Ada perkara yang berjalan seperti dirancang, ada yang datang tanpa diduga. Ada yang menggembirakan, ada yang menguji kesabaran dan ada juga yang mengajar aku supaya lebih berhati-hati dalam meletakkan harapan.
—Hidup tetap berjalan—
Bukan semua perkara perlu mendapat jawapan.
Bukan semua keadaan perlu diperbetulkan.
Bukan semua orang perlu kita fahami.
Ada masanya..
Lebih baik kita diam, jaga batas dan teruskan kehidupan sendiri.
Biarlah masa dan keadaan yang menentukan.
Selamat tinggal Oktober 2026..
Terima kasih untuk segala cerita, pengalaman dan pengajaran. Mana yang baik aku jadikan kenangan. Mana yang kurang baik dan mengganggu ketenangan, kena letakkan sempadan.
NOVEMBER 2026 — episod baru..
Tak meletakkan harapan yang tinggi. Cukuplah jika hari-hari mendatang berjalan dengan lebih baik, urusan dipermudahkan, kesihatan terus terjaga dan rezeki sentiasa mencukupi. Moga masih ada ruang untuk menikmati perkara-perkara kecil yang menggembirakan diri sendiri.
Selamat datang November 2026..
Tidak semua hari perlu sempurna.
Cukuplah jika masih punya kekuatan untuk meneruskan perjalanan.
'Nuha pergilah ambil gambar langit kat depan rumah..'
Aku tak larat nak keluar rumah sebab masih demam selepas balik dari ambil dak Adik di [SINI].
Langit takdelah warna biru sebab waktu ni dah mula gelap nak hujan.
Menjelang petang, hujan mula turun dengan lebatnya dan berlarutan hingga ke malam. Memang tak sempatlah nak cuci kereta. Setiap kali nak bawa Mr. Black cuci kereta, waktu itulah hujan turun. Dah dekat tiga minggu Mr. Black tak mandi.. 'bau kambing' aku cakap pada en. Hubby.
En. Hubby pula kata macam masuk ladang kelapa sawit dah rupanya— tahulah kebun kelapa sawit sebelah rumah je.
Sebenarnya, salah satu sebab aku tak cuci kereta ialah kawasan berdekatan perumahan kami sedang dalam proses pembinaan taman perumahan. Kedudukan kawasan perumahan kami yang menjadi laluan utama lori-lori pasir menyebabkan kami terpaksa berdepan dengan habuk ketika cuaca panas dan jalan yang kotor berlecak apabila hujan.
Sudahnya.. en. Hubby sendiri yang mandikan Mr. Black di rumah. Kalau dibawa ke kedai cuci kereta pun, balik ikut laluan utama depan perumahan kami, kotor balik. Jadi, baik mandikan sendiri di rumah.
Alhamdulillah.. dapat juga merasa peluang melihat langit nan biru semula setelah sekian lama langit diselubungi jerebu hingga mengehadkan jarak penglihatan.
Biru nun di sana..
Sepanjang perjalanan balik dari Pahang, mata lebih banyak memandang langit berbanding jalan raya. Bukan apa, seronok melihat langit yang perlahan-lahan kembali membiru setelah sekian lama terlindung dek jerebu.
Tak banyak gambar yang aku ambil sebab badan masih tak larat, aku lebih banyak tidur sepanjang perjalanan. En. Hubby yang memandu kali ini walaupun dia sendiri dah mula terasa penat. Biasanya aku akan jadi second driver tapi kali ini memang tak mampu nak drive.
Sungguh.. cantik dan indah melihat langit yang kembali menampakkan warna birunya. Kadang-kadang, perkara yang selalu kita pandang biasa pun terasa cukup menyenangkan apabila lama tak dapat menikmatinya.
Lewat petang..
Sampai je di rumah, aku terus masuk dapur. Teringin nak makan sambal sotong air tangan sendiri. Lagipun, cukuplah dua hari aku cuti sakit— cuti dari memasak. Moga badan cepat sihat dan urusan harian kembali berjalan seperti biasa.
#RemajaPurba: Alhamdulillah.. langit kembali cerah. Selebihnya, kita hadap satu-satu.
Dak Adik dah mula cuti semester. Dia nak bawa balik motor ke rumah sebab nak cari kerja part time sepanjang cuti kali ni.
Aku..?
