'I hope one day I'll sleep before midnight like normal humans do. Everyday I sleep tomorrow, even yesterday I slept today… and I'm sure I’ll sleep tomorrow again..'
It's time to go offline. Letak telefon. Tutup skrin dan cuba tidur sebelum tengah malam, macam manusia normal yang lain – sebab esok kita tetap kena bangun, tetap kena bekerja dan tetap perlukan otak yang boleh berfungsi dengan baik.
Tidur aku sekarang macam hidup dalam zon masa sendiri.
Dah tiba masa untuk berhenti tidur 'tomorrow' dan mula tidur 'tonight' sebab kalau setiap hari tidur esok, lama-lama badan dan otak pun mungkin akan buat silent protest.
Setiap kali Mimifly mengeluarkan lagu baru, pasti ada sesuatu yang menarik perhatian dan menjadi bualan. Bukan sekadar ingin mendengar lagunya tapi maksud di sebalik lirik, koreografi tarian, konsep persembahan, pemilihan pakaian hinggalah ke lokasi penggambaran semuanya cukup awesome.
Malah, elemen bahasa isyarat yang turut diselitkan menjadikan setiap hasil karyanya lebih unik dan mempunyai identiti tersendiri. Memang kreatif dan tidak mengecewakan hasil air tangan beliau bersama pasukannya.
Kali ini Mimifly pertaruhkan lagu GERTAK. Bukan sahaja melodinya menarik, video klipnya turut mencuri perhatian dengan persembahan tarian bercirikan budaya India. Lebih istimewa, lagu GERTAK ini dilancarkan bersempena sambutan Deepavali 2026.
Di sebalik muzik yang rancak dan persembahan yang menghiburkan, terselit pula mesej yang agak tajam tentang sikap manusia yang suka mengata, mengadu domba dan menguji kesabaran orang lain.
Jangan terlalu sibuk menguji kesabaran orang lain. Takut nanti, bila dia mula bersuara, kita pula yang tidak mampu menerima.
Apa pun, GERTAK bukan sekadar lagu untuk kita ikut menyanyi dan bergoyang. Ada teguran yang boleh dijadikan peringatan bersama. Jagalah percakapan, fikir sebelum berkata-kata dan jangan terlalu mudah mencari salah orang lain.
Sebelum mahu menegur atau menghukum orang, cerminlah diri sendiri terlebih dahulu. Ingat, bukan semua orang akan terus berdiam diri apabila kesabarannya sampai ke penghujung.
#RemajaPurba: - sumber video dari Youtube dan Instagram -
Yamaha Y16ZR-R telah memasuki pasaran Malaysia menerusi pelancaran rasmi oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sempena Karnival GenBlu Yamaha 2026 yang berlangsung pada 9 Ogos 2026 di Setia City Convention Centre (SICC), Setia Alam, Selangor.
Dua versi telah diperkenalkan iaitu:
Standard — pilihan warna: Kouka Grey, Raijin Green dan Yoru Black.
Limited Edition — Pramac Racing Replica.
Kenapa entry kali ni berkaitan motor?
26 Oktober 2026 | Isnin [15 Jamadilawal 1448H]
Rupanya, ada sesuatu yang en. Hubby rancang dalam diam. Patutlah beria-ia mengajak kami keluar pada tengah hari menuju ke [SINI]. Sedangkan kebiasaannya, kalau boleh seawal pagi lagi dah mula bergerak. Aku pula langsung tak terfikir apa-apa ketika itu.
Bang Chan - Stray Kids
Tak dapat Y15, aku dapat Y16
Pada awalnya, aku ingat en. Hubby sekadar bergurau bila beliau bertanya..
'Nak nombor plat apa?'
Waktu itu, aku masih belum sihat sepenuhnya. Jadi, memang malas nak layan kerenah en. Hubby. Sudahnya, nombor diberi secara rawak. Arrghh.. ruginya rasa..! Itulah Mak Budak. Lain kali, dengar cakap. Kalau tak, dak 'AIZA' ada geng.
