Followers Remaja Purba

Sunday, December 21, 2025

IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK


13 Disember 2025 - Ahad (23 Jamadilakhir 1447H)

Pagi..
En. Hubby bersama team memancingnya telah pergi memancing di kolam air tawar di Hulu Langat. Sebenarnya jarang en. Hubby melayan ikan air tawar kerana kebiasaannya beliau lebih gemar memancing di kolam air masin, genetik myFIL. 


Bagi membeli jiwa aku, en. Hubby memasakkan ikan cencaru asam pedas. Antara ikan kegemaran aku sejak kecil. Selepas itu, barulah beliau boleh pergi memancing dengan tenang tanpa gangguan.

Ikan Cencaru


Asam Pedas Cencaru
Bendi haruslah lebih sebab kegemaran anak-anak..


Petang..
En. Hubby balik rumah dengan hasil tangkapan — beberapa ekor ikan patin. Teruja, kan? Tidak.. sebab ikan patin bukan dalam senarai kegemaran.

Walau orang kata ikan ni sedap, lembut isinya dan ramai yang suka tapi bagi aku tidak. Bukan soal rasa tapi lebih kepada pandangan mata. Teksturnya yang lembik dan rupanya yang agak berbeza buat aku rasa sedikit pelik. Mungkin selera itu subjektif — apa yang orang suka tak semestinya kita boleh terima.


Ikan Patin hasil pancingan en. Hubby and team..




Walau aku tak makan tapi en. Hubby tetap memasaknya. Ikan patin masak tempoyak khas untuk dinikmati oleh team memancing yang sama-sama turun memancing pada pagi tersebut. Biarlah hasil rezeki itu dikongsi bersama mereka.


Gambar yang diambil oleh en. Hubby


Aku..?
Memandangkan aku tak suka bau durian, en. Hubby masak di depan rumah bagi mengurangkan bau durian sekiranya dimasak di dalam rumah. Ini pun sama jugak, siapa nak makan durian, makan kat luar rumah.


Kadang-kadang hal-hal kecil macam nilah yang sebenarnya mengajar tentang kefahaman dalam rumahtangga. Tidak semua perkara perlu dipertahankan dan tidak semua selera perlu disamakan. Cukup dengan saling bertolak ansur, masing-masing rasa dihargai. Bahagia itu hadir bukan pada apa yang dimakan tapi pada usaha kecil untuk menjaga perasaan satu sama lain.


@RemajaPurba: Rasa puasnya tentu berbeza..

Saturday, December 20, 2025

SABTU | KIMCHI HOMEMADE TYPE M


20 Disember 2025 - Sabtu (29 Jamadilakhir 1447H)

Pagi..
Aku ditemani dak Kakak dan dak Nuha ke tempat kerja untuk menyelesaikan beberapa perkara penting. Hampir tengah hari aku berada di sana, hingga anak-anak tertidur menunggu aku menyiapkan kerja.


Tengahari..
Selesai urusan di tempat kerja, dalam perjalanan pulang kami singgah di pasar raya untuk membeli bahan-bahan membuat kimchi. Dak Kakak nak buat kimchi sendiri — haa.. aku layankan aje kehendaknya.


Budaknya type M tapi tekaknya type Korea


Petang..
Alhamdulillah, selepas berhempas pulas di dapur bersama dak Nuha, siap juga kimchinya. Aku pula dijadikan 'tikus makmal' — try and error untuk merasa hasilnya. Sekadar rasa bolehlah tapi untuk makan macam orang Korea memang belum sampai tahap tu lagi. Takpelah, janji anak-anak bahagia.


Kimchi Homemade by dak Kakak


Resepi Kimchi dak Kakak..?
En. Google banyak membantu dak Kakak. Bila bahan lengkap, jadilah kimchi seperti yang diidamkannya. Kalau tanya aku tentang resepinya — senang aje, semua main sukatan agak-agak. Bila rasa dah ok, siaplah kimchinya.

@RemajaPurba: ..