Dah tentulah tak bagi dia bawa motor balik sendiri. Sebelum ni pun Babah dia yang hantarkan motor tu. Babah dia okey je kalau anak bujangnya balik sendiri tapi aku yang tak berapa yakin sebab jauh. Satu lagi, ada alasan lain— dapat balik kampung.
Dalam perjalanan balik kampung, bila dah masuk ke negeri Melaka, kami disajikan dengan bendera-bendera parti yang megah berkibaran di sepanjang jalan. Teruja juga aku dibuatnya. Sayangnya.. aku bukan pengundi di negeri Melaka. Kalau tidak, bolehlah turut sama merasai kemeriahan suasana pilihan raya nanti.
Tiba-tiba rasa macam nak balik kampung pula waktu mengundi nanti, sekadar nak merasai kemeriahannya.
Salah satu pemandangan ketika balik kampung di Melaka.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 akan diadakan pada 14 November 2026.
Geram pula aku tengok bendera-bendera parti yang berkibaran tu. Terus teringat zaman mengandungkan dak Adik dulu. Aku mengidam nak buat bantal menggunakan bendera parti. Waktu tu, aku merengek dekat en. Hubby, nak semua bendera parti yang bertanding. Alasannya.. nak buat bantal! Hahaha.. siap beli kekabu lagi masa tu.
Bukanlah en. Hubby pergi ambil bendera yang terpacak di tepi jalan tu tapi en. Hubby minta terus daripada pusat gerakan parti. Alhamdulillah.. dapat bendera terus aku buat bantal. Puas hati..
Ok.. sambung semula kisah dak Adik.
Kami balik kampung sebab nak bawa motor dak Adik balik ke rumah. Dah tentu en. Hubby yang bawa motor, aku pula memandu kereta.
Alhamdulillah.. selamat sampai di rumah lebih kurang pukul 9:30 malam. Waktu ni badan aku dah mula rasa tak sedap. Tekak terasa perit, macam ada tanda-tanda nak demam.
Update..
Memang sah aku demam! Hari ni.. 28 Oktober 2026, aku masih belum pulih sepenuhnya. Sepanjang aku tak sihat, aku bagitahu en. Hubby yang aku ambil cuti sakit— cuti dari memasak. Dua hari berturut-turut en. Hubby ambil alih tugas memasak untuk aku dan anak-anak. Benda ni tak hairan pun sebab en. Hubby memang lagi pandai memasak daripada aku.
Aku..?
Lebih rela lari keliling padang daripada kena masuk dapur dan memasak! Punyalah aku tak suka memasak. Kahkahkah..
Plot twist.. lepas dua hari dari cuti sakit— akulah yang pegang sudip + kuali di dapur.
The eighth and final member of Stray Kids to celebrate his birthday in 2026. Lee Know (Lee Min-ho), a member of DanceRacha — my second bias after Bang Chan. Happy Birthday to you..
May this new chapter bring you countless beautiful memories and reasons to smile
—Happy Birthday Lee Know—
May your days be filled with happiness, good health, love and endless success. Keep shining on stage, sharing your incredible talent and making STAY smile with your unique charm and savage sense of humor.
Kalau sebut BASS, rasanya ramai yang sudah tahu siapa pasangan yang dimaksudkan. BASS ialah gabungan nama Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pasangan yang kisah cinta mereka mendapat perhatian ramai sehingga majlis perkahwinan mereka digelar Wedding of the Year.
Dari Mount Kinabalu ke alam perkahwinan..
Syed Saddiq telah melamar Bella ketika mereka mendaki Gunung Kinabalu, Sabah. Lamaran tersebut akhirnya membawa kepada majlis pertunangan mereka pada 28 Mac 2026. Paling menarik perhatian hantaran daripada Syed Saddiq bukan sekadar barangan biasa — antaranya ialah cincin pertunangan, akaun simpanan ASNB dan Tabung Haji untuk Bella serta akaun Simpan SSPN untuk anak-anak Bella, Ayden dan Ara.
10 Oktober 2026 — Hari penyatuan dua hati..
Majlis akad nikah berlangsung di aras 118, Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, Pasangan ini dinikahkan oleh Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan mas kahwin sebanyak RM500.
Majlis tersebut dihadiri kira-kira 300 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat dan tetamu kehormat. Konsep busana putih dengan sentuhan Arab dan Islamik turut menyerlahkan suasana majlis yang cukup istimewa dari segi lokasinya.