- sumber gambar dari en. Google -
Kouka Grey (Modern Grey) — tampil dengan gaya kemas, elegan dan sedikit misteri, sekali gus memberikan sentuhan premium. Lebih istimewa, Y16ZR-R ini sendiri sudah cukup premium bagi aku kerana ia merupakan hadiah in advance daripada en. Hubby.
unboxing..
Kouka Grey
Test drive..?
Kali pertama, sekadar pusing kawasan kampung je. Kali kedua pula di [SINI].
Fun Fact..?
Aku tiada lesen motosikal dan langsung tak tahu menunggang motor.
Alasannya..?
Ayah aku, myFIL dan en. Hubby memang tak izinkan aku menunggang motosikal. Aku pandu kereta pun boleh tahan lajunya. Kalau bawa motor pula..? Eloklah aku tak tahu, risau nanti roh aku yang lari dulu.
Memandangkan aku tiada lesen dan langsung tak tahu menunggang motosikal, aku jadi pembonceng setia ajelah. Jangan salah faham—hadiah je untuk aku tapi atas geran nama en. Hubby bukan aku.
Dak Jasmine pun dah rasmikannya..
#RemajaPurba: - Happy Deepavali 08 November 2026 -
Stray Kids’ Lee Know to enlist early next year. JYP Entertainment telah membuat pengumuman rasmi pada 5 November 2026. Lee Know dijadualkan menjalani khidmat ketenteraan pada suku pertama 2027. Tarikh tepat dan butiran lanjut belum diumumkan.
Stray Kids bakal memasuki fasa baru bila seorang demi seorang ahli kumpulan ini akan menjalani khidmat ketenteraan—Lee Know bakal menjadi ahli pertama yang memulakan perjalanan ini.
Konsert RUN IT Singapore pada 6–7 Mac 2027 nanti mungkin menjadi peluang terakhir untuk melihat Lee Know bersama Stray Kids buat sementara waktu, bergantung pada tarikh sebenar Lee Know memulakan khidmat ketenteraan.
Lee Know is my second bias after Bang Chan
I hope everything goes smoothly for Lee Know, that he completes his military service safely and that he returns healthy and well to reunite with the other members. OT8 will always be OT8. One may leave to fulfill his duty, but all eight will forever remain one family.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah mengisytiharkan Dewan Masjid di sini sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir yang dikategorikan sebagai Bencana Tahap 1.
PPS ini mula beroperasi pada 05 November 2026, Khamis bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa banjir terpelihara, selain membolehkan mereka mengambil tindakan sewajarnya dalam menghadapi situasi ini.
Petang..
Bila en. Hubby balik daripada outstation, aku mula merengek ajak keluar. Alasannya nak beli makanan dak Jasmine, sedangkan niat sebenar nak tengok keadaan kawasan sekitar.
Sepanjang perjalanan, kelihatan banyak kawasan yang sudah dinaiki air. Kenderaan pula banyak yang diletakkan di sepanjang jalan—sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya keadaan banjir semakin buruk.
Dah keluar sampai ke jalan besar, aku minta en. Hubby patah balik sebab hujan tiba-tiba turun tapi dah alang-alang basah, biarlah basah bersama. Sempat juga singgah beli cendol dan pisang goreng untuk minum petang di rumah.
Air dalam kebun kelapa sawit ni tinggi, sama paras dada itik
Sampai rumah, haruslah mandi dulu. Takut nanti demam pula. Antibodi dah tak macam dulu, tak usahlah nak berlagak kuat ye Mak Budak.
Hujan turun dengan lebatnya dan berlarutan hingga ke malam. Banyak kawasan mula dinaiki air, malah ada tempat aliran airnya deras. Aku mula rasa risau kalau kejadian sebelum ini berulang lagi seperti yang berlaku di [SINI].
Hujan yang mencurah-curah menyebabkan kawasan kebun kelapa sawit di sebelah kawasan perumahan kami dah seperti kolam renang. Kalau air dah mula masuk ke kawasan perumahan aku, nampaknya aku cuti ajelah.
