Tak semua hari sibuk itu penat — ada yang buat hati tenang bila diisi dengan cerita anak-anak.
15 Oktober 2025 - Rabu (23 Rabiulakhir 1447H)
Dak Adik telah menghadiri ujian lesen memandu motosikal di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini. Beliau tiba dari selatan petang semalam bagi tujuan menghadiri ujian berkenaan. Tengahari, keputusan keluar.. Alhamdulillah — LULUS. Berkat doa semua orang.
Sementara itu, dak Nuha terlibat dalam Perkhemahan Perdana Unit Beruniform 2025 yang diadakan di Pusat Latihan Kenegaraan Meru, Bukit Cherakah. Kebetulan, tarikh program tersebut bertembung dengan permulaan Peperiksaan Akhir Tahun. Walau bagaimanapun, memandangkan tarikh perkhemahan tidak dapat diubah, semua pelajar yang terlibat akan menduduki peperiksaan selepas mereka pulang daripada sesi perkhemahan tersebut.
dak Jasmine kesunyian
Sunyilah rumah bila dak Nuha tak ada. Dak Jasmine pun nampak tak ada 'kawan gaduh'. Selalunya, dak Nuha lah jadi mangsa gigitannya, asal ada peluang, pasti digigit. Waktu dak Nuha pergi, aku nampak ia tertinjau-tinjau, melihat dak Nuha. Kesian pulak aku tengok. Tak apa, Jasmine.. dak Nuha tak ada tapi dak Adik ada.
Aku pula?
Hari ini aku bercuti tapi yang menguruskan mereka berdua — en. Hubby. Entah apa fungsi aku cuti hari ni pun aku sendiri tak tahu tapi aku suka cuti. Mungkin cuma nak rasa diam, nak tenang sekejap dari rutin yang tak pernah habis. Masih jauh lagi jalan sebelum sampai ke sempadan bersara.
===============================================
16 Oktober 2025 - Khamis (24 Rabiulakhir 1447H)
Hari ini sepatutnya dak Adik balik ke kolej di selatan tapi kami tangguhkan dulu sebab dia kurang sihat. Cuti sakit yang diberikan oleh doktor terus dia forward kepada gurunya sebagai makluman ketidakhadiran.
Menunggu giliran di kaunter JPJ
Pagi.. en. Hubby bawa dak Adik ke JPJ dan JPN untuk urusan lesen serta kad pengenalan baru. Sebenarnya, dah lama dak Adik minta nak tukar IC dan hari ini Babah dia tunaikan apa yang dihajati. Bila dah ada lesen ni, lega sedikit rasa hati — taklah terlalu risau bila dia keluar ke mana-mana nanti.
Dalam tak sihat, perut tetap kena isi.
===============================================
17 Oktober 2025 - Jumaat (25 Rabiulakhir 1447H)
Tengahari..
Dak Nuha balik dari Perkhemahan Perdana Unit Beruniform 2025. Babah dah siap menunggu di depan sekolah. Seronok sungguh dia bercerita dekat Babah dia. Syukur en. Hubby ada — jadi aku tak perlu ambil cuti, kebetulan pula hari ini aku ada taklimat kerja yang perlu dihadiri.
Tiga buah bas yang membawa pelajar SMK termasuk dak Nuha
Aku..?
Balik kerja, tengok dak Nuha tidur kepenatan. Jelas nampak penatnya tapi aku faham perasaan tu — memanglah seronok tapi bila balik rumah pewai jadinya.
Malamnya, dak Nuha rancak bercerita lagi. Katanya tempat yang dorang pergi tu baru siap renovation dan sekolah mereka merupakan yang pertama menggunakannya. Macam-macam yang dikongsikan, aku.. layankan aje.
Kadang, bahagia seorang ibu datang dari hal-hal kecil seperti ini — cerita anak, tawa mereka dan kelegaan kecil yang tak perlu dijelaskan pada sesiapa.
@RemajaPurba: ..




No comments:
Post a Comment