Friday, December 19, 2025

JUMAAT | SELAMAT HARI LAHIR MyADIK


19 Disember 2025 - Jumaat (28 Jamadilakhir 1447H)

Aku jarang berkongsi cerita tentang keluarga di media sosial. Hanya pada waktu-waktu tertentu atau musim tertentu sahaja. Selebihnya, biarlah ia kekal di belakang tabir — itu yang paling aku selesa.

Dan hari ini, genaplah usia adik aku. Satu-satunya adik yang aku ada. Kini sudah berumah tangga dan dikurniakan enam orang cahaya mata.


SELAMAT HARI LAHIR..
Semoga dipanjangkan umur dengan segala kebaikan dan dimurahkan rezeki dengan segala keberkatan serta moga rutin harian dipermudahkanNYA.. Aamiin..

HAPPY BIRTHDAY TO YOUMyADIK..


Moga adik aku terus dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam meladeni rutin harian keranatanpa kekuatan, pasti tersungkur di pertengahan jalan. Walau kita jarang bertemu, itu tidak bermakna kita tidak boleh saling berbicara dan bertanya khabar.


@RemajaPurba: Jarak mungkin ada tapi peduli itu sentiasa..

SEGMEN REFRESH BLOGLIST 2026

 
19 Disember 2025 - Jumaat (28 Jamadilakhir 1447H)

Jarang sebenarnya aku berpeluang menyertai segmen anjuran blogger. Kebiasaannya, aku terlupa sebab entry penyertaan aku simpan dalam drafhanya tersedar selepas tarikh tutup sudah berlalu. Kadang-kadang niat memang ada tapi masa dan keadaan selalu tak menyebelahi. Jadi bila terlihat segmen ini, rasa sayang pula kalau dilepaskan begitu sahaja.




Buat satu entry tentang segmen ini
Letak gambar banner di atas dekat entry itu dengan backlink ke entry ini.
Letak link post korang dekat komen entry ini.

- segmen di [SINI] -


Empunya blog, Niezaakan memilih sepuluh orang blogger untuk menghiasi bloglist beliau bagi sesi 2026. Keputusan akan diumumkan pada 31 Disember 2025. Sebagai bonus, blogger yang terpilih akan disenaraikan dalam bloglist tersebut bermula 1 Januari 2026 sehingga beliau memutuskan untuk membuat sebarang perubahan atau penggantian kelak.


Jika aku berjaya, ia dikira sebagai hadiah tambahan menyambut anniversary 01 Januari 2026 nanti.


@RemajaPurba: ..

Thursday, December 18, 2025

KHAMIS | BILA ANAK-ANAK BERKUMPUL

 
18 Disember 2025 - Khamis (27 Jamadilakhir 1447H)

Perbualan beberapa hari sebelum dak Kakak pulang dari luar negeri, ketika dia meminta aku menjemputnya di Terminal. Waktu itu aku meletakkan satu syarat — 'Jika mahu ibu datang ambil Kakak, sebagai ganti, hari Sabtu ni Kakak kena temankan ibu ke tempat kerja'.


- Nak ibu ambil -


Patutlah dak Kakak bersungguh mahu aku yang mengambilnya. Rupa-rupanya dak Kakak malas untuk bersoal jawab mengenai satu perkara ini di rumah atoknya — biarlah ia kekal sebagai hal off record.


- Sukalah tu bila ibu dia sendiri pergi ambil -


'Babah, Kakak naik Grab dengan ibu..'


Sepanjang perjalanan pulang ke rumah.. pelbagai perkara kami borakkan. Sempatlah singgah di sebuah pasar raya untuk membeli sedikit barang keperluan. Aku sendiri belum sempat makan tengah hari sebelum mengambil dak Kakak. Berbelanja dalam keadaan perut lapar memang buat mood jadi ke laut, namun aku tetap melayan dak Kakak seadanya.


Sampai di rumah, Alhamdulillah, en. Hubby dah siap masak — langkah kanan aku hari ini. Dak Jasmine pula takut melihat dak Kakak, mungkin kerana lama tidak berjumpa. Namun bila diumpan dengan wet food, terus bertukar gedik manja di sisi dak Kakak.


