Followers Remaja Purba

Saturday, August 23, 2025

@@@ FILEM - BLOOD BROTHERS: BARA NAGA


Simpan sini sebagai kenangan

23 Ogos 2025 - Sabtu (29 Safar 1447H)

Sejak Filem ini mula ditayangkan pada 20 April 2025 di pawagam, hanya pada 10 Ogos 2025 baru aku dapat menontonnya di saluran Netflix. Satu hari sampai tiga kali aku dan En. Hubby ulang tengok — baru rasa betul-betul puas hati.

Kenapa tak pergi tengok di pawagam?
Sebab utamanya, dak Nuha belum cukup umur — filem ini hanya untuk klasifikasi 16 tahun ke atas. Takkan nak tinggalkan dia sorang-sorang di rumah. Nanti bukan setakat merajuk, mengungkit pun boleh jadi. Lagi satu sebab, aku fikir.. 'Tunggu jelah keluar kat Netflix. Masa tu boleh ulang tengok banyak kali. Jimat sikit duit'.

Mampuslah orang nak cakap apa.. yang penting kita ada gaya


Filem BLOOD BROTHERS: BARA NAGA, air tangan Syafiq Yusof, anak kepada Dato' Dr. Mohd Yusof Md Haslam Khan telah menjadi satu fenomena dalam dunia perfileman.

Apa sebenarnya maksud BLOOD BROTHERS: BARA NAGA?
'Bara Naga'  menekankan bara panas yang membara, menunggu masa untuk menyala penuh.
'Fury of the Dragon'  lebih menekankan kemarahan yang sedang meledak.


SINOPSIS:
Filem ini bukan sekadar soal tenaga dan senjata, tetapi peperangan emosi, kepercayaan dan kesetiaan. Kisah bermula ketika Ariff seorang pengawal peribadi yang setia, tiba-tiba dituduh mengkhianati Dato Zul — insan yang pernah membelanya. Demi membersihkan nama, dia terpaksa mencari pertolongan daripada abang kandungnya yang telah lama terpisah, Jaki. Namun, jalan yang ditempuh Ariff bukanlah mudah. Dia kini menjadi buruan sahabat karibnya sendiri, Ghaz — ketua pasukan pengawal peribadi elit dianggapnya sebagai Blood Brother. Dalam dunia penuh tipu daya, hanya satu persoalan yang tinggal: siapakah yang mampu bertahan hingga ke penghujung?

dari [SINI]


ANTARA SCENE YANG MENARIK DI DALAM FILEM INI:
  • DALAM DUNIA AKU, KESETIAAN ADALAH SEGALA-GALANYA
    Kadang-kadang, kesetiaan kau pun boleh teruji apabila dapat client tahi macam dia ni. 'Huh!Gemuk bodoh. Kalau dia bukan salah seorang Naga, dah lama aku sula syaitan ni'.

  • SIKAP GHAZ NI MACAM ABANG-ABANG SIKIT
    Tapi marah macam mana pun dia tahu kita team paling padu. Tapi padu macam mana pun, tetap tak boleh lari dari undang-undang.

  • SILENT GUARD
    Satu-satunya Agensi Bodyguard paling elit dalam negara ini dan semua ni pun sebab Dato' Zul. Bekas Komando, Ketua Tujuh Naga, Ayah kami semua. Terror juga kabel dia. Daripada ketua gangster sampai ketua politik, semua nak pakai service dia.
    Anak-anak dia pulak bukan calang-calang. Yang perempuan, Sheila — Nadi Agensi ini dan buah hati mamat jambang ni. Yang lelaki pulak, Fadlan. Higher achiever dalam keluarga ini.

  • ADEGAN FLASHBACK GHAZ DAN ARIFF KETIKA KECIL
    'Sampai bila kau nak hidup macam ni Ariff? Ubah hidup kau dulu sebelum kau nak ubah hidup orang lain. Kau Faham?'.

Ghaz tolong aku buka buku baru dengan Dato' Zul..
'Semenjak itu, sampai sekarang doranglah keluarga aku..'

.. tapi bila Dato' Zul dah nekad, mengaku tak mengaku, tak ada beza.
'Kau pernah terfikir tak, kalau kita hidup macam orang biasa?'
'Biasa amenda..?'
'Macam biasalah, tak payah hadap ni semua'.

Picture courtesy of Netflix Malaysia

'Kalau kau nak balik kehidupan flat kau tu, tak ada siapa yang boleh halang termasuk aku tapi, kau jangan complain. Kalau kau kena pijak macam mana kau kena pijak dulu. Sekarang ni, kalau kau kena petik, satu batalion datang back up kau'. - Ghaz -

Dulu kau kena tindas, sekarang ni kau kat atas.
Kehidupan biasa tak akan bagi kau semua ni brother.


- Tujuh Inci Lembut, Kau ada? -

Pengakhiran Filem ini:
Abang Sham diangkat sebagai Naga yang baru.
Naga yang lain terpaksa akur lepas Abang Sham tolong Ghaz jatuhkan Ayah Mus dan Fadlan.

Ghaz tunaikan janji dia pada Sheila.

Keadaan dah jauh beza. Tak macam dulu. 
Cuma beza macam mana pun sekarang, tetap ada ikatan yang tak akan pernah hilang.

- sumber dari [SINI] -


LAGU TEMA FILEM INI:
Bukan sekadar OST tetapi ia berfungsi sebagai cerminan emosi terdalam watak utama — maruah, semangat, dendam dan perjuangan yang tersembunyi dalam diri mereka. Lirik lagu ini menggambarkan maruah, persaudaraan dan dendam yang tidak pernah padam.

Ini bukan OST biasa-biasaini lagu yang buat kau teringat balik setiap babak dalam filem Blood Brothers: Bara Naga
- Poster: Blood Brothers: Bara Naga -


Tapi..
Aku tak jumpa adegan kenapa Pablo berpaling tadah.

@RemajaPurba: ..