18 Oktober 2026 — Wedding of the Year
Pada tarikh ini, majlis resepsi di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Kira-kira tiga ribu tetamu hadir untuk meraikan pasangan pengantin. Majlis yang berlangsung meriah itu menghimpunkan ahli keluarga, selebriti, tokoh politik dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Datang dari dua dunia berbeza, berjalan di laluan masing-masing.
Siapa sangka.. di hujung perjalanan, takdir menemukan mereka pada titik yang sama.
Majlis mereka mendapat perhatian ramai bukan tentang kisah cinta pasangan ini tetapi juga kerana konsep majlis, busana, persembahan artis dan penglibatan anak-anak Bella dalam meraikan majlis mereka.
Antara moment paling menyentuh hati, ketika Ayden menyampaikan ucapan kepada Syed Saddiq
Ayden berucap di hadapan lebih 3,000 pasang mata without holding any script.
Bijak, berani, full of empathy.
Daddy kamu mesti dah ada universiti pilihan untuk kamu nanti. Confirm..!
'Kalau nak bicarakan soal SEKUFU.. saya tidak layak untuk berdiri di sebelah Bella Astilah'
- My Wonderful Wife -
Bella Astillah ni ada iras-iras Siti Nurhaliza waktu muda kan..
Zhiddin Aziz dan Diyana
Pengacara majlis BASS
Busana Pengantin by Dato Rizalman
Pesanan dari ibu kepada Syed Saddiq
'Perdebatan akan berlaku sayang.. tapi beri peluang pada Bella untuk menang sentiasa'
Bagi lagi bersemut.. nah..
Semoga perjalanan BASS selepas ini dipenuhi kebahagiaan dan terus kuat menghadapi apa sahaja yang mendatang — kerana berkahwin itu bukan sekadar tentang menemukan seseorang untuk dicintai tetapi juga tentang memilih orang yang sama untuk menemani dalam setiap fasa kehidupan.
#RemajaPurba: - Sumber gambar dan video dari en. Google -
Dah lama tak keluar meronda ketika malam minggu. Tambah pula dak Nuha mengadu bosan duduk di rumah, siap ajak keluar. Cadangan makan cucuk-cucuk di tengah ibu kota menjadi pilihan. Dah lama tak makan. Punya excited nak keluar, dak Nuha siap makeup lawa-lawa.
Dalam perjalanan selepas susur keluar memasuki lebuh raya, aku perasan papan maklumat elektronik di tepi lebuh raya yang memaklumkan berlaku banjir. Terlintas di fikiran, adakah banjir kali ini seperti kejadian banjir yang pernah berlaku sebelum ini? Sejam kami tersangkut kerana hanya satu lorong boleh dilalui.
Dua lorong dinaiki air
'Terasa seperti sedang menaiki bot..'
Apabila menghampiri kawasan tersebut, kelihatan pihak berkenaan sedang mengepam air yang bertakung di atas lebuh raya. Pasti mereka bekerja keras sejak siang tadi hingga ke malam demi memastikan keadaan kembali pulih.
Kami meneruskan perjalanan menuju ke Gombak untuk misi makan malam sebelum meneruskan perjalanan meronda di tengah ibu kota. Kami memilih membeli cucuk-cucuk di gerai steamboat yang terletak di Jalan Raja Laut, berhadapan Pertama Kompleks, Kuala Lumpur. Dalam hujan, kami menikmati makanan yang dibeli di dalam kereta aje. Gambar..? Tak ingat langsung nak ambil.
Lewat malam..
Dalam perjalanan pulang, kami nampak pihak berkenaan masih lagi bertungkus-lumus menguruskan keadaan bagi memastikan lebuh raya selamat dilalui dan tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Moga keadaan kembali pulih seperti sediakala dan urusan semua pihak dipermudahkan.
Kadang-kadang, rancangan keluar sekadar nak makan dan meronda pun boleh jadi satu pengalaman tersendiri. Apa yang penting, dak Nuha happy, kami senang hati.
Dari beberapa segmen yang aku sertai, tak sangka kali ini ada rezeki Mak Budak menang salah satunya. Segmen daripada blogger SA dari [SINI].
Keputusan pemenang sebenarnya dah diumumkan sejak minggu lepas tapi aku baru teringat nak semak siapa yang bertuah. Dek kesibukan yang melanda, terus terlupa nak menjenguk. Ini pun baru berkesempatan nak update blog. Sampai rasa serba salah pula, masuk segmen 'blog aktif' tapi blog sendiri sepi tanpa entry baru.
Keputusan penuh 'Segmen Refresh Bloglist SA 2026: Cari Blog Best & Aktif!' telah diumumkan oleh blogger SA di [SINI].
