22 Jun 2026 - Isnin [6 Muharram 1448H]
Sejak semalam aku dah mula rasa dedor, kesan daripada kurang tidur kerana berjaga menjaga dak Nuha. Badan terasa lenguh dan tidak selesa walaupun dah cuba berehat dan tidur.
Pagi..
Hari ni aku cuba menjalani rutin seperti biasa, gagahkan diri untuk ke tempat kerja. Bukan sebab aku terlalu kuat atau taksub dengan kerja tapi ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan. Kadang-kadang, walaupun badan minta untuk berehat, ada perkara yang perlu diutamakan terlebih dahulu.
Petang..
Memandangkan keadaan aku kurang baik dan kepala semakin berat, aku mohon kebenaran balik awal bagi mendapatkan rawatan di klinik. En. Hubby menemani aku sepanjang urusan tersebut. Aku tak demam, cuma sakit kepala yang agak teruk. Balik rumah, lepas seleai makan ubat yang dibekalkan, aku terus berehat.
Malam..
Berehat di rumah, dari sakit kepala biasa membawa kepada migrain. Bila dah kena migrain memang serba serbi rasa tak selesa.
— bila tidak sihat —
Kadang-kadang kita terlalu sibuk memenuhi tuntutan hidup sehingga terlupa bahawa tubuh juga mempunyai hak untuk berehat. Apabila badan mula memberi isyarat, dengarlah sebelum ia memaksa kita untuk berhenti.
Buat masa ini, aku hanya mahu berehat secukupnya dan beri peluang kepada diri untuk pulih. Moga esok aku makin baik, badan kembali bertenaga dan urusan harian dapat diteruskan seperti biasa. Moga Allah mengurniakan kesembuhan, mengembalikan tenaga yang hilang dan menguatkan kembali tubuh ini dengan izin-Nya.. Aamiin..
#RemajaPurba: ..
No comments:
Post a Comment