Tuesday, August 19, 2025

DAK ADIK TIDAK SIHAT


17 Ogos 2025 - Ahad (23 Safar 1447H)

Kisah dak Adik..
Anak bujang seorang ni bila tak sihat memang agak susah untuk berjumpa doktor — takut kena suntik. Seboleh mungkin dak Adik akan cuba mengelak. 

'Terus kena angkut pergi klinik..'
Sudahnya dak Adik dipaksa oleh nekSunya pergi dapatkan rawatan di klinik sebab dah tiga hari tak baik-baik. Itupun selepas dia sendiri bercerita dengan aku keadaan dia di sana. Haa.. eloklah tu Adik. Jangan buat semua orang risau.

Jangan sesekali ambil mudah soal kesihatan. Lebih baik mencegah dari awal daripada menunggu sehingga keadaan menjadi serius. Kadang-kadang, rasa malas dan takut untuk berjumpa doktor hanya akan merugikan diri sendiri. Alhamdulillah.. dak Adik mendengar kata kali ini. 


=====================================

19 Ogos 2025 - Selasa (25 Safar 1447H)

Jika Ahad lepas dak Adik ke klinik, hari ni giliran aku pula ke hospital. Namun, tujuan aku bukanlah untuk bertemu doktor tapi hanya mengambil ubat untuk diri sendiri. 

Kali ini aku ditemani oleh dak Kakak dengan dak Nuha. Alasannya — sekadar nak tengok dunia luar. Dak Kakak mula merasa bosan berada di rumah, dak Nuha pulak hanya tengok jalan pergi balik sekolah je. Aku..? Jomlah.. ada juga kawan nak teman. Macam biasa, en. Hubby jadi bodyguard kami.

Segala urusan aku di hospital berjalan dengan cepat dan tidak mengambil masa yang lama. Selepas itu, kami terus balik rumah memandangkan dak Nuha bersekolah sesi petang. Aku pula nak gunakan masa cuti ni dengan rehat sebaiknya, esok rutin kerja kembali seperti biasa.


@RemajaPurba: Setiap detik kecil bersama keluarga, tetap menjadi memori berharga..

Saturday, August 16, 2025

SCREENSHOT: SENJATA PILIHAN SI PENAKUT


14 Ogos 2025 - Khamis (20 Safar 1447H)

Dalam salah satu group WhatsApp di tempat kerja, sebuah komen telah di screenshot dan diserahkan terus kepada CEO. Akibatnya, si A dipanggil menghadap. Aku mula terfikir, jika gambar itu memuatkan komen aku sekali, pasti aku pun akan menerima nasib yang sama.
Pengkhianatan tidak selalu datang dari luar. Kadang-kadang, ia bernafas di sebelah kita. Bila tak mampu berdepan, mereka menyerang dari belakang — dengan jari..

Siapa yang sanggup berbuat begini?
Adakah komputer salah seorang ahli group kami digodam? Tidak mustahil — pasukan IT kami memang berupaya memeriksa komputer tanpa kebenaran. Namun, jika screenshot itu datang dari tangan salah seorang ahli group sendiri, jelaslah ada pengkhianat di antara kami. Adakah si A dijadikan tempat melepas dendam atau scapegoated?

Jika CEO memandang isu ini dari sudut yang lebih luas, beliau mungkin akan memahami dan menjadikannya pengajaran tetapi jika beliau hanya mementingkan agenda sendiri, apalagi yang boleh dikata selain dari kena lebih berhati-hati dan 'mind your own rice bowl'.

Pada si A, mungkin ini sebagai turning point untuk tidak terlalu outspoken tetapi bagi aku dan yang lain masih tertanya-tanya, macam mana komen itu boleh terlepas dari group kami sedangkan apa sahaja perkara berbangkit di dalam group, habis setakat itu, kerana kami semua lebih kepada meluah rasa atau mencari jalan penyelesaian bagi tugas-tugas hakiki kami. Tiada agenda untuk menjatuhkan sesiapa. 

Bila ini terjadi, tidak mustahil suasana dalam group akan berubah — sunyi dan mungkin tegang. Semua hanya membaca, jarang membalas. Seolah-olah ada mata yang memerhati, menunggu komen seterusnya untuk dijadikan peluru.
Bukan semua yang tersenyum itu kawan dan  bukan semua yang diam itu tidak menikam..

Persoalannya siapa sebenarnya yang kita balas mesej setiap hari?
Kawan atau musuh yang menyamar?

@RemajaPurba: ...

Wednesday, August 13, 2025

SIASATAN SEGERA DIJALANKAN DI SEKOLAH


12 Ogos 2025 - Selasa (18 Safar 1447H)

Pagi..
Aku mandi kuah dal — kuah roti canai di tempat kerja. Punyalah susah nak buka getah plastik kuah tu, akhirnya terus terpercik dan tumpah kena badan aku. Syukur, aku pakai baju warna gelap, taklah nampak bahagian hadapan basah teruk. Hilang mood nak makan.

Petang..
Dapat panggilan daripada guru kelas dak Nuha. Berderau darah.. terfikir, dak Nuha tak sihat ke?
'Puan boleh datang ambil Nuha tak? Dia tiba-tiba rasa sesak nafas, tengah menangis sekarang ni'.

Aku terus hubungi en. Hubby, minta dia ambilkan dak Nuha di sekolah. Aku pesan, kalau teruk terus bawa ke klinik, tak payah tunggu aku balik. Lepas ambil dak Nuha.. 'Elok je abang tengok dia. Dia kata tunggu ibu balik'.

Balik kerja, aku terus tanya dak Nuha apa yang jadi sebenarnya. Bila ajak ke klinik, dia tak mahu.

Malam..
Barulah aku tahu keadaan sebenar — itu pun lepas dak Kakak paksa dia ceritakan kenapa tiba-tiba sesak nafas di sekolah. Rupa-rupanya dia kena sergah oleh salah seorang pelajar Tingkatan Dua di sekolahnya. Sudahnya.. aku ambil keputusan untuk ke sekolah esoknya. En. Hubby mestilah kena teman — ala-ala bawa bodyguard sekali.