Apa-apa pun, Alhamdulillah.. kali ini rezeki Mak Budak. Tak sangka nama sendiri tersenarai sebagai salah seorang pemenang. Kecil atau besar sesuatu kemenangan itu, tetap ada rasa seronok apabila tak menjangkakannya.
Salam kenal buat semua, dan terima kasih kepada SA kerana menganjurkan segmen ini.
Keadaan jerebu rentas sempadan yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia masih berlarutan. Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini:
Aktiviti pembersihan tanah untuk pertanian.
Kebakaran di kawasan tanah gambut.
Cuaca kering serta perubahan arah angin semasa Monsun Barat Daya.
Kekangan dalam penguatkuasaan dan kerjasama serantau.
Di Malaysia - bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan turut menunjukkan keadaan yang membimbangkan.
08 Oktober 2026 | Khamis [26 Rabiulakhir 1448H]
Susulan situasi jerebu semasa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan kenyataan media bertajuk 'KPM Menjunjung Titah KDYMM Yang Di-Pertuan Agong, Utamakan Keselamatan dan Kesihatan Murid serta Warga Pendidikan Susulan Kepada Jerebu'.
Menerusi arahan tersebut, semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup sepenuhnya pada Jumaat, 09 Oktober 2026. Penutupan itu turut melibatkan sekolah di daerah Rompin, Pahang.
Susulan penutupan sekolah, beberapa ketetapan turut dilaksanakan:
Penutupan berkuatkuasa mulai 09 Oktober 2026 sehingga pengumuman rasmi selanjutnya.
Pembelajaran diteruskan secara dalam talian menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan persekolahan murid.
Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) tertakluk kepada arahan semasa pihak pentadbiran.
Ibu bapa dan penjaga dimohon mengikuti perkembangan dan makluman rasmi daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan KPM khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan.
'Ibu, esok sekolah tutup ibu'.
Bila dak Nuha bagitahu begitu, aku pun semak maklumat yang dikeluarkan oleh pihak sekolah. Maknanya, selepas ini kenalah bekerja lebih keras untuk memastikan urusan pembelajaran berjalan seperti biasa, baik dari pihak ibu bapa mahupun pihak sekolah sendiri.
Sejujurnya, aku sedikit lega apabila sekolah ditutup buat sementara waktu sebab sejak dua tiga hari kebelakangan ini, dak Nuha ada mengadu sakit dada, susah nak bernafas. Dia juga bercerita, pokok-pokok dan bangunan tinggi yang biasanya senang nampak, kali ini tidak, terlindung dek jerebu. Itu belum lagi mengambil kira bau asap yang mungkin menjejaskan keselesaan pernafasan.
'Akak untunglah, anak dah besar. Tak payah pening kepala nak cuti atau tidak'.
Aku..?
Dari segi umur anak, ya.. aku akui ada kelebihan kerana dak Nuha pun dah besar tapi cabarannya tetap ada — terutama apabila menguruskan anak untuk PdPR. Dalam masa yang sama aku sendiri perlu meneruskan komitmen kerja.
Anak dah besar bukan bermakna semua urusan menjadi mudah. Keadaan tetap memerlukan penyesuaian, perancangan dan kerjasama semua pihak.
—Jerebu—
Bila keadaan di luar tidak dapat kita kawal, apa yang mampu kita lakukan ialah menjaga apa yang ada dalam tanggungjawab kita sebaik mungkin.
Moga segala urusan serta rutin harian kita dipermudahkanNYA. Sama-samalah kita berdoa agar keadaan jerebu kembali pulih secepat mungkin, kesihatan anak-anak terus terpelihara dan dapat menjalani peperiksaan hujung tahun dengan lancar.
Ada hari yang bermula seperti biasa tapi berakhir dengan perasaan yang sukar hendak dijelaskan. Bukan semua perkara boleh diceritakan kepada orang lain, ada masanya cukup sekadar menulis untuk melepaskan apa yang terbuku di hati.
Sebelum tibanya beberapa acara besar yang diadakan seperti di [SINI], hujan turun dengan lebat di beberapa kawasan dan ada kawasan yang dilanda banjir kilat, termasuk laluan utama yang biasa aku gunakan.
Aku pula berharap, mungkin dengan hujan yang turun agak banyak, keadaan jerebu akan beransur pulih. Namun.. keadaan tak seperti yang aku jangkakan.
Selepas berakhirnya acara Formula 1 Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026, keadaan ruang udara nampaknya semakin teruk. Pandangan semakin terhad. Bangunan yang biasanya boleh dilihat dari jauh kini terlindung di sebalik tirai jerebu. Hilang daripada pandangan.
Jerebu di luar sana sudah cukup membataskan pandangan. Namun, jerebu di hati aku hari ini terasa jauh lebih tebal.
09 Oktober 2026 | Jumaat [27 Rabiulakhir 1448H]
Kisah pagi tadi..
Aku dipanggil menghadap bos selepas beliau menerima aduan daripada pegawai berhubung tugasan yang aku buat. Aku tak kata aku betul dan pegawai tersebut salah. Aku berikan penjelasan ringkas berdasarkan aduan yang dibangkitkan. Arahan bos.. 'Selepas ini, seboleh mungkin, kerja tersebut perlu dilaksanakan bersama pegawai berkenaan. Sekiranya pegawai sibuk, awak perlu mencari waktu yang sesuai supaya tugasan yang diberikan dapat diselesaikan'.
Dalam kepala cuma terlintas satu soalan — teruk sangat ke hasil kerja aku?
Bila perkara sebegini berlaku, sedikit sebanyak terkesan juga hati. Hampir menitis air mata di dalam bilik bos. Tak apalah.. cuba fikir positif walaupun hati sendiri terasa remuk.
Selepas ini, apa aje tugasan yang diberikan, aku akan laksanakan mengikut arahan tanpa memberikan cadangan walaupun aku lebih tahu tentang tugasan itu. Jika nak yang itu, aku buat. Jika nak yang ini, aku usahakan. Tak perlu banyak soal, tak perlu terlalu memikirkan perkara yang di luar kawalan aku.
'Jangan dilawan, tatang sebaiknya..' aku mahu lebih berhati-hati memilih langkah dan aku cuma mahu bekerja dengan tenang dan pulang tanpa membawa terlalu banyak beban di kepala.
—Teguran—
Buat kerja dengan profesional dan sentiasa belajar untuk lebih bersedia. Kerja tetap kerja tapi ketenangan diri juga perlu dijaga. Cukuplah jika usaha dan tanggungjawab masing-masing diletakkan pada tempatnya.
Banyak juga acara besar yang berlangsung hujung September hingga awal Oktober 2026. Dari Paris Fashion Week, Le Tour de Langkawi, KL Tower Base Jump, KLSCM sampailah kepada Formula 1 (F1) yang paling mencuri perhatian.
Ada yang aku ikuti sekadar lalu di media sosial, ada yang buat aku berhenti sekejap untuk tengok dan ada juga yang akhirnya buat aku terjebak lebih jauh. Jadi, aku simpan sini beberapa perkara menarik sepanjang tempoh tersebut.
28 September hingga 06 Oktober 2026
Paris Fashion Week Spring/Summer 2027 at Paris, France.
Fesyen week ni memang wajib masuk dalam entry ni sebab ada Hyunjin, member of Stray Kids.
Hyunjin of Stray Kids attended the Dior Spring/Summer 2027 ready-to-wear show
Dalam masa yang sama, ada beberapa acara besar yang berlangsung di dalam negara. Antaranya:
27 September hingga 04 Oktober 2026
The 30th edition of Le Tour de Langkawi 2026, merangkumi jarak keseluruhan 1,285.5 km dalam lapan peringkat yang mencabar.
Kenangan Le Tour De Langkawi tahun 2025 - di [SINI]
Tahun ni pula.. aku sendiri terlupa yang perlumbaan ni melalui kawasan berhampiran tempat kami tinggal. Sedar-sedar dah habis pun. Sayang juga, kalau tak memang boleh keluar tengok pelumba lalu depan mata.
Seramai 221 penerjun profesional dari 37 negara mengambil bahagian dalam acara ini yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 Menara Kuala Lumpur (KL Tower).
DAN.. inilah yang paling dinanti-nantikan oleh peminat.
02 hingga 04 Oktober 2026
Formula 1 (F1) Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026
Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Race Highlights | Formula 1 Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026
Dari sejarah dan perkembangan F1 di Malaysia, asal-usul penganjurannya, kembalinya F1 pada tahun 2026 hinggalah masa depannya di Malaysia. Mana yang asalnya tak tahu apa itu F1, apa itu SIC, tak kenal nama-nama pelumba — hingga boleh kenal lekuk-lekuk trek SIC, semua boleh dapat di socmed. Ada pelbagai info menarik tentang F1 di Malaysia.
Dari lensa peminat pun tak kurang hebatnya. Pelbagai kisah menarik dan lucu dikongsikan, ditambah pula dengan sambutan luar biasa daripada peminat kepada semua pelumba. Pendek kata, memang happening Malaysia kali ni..!
'When I see you again..'
Dengan sejarah F1 di SIC, comeback selepas sembilan tahun, drama sepanjang perlumbaan, ditambah pula dengan background sound yang memang ada cerita tersendiri, semuanya menjadikan video ini terasa begitu sentimental.
Lebih-lebih lagi bila nampak nama George Russell berada di tempat ketiga ketika perlumbaan hampir memasuki pusingan ke-50. Entah kenapa, sebak pula tengok video ni.
Cantik tengok cahaya matahari nun jauh di sana..
Last but not least.. simpan di sini sebagai kenangan
George Russell
Takpelah awak.. cuba lagi sekali di The Singapore Grand Prix pada 09 hingga 11 Oktober 2026 di Marina Bay Street Circuit, Singapore.
Begitulah sedikit sebanyak yang berlaku sepanjang hujung September dan awal Oktober kali ni. Apa yang pasti, comeback F1 ke SIC selepas sembilan tahun memang meninggalkan cerita tersendiri. Selebihnya, biarlah gambar dan video di socmed yang bercerita.
- Breaking News -
Stray Kids - Bang Chan and Felix akan hadir ke F1 Singapore Grand Prix.
[aarrgghhhh.. bestnya.. ok.. jerit dalam hati je..]
#RemajaPurba: - sumber gambar dan video daripada Threads dan Youtube -
Setakat ini, dah dua segmen aku join dalam bulan Oktober ni — dan ini yang ketiga. Bagus juga sebenarnya join segmen macam ni sebab bila datangnya writer's block, masa inilah aku boleh dapat idea untuk dijadikan entry blog.
Buat entry bertajuk Pencarian Bloglist 2026 by Shuhaida Saad.
Letak poster dan backlink ke blog ini dan publish entry.
Tinggalkan URL entry ke dalam ruangan komen.
Tempoh segmen ini akan berakhir pada 14 Oktober 2026, dan selepas itu akan ada Lucky Draw yang pemenangnya dipilih menggunakan Wheel of Names. Menang atau kalah belakang kira — yang penting kita join untuk meriahkan segmen.
—Segmen Bloglist—
Tak semua yang kita sertai membawa hadiah.
Ada yang membawa idea, kenalan dan alasan untuk terus menulis.
Terjumpa satu segmen blogger yang sedang berlangsung, jadi aku ambil peluang untuk turut serta. Sesekali join segmen macam ni, bolehlah tambah kenalan dan singgah kenal blog-blog lain yang masih aktif.
Buat satu entry ringkas bertajuk: Saya Join Segmen Mencari Blogger Aktif di Beeha Azman.
Tepek banner segmen di atas ke dalam entry anda dan link-kan ke post asal ini.
Tag dua rakan blogger anda yang masih aktif untuk join sekali segmen ini.
Dah siap? Tinggalkan nama dan URL entry penyertaan di ruangan komen.
Kalau nak ikutkan, aku sebenarnya tak memenuhi satu daripada syarat yang ditetapkan kerana dua orang blogger yang ingin aku tag dah pun join untuk segmen ini.. tapi tak kisahlah, aku join ni untuk sama-sama meriahkan segmen ini.
Sebelum terlupa, tarikh tutup segmen ini pada 31 Oktober 2026. Masih ada masa untuk turut serta.
Segmen pertama dalam bulan Oktober. Bila nampak segmen ni, rasa menarik pula untuk join sekali. Sesekali kita meriahkan dunia blog sambil blogwalking. Segmen ni dianjurkan oleh blogger Suria Amanda dan aku jumpa segmen ni melalui blog Pokcik di [SINI].
Bila dah lama berblog, ada masa idea datang mencurah-curah dan ada masa otak mogok. Jadi, segmen macam ni bolehlah dijadikan salah satu cara untuk mencari idea, berkenalan dengan blogger lain dan meriahkan dunia blog.
Sebelum ini telah tular satu video di KLIA Terminal 1 dan hari ini Ketua Pengarah AKPS: Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah membuat kenyataan media berkaitan dengan isu tersebut.
Video tular, laporan polis tular — apa motif sebenar mereka?
