Followers Remaja Purba

Monday, July 14, 2025

CERITA DISEBALIK LAPORAN KESIHATAN DAK ADIK


Pengalaman semasa dak Kakak dahulu..
Aku terpaksa ceritakan kembali di sini kerana selepas dicari, rupanya tiada langsung catatan mengenai perjalanan pemeriksaan kesihatan dak Kakak. Ralat rasanya kerana tiada sebarang catatan di sini. Memandangkan ketika itu baru setahun lebih negara pulih dari serangan Covid-19, segala urusan di klinik mahupun hospital, perlu membuat temujanji melalui online, tiada walk-in

Aku ketika itu..?
Sekiranya tempat yang aku tuju tidak familiar, aku akan hubungi dahulu untuk memudahkan urusan  cuti rehat — supaya lebih bersedia dan tidak kelam-kabut. Semua urusan ketika itu, aku buat di Klinik Kesihatan berdekatan. Waktu itu, perlu muat turun dahulu aplikasi temujanji klinik, pilih tarikh dan hadir pada tarikh yang ditetapkan. Urusan dak Kakak ketika itu berjalan dengan baik, cuma perlu datang semula untuk pemeriksaan air kencing. Kenapa..? Result tidak jelas kerana ada darah ok faham jelah waktu itu. Apa-apapun, Alhamdulillah.. keputusan kali kedua tiada masalah dan proses dokumentasi lengkap dan dibawa pada hari dak Kakak lapor diri mengikut jadual.


Itu kisah mengenai dak Kakak.
Kali ini kisah mengenai dak Adik pula. Aku rangkumkan perjalanan pengalaman pemeriksaan kesihatan dak Adik yang sedikit mendebarkan dan agak menekan emosi. 

Pada 16 Jun 2025 yang lepas, keputusan melalui UPUONLINE telah keluar dan dak Adik telah berjaya mendapat tempat di Selatan tapi surat tawaran 'setuju terima' hanya dibuat pada 22 Jun 2025.

Kenapa..?
Jujurnya, aku tertekan dengan en. Hubby — bukan kerana dia tidak mengizinkan dak Adik pergi, tetapi kerana dia lebih cenderung mahukan dak Adik belajar di tempat pilihannya. Pada awalnya aku sangka permohonan ke tempat itu telah diuruskan oleh en. Hubby, rupanya tidak. Demi menjaga hati dan memuaskan kehendaknya, aku ambil inisiatif menghubungi institusi tersebut — bertanya tentang prosedur permohonan dan proses pengambilan pelajar. Alhamdulillah, pegawai yang dihubungi sangat membantu dan menjawab semua persoalan yang aku ajukan. Tanpa berlengah, aku terus uruskan permohonan secepat mungkin. Sama ada diterima atau tidak, hanya diketahui pada 22 Jun 2025.

Kepada en. Hubby, aku tegaskan; sekiranya permohonan dak Adik ditolak, aku tidak akan mulakan proses rayuan. Sebaliknya aku akan terima yang di Selatan. Bukan tak setuju cuma aku tak suka buat kerja last minute. Kisah awal di [SINI] dan inilah antara sebab kenapa lambat memproses dokumen berkaitan dak Adik. 


27 Jun 2025 - Jumaat (1 Muharram 1447H)

Hari ini aku menemani dak Adik membuat pemeriksaan kesihatan di klinik swasta di sini. Ini pun selepas aku bertanya dan mendapatkan kepastian kepada pegawai pengambilan kemasukan pelajar di Selatan adakah dibenarkan membuat pemeriksaan di klinik swasta selain dari Klinik Kesihatan. Tapi.. memandangkan hari Jumaat merupakan cuti umum, maka keputusan tersebut akan diketahui pada esoknya. Aku sempat pesan kepada staff klinik agar dapat percepatkan keputusannya kerana dokumen tersebut perlu diposkan dan mesti sampai sebelum 13 Julai 2025.


