Saturday, October 10, 2026

Jerebu, Sekolah Tutup dan PdPR


Keadaan jerebu rentas sempadan yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia masih berlarutan. Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini:
  • Aktiviti pembersihan tanah untuk pertanian.
  • Kebakaran di kawasan tanah gambut.
  • Cuaca kering serta perubahan arah angin semasa Monsun Barat Daya.
  • Kekangan dalam penguatkuasaan dan kerjasama serantau.

Di Malaysia - bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan turut menunjukkan keadaan yang membimbangkan.


08 Oktober 2026 | Khamis [26 Rabiulakhir 1448H]

Susulan situasi jerebu semasa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan kenyataan media bertajuk 'KPM Menjunjung Titah KDYMM Yang Di-Pertuan Agong, Utamakan Keselamatan dan Kesihatan Murid serta Warga Pendidikan Susulan Kepada Jerebu'.

Menerusi arahan tersebut, semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup sepenuhnya pada Jumaat, 09 Oktober 2026. Penutupan itu turut melibatkan sekolah di daerah Rompin, Pahang.

Susulan penutupan sekolah, beberapa ketetapan turut dilaksanakan:
  • Penutupan berkuatkuasa mulai 09 Oktober 2026 sehingga pengumuman rasmi selanjutnya.
  • Pembelajaran diteruskan secara dalam talian menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan persekolahan murid.
  • Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) tertakluk kepada arahan semasa pihak pentadbiran.
  • Ibu bapa dan penjaga dimohon mengikuti perkembangan dan makluman rasmi daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan KPM khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan.


'Ibu, esok sekolah tutup ibu'.
Bila dak Nuha bagitahu begitu, aku pun semak maklumat yang dikeluarkan oleh pihak sekolah. Maknanya, selepas ini kenalah bekerja lebih keras untuk memastikan urusan pembelajaran berjalan seperti biasa, baik dari pihak ibu bapa mahupun pihak sekolah sendiri.

Sejujurnya, aku sedikit lega apabila sekolah ditutup buat sementara waktu sebab sejak dua tiga hari kebelakangan ini, dak Nuha ada mengadu sakit dada, susah nak bernafas. Dia juga bercerita, pokok-pokok dan bangunan tinggi yang biasanya senang nampak, kali ini tidak, terlindung dek jerebu. Itu belum lagi mengambil kira bau asap yang mungkin menjejaskan keselesaan pernafasan.

'Akak untunglah, anak dah besar. Tak payah pening kepala nak cuti atau tidak'.

Aku..?
Dari segi umur anak, ya.. aku akui ada kelebihan kerana dak Nuha pun dah besar tapi cabarannya tetap ada — terutama apabila menguruskan anak untuk PdPR. Dalam masa yang sama aku sendiri perlu meneruskan komitmen kerja.

Anak dah besar bukan bermakna semua urusan menjadi mudah. Keadaan tetap memerlukan penyesuaian, perancangan dan kerjasama semua pihak.


— Jerebu —

Bila keadaan di luar tidak dapat kita kawal, apa yang mampu kita lakukan ialah menjaga apa yang ada dalam tanggungjawab kita sebaik mungkin.


Moga segala urusan serta rutin harian kita dipermudahkanNYA. Sama-samalah kita berdoa agar keadaan jerebu kembali pulih secepat mungkin, kesihatan anak-anak terus terpelihara dan dapat menjalani peperiksaan hujung tahun dengan lancar.

#RemajaPurba: ..

No comments:

Post a Comment

AdSense

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...