Penjelasan Ketua Pengarah AKPS: Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain
Terima kasih kerana sudi hadir untuk kenyataan media saya. Saya ingin memberikan penerangan dan penjelasan mengenai video yang tertular serta dua laporan polis berkaitan insiden yang berlaku di KLIA melibatkan saya dan pasukan saya.
Seperti yang semua sedia maklum berdasarkan laporan tersebut, kejadian berlaku pada 28 September 2026. Pada hari tersebut, saya bersama pasukan membuat tinjauan, persediaan dan memastikan kesediaan AKPS dalam menerima pengunjung sempena perlumbaan Formula One hujung minggu ini.
Selesai tinjauan, saya bersama pegawai, dibantu pegawai Aviation Security (AVSEC), naik ke atas untuk membuat penguatkuasaan terhad terhadap sindiket ulat warga asing yang mana saya menerima aduan dan dakwaan yang semakin ketara.
Selain itu, peningkatan sekatan barangan di tempat pemeriksaan bagasi juga semakin meningkat. Seperti yang saya maklumkan pada Ahad lepas di Segamat, hampir setiap hari kita menjumpai sindiket yang cuba menyeludup dadah ke Eropah. In fact, hari ini pun ada satu lagi kes dan juga contraband yang lain.
Having those two factors combined, saya membuat keputusan untuk menjalankan penguatkuasaan terhad di paras 5. Kebetulan pada masa tersebut, apa yang kami terima berlaku di depan mata dan kami telah menahan seorang sindiket ulat warga asing sebelum membawanya ke bilik pemeriksaan bagasi kepunyaan AVSEC.
Ingin saya tegaskan di sini setegas-tegasnya bahawa perkara ini hanya melibatkan pegawai AKPS dan AVSEC. Dalam bilik tersebut sepatutnya hanya ada pegawai daripada kedua-dua agensi.
Tanpa saya sedari, ketika saya sedang menemubual warga asing tersebut, muncul dua individu tidak dikenali yang sedang merakam saya dan pasukan menemubual warga asing tersebut.
Apabila didekati oleh pegawai saya, mereka dibawa ke hadapan untuk melihat apa yang dirakam dan arahan diberikan supaya rakaman dipadam. Seperti yang tuan-tuan dapat lihat dalam klip tersebut, saya telah memberikan amaran yang paling tegas, setegas-tegasnya sebagai seorang pegawai polis yang telah diamanahkan dan biasa memberikan arahan keras.
Ok. Selesai insiden pertama.
Selepas itu, laporan polis telah dibuat terhadap saya sehari selepas kejadian dan klip tersebut ditularkan. Pada 30hb, satu lagi laporan polis dibuat terhadap saya pada pukul lima pagi.
Selepas berbincang, saya dan pasukan membuat satu laporan polis kerana melihat kemungkinan wujud usaha untuk mencemar nama atau imej AKPS secara amnya dan khususnya nama saya.
Seperti yang tuan-tuan selalu lihat dalam klip-klip saya di media sosial, saya mengatakan bahawa saya tidak sempurna. I've said that many times and today, I'm standing in front of you, I'm owning and I'm facing my incompleteness.
Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada peringkat tertinggi kerajaan dan kementerian. Justeru, apa jua keputusan mereka, saya terima kerana pada saya, 'untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga dan sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya'. So, I'm owning and I'm facing my incompleteness.
Saya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lanjut dengan penuh efficiency dan biarlah keadilan muncul kelak untuk semua pihak. So, itu penerangan saya. Any questions?
Soalan pertama: Have you identified the two that recorded you?
Daripada temubual singkat, mereka telah mendedahkan identiti dan dari mana mereka datang. Tak perlu bertanya kepada saya kerana mereka sendiri telah mengakui siapa mereka dan apakah tujuan mereka.
Dalam report mereka sendiri, mereka nyatakan saya pernah mengatakan, 'Saya bukan musuh awak, kenapa ikut saya?' Musuh awak adalah sindiket-sindiket yang berada di luar tersebut, bukan saya. In their report, they wrote it, go and read it.
Soalan kedua: Warga asing yang Datuk Seri panggil itu adakah warganegara..?
Dalam kita melaporkan apa-apa salah laku warga asing, pernahkah pihak berkuasa mendedahkan identiti warganegara mereka?
Jarang sekali ataupun tidak pernah kerana kita Malaysia ni, we're ethical people. Kita tidak mahu memburukkan mana-mana pihak, sama ada negara jiran ataupun negara luar dari rantau Asia. Kita lebih berhemah dalam menjaga hubungan dua hala mahupun pelbagai hala.
