Ada orang mudah membandingkan masakan isteri dengan masakan ibunya tanpa sedar setiap perkataan yang keluar dari mulut boleh meninggalkan luka di hati. Kenapa nak bandingkan sesuatu yang memang dari awal tak pernah sama? Jangan pernah bandingkan, it take times to adapt a new environment.
'You masak sedap tapi tak boleh lawan masakan mak Ai..'
Ayat itu mungkin kedengaran biasa bagi sesetengah orang tapi bagi orang yang bertungkus-lumus di dapur, ia boleh meninggalkan rasa yang sukar digambarkan. Kita semua dibesarkan dalam keluarga yang berbeza, cara memasak berbeza, sukatan berbeza, resipi berbeza malah air tangan pun berbeza. Jadi, bagaimana mungkin semuanya boleh sama?
Bukan soal sedap atau tidak. Soalnya, hargai usaha orang yang sudah bersusah payah menyediakan makanan. Seorang isteri bukan sedang berlumba untuk mengatasi masakan ibu mentuanya. Dia hanya sedang belajar menyesuaikan diri dengan keluarga yang baru dan tentu itu akan mengambil masa.
— Cara Didikan Berbeza —
Sebelum lidah memilih untuk membandingkan, biarlah adab mendahului setiap kata.
Adab menghargai usaha lebih penting daripada membandingkan rasa. Jika seseorang sudah memasak untuk kita, ucapkan terima kasih. Jika ada yang kurang, berilah cadangan dengan baik. Tidak perlu membandingkan dengan masakan orang lain sehingga menjatuhkan semangatnya.
Didikan setiap keluarga tidak sama, begitu juga masakan. Sebab itu, anak-anak juga perlu diajar bahawa menghargai usaha seseorang jauh lebih penting daripada membuat perbandingan yang tidak membawa manfaat.
Tidak salah merindui masakan ibu kerana itulah rasa yang membesarkan kita sejak kecil tapi bila sudah berumah tangga, belajarlah hargai setiap usaha pasangan yang sanggup memasak untuk kita. Masakan mungkin belum sempurna tapi penghargaan dan kata-kata yang baik mampu memberi semangat untuk terus belajar.
#RemajaPurba: Didikan pun tak sama, lagikan masakan..
No comments:
Post a Comment