Seterusnya, saya masih ada satu lagi perjalanan di Mahkamah Rayuan — tempat terakhir yang menentukan perjuangan kes saya ketika itu. Saya teruskan bukan kerana saya kuat tapi kerana anak, isteri, sahabat-sahabat dan beberapa pegawai yang benar-benar memahami keadaan saya. Mereka inilah yang berulangkali berikan kata semangat kepada saya, 'Kalau nak merayu, biar sampai habis. Jangan berhenti separuh jalan'. Kata-kata itu yang saya pegang.
Dan akhirnya, saya tidak menunggu lama kali ini — hanya setahun sebelum dipanggil semula ke Mahkamah Rayuan. Tetapi ketika itu keadaan saya memang sangat teruk. Saya demam berlarutan, tak mampu berjalan, tidur lama di atas simen menyebabkan saya ada masalah saraf. Berdiri terlalu lama pun tak boleh, kaki akan jadi cramp. Semua ini telah disahkan oleh pihak penjara, Kesakitan yang ditanggung begitu berat sehingga ada waktunya saya termenung, terlintas di fikiran,.. 'Aku nak mati ke ni?'.
Apabila tubuh tidak lagi berupaya dan mental semakin lemah, ditambah pula dengan hukuman yang panjang serta keadaan fizikal yang merosot, tiada lagi yang mampu saya lakukan selain berserah sepenuhnya kepadaNYA.
Satu perkara bila jadi banduan:
Perasaan apabila keluarga datang melawat. Walaupun mereka hadir sekali-sekala, melihat raut wajah mereka yang sedih, lebih-lebih lagi apabila air mata mereka menitis — itu adalah sesuatu yang saya tidak mampu tahan. sebab itu saya pesan kepada isteri, kalau nak datang, biarlah setahun sekali, waktu cuti sekolah anak atau waktu raya.
Saya mungkin antara banduan yang paling jarang menerima kunjungan keluarga. Bukan kerana mereka tidak mahu datang tapi kerana saya sendiri tidak sanggup melihat wajah mereka yang menyedihkan. Saya tidak mahu menambah beban emosi mereka dan itu akan merosakkan mental saya. Dalam satu keadaan, saya sempat pesan kepada isteri supaya jangan menangis. Kalau nak menangis, lebih baik duduk di rumah je.
Program Jalinan Kasih:
Inilah yang akhirnya menemukan saya kembali dengan isteri dan anak. Sebulan sebelum saya dipanggil ke Mahkamah Rayuan, saya diberi peluang menyertai program Jalinan Kasih yang ditaja oleh sebuah badan NGO untuk makan bersama keluarga. Pihak penjara buat begitu untuk saya buka minda saya, cuba tenangkan diri saya dan mereka jemput isteri dan anak saya. Mereka jemput keluarga saya datang tapi mereka tak nak datang sebab dari awal saya tak dapat sedikit pun pengampunan dari ibu dan ayah saya. Bila saya sangkut kes, keluarga saya dah buang saya jauh-jauh. Saya fight sendirian, hanya anak dan isteri saya yang beri sokongan penuh kepada saya.
Ikutkan saya tak bagi datang sebab susah pada isteri saya nak naik bas. Bila isteri saya dapat jumpa dan menangis di bahu saya, saya marah kenapa nak menangis. Walaupun gari telah dibuka tapi dikawal ketat dengan pegawai bersenjata. Semua dalam kawalan pihak penjara.
Saya faham apa yang isteri saya rasa. Dia pernah cakap, dia sudah penat, tak tahan lagi memikul dua peranan sekaligus — sebagai isteri dan suami serentak. Dalam masa yang sama, dia menghidap kanser hati dan asma kronik. Dia tidak boleh makan ubat kerana ubat asma boleh mengaktifkan sel kansernya. Dia rasa hidupnya sudah tidak lama lagi. Rasa tertekan, letih, dengan rawatan hospital membuatkan dia semakin murung. Semua itu menyeksa jiwa saya kerana saya hanya mampu melihat dari jauh tanpa dapat membantu.
Selepas pertemuan itu, saya demam teruk kerana terlalu banyak berfikir dan tidak boleh tidur. Sampai satu masa, saya berdoa kepada Allah SWT:
'Takkan takde satu pun kebaikan yang aku buat di atas muka bumi ini, sampaikan Kau menjatuhkan hukuman yang begitu lama, tinggalkan tanggungjawab yang begitu besar aku dekat orang tanpa aku boleh menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang anak dan juga suami kepada anak dan isteriku?' — Pada ketika itu, kekecewaan saya terhadap hukuman yang begitu lama benar-benar mematahkan semangat saya.
Tak lama.. dalam masa sebulan selepas itu, saya dipanggil semula. Alhamdulillah.. tapi kali ini saya pesan kepada isteri saya supaya tidak datang. Saya takut jika keputusannya kekal akan mengecewakan mereka.
Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.
@RemajaPurba: ..
No comments:
Post a Comment