Kerja memang penting tapi keselamatan rumah dan keluarga lebih utama—tambahan pula, en. Hubby sedang outstation ke utara. Jadi, kalau berlaku apa-apa, aku kena uruskan semuanya sendiri.
Perkara pertama yang aku buat ialah melihat perkembangan banjir melalui group dan socmed. En. Hubby meminta aku supaya tak pergi kerja hari ini.
Nampaknya, terpaksalah ambil cuti kecemasan. Walaupun taman perumahan aku tidak terjejas, kawasan sekitarnya sudah dinaiki air sejak petang semalam. Kalau aku tetap pergi kerja, risau petang nanti hujan turun lagi lebat seperti semalam. Silap-silap, aku pula yang stranded tak dapat balik rumah.
Aku bukannya suka kalau setiap kali pergi dan balik kerja terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh untuk mengelak kawasan banjir. Nak memandu pun jadi tak tenang, apatah lagi kalau terpaksa menempuh kesesakan dan keadaan jalan yang tak menentu.
Cuti memang cuti tapi ada kerja yang tak boleh ditangguhkan, jadi mana yang mampu aku selesaikan dari rumah, aku cuba siapkan. Mana yang tak boleh, terpaksalah tunggu minggu depan.
Buat mereka yang dilanda musibah ini, kuatkanlah semangat walau dah tak sekuat mana. Moga semua urusan berkaitan dipermudahkan-Nya. Aamiin..
Hujan turun dengan lebat dan agak lama. Sambil berharap hujan akan berhenti menjelang pagi, aku turut berdoa agar perjalanan dak Adik ke tempat kerja dipermudahkan. Risau juga memikirkan dia yang menunggang motosikal, lebih-lebih lagi perlu keluar awal sebelum pukul tujuh pagi.
Pagi..
Memulakan perjalanan ke tempat kerja seperti biasa. Sebaik keluar dari kawasan perumahan, aku tengok kebun kelapa sawit di sebelah kawasan perumahan sudah mula dinaiki air. Kalau paras air sama tinggi dengan jalan masuk ke kawasan perumahan, memang aku terpaksa cuti jelah. Laluan keluar yang lain pun sudah tentu berisiko banjir.
Dalam perjalanan menuju ke tol, hati tergerak untuk melihat Google Maps. Nak tahu keadaan trafik, sama ada jalan sesak atau tidak. Teringat juga kejadian kelmarin apabila laluan susur masuk ke highway sesak teruk ketika waktu balik kerja. Rupanya, ada petanda awal yang aku sendiri terlupa.
Sebaik tiba di tol, kelihatan kenderaan sudah mula beratur panjang di laluan susur masuk ke highway. Rupanya laluan tersebut telah dilencongkan. Maknanya, aku perlu berpatah balik dan menggunakan laluan lain yang lebih jauh.
Kebiasaannya, aku akan mengisi minyak kereta apabila sudah hampir sampai ke tempat kerja tapi kali ini, aku tak mahu mengambil risiko. Terus isi minyak sampai penuh sebelum menyambung perjalanan. Kenderaan pula semakin bertambah dan aku perlu segera mencari laluan alternatif sebelum terus terperangkap dalam kesesakan luar biasa.
Walaupun aku dah buka Google Maps, aku tetap call en. Hubby—'peta bernyawa' aku. Alhamdulillah.. kali ini aku mendengar kata en. Hubby. Kalau aku berkeras mahu menggunakan laluan yang biasa aku lalui, memang menangis depan stereng keretalah jawabnya.
Pernah lalu di [SINI] tapi waktu itu taklah seteruk kali ini.
Insiden banjir kilat dilaporkan berlaku di KM9.1 Lebuhraya NKVE, melibatkan laluan antara Shah Alam dan Subang. Semua lorong di kedua-dua arah terhalang dan laluan terpaksa dilencongkan.
Bayangkan berapa banyak kenderaan yang terpaksa menukar laluan yang menjadi punca kesesakan luar biasa.
Petang..