Muka bosan..


Alhamdulillah, terasa lengkap bila anak-anak semua ada di rumah. Walaupun cuti dak Kakak tak panjang, adik-adiknya tetap gembira dapat mengadu, berborak dan bergosip sesama mereka. Bila aku cuba nak join sekali, deme tak bagi — katanya aku dah tua. Heii.. 'Ibu mudalah, yang tua tu Babah'.

@RemajaPurba: ..

Wednesday, December 17, 2025

RABU | BELAJAR SABAR HARI INI


17 Disember 2025 - Rabu (26 Jamadilakhir 1447H)

Sejak petang semalam, aku telah diserang migrain dan pagi tadi pula aku perlu menguruskan dak Nuha mendapatkan rawatan di hospital. En. Hubby pula pulang lewat, awal pagi baru sampai. Dalam keadaan penat dan kurang tidur begini, sanggupkah aku meminta en. Hubby memandu ke hospital?


Sometimes..
The most productive thing you can do is to relax


TAPI..
Hakikat pagi ini, aku langsung tak rileks. Seorang auntie ni memasang handphone dengan kuat, bukan sekadar kuat — diletakkan pula betul-betul di sebelah telinga.

Husnuzon. Mungkin dia ada masalah pendengaran tapi yang benar-benar menguji sabar, aku sedang menahan migrain yang berdenyut tanpa henti.

Ya Allah.. dugaan apakah di pagi hari saat aku dan dak Nuha menunggu giliran untuk berjumpa doktor di hospital.

Dalam keadaan kepala yang sakit, setiap minit terasa panjang. Namun apabila nombor auntie itu akhirnya dipanggil, aku menarik nafas lega — seolah-olah beban kecil terangkat. Biasalah.. bila di hospital kita akan bertemu pelbagai ragam manusia.. pesakit, waris pesakit dengan cerita dan ujian masing-masing.

Berbalik kepada auntie tadi, terlintas di fikiran — mengapa tidak menggunakan earphone supaya tidak mengganggu orang lain? Atau mungkinkah semua orang di sini juga menahan sakit masing-masing, sama ada sakit telinga, sakit hati atau sekadar keletihan menunggu?


Aku memandang sekeliling. Semakin ramai pesakit yang menunggu, kebanyakannya warga emas. Lalu timbul satu persoalan dalam hati — suatu hari nanti, aku juga mungkin berada di tempat mereka. 

Adakah aku akan ditemani waris?
Masih kuatkah aku menunggu lama?
Sejauh mana lagi perjalanan hidup ini?
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui..


Aku..?
Hal auntie tu kita tolak tepi, kalau dia seorang yang ada common sense, dia takkan buat begitu. Pedulikan. Geram dah tentu tapi belajar sabar hari ini adalah perkara yang indah untuk dikenang. 

@RemajaPurba: ..

Tuesday, December 16, 2025

SELASA | DAK JASMINE


16 Disember 2025 - Selasa (25 Jamadilakhir 1447H) 

Kebelakangan ini, zon masa dak Jasmine seakan terbalik. Waktu siang lebih banyak dihabiskan dengan tidur tapi bila malam menjelma, matanya segar berjaga — macam nampak tikus berlari depan mata gayanya.



Dak Jasmine bukan kucing yang suka nak bermanja. Ia lebih selesa menjaga jarak dan membawa diri. Bila dekat, ia lari, seiring dengan sifatnya yang berhati-hati dan mudah takut.


Bulus nan seekor ni semakin membesar

Nak kenalkan ia dengan dunia luar memang susah. Dak Jasmine ni bukan sekadar introvert tapi penakut tahap maksimum. Rasa takut tu yang buat ia asyik nak bersembunyi, tak macam kucing-kucing di depan rumah yang langsung tak gentar. Kadang-kadang, ia langsung tak mahu dipeluk atau dibelai.

Sama-samalah kita doakan dak Jasmine kekal sihat dalam meledani rutin harian dan aku sebagai Mak Budak takdelah risau teruk.

