlu dilaksanakan. Kata-kata tanpa tindakan tidak akan membentuk kehidupan berintegriti. Ambil cakna setiap perbuatan, kerana itulah yang membentuk diri kita.


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang. 

@RemajaPurba: ..

No comments:

Post a Comment

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...