=====================================

13 Ogos 2025 - Rabu (19 Safar 1447H)

Baju dalam, spender, pad period, ubat jerawat pun mak belikan, ada hati nak jadi Kaklong kawasan!
Belajar Maths merangkak.. Sejarah pun tak Hafal.. Huh..!! Ada hati nak ajak jumpa.

Ni Maklong kawasan nak cakap..
Orang tua kamu hantar pergi sekolah untuk belajar bukan untuk jadi kurang ajar..!


Pagi..
Aku mesej guru kelas dak Nuha..
'Alhamdulillah Nuha ok tapi saya nak hadir ke sekolah petang ini pukul dua untuk berjumpa cikgu dan pihak sekolah. Saya dah dapat punca kenapa anak saya tiba² sesak nafas dan saya perlu berbincang dengan pihak sekolah berkenaan perkara ini dan saya tak rasa hal ini dapat selesai hanya melalui panggilan telefon'.

Petang..
Pukul dua, aku bersama en. Hubby tiba di pejabat sekolah. Perbincangan berjalan lancar bersama PK petang dan guru disiplin untuk mencari jalan penyelesaian.

Dalam kes ini, dak Nuha hanyalah mangsa keadaan antara si A dan si B. Kebetulan petang semalam si B tak datang sekolah, jadi si A minta dak Nuha sampaikan pesan kepada si B untuk ajak berjumpa. Masalahnya, cara mereka menyampaikan pesan itu seperti menggertak — dan itulah yang buat dak Nuha trigger sampai sesak nafas.

'Puan, kalau anak dah mula kena panic attack, itu tanda dia tak ok, puan'.

Awalnya, memang aku tak rasa dak Nuha kena panic attack tapi jika tidak dibendung, aku risau akan lebih teruk. Pihak sekolah berjanji akan ambil tindakan bagi mengelakkan dak Nuha menjadi mangsa keadan atau buli. Guru disiplin memaklumkan, setiap kali perhimpunan, isu buli selalu diingatkan kepada pelajar dan pihak sekolah menentang perbuatan itu sepenuhnya.

Selepas perjumpaan, dak Nuha diminta berjumpa guru disiplin selepas rehat untuk merekod aduan dan tindakan seterusnya. Aku dan en. Hubby pun balik ke rumah.

Aku..?
Masa untuk memasak selepas hampir sebulan tak 'berperang' dengan sudip dan kuali. 
Habis tu siapa yang masak sebelum ni?
Kalau bukan en. Hubby, dak Kakaklah yang masak sebab dak Kakak sedang cuti semester.

Lewat petang..
Dak Nuha balik, dia terus bercerita dengan dak Kakak dan aku turut mencelah sama. 
Alhamdulillah.. pantas guru disiplin dan guru berkenaan menjalankan siasatan. Amaran diberikan kepada mereka yang terlibat dan nasihat turut diselitkan — case close

Kepada yang bertanya..
Ya.. setiap hari aku akan bertanya dan terus bertanya pada dak Nuha jika dia ada masalah di sekolah sebab aku tak mahu kes ketika sekolah rendah dulu berulang kembali.

Pesanan aku sama seperti PK petang pesan pada dak Nuha..
'Jangan takut nak buat aduan pada cikgu, kalau kamu tak cakap, pihak sekolah tak boleh ambil tindakan'.

@RemajaPurba: ..

Tuesday, August 12, 2025

SETIAP KESILAPAN BOLEH DITEGUR


12 Ogos 2025 - Selasa (18 Safar 1447H)


Setiap kesilapan boleh ditegur..
Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing..


Sama ada kita seorang yang berakhlak baik atau kasar bergantung pada didikan orang tuanya. Jadinya kalau seseorang itu kasar, ego, lancang mulutnya tanpa orang tuanya mengajar sedemikian, itu adalah dirinya sendiri yang rosak akhlak walaupun belajarnya pandai, walaupun kerjanya bidang profesional. 
 
Tahap sabar manusia tak sama.
Ucap sabar semudah 1, 2, 3 tapi nak melawan rasa marah..

Just go with the flow dan tak usah kita lawan cakap boss tu. Jika kita salah, mengaku je lepas tu tadah telinga. Keluar dari bilik dia jangan bawa sekali dalam kepala bebelan dia tu, biar 'tinggalkan' dalam bilik dia, biar dia sorang² dengar balik bebelan dia tu. Ini kalau tengah malam suaranya terkeluar balik dari dinding bilik dia tu, entiti yang ada pun tak sanggup nak bermain dalam bilik dia.


'.. Sebab tu, saya cuba nak push you all supaya nampak perform dan dapat meyakinkan boss untuk markah cemerlang, bukan saja². Perform di sini bukan dari aspek kerja siap je tapi usaha untuk memastikan kerja dilaksanakan dengan baik dan komitmen melebihi expectation'. - Ayat yang pernah diluah oleh seorang ketua -

'Saya tak rasa cara menegur orang kuat², tegur cakap kuat² sampai memalukan pekerja tu cara untuk push staff menjadi lebih perform. Menutup aib orang tu kan lebih baik dari kita tunjukan kelemahan orang. Saya tak rasa yang lain dalam group ni akan berani bercakap perkara ni secara terbuka'. - Kata-kata dari seseorang yang pernah 'kena' -


Kadang² jika 'terkena' apa², fikir yang Allah bukan uji kita tapi Allah uji orang itu juga. Lagipun kita membesar dalam persekitaran berbeza. Cara dibesarkan lain, sekolah lain, cikgu lain, pemikiran dan hati pun tak sama. Common sense berbeza. Jika kita marah orang mungkin waktu tu kita tak kena marah balik tapi fikir kita ada anak² yang sedang membesar, banyak perlu dilalui. Tentu kita pun tak suka kalau anak² kita kena marah dengan cara yang tak sepatutnya.

#RemajaPurba: Bila tangguh kerja, orang lain terpalit sama..