@RemajaPurba: ..

Monday, December 15, 2025

ISNIN | PERMULAAN HARI


15 Disember 2025 - Isnin (24 Jamadilakhir 1447H)


Isnin datang sebagai titik mula. Setiap pagi yang diberi peluang bangun, bernafas dan memulakan rutin adalah satu rezeki yang sering kita pandang biasa. Tak perlu sempurna untuk bermula. Cukup dengan usaha dan niat yang baik serta hati yang tenang.

بِسْمِ ٱللَّٰهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Untuk hari ini, biar perlahan tapi konsisten.
Letakkan harapan pada Allah dan teruskan melangkah.


Jika minggu lepas ada yang kurang, biarlah Isnin ini menjadi ruang memperbaiki, bukan menyalahkan.

@RemajaPurba: ..

Sunday, December 14, 2025

KEJADIAN DI HADAPAN RUMAH


08 Disember 2025 - Isnin (17 Jamadilakhir 1447H)

Pagi..
Hari ini en. Hubby cuti dan berhasrat untuk 'memanjakan' cikPutih tapi tiba-tiba cikPutih merajuk. Kali ini belting aircond pula yang bermasalah. Alhamdulillah, kejadian berlaku di hadapan rumah. Bayangkan kalau di tengah jalan — kena towing lagilah cikPutih.


En. Hubby tenang je tapi aku pula serabut memikirkan cikPutih


Petang..
Aku call semula en. Hubby, Alhamdulillah lega mendengar khabar yang masalah selesai dan cikPutih boleh bergerak semula. Aku risau bukan kerana apa tapi cikPutih masih menjadi sumber rezeki utama kami setakat ini.


@RemajaPurba: aku penat..

Saturday, December 13, 2025

HARI KONSULTASI FASA 2 di SMK

 
12 Disember 2025 - Jumaat (21 Jamadilakhir 1447H)

Pagi..
Aku menemani en. Hubby menghantar tempahan makanan di tempat kerja mySIL. 

Nasi Minyak, Ayam Masak Merah, Udang Butter, Jelatah dan Buah


Petang..
Telah diadakan sesi konsultasi di SMK dak Nuha. 

Kebiasaannya, setiap kali aku hadir ke sekolah, aku akan terus datang dari tempat kerja dengan berpakaian kerja kerana dak Nuha bersekolah pada sesi petang. Namun hari ini sedikit berbeza. Memandangkan en. Hubby perlu menggunakan Mr. Black, aku terpaksa mengambil cuti rehat.

Sejak sehari sebelumnya, dak Nuha sudah berpesan..
'Ibu pakai baju macam cikgu sekolah tau. Pakai nametag sekali. Biar kawan-kawan Nuha tengok ibu macam cikgu disiplin — garang'.

Bukan itu je, dia turut memilihkan warna baju yang dia mahu aku pakai. Hailaa anak.. kenapa tak beritahu dari semalam? Aku bawa pulang kasut berwarna lain kerana bercadang untuk memadankannya dengan baju yang akan aku pakai. Namun, pilihan warna dak Nuha langsung tak sepadan — baju merah, kasut krim.


Demi memenuhi permintaan dak Nuha, aku layankan aje. Dengan ditemani dak Adik, kami terus ke SMK dak Nuha dan menuju ke tempat yang telah disediakan oleh pihak sekolah.

Penerangan daripada guru kelas dak Nuha aku terima dengan hati terbuka kerana memang sudah menjangkakan keputusannya. Pesan guru kelasnya ringkas tetapi bermakna..


'Masih ada banyak masa lagi untuk perbaiki, kena rajin usaha'.


Selesai sesi tersebut, setibanya di rumah, dak Nuha bagitahu hanya aku aje yang memakai baju kurung, yang lain tidak. Hakikatnya, ada aje ibu-ibu lain yang berbaju kurung dan yang tidak pun semuanya cantik dan berpakaian kemas. Cumanya, dak Nuha telah berjaya mendapatkan apa yang dia inginkan — ibunya berbaju kurung merah, lengkap bernametag seperti guru disiplin, siap berkasut tumit tak berapa tinggi. Jelas terpancar wajah teruja dan bangganya.


Tiada satu pun gambar diambil, malah aku langsung tak teringat untuk mengambil walau sekeping. Fokus utama aku hanyalah pada dak Nuha. Namun bila difikirkan semula, rasa rugi pula kerana tiada bukti untuk dijadikan bahan kepada dak Kakak. Sudah tentu dak Kakak nanti akan menyakat dak Nuha, mengatakan waktu ibu ke sekolah pada zaman dia dulu, ibu pakai jauh lebih lawa dan cantik. Itu zaman #PerasanSlim aku dulu bolehlah.. sekarang bukan tak mahu pakai tapi banyak yang tak muat. Hahaha..


@RemajaPurba: Selamat Pengantin Baru buat Erra Fazira dan Mr. E di [SINI]

Friday, December 12, 2025

MAJLIS PERNIKAHAN ERRA FAZIRA DAN Mr. E


12 Disember 2025 - Jumaat (21 Jamadilakhir 1447H)

Erra Fazira dan Mr. E
Pada aku inilah 'wedding of the year' yang buat aku tersenyum sepanjang hari. Dari awal hingga ke akhir, setiap perincian tampak indah dan menyenangkan. Syukur kepada-Nya, cuaca seolah-olah turut memberi 'restu' apabila majlis berlangsung di luar dewan. Dekorasinya pula sangat cantik, sejuk dan menenangkan mata yang memandang. 'Eh.. Mak Budak, macam dia pula yang berada di lokasi, sedangkan semua maklumat hanya diperoleh daripada media sosial'.


Majlis 'wedding of the year' ini menjadi tumpuan ramai, penuh keindahan dan bermakna di setiap detik. Mas kahwin berupa bunga emas, diiringi detik simbolik pelepasan burung merpati putih menjadi antara acara utama yang menyerlahkan keindahan dan keanggunan majlis pernikahan Erra Fazira bersama pasangannya, Mr. E. Di bawah saksi dan doa, dua hati disatukan dengan penuh adab dan tertib.




Engku Aleesya dan Dania Sofia tampil sama cantik mengiringi Erra Fazira


@errafazira & @ezwanzain

- detik simbolik pelepasan burung merpati putih -


Aku..?
Sama seperti peminat lain di luar sana — mendoakan yang terbaik untuk mereka berdua.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT.
Semoga Allah SWT memelihara ikatan suci pernikahan ini dengan limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya serta mengurniakan kebahagiaan, keharmonian dan keberkatan yang berpanjangan hingga ke akhir hayat. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.


@RemajaPurba: sumber gambar dan video dari en. Google.

KALAU PINTU REZEKI DITUTUP


12 Disember 2025 - Jumaat (21 Jamadilakhir 1447H)

Jangan pernah berhenti berharap dan jangan sesekali berhenti berusaha. Hidup ini ada masa naik, ada masa turun tapi selagi kita terus melangkah, ada je ruang yang Allah buka untuk kita. Lakukan yang terbaik dalam kemampuan kita — kerana setiap usaha yang ikhlas pasti ada nilainya di sisi Allah.


Dalam hidup ini, kalau pintu rezeki ditutup, Allah akan membuka pintu rezeki yang baharu. Never give up! Percaya kepada perancangan Allah.
Alhamdulillah.

Do your best, Allah will do the rest.
Do what you can, Allah will do what you can't.

- khairykj - APPBH 12 Oktober 2024 -


Semua itu adalah tanda bahawa Allah sentiasa memerhati, memelihara dan mengatur kehidupan kita dengan penuh kasih sayang. Teruskan percaya, teruskan berharap kerana pertolongan Allah sentiasa lebih dekat daripada yang kita sangka.


@RemajaPurba: Aku tahu kau kuat..

Thursday, December 11, 2025

DIRGAHAYU TUANKU

 
11 Disember 2025 - Khamis (20 Jamadilakhir 1447H)

Hari ini merupakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Yang Ke-80.

Semoga Allah s.w.t lanjutkan usia Tuanku, dikurniakan kesihatan yang baik dan moga rutin harian baginda dan Tengku Permaisuri Selangor serta seluruh kerabat DiRaja Selangor dipermudahkanNYA.. Aamiin..


Daulat Tuanku.
Dirgahayu Tuanku.



@RemajaPurba: berehat di rumah..

Wednesday, December 10, 2025

SIAPA LAGI GANGSTER


10 Disember 2025 - Rabu (19 Jamadilakhir 1447H)

Permulaan hari yang tenang, jalan yang lengang dan rezeki tiba awal di tempat kerja — itulah antara nikmat yang selalu buat hati rasa syukur. Bukan setiap hari kita diberi peluang seperti ini, jadi hargailah saatnya.

Biasalah bila berada di atas jalan raya — segala jenis perangai pun ada. Ada yang memandu laju macam tengah buat latihan di Litar Sepang, ada yang jadi lane hogger tak sedar diri (kisahnya di [SINI]) dan ada pula yang bila kena hon terus naik angin padahal dia sendiri punca masalah.


Teringat perbualan aku dengan En. Hubby. Waktu tu ada sebuah kereta yang sedikit menghalang pergerakan kereta kami. Aku sebagai co-pilot pula yang bising tapi En. Hubby diam je — tiba-tiba terkeluar ayat ni dari en. Hubby..

'Ini tempat saya punya maa..' Merujuk kepada kereta yang menghalang laluan.

Spontan aku menjawab dek kerana geram dengan sikap pemandu tersebut.
'Eleh, nak jadi gangster konon. Atas jalan beranilah. Cuba balik rumah — tengok siapa lagi gangster'. 

Betullah kan..? Suruh dia balik rumah, tengok siapa lagi gangster.


@RemajaPurba: ..

Sunday, December 7, 2025

MENGAPA ANAK MENJAUH?


07 Disember 2025 - Ahad (16 Jamadilakhir 1447H)

Jangan tunggu anak menjauh baru kita terasa kehilangan. Selalunya anak bukan berubah kerana dunia luar — tapi kerana rumah sendiri tidak lagi jadi tempat dia pulang bercerita dengan aman. Belajarlah mendengar sebelum dia memilih untuk diam. Peluklah dia sebelum jarak itu jadi kebiasaan dan lembutkan hatinya sebelum hatinya mengeras.

Anak yang takut bercakap dengan ayah, biasanya sebab ayah terlalu jarang mendengar bila anak cuba bercerita hingga anak sendiri rasa jauh. Kadang-kadang anak bukan minta duit pun, dia cuma nak ayah pandang wajahnya, mendengar ceritanya dah cukup buat dia rasa gembira.


Bila ayah tidak mahu belajar berlembut dengan anak, masa itulah hatinya perlahan-lahan menjauh dan kemesraan tiada lagi di dalam rumah sendiri. Ayah yang tidak mahu berbicara, tidak mahu mendengar dan lebih pentingkan dunianya sendiri akhirnya membuatkan anak itu terasa tawar — hingga hadirnya ayah pun membuat dia rimas. Bukan benci yang dia cari tapi rasa kecewa yang terlalu lama disimpan menjadikan wajah ayah sendiri sesuatu yang ingin dijauhkan.

Bila anak lambat membalas atau kurang memberi respons, dia dicop sebagai kurang ajar — dan si ibu pula dipersalahkan kononnya tak pandai mendidik tapi pernahkah si ayah terfiir, siapa sebenarnya punca anak itu menjauh? Anak yang tidak mahu bercerita bukan kerana degil tapi kerana terlalu lama merasa tidak didengari. 


Dan ingatlah wahai ayah, jika suatu hari nanti anak itu langsung tidak mempedulikan kamu, jangan menyesal. Kerana ketika itu, dia bukan melupakan kamu — dia cuma melepaskan apa yang terbuku di hati.. seorang anak yang pernah berharap kasih sayang daripada ayahnya.
Anak yang diam bukan kerana dia tak sayang - dia cuma letih berharap pada ayah yang tak pernah mendengar.

@RemajaPurba: Jangan Tuntut Hormat Jika Tak Pernah Beri Kasih

Saturday, December 6, 2025

JANGAN PELIK KALAU SATU HARI NANTI..


12 November 2025 - Sabtu (15 Jamadilakhir 1447H)

Kalau suami beri nafkah berkepuk-kepuk, nak masak beriyani pukul sepuluh malam pun tak jadi hal. Isteri pun sanggup sebab dia rasa dihargai dan dijaga. TAPI.. bila NAFKAH sendiri pun dia kena usaha, jangan pandai demand nak makan lewat malam. Isteri pun penat kerja..! Sedangkan tanggungjawab asas pun tak dipenuhi, ada hati nak makan beriyani..!

Dan paling kelakar, bila sampai masa yang tak pernah ambil tanggungjawab ni pandai pula merungut, 'Isteri dah berubah..' Padahal dia tak sedar perubahan itu bukan datang sehari dua — ia datang daripada sikap sendiri yang tak pernah berubah sejak awal.

Kadang-kadang isteri diam bukan sebab dia ok tapi dia diam sebab dia dah tak tahu macam mana lagi nak bersuara.

Kalau seorang isteri mula buat semua benda sendiri, itu bukan bukti dia kuat — itu bukti dia dah hilang harapan pada orang yang sepatutnya memimpin. Dan retak kecil kalau dibiarkan.. memang lambat-laun pecah juga. Isteri bukan minta bulan bintang — dia cuma nak suami yang jalankan amanah.

Jangan pelik kalau satu hari nanti dia berhenti melayan benda-benda kecil yang sebenarnya bukan tanggungjawab dia pun.


@RemajaPurba: ..

Friday, December 5, 2025

KEJADIAN SALAH MASUK KERETA


- Kenangan yang tertinggal -

22 November 2025 - Sabtu (2 Jamadilakhir 1447H)

Petang itu..
Malu..
Sungguh malu..
Level malu sampai rasa nak teleport terus ke rumah..


Begini kisahnya.
Aku keluar dengan dak Kakak untuk beli makanan dak Jasmine. Biasanya aku parkir betul-betul depan kedai tapi entah macam mana kali ini aku tersilap keluar simpang dan terpaksa parkir sedikit jauh. Selesai urusan, kami pun berjalan balik ke kereta sambil berborak santai. Dengan penuh keyakinan, aku pun tekanlah kunci kereta.

'Eh, kenapa tak boleh buka ni?' Aku mula rasa cuak.

Rupa-rupanya.. AKU SALAH KERETA. Walau rupa sama tapi itu bukanlah Mr. Black aku. Bayangkan kau yang tengah syok berborak dengan anak sambil tekan kunci, siap tarik pemegang pintu macam babak drama tapi tapi kereta tu bukan milik kau!

Dak Kakak pula perlahan-lahan undur ke belakang untuk periksa nombor plat.
'Ibu.. salah kereta lah. Ini bukan kereta kita'.


Dengan perasaan malu, aku dan dak Kakak terus berlalu pergi sambil menahan gelak. Aku terdengar suara seperti berkata 'hei..' kepada aku, mungkin orang dalam kereta atau tuan punya kereta nampak dari kedai berhampiran.

Masuk je dalam Mr. Black, kami tergelak besar
'Malunya ibu.. malu..'
'Ibu pun sama kakak, malu gila..'


Aku cuma mampu geleng kepala dan tersenyum malu bila teringatkan kisah itu. Lain kali, pastikan kereta betul, tengok nombor plat, jangan terlampau yakin, kalau takmalu datang bergolek, percuma..! Kahkahkah..


@RemajaPurba: Malu tapi Lucu..

Thursday, December 4, 2025

SELAMATKAN BUKU SEKOLAH KETIKA BANJIR


04 Disember 2025 - Khamis (13 Jamadilakhir 1447H)

Sebagai langkah awal menghadapi risiko banjir, guru kelas dak Nuha mengingatkan agar buku-buku sekolah segera diselamatkan jika air mula naik.
 

