Followers Remaja Purba

Sunday, August 3, 2025

PENDAFTARAN PELAJAR BAHARU SESI I 2025/2026


28 Julai 2025 - Isnin (3 Safar 1447H)

Sehari sebelum..
Segala keperluan disiapkan agar tiada yang tertinggal. Dari baju, barang keperluan, hinggalah pesanan yang aku dok ulang-ulang. Ada waktu aku diam je, bukan sebab letih badan tapi sebab hati tengah belajar nak lepaskan. Aku memang boleh senyum tapi dalam hati macam-macam rasa..
'Boleh ke anak aku jaga diri sendiri nanti?'
'Pandai ke dia bangun pagi sendiri?'
'Dia ingat tak aku kalau tak nampak depan mata?'

Macam-macam rasa bersilih ganti — bangga, risau dan rindu tapi aku tahu, ini sebahagian daripada proses membesar untuk dia dan untuk aku juga.


======================================

29 Julai 2025 - Selasa (4 Safar 1447H)

Aku mengambil peluang cuti rehat tetapi cuti empat hari bukan untuk bercuti. Bukan juga untuk bersantai di tepian pantai tapi untuk melepaskan satu jiwa kecil yang dah makin besar ke tempat dia akan mula kenal hidup — tanpa kami.

Awal pagi kami bertolak menuju ke Selatan dengan segala barang-barang telah siap disusun dalam kereta malam tadi. Alhamdulillah, perjalanan lancar dan sempat singgah berehat di rumah ibu saudaraku sementara menunggu hari siang.


Pukul sepuluh pagi — Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi I 2025/2026. 
Pengarah, Encik Razali Bakri turut menyantuni ibu bapa dan pelajar yang mendaftar. Tenang dan tersusun suasana — semua hadir dengan harapan dan debaran yang sama. Sesi taklimat dan soal jawab bersama ibu bapa pun berjalan dengan lancar. Alhamdulillah..

Pengarah ke-sebelas

TAPI..
Ketika orang lain sempat bergambar kenangan di hari pertama anak melapor diri, aku tiada satu pun. Bukan tak sempat, tapi langsung tak terlintas. Mungkin kerana kepala masih ligat pastikan semua cukup, hati masih sibuk belajar redha.

Aku juga tidak kongsi apa-apa di media sosial — tak ada cerita panjang, tak ada gambar anak beratur bawa fail, tiada caption sedih ataupun #FirstDay. Hanya di sini aku menulis — tempat aku boleh menangis dalam ayat tanpa perlu menjelaskan apa-apa kepada sesiapa.
Kadang-kadang, aku sendiri tertanya.. Siapa sebenarnya yang sedang belajar berdikari  anak yang melangkah pergi atau aku yang terpaksa belajar hidup dengan kehilangan yang sedikit demi sedikit..?

======================================

30 Julai 2025 - Rabu (5 Safar 1447H)

Pagi - hujan turun lebat membasahi bumi..

Bukan mudah nak lepaskan anak untuk sambung belajar tapi percayalah, dengan ilmu dan bimbingan yang betul, pasti boleh melangkah lebih jauh. Insya-Allah, dak Adik dan mereka yang lain dalam tangan yang baik ❤️ Langkah pertama hari ini, semoga menjadi permulaan kepada kejayaan besar esok hari.


Petang.. hari pertama sesi suaikenal..
Hanya ini yang dapat kujadikan kenangan..

Semoga Allah sentiasa memelihara dak Adik di tempat barunya. Semoga dia kuat menyesuaikan diri dan semoga aku perlahan-lahan belajar erti redha — walau hati masih belum bersedia sepenuhnya. 'Belajarlah, wahai anak. Dunia mungkin luas, langkahmu makin jauh — tapi doa seorang ibu, itulah yang paling dekat dan tak pernah putus'.

@RemajaPurba: #SabardanFokus

No comments:

Post a Comment

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...