Sampai di rumah, bukan main lagi aku bercerita dengan en. Hubby. Rasa bangga pun ada sebab kali ini aku mengikut laluan alternatif yang dicadangkan. Memang sudah menjadi kebiasaan aku untuk menghubungi en. Hubby setiap kali berdepan kesesakan luar biasa—jalan mana yang lebih sesuai untuk digunakan.
'Lepas ni dah tahu kan nak ikut jalan mana pergi kerja kalau highway tutup?'
'Alah abang.. kalau kena lagi macam pagi tadi, patah balik, ambil cuti kecemasan terus'.
'Habis tu.. pagi tadi kenapa tak balik je rumah?'
'Hari ni kena kerja sebab nak selesaikan dengan Bahagian HR berkaitan arwah. Tak boleh tangguh. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan-Nya'.
Kisah awal berkaitan urusan tersebut ada aku ceritakan di [SINI]
Malam..
Masa untuk berehat. Letih sangat, ditambah pula dengan pelbagai perkara yang berlaku di tempat kerja. Alhamdulillah, satu hari yang agak mencabar akhirnya berjaya dilalui.
Selepas Subuh, aku menerima panggilan daripada anak buah di tempat kerja yang memaklumkan satu berita mengejutkan. Pemergian salah seorang rakan pejabat secara tiba-tiba pastinya menjadi berita yang sukar diterima oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Aku..?
Dalam pada berusaha menghubungi isteri arwah bagi mendapatkan beberapa maklumat penting, hebahan turut dipanjangkan melalui socmed tempat kerja supaya rakan-rakan lain dapat dimaklumkan.
Kebetulan en. Hubby ada, jadi aku terus meminta beliau menemani aku. Memandangkan arwah masih berada di hospital dan proses post-mortem perlu dilakukan yang pastinya mengambil masa, aku putuskan untuk terus ke hospital.
Kali ini, naik motosikal sahaja—waktu kemuncak orang pergi kerja, tak sanggup nak berhadapan dengan kesesakan jalan raya dan masalah mencari parking di hospital jika naik kereta.
Sampai di bahagian forensik hospital, kelihatan beberapa pegawai dan rakan sekerja sudah pun tiba. Sehingga tengah hari, ramai yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir buat arwah. Semua yang hadir di hospital dapat menatap arwah buat kali terakhir sebelum jenazah di bawa ke masjid bagi urusan seterusnya.
Anak sulung arwah yang belajar di UiTM di Melaka sempat tiba di hospital pagi tadi. Anak arwah yang belajar di MRSM di Perlis sedang menduduki SPM tahun ini pula mempunyai ujian bertutur yang diawalkan pada pagi tadi. Disebabkan itu, dia agak lewat tiba, namun masih berkesempatan untuk melihat arwah buat kali terakhir.
Petang..
Sedikit lewat urusan pengebumian kerna bagi memberi laluan kepada anak arwah balik dari Perlis. Alhamdulillah, semua urusan berkaitan dipermudahkanNYA. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan.
—Satu Hari Yang Tidak Dijangka—
Kita merancang untuk hari esok, sedangkan belum tentu kita sempat melaluinya. Hargailah setiap pertemuan kerana perpisahan kadangkala hadir tanpa sebarang petanda.
Esok..
Aku perlu berurusan dengan Bahagian HR bagi menyelesaikan beberapa urusan berkaitan. Insya-Allah, dalam masa terdekat kami juga akan menguruskan barang-barang peribadi arwah untuk diserahkan kepada isteri arwah.
Alhamdulillah.. aku terima mesej, akhirnya ada yang sudi nak adopt si Kopi. Lega aku. Bukanlah sebab tak suka, cuma dengan komitmen sedia ada, aku belum mampu nak menjaganya.
23 Oktober 2026 - Jumaat [12 Jamadilawal 1448H]
Pagi..
Dak Kakak dengan dak Nuha menemani aku ke tempat kerja. Deme berdua ni sebenarnya ada agenda sendiri—mencari makanan di karnival jualan makanan dan barangan tempat kerja aku. Ada pula cabutan bertuah, menang tiga hadiah pulak tu deme berdua.