Saya minta maaf. Walaupun dalam diri saya ingin memberitahu dari negara mana, yang boleh memihak kepada saya, but I'll remain professional by not mentioning who is.
Soalan ketiga: Dia dipanggil sebab apa ye Datuk Seri? Sebab ulat juga ke?
Ya. Apa yang berlaku sekarang, ada satu sindiket yang ingin menyeludup keluar emas ke negara mereka dan menyebabkan ketirisan dari sudut negara.
Kalau dulu nak ke luar negara, you kena declare sepuluh ribu USD ke atas. Kalau you hantar emas, nilainya mungkin lebih daripada sepuluh ribu USD dan itu sedang berlaku buat masa ini.
Soalan keempat: Setakat ini dah kenalpasti siapa yang sebarkan video dan apa motif mereka?
That's a good question. Very good question.
Saya mahu pihak polis menyiasat dengan lebih lanjut mengenai rakaman pertama itu kerana saya sendiri tidak tahu tujuan rakaman tersebut pada asalnya.
Sebelum kita mengenal pasti dan mengarahkan mereka memadamnya, seperti yang tuan-tuan lihat dalam klip yang tular itu, ia bukan datang daripada sumber asli. Ia diambil daripada satu lagi peranti ataupun handphone untuk ditularkan.
Dalam erti kata lain, siapakah mereka dan apakah tujuan mereka? Kalau yang pertama tadi sudah terbantut, saya tidak mahu bawa ke mana-mana. Saya rasa tuan-tuan boleh jawab soalan yang tuan-tuan tanya kepada saya. I don't want to create more speculation lagi.
Soalan kelima: Dakwaan mengatakan dalam report ada contact antara Datuk Seri dengan yang membuat report itu?
Saya tak nak mengulas sama ada contact itu berlaku ataupun tidak kerana ia akan menjadi my words against his word dan tidak akan habis. Saya biarkan pihak berkuasa menyiasat lebih lanjut.
Namun demikian, tuan-tuan sendiri maklum, pada hari tersebut saya hadir ke tanah perkuburan arwah Tun Hasmah. Dekat situ tuan-tuan boleh tengok gambar saya. Kalau tuan-tuan nak tengok, bukan saya yang tangkap, orang awam yang tangkap. You can see whether there's an injury on my forehead ataupun tidak. So, I leave it for your wisdom to go and do your investigative journalism.
Saya juga mengambil peluang ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menyokong saya secara terbuka di media sosial dan secara personal yang text saya untuk meneruskan apa jua usaha memperbaiki keselamatan pintu masuk negara.
Saya amat menghargainya dan itulah semangat yang saya pegang untuk terus berusaha mengubah prasarana ataupun keselamatan di pintu masuk negara.
Saya tak nak KLIA jadi macam Selayang. Saya tak mahu membiarkannya hingga jadi macam Selayang. Itu saya rasa cukup jelas sebagai inisiatif dan motivasi kami di AKPS.
Kerajaan menubuhkan kami ini ada sebab, bukan saja suka-suka nak tubuh atau bergabung enam agensi hanya sebagai makeup. Diberikan saya barisan pegawai yang berdiri teguh di belakang saya. Tak kira saya di atas atau di bawah, mereka bersama saya.
Semasa saya sampai dulu, saya tak tahu apa. Merekalah yang bertanggungjawab menerima saya dan menunjukkan saya ke mana kita perlu pergi. Bukan saya, tetapi mereka.
Thank you to my team, bukan sahaja di ibu pejabat malah di semua pintu masuk yang semakin hari semakin menunjukkan prestasi yang baik, Alhamdulillah. Masih jauh lagi perjalanan.
Apa jua keputusan kerajaan selepas ini, saya terima. Saya harap pasukan saya tidak akan terjejas dengan apa jua keputusan yang diputuskan oleh kerajaan ke atas diri saya selepas ini.
So, I'm standing in front of you to face or to be responsible for what had happened.
—Ini soal garisan utama keselamatan pintu masuk negara—
Kuat akar tunjangnya, maka teguhlah pohonnya. Begitu juga dalam perjuangan—apabila asasnya kukuh dan prinsipnya teguh, InsyaAllah tidak mudah tumbang walau apa jua dugaan yang mendatang.
#RemajaPurba: - Sumber dari en. Youtube dan Threads -