29 Disember 2025 - Isnin (08 Rejab 1447H)
Petang..
Dalam perjalanan pulang dari kerja, en. Hubby share gambar yang diperoleh daripada socmed. Pada awalnya aku tak perasan tapi apabila dibaca semula, hatiku tersentak.
'Eh, bukan jiran depan rumah ke, abang?'
'Ya.. betullah tu'.
Setibanya aku di rumah, suasana sudah berubah. Ramai jiran tetangga dan rakan-rakan anak arwah berkumpul di hadapan rumah. Rumah arwah betul-betul berhadapan dengan rumah kami. Ketika ini, en. Hubby menemani mereka menguruskan urusan arwah di balai polis sebelum membawa pulang ke rumah atas permintaan keluarga arwah.

Anak-anak di sisi arwah..
Alhamdulillah, sekali lagi rumah kami menjadi tempat memasak untuk menjamu tetamu yang hadir. Walau sekadar mampu membantu dengan cara ini, rasa syukur itu tidak terungkap — setidaknya dapat meringankan sedikit beban keluarga arwah. Kehadiran keluarga dan saudara-mara memberi sokongan buat isteri serta anak-anak arwah.
En. Hubby bersama jiran-jiran bergotong-royong menyediakan hidangan makan malam. Segalanya berjalan dengan tertib dan tenang, seolah-olah malam itu sendiri turut menghormati sebuah kehilangan.
==========================================
30 Disember 2025 - Selasa (09 Rejab 1447H)
Pagi..
Pagi..
Urusan berkaitan jenazah disempurnakan di masjid. Selepas disembahyangkan, jenazah kemudiannya dibawa terus ke tanah perkuburan di sini untuk dikebumikan. Segalanya berjalan lancar, diiringi doa dan langkah-langkah perlahan mereka yang hadir mengiringi perjalanan terakhir arwah.
Petang..
Menyiapkan makanan untuk dibuat agihan selepas solat Maghrib nanti, sekadar apa yang mampu sebagai tanda kebersamaan.
Malam..
Alhamdulillah dan terima kasih pada semua yang tidak lokek menghulungkan bantuan dan tenaga.
إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون
Ya Allah, Ya Tuhanku, ampunilah arwah, rahmatilah arwah, maafkanlah arwah, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Semoga kak Yang dan keluarga kuat dan tabah hadapi ujianNYA.



No comments:
Post a Comment