DAN..
Aku turut bawa si Kopi untuk diserahkan kepada tuan barunya. Sekali dengan ubat dan keperluan si Kopi. Tuan baru ni siap minta QR daripada aku untuk membayar semuanya tapi aku tak nak sebab aku ni tamak pahala. Nak juga merasa sedikit pahala walaupun tak mampu nak menjaganya. Apalah sangat nak dibandingkan dengan kesudian beliau mengambil dan membela si Kopi.
Kenapa tuan baru ni nakkan si Kopi?
Rupanya anak beliau merengek nak anak kucing. Di rumahnya memang dah ada kucing dan kebetulan mereka sedang mencari seekor lagi anak kucing. Mungkin inilah rezeki yang Allah aturkan untuk mereka. Si Kopi hadir pada waktu yang tepat.
Alhamdulillah.. selesai semuanya. Lega.
Petang..
Member dari tempat kerja berkongsi gambar si Kopi di rumah tuan barunya. Warna si Kopi lebih kurang sama dengan kucing yang sudah sedia ada di rumah tuan baru itu.
—Si Kopi—
Tak semua yang kita selamatkan perlu kita miliki.
Cukuplah tahu ia kini berada di tempat yang lebih baik.
Kenangan menyelamatkan si Kopi memang takkan aku lupakan. Tak pernah aku senekad itu sebelum ini. Walaupun si Kopi hanya semalaman berada di rumah, aku tetap lega akhirnya. Bukan sebab tak mahu menjaganya tapi sebab aku tahu si Kopi kini berada di tangan yang betul.
Alhamdulillah.. selesai sudah episod si Kopi.
Moga si Kopi kekal sihat, kembali bertenaga dan membesar dengan baik di rumah barunya.
Hari ni aku ambil cuti rehat sebab nak ambil dak Kakak di Hentian di situ tapi sebelah pagi aku singgah sekejap di tempat kerja kerana ada kerja urgent yang perlu diselesaikan. Tengah hari, barulah aku terus bergerak untuk mengambil dak Kakak.
Petang.. dalam perjalanan pulang ke rumah..
Titik tertinggi Mak Budak!
Berjaya menyelamatkan seekor anak kucing yang berada di tengah jalan yang sibuk. Jalan tersebut merupakan laluan utama yang aku gunakan setiap hari.
Paling mengejutkan, aku sendiri tak sangka boleh bertindak spontan begitu. Terus berhenti di tepi jalan dan memasang lampu double signal. Kebetulan ketika itu laluan tidak begitu sibuk dan jarak antara kenderaan agak jauh. Jadi, aku tidak menghalang kenderaan lain yang melalui jalan tersebut.
Pantas aku berlari mendapatkan anak kucing yang hanya duduk diam tak bergerak di tengah jalan. Syukur, tiada kenderaan yang melanggarnya.
Aku..?
Dahlah baru lepas makan, mengah dibuatnya berlari mendapatkan anak kucing tersebut sambil memberi isyarat kepada kenderaan yang datang supaya memperlahankan kelajuan. Berdebar-debar juga aku ketika itu. Mujurlah si kecil langsung tidak bergerak dari tempatnya.
Tanpa berfikir panjang, terus aku bawa ke klinik haiwan. Masa ni memang tak terfikir pun berapa kos rawatan yang bakal dikenakan. Tak fikir juga duit cukup atau tidak. Apa yang aku tahu, anak kucing ni perlu diselamatkan terlebih dahulu.
Sementara menunggu giliran..
Alhamdulillah..
Doktor sahkan tiada kecederaan serius, cuma bahagian tepi mata sedikit luka, mungkin akibat terjatuh. Kami syak anak kucing ni terjatuh dari bahagian bawah kereta yang melalui jalan tersebut.
Doktor bersihkan luka dan titiskan ubat mata kerana si kecil ni sakit mata. Selain itu, doktor turut memberikan ubat cacing. Lega aku dan dak Kakak mendengarnya.