28 Jun 2025 - Sabtu (2 Muharram 1447H)

Hanya pada pukul tiga petang barulah keputusan keluar. Bila berjumpa semula dengan doktor, dak Adik sangkut pada ujian air kencing. Doktor terangkan beberapa kemungkinan berdasarkan keputusan makmal — akhirnya, doktor di klinik keluarkan surat rujukan ke hospital. Berderau darah aku saat doktor beritahu ada kemungkinan disebabkan kehadiran darah dalam ujian air kencing dak Adik.

Ketika itu aku benar-benar tertekan, sampai agak lama aku duduk dalam kereta memikirkan apa langkah seterusnya. Sempat juga aku hubungi en. Hubby untuk minta pandangan sebelum buat keputusan.


30 Jun 2025 - Isnin (4 Muharram 1447H)

Petang..
Setelah berbincang dengan en. Hubby, aku ambil keputusan untuk teruskan proses penghantaran dokumen dak Adik ke Selatan — walaupun belum sempat berjumpa doktor di hospital. Kami tak mahu berlengah dan hanya mampu bertawakkal. Alhamdulillah, dokumen selamat sampai ke Selatan pada 2 Julai 2025 di [SINI]. 


01 Julai 2025 - Selasa (5 Muharram 1447H)

Pagi..
Bawa dak Adik ke hospital. Tiba di kaunter, aku terangkan masalah dak Adik. Awalnya pihak hospital meminta kami ke Klinik Kesihatan, tapi aku jelaskan tarikh temujanji online yang terdekat telah penuh. Selepas aku menerangkan apa yang berlaku pada doktor bertugas, akhirnya kami dibenarkan untuk masuk berjumpa doktor selepas selesai di kaunter utama. Hampir tengahari, keputusan ujian air kencing dak Adik pun keluar.

Doktor : Result anak puan normal, saya pun tak faham kenapa pihak klinik minta puan ke hospital                        untuk dapatkan rawatan. Result awal ni plus minus je puan, takde isu apa-apa pun.

Aku     : Saya risau, sebab tu saya bawa ke hospital ni doktor. Lagi pun tak lama lagi dia nak ke                           Selatan.

Doktor : Saya faham tu puan, tapi puan jangan risau. Keputusan ujian air kencing anak puan normal.

Lega bila tengok keputusan tu — harapnya tak timbul sebarang isu nanti. Insya-Allah, masa hari pendaftaran nanti, aku akan lampirkan sekali sebagai rujukan.


04 Julai 2025 - Jumaat (8 Muharram 1447H)

Pagi..
Aku uruskan pembukaan akaun dak Adik di bank di sini. Seronok betul dak Adik bila dapat sekeping kad bank sendiri — teruja sungguh wajah dia. Belum sempat guna pun, dah minta Babahnya topup duit dalam akaun.

Katanya.. 'Senang sikit nanti nak beli makanan, tak payah minta duit tunai dah'. Aku cuma mampu geleng kepala sambil senyum. Dalam hati aku terdetik, 'Alamak.. makin laju duit melayang nanti'. Tapi tak apalah, asalkan dia belajar urus belanja sendiri — walaupun bab 'menabung' tu masih perlukan banyak motivasi dan tazkirah dari kami.


Alahai anak.. belum pun lagi duduk berjauhan. Sekilas rasa sebak pun ada — dari tangan kecil yang dulu aku pimpin, kini dah mula belajar berdiri sendiri. Moga langkah dak Adik nanti dipermudahkan dan dia terus kuat menempuh dunia luar yang bakal menantinya.


Alhamdulillah…
Satu demi satu urusan dipermudahkan. Tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum dak Adik melangkah ke dunia baru di Selatan. Dalam tempoh yang berbaki ini, aku mahu siapkan segalanya sebaik mungkin — bukan sekadar keperluan fizikal, tapi juga kekuatan emosi untuk diriku. Moga Allah permudahkan setiap langkahmu Adik.

Perjalanan anak ke dunia baru bakal bermuladan seorang ibu hanya mampu berdoa dari jauh, sambil menyembunyikan sebak di balik senyum.

@RemajaPurba: ...

No comments:

Post a Comment

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...