Monday, August 11, 2025

KUCING BERNAMA DAK JASMINE


Kisah awal dari [SINI]

Hari ni aku nak berkongsi kisah tentang dak Jasmine — 'anak bongsu' dalam keluarga yang secara tak langsung menukarkan status aku menjadi 'bibik' dan ia pula 'majikan'.

Dak Jasmine ni jenis penakut. Setiap kali ada orang datang rumah, pantas ia menghilangkan diri. Langsung tak mahu menonjolkan diri — kalau dah menyorok di celah peti sejuk, di situlah ia akan duduk kaku sampai tetamu balik.

Nak kenalkan ia dengan dunia luar memang susah. Dak Jasmine ni bukan sekadar introvert tapi penakut tahap maksimum. Rasa takut tu yang buat ia asyik nak bersembunyi, tak macam kucing-kucing di depan rumah yang langsung tak gentar. Kadang-kadang, ia langsung tak mahu dipeluk atau dibelai.


Macam mana kami dalam rumah melayan dak Jasmine?
Biasalah.. kucing kalau lapar, tiba-tiba jadi kucing paling manja dalam dunia.

En. Hubby..?
Babah baru je capai kunci nak keluar rumah, terus ada 'ekor' ikut dari belakang. Muka penuh harapan nak ikut keluar, walaupun cuma selangkah dua kat depan rumah. Drama queen betul.

Dak Kakak..?
‘Bibik’ terbaik. Rajin melayan dak Jasmine, siap tolong membersihkan kotoran di badannya.

Dak Adik..?
Suka bergurau kasar tapi bila dah ke luar negeri ni, dak Jasmine selalu masuk bilik dak Adik.

Dak Nuha..?
Tempat prank hampir setiap pagi. Tengah syok tidur, tiba-tiba ada alarm clock versi berbulu — siap miow pijak badan lagi. Kalau Dak Nuha berjalan, kaki jadi tiang panjat. Kadang gigit manja, macam nak kata.. 'Jomlah main..'.

Dengan Aku..?
Pantang melangkah ke dapur, perut auto lapar agaknya.
Lepas aku dah siap mandi waktu nak pergi kerja dan waktu nak tidur — ia terus jadi clingy. Mestilah sebab dah wangi kan, siapa tak suka. Ada masa ia terkebil-kebil menahan mengantuk bila tengok aku masih berjaga lewat malam.

Sengaja kami sakat dengan mengurungnya


Baru-baru ini, waktu kami menghantar dak Adik melanjutkan pelajaran di [SINI], dak Jasmine kami hantar ke hotel penginapannya. Tak berani nak ambil risiko membawanya pulang ke kampung. Lainlah jika dak Jasmine kucing manja paling gedik dengan semua orang, Berjalan jauh pun aku sanggup bawa. 

Bekas minuman jangan letak berhampiran ia, pasti ia turut minum sekali


Pernah satu hari dak Nuha bertanya pada aku..
'Ibu, kalau tiba-tiba dak Jasmine bunting, siapa nak jaga anak-anaknya nanti?'
'Apa susah, ibu jual Jasmine dengan anak-anaknya sekali'.

Reaksi Jasmine..?
Terus pusingkan muka tak nak pandang aku dan sekarang bila aku dukung dan peluk ia, terus mengelak tak mahu. Adan uke Mak Budak.. usik Jasmine lagi.
Begitulah dak Jasmine.. si kecil berbulu yang penuh ragam. Kadang buat geram, kadang buat hati cair. Satu je pasti  walau ia tak selalu manja, bila bekas makanannya kosong, terus jadi kucing paling manja. Ah..! Pandai betul ia main hati.. ❤️

Apa-apa pun, moga rutin harian kami dipermudahkanNYA.

@RemajaPurba: Rindu dak Adik..

Sunday, August 10, 2025

PETANG YANG BERMULA DENGAN CEMAS


06 Ogos 2025 (12 Safar 1447H)

Petang yang Tak Dijangka..
Waktu melangkah ke tempat parking, hati tiba-tiba rasa tak sedap. Air apa pula yang melimpah ni? Pandang bawah, nampak sedikit banjir di petak parking kereta sendiri. Dalam masa yang sama, aircond kereta pula tak sejuk macam biasa. Petanda awal nak breakdown rupanya.


Dalam perjalanan balik, aku cuba hubungi en. hubby. Nak bagi tahu awal tentang keadaan kereta – mana tahu kalau jadi apa-apa tengah jalan. Tak nak ambil risiko lebih besar, aku mencari ruang untuk berhenti di tepi jalan. Biarlah aku ‘mengalah’ dulu sebelum kereta buat hal yang lebih teruk.

Waktu ini dah pukul lima petang

Tapi satu hal lagi — aku ada boss dalam kereta. Takkan nak biar dia tunggu sekali dengan aku tepi jalan? Aku segera menghubungi seorang rakan sekerja, meminta tolong tumpangkan boss pulang. Mujur akak tu baru sahaja bersiap untuk pulang dari tempat kerja. Lega. Selesai satu masalah.

Sementara menunggu towing tiba, muncul pula Polis Peronda Lebuhraya. Jika selama ini aku hanya melihat orang kena tahan polis, kali ini aku pula rasa seperti sukarela 'menyerah diri'. Bukan sebab buat salah tapi berhenti — gara-gara kereta tengah merajuk di tepi jalan.


Mereka berhenti dan bertanyakan keadaan..
'Kenapa berhenti di sini?'
'Saya rasa kereta overheat?'
'Dah matikan enjin?'
'Dah, saya dah matikan. Sekarang ni tengah tunggu towing datang. Lagi 15 minit sampai'.
'Oklah kalau macam tu..'

Salah seorang dari mereka membantu meletakkan kon keselamatan di belakang kereta sebelum meneruskan rondaan. Tinggallah aku seorang di tepi jalan, berharap bantuan tiba segera — dan semoga tidak perlu menunggu hingga hari gelap.