Selepas semua urusan rawatan selesai, barulah otak aku kembali berfungsi dalam alam nyata.
Siapa nak jaga? Macam mana nak uruskannya? Dak Jasmine pula macam mana?
Aku memang takde pengalaman menjaga anak kucing sekecil ini. Setakat kucing-kucing yang singgah makan di rumah, itu biasalah. Kalau nak dibandingkan, pengalaman menjaga seekor dak Jasmine pun sudah cukup untuk aku. Waktu kami terima dak Jasmine dulu, ia dah besar. Situasinya kali ini berbeza.
Barulah terasa pening kepala memikirkan macam-macam perkara. Namun, dalam pening-pening tu, sempat juga kami singgah di kedai kucing membeli sedikit makanan dan keperluan untuk si kecil.
Oh!Ya.. masa di klinik, dak Kakak dah bagi nama untuk anak kucing ni. 'Kopi' namanya, sempena warna bulunya.
Menggigil ketakutan pun ye jugak.. elok je ia duduk di belakang dak Kakak
Sambil memandu pulang, sempatlah aku meminta bantuan kawan di tempat kerja. Mana tahu ada sesiapa yang berminat nak adopt si Kopi ni.
Tapi.. ada satu lagi kejadian mendebarkan..
Kami singgah sebentar di kedai untuk membeli sedikit barang dapur. Si Kopi kami tinggalkan sekejap di dalam kereta. Bila kami kembali.. Allahuakbar.. ia dah tak ada! Mana pula si Kopi pergi? Aku pujuk hati, mungkin ia dah terkeluar dari kereta. Disebabkan aku sendiri dah penat dan tak larat nak fikir, kami terus balik rumah.
Sampai di rumah..
Kena bebel pula dengan en. Hubby. Bukan sebab kami bawa balik anak kucing tapi sebab kami tinggalkan ia dalam kereta dan 'hilang'. Satu kerja pula nak mencari di segenap ruang dalam kereta.
Sekali lagi.. Alhamdulillah..!
En. Hubby akhirnya jumpa si Kopi di celah ruang aircond dalam kereta. Hailaa.. Kopi., Kopi.. kamu ni memang berjaya buat adrenalin kami mencanak naik!
Malam..
Dak Kakak pula yang sibuk melayan kerenah si Kopi. Bagi makan, minum dan mengajarnya membuang di tempat yang disediakan.
Oh!Ya.. dak Jasmine?
Dah macam ular bunyinya, tanda tak suka dengan kehadiran si Kopi. Nak lepaskan si Kopi bebas bergerak dalam rumah pun susah juga. Terpaksalah kami kurung ia buat sementara waktu.
Macam ni pun si Kopi boleh tertidur.
Dak Kakak dan dak Nuha bergilir-gilir melayan si Kopi sepanjang malam. Ada masanya si Kopi terkejut dan ketakutan. Siapa pun akan terkesan dan dah tentu trauma. Akhirnya, masing-masing tidur dalam kepenatan. Kali ni bukan penat fizikal semata-mata, mental pun sama-sama penat.
Aku..?
Satu hari yang memang tak ada dalam perancangan. Keluar rumah dengan urusan mengambil anak, balik-balik bawa pulang seekor lagi anak berbulu.
Ada perkara yang berjalan seperti dirancang, ada yang datang tanpa diduga. Ada yang menggembirakan, ada yang menguji kesabaran dan ada juga yang mengajar aku supaya lebih berhati-hati dalam meletakkan harapan.
—Hidup tetap berjalan—
Bukan semua perkara perlu mendapat jawapan.
Bukan semua keadaan perlu diperbetulkan.
Bukan semua orang perlu kita fahami.
Ada masanya..
Lebih baik kita diam, jaga batas dan teruskan kehidupan sendiri.
Biarlah masa dan keadaan yang menentukan.
Selamat tinggal Oktober 2026..
Terima kasih untuk segala cerita, pengalaman dan pengajaran. Mana yang baik aku jadikan kenangan. