Followers Remaja Purba

Tuesday, February 13, 2024

Hari Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Rendah Agama


Sambungan dari SINI..

8 Februari 2024 - Rabu

Menghadiri jemputan pihak sekolah bagi Hari Kecemerlangan Anugerah Murid Tahun 2023 di Sekolah Renda Agama (SRA) di sini. Dak Nuha antara salah seorang penerima anugerah dan dak Kakak turut menemani aku ke sekolah.

Majlis dimulakan dengan ucapan dari Guru Besar:
Syabas dan tahniah diucapkan kepada para penerima anugerah, jadikan anugerah ini sebagai titik permulaan menuju ke arah yang lebih cemerlang. Untuk makluman ibubapa, Hari Orientasi Murid Tahun 2024 akan dilaksanakan pada 1 Mac 2024. Surat makluman untuk program tersebut akan dimaklumkan dalam group whatsapp kelas masing-masing.

Bilangan murid Tahun Satu bagi sesi 2024 ini bertambah daripada 290 orang kepada 311 orang. Daripada enam kelas kini menjadi tujuh kelas. Bayaran yuran sekolah, yuran PIBG dan buku tulis akan bermula pada 5 Mac 2024. Bayaran yuran akan dilaksanakan secara online sahaja melalui settlepay. 

Bermula pada tahun 2024 ini, Penilaian Bilik Darjah (PBD) Tahun Enam akan dilaksanakan seperti mana Tahun Satu hingga Lima dengan menekankan pentaksiran melalui aktiviti di dalam kelas dan latihan bertulis melalui lembaran kerja yang dilaksanakan oleh guru sepanjang tahun mengikut sukatan yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Murid akan dinilai melalui PBD sebanyak 60% dan penilaian di dalam bentuk tulisan sebagai pengukuhan, Keputusan murid akan diberi melalui:
  • Mumtaz (Cemerlang)
  • Jayyid Jiddan (Sangat Baik)
  • Jayyid (Baik)
  • Maqbul (Lulus)
  • Musaadah (Perlu Bimbingan)
Tiada lagi nombor dalam kedudukan yang diberikan kepada murid dalam pelaksanaan PBD dan Pengkelasan juga tidak berlaku untuk Tahap Satu.

Pencapaian dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), Alhamdulillah ada sedikit peningkatan sebanyak 92.74%. Kejayaan ini baru permulaan, perjalanan masih jauh, teruskan usaha. Semoga murid-murid terus gigih untuk menempuh kejayaan di masa akan datang.


Kemudian, diikuti dengan ucapan dari Yang Dipertua, Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG):
Pihak PIBG mengucapkan penghargaan yang tiada penghujungnya kepada guru-guru yang tidak jemu mendidik, memberi tunjuk ajar kepada semua murid-murid sehingga berjaya seperti hari ini. Tidak dilupakan juga kepada murid-murid yang kurang berjaya supaya tidak berputus asa, teruskan berdoa dan usaha. Kepada murid-murid yang berjaya, diucapkan tahniah. Kepada ibubapa yang mendidik anak-anak membantu pihak sekolah sehingga anaknya berjaya, juga diucapkan tahniah. InsyaAllah, kejayaan anak-anak hari ini adalah hasil gandingan serta hubungan yang baik antara ibubapa, guru-guru, kakitangan sekolah serta masyarakat setempat. Semoga majlis hari ini akan meniup semangat yang positif kepada murid-murid yang berjaya khasnya dan kepada murid-murid di SRA ini amnya serta ibubapa untuk sama-sama terus mendidik anak-anak untuk mencapai matlamat pendidikan sebenar.

Hari ini adalah kayu ukur kepada prestasi pencapaian murid-murid bagi menilai tahap kefahaman serta penguasaan setiap mata pelajaran yang diajar di dalam kelas. Bagi pelajar yang berjaya, pihak PIBG sekali lagi mengucapkan terima kasih serta kepada yang masih belum berjaya jangan berputus asa. Teruskan usaha dengan bersungguh-sungguh.

Diharap pencapaian hari ini menjadi titik permulaan kepada pencapaian yang lebih besar kelak. Harus diingat, kejayaan hari ini sudah pasti datangnya dari usaha yang berterusan. Apa jua keputusan adalah aturan daripada Allah swt iaitu sebaik-baik perancang. Namun, jangan dilupa, sebagai hambaNYA, kita kena sentiasa memohon  dan meminta kepada Allah swt demi kejayaan anak-anak kita.

Selain itu, pihak sekolah bersama PIBG akan mengadakan Program Gotong-royong Perdana mengecat enam belas buah kelas pada 17 Februari 2024 ini. Pihak skolah berharap dengan kehadiran tuan/puan pada hari tersebut mendapat kerjasama yang baik selain dari masyarakat setempat. Moga dengan kehadiran tuan/puan sebagai menyokong usaha pihak sekolah.

Demi kelangsungan agama, bangsa anak melayu kita, sebolehnya cubalah pertimbangkan dan beri kerjasama kepada pihak sekolah yang memohon bantuan sumbangan, wakaf. Jangan segan atau malu untuk menyumbang. InsyaAllah, setiap rezeki itu Allah akan ganti dengan rezeki yang lebih baik. Untuk Mesyuarat Agung Tahun 2024 yang akan diadakan pada bulan Mei nanti, adalah diharap kehadiran ibubapa lebih ramai lagi supaya tiada ibubapa yang tercicir maklumat berkenaan dengan perkembangan SRA di sini. 

Kita selalu berdoa tetapi harus ingat, jadikanlah doa itu seperti air yang kita perlukan setiap hari. Allah swt tidak pernah sekali tidak mendengar doa kita dan mungkin ada antara doa kita hari ini akan diangkat hijabnya dan dimakbulkan oleh Allah swt.

Sedikit pesanan.. Kita hidup di dunia ini sebenarnya ada tiga hari sahaja.
  • Hari Semalam - semestinya yang kita tak dapat ulang walaupun sekali. Kita kena cipta sebanyak mana kenangan dengan orang disekeliling.
  • Hari Esok - macam mana kita nak tunggu pun belum tentu kita akan sampai sebab kita tak tahu apa takdir kita sebaik kita keluar dari pintu dewan ini.
  • Hari Ini - adalah hari untuk kita betulkan hari semalam dan kita kena bawa bekal untuk hari esok.
Inilah yang selama ini dipegang untuk sentiasa berfikir secara positif, tidak berkira lebih kepada memberi dan kurang kepada meminta tetapi di dalam kes PIBG, saya tidak segan dan tidak malu untuk terus meminta untuk kegunaan sekolah dan murid-murid semua.


Urusetia Majlis:
Kejayaan bukanlah milik mutlak seseorang tetapi adalah himpunan doa dan sumbangan insan-insan yang berdiri teguh, berjalan seiring untuk membantu dalam mencapai kecemerlangan ibubapa, guru-guru dan rakan taulan yang saat ini berada dipuncak kegemilangan.


Diikuti dengan ucapan dari Pegawai Hal Ehwal Islam, Unit Pengajian Sepanjang Hayat, Pejabat Agama Islam Daerah di sini dan seterusnya merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Rendah Agama di sini bagi Tahun 2023:

Tahniah kepada pihak sekolah dan barisan ahli jawatankuasa yang telah melaksanakan majlis hari ini. Juga tahniah kepada barisan ibubapa yang anak-anaknya beroleh kecemerlangan dan kita nak meraikan anak-anak di atas usaha yang diberikan oleh mereka.

Saya yakin kedatangan tuan/puan adalah untuk meraikan anak-anak dan juga ingin mengetahui khabar berita sekolah anak kita bagaimana. Jadi, saya ingin kongsikan hala tuju anak-anak kita bila dah habis terutama yang Tahun Enam selepas habis belajar di SRA ini. Saya yakin ibubapa masih menantikan keputusan kemasukan Tingkatan Satu, Sekolah Agama Menengah (SAM), JAIS. Jika anak-anak tuan/puan tidak berjaya memasuki SAM, JAIS, sekolah di Kementerian ada banyak yang menawarkan kepada masyarakat untuk kelas aliran agama. Sebagai contoh di SMKA, Kuala Selangor, di SMK juga kita ada aliran agama yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepenuhnya. Ibubapa tidak perlu risau sekiranya anak-anak tidak berjaya memasuki SAM/SAMT,

Ramai ibubapa sedar pentingnya anak-anak kita belajar agama. Saya hanya bukakan jalan, jangan hanya tertumpu pada SAM, bawah Kementerian pun ada. Kalau tidak dapat di SAM atau SMKA, masih ada Maahad Tahfiz yang bertauliah. Saya yakin dengan ekonomi semasa, tuan/puan akan menghantar anak-anak ke sekolah kerajaan berbanding sekolah swasta ataupun tahfiz. Sekiranya tuan/puan berminat untuk hantar anak ke sekolah persendirian atau tahfiz, cuba tanya sekolah tersebut setahun berapa ramai anak muridnya yang 30 juzuk. Kalau yang berjayanya seorang, dua orang - tak payah hantar. Ini kerana saya juga memantau sekolah swasta di daerah ini. Atas pemantauan tersebut, honestly mendukacitakan. Kebanyakkan sekolah tahfiz hanya nak duit dari parents, minta pula dari Pusat Zakat dan kemudian viral konon nak mohon bantuan.

Tuan/puan, dalam kita lapar nak mencari ilmu agama jangan sampai tersalah tempat. Ini sedikit sebanyak hala tuju yang saya nak bagi dan input kepada tuan/puan semua. Pastikan hala tuju kita ini sampai ke akhir hayat. Pastikan belajar sehingga ke akhir hayat dan dengan ini saya rasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Rendah Agama di sini bagi Tahun 2023.


Alhamdulillah..
Majlis berjalan dengan baik tapi nak tunggu dak Nuha ambil masa kerana anugerah dimulakan dengan bagi anugerah-anugerah utama, diikuti oleh Tahap Satu dan kemudian barulah Tahap Dua. Takpe, janji ada gambar kenangan dak Nuha walau hanya untuk simpanan peribadi bukan di sini.

Dak Nuha antara penerima anugerah bersama kawan baik a.k.a anak jiran sebelah rumah.

Tempat kedua terbaik di dalam kelas, dak Nuha dan ketiga buat kembar dak Nuha.
Tahniah buat kamu berdua.

Selesai majlis, lepas sesi bertemu sekejap dengan guru kelas dak Nuha, kami terus balik rumah. Penat sebab terlalu lama duduk dan sakit kepala sebab duduk berhampiran speaker.

#RemajaPurba: Semua ucapan di atas adalah hasil dari rakaman peribadi aku.

3 comments:

  1. Alhamdulillah...tahniah...
    terima kasih share penanda aras utk sek KAFA tu, Linda selalu pening...hihihi

    ReplyDelete
  2. Selamat ya Mbak atas prestasi yang diraih anaknya.
    Semoga sukses selalu dalam belajarnya.

    Salam

    ReplyDelete

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...