Tidak lama kemudian, towing pun tiba. Kali ini bukan sekadar tarik biasa, tapi terus naik carrier. Perasaannya bercampur-baur — lega kerana bantuan akhirnya sampai, namun tetap risau memikirkan kos dan punca sebenar kerosakan.

'Test Your Airbag Here'
Ada sejarah disebalik quote tersebut..
Pernah dilanggar dari arah belakang oleh motosikal, rupanya dia mengantuk tak sempat nak elak.


Berhadapan dengan kesesakan jalan raya.

Sebenarnya, pada waktu begini semua jenis lori tidak dibenarkan berada di atas highway. Aku pula baru teringat perkara itu ketika hampir tiba di plaza tol sebelum memasuki lebuh raya, tapi kami tetap teruskan perjalanan. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan. Sampai di rumah, hari sudah pun gelap. En. hubby sudah sedia menunggu. 

Towing..?
Rasa bersyukur sangat kerana adik lelaki kami dak Emy tiada urusan di luar kawasan. Dengan dialah aku minta pertolongan (sebenarnya dia ni adik kepada arwah sahabat baik en. Hubby). Aku ni.. bila kereta rosak, selain en. Hubby, dialah yang aku harapkan.

Kadang-kadang, hari kita tak berjalan seperti yang dirancang. Tapi dalam setiap yang tak dijangka tu, tetap ada ruang untuk syukur. Syukur ada yang sudi bantu, ada yang sanggup dengar luahan dan yang paling penting – ujian kecil di tengah perjalanan mengajar kita bahawa pertolongan Allah sentiasa dekat — asalkan hati masih sudi bersyukur.
Kereta rosak.. tapi tetap pulang dengan syukur..

@RemajaPurba: ..

Saturday, August 9, 2025

KHABAR DUKA DARI KAMPUNG DI JOHOR


02 Ogos 2025 - Sabtu (8 Safar 1447H)

Pagi..
Mengambil dak Kakak pulang kerana cuti semester sudah bermula. Dak Nuha ada kawan selepas abangnya, dak Adik melanjutkan pelajaran di [SINI].



Tengah hari..
Sementara dak Kakak dengan dak Nuha melakukan 5S [Sisih, Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa Amal] di dalam bilik mereka, aku ambil peluang berehat. Letih sangat badan, mata pula asyik tersengguk-sengguk menahan mengantuk tapi tetap cuba mencari idea untuk update blog tapi..

Petang..
Sekitar pukul empat petang, aku dikejutkan dengan panggilan dari kampung di Johor, mak saudara aku telah meninggal dunia pukul 2:50 petang.

Tak tunggu lama, sejam kemudian kami terus bertolak ke Selatan. Dak Jasmine pula macam mana? Asalnya nak hantar dak Jasmine ke hotel tapi en. Hubby dah minta bantuan kakaknya a.k.a mySIL tolong jagakan. Ok, selesai satu hal. 

Perjalanan yang terasa panjang kerana perlu berhadapan dengan kesesakan jalan raya. Kami sampai di surau kawasan rumah Paklong sebelum solat Isyak dan aku sempat melihat jenazah waktu sedang dikapankan. Rezeki dak Kakak dan Nuha cuma kami tak sempat ambil dak Adik untuk di bawa sekali kerana mengejar masa. Dak Adik pun faham situasi dan minta kami berhati-hati sepanjang jalan.

Paklong sendiri terkejut kami sempat sampai dari jauh. Dia tanya, 'Dari mana kamu tahu?'
'Dak Ida yang telefon', aku jawab. 'Dapat je berita, terus kami gerak balik'.

Tenangnya Paklong.. tak nampak langsung air mata, malah dia yang tenangkan kami agar jangan menangis. Wajahnya jelas keletihan — katanya tiga hari terakhir ni dia hampir tak tidur jaga arwah.

Lepas solat Isyak, jenazah disolatkan dan juga turut dibuat tahlil ringkas sebelum dibawa terus ke tanah perkuburan. Alhamdulillah, selesai urusan mengenai arwah, kami kembali ke rumah Paklong, bertanya khabar dan mendengar Paklong bercerita keadaan arwah sebelum pemergiannya.

Bukan kami tak mahu bermalam di rumah Paklong tapi kami faham, anak-anak beliau perlukan ruang untuk menguruskan semuanya dengan tenang. Kami cuma berpesan pada anak-anak beliau, sekiranya ada apa-apa, jangan lupa bagitahu kepada kami.

Sedih nak tinggalkan paklong.. hanya doa mengiringi. Hampir lewat malam kami bertolak balik ke rumah mak saudara aku, 

'Selamat Datang ke Daerah Tangkak'

Sebelum kami keluar ke Plaza Tol Tangkak, kami sempat singgah di sebuah kedai makan kerana dak Nuha sudah merengek lapar. Selesai makan, waktu hendak membayar terasa seram pula — rupa-rupanya sudah tengah malam, dan pembayaran secara online tidak dapat dilakukan. Mujur ada wang tunai dalam tangan. Fuh… kalau tidak, jawabnya kena masuk dapur kedai basuh pinggan..!

Laici kang - cantik bekasnya

Kami ambil keputusan untuk terus ke rumah mak saudaraku di Melaka — untuk menjenguk dak Adik. Perjalanan diteruskan perlahan-lahan, en. Hubby mengantuk, berhenti rehat sekejap di RnR sebelum menyambung semula pemanduan. Aku pula memang tak larat nak memandu dan en. Hubby memang tak benarkan pun.

Alhamdulillah, kami selamat sampai sekitar jam dua pagi. Sunyi malam terasa panjang, tapi aku tahu — dalam kepenatan hari ini, Tuhan sedang ajar sesuatu. Tentang masa. Tentang kehilangan. Tentang menghargai mereka yang masih ada, sebelum kita hanya mampu menatap mereka untuk kali terakhir. 


Moga Allah merahmati roh mak saudaraku, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang beriman. Dan buat kami yang masih di sini, semoga terus diberi kekuatan untuk menghargai hidup — selagi waktu masih berbaki.


Sebab Kematian: Ischemic Heart Disease (IHD)
Merujuk kepada masalah bekalan darah yang tidak mencukupi ke otot jantung. Ia biasanya berlaku disebabkan salur darah ke jantung (arteri koronari) menjadi sempit atau tersumbat — selalunya kerana pembentukan plak kolesterol (aterosklerosis).
Maksud ringkas: Jantung tak dapat cukup oksigen sebab aliran darah terganggu — ini boleh menyebabkan sakit dada (angina) atau serangan jantung (myocardial infarction).


==================================

03 Ogos 2025 - Ahad (9 Safar 1447H)

Pagi Berehat seketika sebelum memulakan perjalanan pulang. Kali ini terasa lain kerana dak Adik perlu ditinggalkan. Demi masa depan, usaha dan sabarlah, Adik. Walau jarak tidak sejauh mana, hati ibu tetap terasa — cuma sedikit terubat bila tahu dak Adik masih di bawah pengawasan keluarga.

Petang Hampir lewat petang, kami tiba di rumah mySIL untuk mengambil dak Jasmine pulang. Penat mula terasa, apatah lagi Isnin nanti sudah kembali bekerja.

Malam..
Hanya berehat di rumah..

@RemajaPurba: [Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu, Shitsuke]

Friday, August 8, 2025

HADIAH BIRTHDAY - CERMIN MATA


30 Julai 2025 - Rabu (5 Safar 1447H)

Sambungan dari [SINI]

Membuat pembelian di kedai cermin mata di kampung sempena belated birthday en. Hubby. Walau tak mampu membelikan yang mahal tapi dah berniat untuk menggantikan cermin mata yang patah sebelum ini.

Awalnya sekadar singgah untuk melihat-lihat tapi terus telan air liur bila nampak harganya. Namun, demi keselamatan dan kegunaan harian terutama ketika memandu — akhirnya terjebak juga membelinya. Tidaklah mahal, belanja pun ikut kemampuan. Asalkan en. Hubby selesa dan boleh guna, itu sudah cukup untuk rasa syukur.

Memandangkan cermin mata tersebut tak sempat disiapkan pada hari yang sama, pihak kedai akan mengeposkannya terus ke rumah.
Hari ini berakhir dengan senyum puas, belum tahu bahawa esok akan membawa cerita lain..

====================================

02 Ogos 2025 - Sabtu (8 Safar 1447H)

Cermin mata selamat diterima ketika kami dalam perjalanan ke luar negeri untuk mengambil dak Kakak. Pihak kedai telah menghantarnya melalui pos dan alhamdulillah kami terima dalam keadaan baik.

Cermin mata itu bertambah cantik bila dikelilingi - BTS
[RM, Jin, Suga, JHope, Jimin, V, Jungkok]
My bias is RM and Jimin - sempat lagi nak bagitahu..

Happy Belated Birthday Babah budak di [SINI]

Cermin mata itu selamat sampai tapi petangnya.. satu khabar duka dari selatan, membelah ketenangan yang baru terasa indah.

@RemajaPurba: ...

Thursday, August 7, 2025

BERMULA FASA BARU TANPA IBU DAN BABAH


01 Ogos 2025 - Jumaat (7 Safar 1447H) 

Sambungan dari [SINI]

Hari ini hari ketiga suai kenal dan juga hari terakhir sebelum dak Adik benar-benar melangkah masuk ke dunia pengajian yang sebenar. Dunia yang aku hanya mampu pandang dari jauh.

'Ibu rileks je, orang lelaki senang je dapat kawan nanti'Dalam diam, Tuhan aturkan satu kebetulan — rupa-rupanya ada juga kawan dari sekolah menengah yang menuntut di tempat yang sama dengan dak Adik, walaupun programnya berbeza. Sekurang-kurangnya, ada bayang yang dikenali.

Explorace bersama rakan sepasukan

Bagi aku.. aktiviti explorace adalah aktiviti yang paling menyeronokkan. Boleh hilang sekejap masalah yang ada bila masing-masing saling bantu dan bekerjasama mencari idea menyelesaikan tugasan yang diberikan. Dari tak kenal, dari rasa malu-maluakhirnya menjadi sahabat baik.

Dak Adik..?
Mungkin dunia baru ini boleh mengubah diri dan sikap Adik ke arah yang lebih baik.

Solat Jumaat pertama di Masjid di kampung

Tengah hari..
Adik sepupu aku menemani dak Adik menunggang sendiri motosikal ke masjid berdekatan dengan rumah bagi menunaikan solat Jumaat. 


Aku..?
Selepas hampir seminggu bercuti, aku kini kembali ke rutin bekerja seperti biasa. Dak Nuha pun sudah kembali ke sekolah selepas tiga hari cuti, cuma en. Hubby sahaja yang masih menikmati cuti. 

Kami tinggalkan Adik dengan seribu harapan. Bukan mudah untuk melepaskan tapi kami tahu ini adalah perjalanan yang harus dia tempuhi. Pandailah dia hidup berdikari walau hakikatnya bukan tinggal menyewa dengan rakan-rakan yang lain. Tapi rindu.. mana boleh elak. Biarpun anak nampak tenang, ibu tetap dihantui bayang — 'Cukup ke duit dia?' 'Okay ke makan dia?' 'Ada orang tolong ke kalau susah?'.  Aku hanya mampu memandang dari jauh sambil memeluk doa.

@RemajaPurba: Langkah kecil dak Adik, doa besar dari kami di rumah.

DAK ADIK TINGGAL, AKU BALIK

 
30 Julai 2025 - Rabu (5 Safar 1447H) 

Sambungan dari [SINI] dan [SINI]

Menjadi kebiasaan, bila balik kampung — mata meliar mencari apa yang ingin di bawa balik tapi kali ni tengok je, takde hati nak memetik walau sebiji buah lemon. 

'Pergilah tengok pokok sentul tu, buahnya dah masak ke belum? Monyet banyak sekarang'. Bila aku tengok, buahnya belum cukup masak untuk dipetik tapi banyak buahnya. Pokok sentul ni, benihnya aku ambil dari kampung mak aku dan tanam di rumah Pak Busu. Sekarang, membesar dengan sihat dan berbuah lebat pula tu cuma belum rezeki untuk merasa buahnya. Aduh.. kecur liur dibuatnya.

Pokok Sentul

Buah Sentul


Sempat juga aku menjenguk tanaman Pak Busu. Cili padi merah menyala, elok tersusun atas tangkai — tapi kali ni aku biarkan saja. Mood nak memetik tu tiada, mungkin sebab fikiran masih tertumpu pada dak Adik. Sekarang ni, Pak Busu lebih banyak luangkan masa dengan kambing-kambing peliharaannya. Manakala Mak Busu pula akan turun membantu bila ada masa dan tenaga mengizinkan. Maklumlah, beliau masih mengajar sesi petang di sekolah — penatnya bukan calang-calang.

Merah Menyala


Tak banyak yang mampu dijaga rapi, tapi begitulah hidup. Kadang-kadang apa yang kita harap tak menjadi, yang kita rancang pun tak selalu jadi. Akhirnya kita belajar untuk terima seadanya — asalkan masih ada yang hidup, itu pun dah cukup untuk disyukuri.


====================================

31 Julai 2025 - Khamis (6 Safar 1447H) 

Pagi..
Adik sepupu aku ditugaskan untuk menghantar dak Adik buat sementara. Ini kerana borang kebenaran membawa motor ke tempat pengajian belum diserah lagi kepada pihak pengurusan.

Selesai dak Adik pergi ke tempat pengajian untuk hari kedua sesi suaikenal, kami bersedia untuk bergerak pulang. 'Lepas ni, belajarlah berdikari ye, Adik..'. 'Jangan malu nak minta tolong kalau ada masalah, jangan berat mulut'.
 
Nampak macam takde orang tapi kiri dan kanan tepi kedai tu ramai yang tengah makan.

Kami singgah sarapan di kedai ini waktu dalam perjalanan balik, nampak menarik dan suasananya tenang, makan pula bawah pokok mangga. Jangan tanya nama kedai dan lokasinya sebab aku tak tengok pun nama kedainya tapi menu yang kami pesan memang sedap: roti canai, mee goreng basah dan nasi lemak. Paling menarik, nasi lemaknya siap ada kangkung — kegemaran dak Nuha, berselera dia makan + tak nak kongsi pun dengan aku takut kangkungnya habis.

Selesai makan, kami singgah beli bahan mentah untuk dibawa ke rumah emak. Rezeki dapat jumpa emak, kebetulan mak baru balik dari cabut gigi. Alahai, mak malu-malu tutup mulut — comel pulak aku tengok.


Pokok Jambu Batu


Mak pelawa kami makan tengah hari tapi kami menolak dengan baik — bukan tak sudi, cuma tak nak susahkan mak. Lagipun kami baru je lepas makan. En. Hubby pun nak balik awal, takut tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Tak nak bertembung dengan orang balik kerja.

Sempat juga aku minta buah jambu batu yang bergayutan cantik di pokok jambu yang ditanam tepi rumah. Sayang nak makan, jambu tu masih elok tersimpan dalam peti sejuk. Emak pun bekalkan nenas, manis sungguh buahnya cuma aku terlupa nak ambil gambar.


Hampir sampai..

Alhamdulillah.. perjalanan pulang lancar dan sampai rumah pun awal. Petangnya baru kami ambil dak Jasmine dari hotelnya selepas siap digrooming. Nampak dia tak sabar nak keluar dari sangkar — biasalah, budak dah biasa bebas dalam rumah, bila dikurung mana mahunya. Staff hotel kata dak Jasmine tak banyak ragam, tak 'menangis' cuma bulunya banyak gugur. Mungkin stress, tak dapat tengok dunia luar agaknya.

Malam..
Selesai rutin harian, masa untuk berehat dan tidur. Ikutkan hati nak cuti lagi tapi esok dah mula kerja — ada tugasan urgent yang perlu diselesaikan.


Dak Adik..?
Bermulalah fasa hidup berjauhan dari ibu dan babah. Semoga dak Adik kuat semangat dan berjaya dalam bidang yang dipilih untuk sambung pengajian. Good luck and do your best, Adik. Semua ni untuk masa depan Adik. Tanggungjawab besar sedang menanti.

@RemajaPurba: …

Tuesday, August 5, 2025

SATAY BONDA - MASJID TANAH, MELAKA

 
30 Julai 2025 - Rabu (5 Safar 1447H) 

Hari kedua dak Adik sambung belajar — petang tu aku dan dak Nuha ikut En. Hubby ambil dia di kolej. Lepas tu kami ajak keluar makan, nak luang masa sikit sebelum dia makin sibuk dan tenggelam dalam dunia barunya. Dak Adik tak menyewa macam kawan-kawan lain, sebaliknya dia pilih untuk duduk dengan bapa saudaraku, rumah TokSu dia.

'Kenapa tak menyewa?' Itu memang pilihan dia sendiri. Katanya lebih selesa duduk dengan keluarga. Alhamdulillah.. sekurang-kurangnya ada juga orang yang boleh tengok-tengokkan dia bila aku jauh. Kurang sikit risau di hati ni.

Selepas mengambil dak Adik dari [SINI], kami terus mencari tempat makan kerana dak Adik lapar + penat. Kadang-kadang.. bila penat seharian, kita cuma nak sesuatu yang ringkas tapi puas — makanan yang sedap, tak terlalu fancy dan buat hati rasa selesa.

Dalam perjalanan menuju ke pantai, aku ternampak satu gerai di hadapan sebuah rumah — ada orang tengah bakar satay tapi waktu tu kami tak singgah pun sebab tak terlintas langsung nak makan satay. Kami teruskan je perjalanan ke pantai, konon nak cari makan kat sana tapi tak ada yang betul-betul menarik perhatian, mungkin sebab kami pergi bukan hujung minggu. Akhirnya, kami buat keputusan patah balik dan singgah di tempat satay yang aku nampak awal tadi dan ternyata pilihan tu memang tak salah.

Satay Bonda

Dekat bahagian beranda rumah tu pun boleh duduk makan


Sampai je, tengok-tengok dah ada beberapa meja yang penuh. Kami pun order satay daging, satay ayam dan nasi impit – standard SOP kalau makan satay kan? Kalau perhati betul-betul dalam gambar tu, tempat bakar satay elok je terletak berhampiran depan pintu masuk – bau satay dia memang tak bagi peluang nak buat-buat tak lapar. Air minuman pulak kat bahagian tepi, dekat belakang beranda rumah. Suasana kemas dan teratur, nampak bersih dan selesa. Mujur kami datang hari Rabu – tak terlalu ramai orang, jadi boleh duduk santai sambil menikmati hidangan tanpa rasa tergesa-gesa. Tapi kalau datang hujung minggu, mungkin perlu bersaing sikit untuk dapat tempat.


Daging dan Ayam

Satay dibakar depan mata atas bara hidup – bukan sekadar bau, tapi juga ujian iman untuk perut yang memang tengah berdondang sayang. Terus bagi hint: 'order cepat..!'  

Satay dia..?
Lembut, juicy, tak kering macam hubungan tanpa komunikasi. Rempah dia pun tak menjerit tapi cukup rasa.. 😆 Bagi aku.. sedap, kena dengan tekak. Boleh repeat order kalau mahu.

Lokasi..?
Tak jauh dari Masjid Al-Ehsan, Kampung Londang – sesuai sangat kalau lepas solat nak terus jamu tekak.


Kepada yang berminat nak cuba, bolehlah google tempat ni:
Satay Bonda turut terima tempahan untuk majlis atau kenduri. Harga berpatutan, rasa puas hati.
📍 Alamat: Batu 19 ½, Kampung Londang, 78300 Melaka
🕔 Waktu operasi: 5.30 petang – 10.00 malam
❌ Tutup setiap hari Selasa
📞 Tempahan dan pertanyaan: 018-366 8538


@RemajaPurba: Rindu dekat dak Adik..

Sunday, August 3, 2025

PENDAFTARAN PELAJAR BAHARU SESI I 2025/2026


28 Julai 2025 - Isnin (3 Safar 1447H)

Sehari sebelum..
Segala keperluan disiapkan agar tiada yang tertinggal. Dari baju, barang keperluan, hinggalah pesanan yang aku dok ulang-ulang. Ada waktu aku diam je, bukan sebab letih badan tapi sebab hati tengah belajar nak lepaskan. Aku memang boleh senyum tapi dalam hati macam-macam rasa..
'Boleh ke anak aku jaga diri sendiri nanti?'
'Pandai ke dia bangun pagi sendiri?'
'Dia ingat tak aku kalau tak nampak depan mata?'

Macam-macam rasa bersilih ganti — bangga, risau dan rindu tapi aku tahu, ini sebahagian daripada proses membesar untuk dia dan untuk aku juga.


======================================

29 Julai 2025 - Selasa (4 Safar 1447H)

Aku mengambil peluang cuti rehat tetapi cuti empat hari bukan untuk bercuti. Bukan juga untuk bersantai di tepian pantai tapi untuk melepaskan satu jiwa kecil yang dah makin besar ke tempat dia akan mula kenal hidup — tanpa kami.

Awal pagi kami bertolak menuju ke Selatan dengan segala barang-barang telah siap disusun dalam kereta malam tadi. Alhamdulillah, perjalanan lancar dan sempat singgah berehat di rumah ibu saudaraku sementara menunggu hari siang.


Pukul sepuluh pagi — Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi I 2025/2026. 
Pengarah, Encik Razali Bakri turut menyantuni ibu bapa dan pelajar yang mendaftar. Tenang dan tersusun suasana — semua hadir dengan harapan dan debaran yang sama. Sesi taklimat dan soal jawab bersama ibu bapa pun berjalan dengan lancar. Alhamdulillah..

Pengarah ke-sebelas

TAPI..
Ketika orang lain sempat bergambar kenangan di hari pertama anak melapor diri, aku tiada satu pun. Bukan tak sempat, tapi langsung tak terlintas. Mungkin kerana kepala masih ligat pastikan semua cukup, hati masih sibuk belajar redha.

Aku juga tidak kongsi apa-apa di media sosial — tak ada cerita panjang, tak ada gambar anak beratur bawa fail, tiada caption sedih ataupun #FirstDay. Hanya di sini aku menulis — tempat aku boleh menangis dalam ayat tanpa perlu menjelaskan apa-apa kepada sesiapa.
Kadang-kadang, aku sendiri tertanya.. Siapa sebenarnya yang sedang belajar berdikari  anak yang melangkah pergi atau aku yang terpaksa belajar hidup dengan kehilangan yang sedikit demi sedikit..?

======================================

30 Julai 2025 - Rabu (5 Safar 1447H)

Pagi - hujan turun lebat membasahi bumi..

Bukan mudah nak lepaskan anak untuk sambung belajar tapi percayalah, dengan ilmu dan bimbingan yang betul, pasti boleh melangkah lebih jauh. Insya-Allah, dak Adik dan mereka yang lain dalam tangan yang baik ❤️ Langkah pertama hari ini, semoga menjadi permulaan kepada kejayaan besar esok hari.


Petang.. hari pertama sesi suaikenal..
Hanya ini yang dapat kujadikan kenangan..

Semoga Allah sentiasa memelihara dak Adik di tempat barunya. Semoga dia kuat menyesuaikan diri dan semoga aku perlahan-lahan belajar erti redha — walau hati masih belum bersedia sepenuhnya. 'Belajarlah, wahai anak. Dunia mungkin luas, langkahmu makin jauh — tapi doa seorang ibu, itulah yang paling dekat dan tak pernah putus'.

@RemajaPurba: #SabardanFokus

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...