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Semoga semuanya di dalam lindungan Allah walaupun diuji olehNYA.

Berikutan dengan cuaca yang mula hujan tidak menentu dan berlakunya banjir kilat, diingatkan buat semua anak-anak, mohon kerjasama semua untuk meletakkan buku teks di tempat yang tinggi bagi mengelakkan berlakunya kes:
* buku basah
* buku koyak
* dan sebagainya..

Sekiranya sudah basah, mohon untuk segera diselamatkan dan tidak dibiarkan terendam terlalu lama di dalam air bertakung.

Segala kerjasama amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.



Pesanan ini sebenarnya di dalam group kelas dak Nuha ketika di sekolah rendah tapi baru hari nampak lama tersimpan di dalam draft.

#RemajaPurba: Jaga keselamatan diri..

Wednesday, December 3, 2025

SATU TABIAT YANG SELAMATKAN AKU


02 Disember 2025 - Selasa (11 Jamadilakhir 1447H)

Petang..
Setiap hari sebelum pulang dari tempat kerja, aku akan memeriksa tayar — kiri, kanan, depan dan belakang. Tabiat ini sudah lama aku amalkan. Melihat tayar pancit bukan sahaja melemahkan dan mengusutkan fikiran, malah boleh mencetuskan panik bagi sesiapa yang tidak biasa berdepan dengan situasi begitu.


Aku..?
Bukanlah tak panik cuma sudah banyak kali kereta rosak di tempat kerja, jadi aku tahu siapa yang boleh aku harapkan untuk minta pertolongan. Dalam situasi begini, aku perlu berfikir pantas kerana waktu orang pulang kerja selalunya mengurangkan peluang bantuan sampai dengan segera.


Ini salah seorang kawan aku dan bos aku juga turut turun padang membantu.


Mereka yang datang membantu akhirnya berjaya menyelesaikan masalah itu di ruang parkir tempat kerja. Dengan kekuatan sumber yang ada, Mr. Black akhirnya 'diselamatkan'..

yang penting - aku selamat sampai rumah.


Seorang pegawai dari syarikat lain yang kebetulan berada di parkir untuk pulang turut membantu, siap mengepam tayar menggunakan portable tyre pump kepunyaan beliau. Alhamdulillah.. terima kasih buat semua yang membantu. Moga Allah permudahkan rutin harian mereka yang menghulurkan bantuan tenaga dan masa dalam usaha menyelamatkan Mr. Black.


Portable tyre pump


Aku pun sebenarnya ada satu set tapi ia berada di dalam cikPutih. Nampaknya, sudah sampai masa untuk aku beli satu lagi set khusus untuk kegunaan Mr. Black atau mereka yang memerlukan.

Setiap langkah kecil yang kita ambil sebelum memulakan perjalanan mungkin nampak remeh tapi ia sebenarnya mampu menyelamatkan kita dari masalah yang lebih besar.

Sebab itulah aku akan sentiasa memeriksa keadaan tayar sebelum bergerak. Bagi aku, ini bukan sekadar rutin harian — ia adalah langkah keselamatan yang amat penting.

@RemajaPurba: Alhamdulillah..

Monday, December 1, 2025

DISEMBER PERLU BERSEDIA

 
01 Disember 2025 - Isnin (10 Jamadilakhir 1447H)

Selamat tinggal..
November — bulan yang penuh dengan kenangan pahit manis yang masih berbekas.

Selamat datang..
Disember — bulan di mana aku berdiri, bersedia menerima setiap langkah yang takdir bentangkan.


Bertahanlah selagi hati kau tidak hancur berkecai.
Bertahanlah selagi kudrat dalam diri masih menolak kau untuk terus berdiri.
Bertahanlah selagi nafas belum merelakan kau jatuh.
Kerana sebenarnya, perasaan kita sama — kita sama-sama menanggung luka yang orang tak nampak tapi kita tetap melangkah walau jiwa hampir putus.


@RemajaPurba: ..

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...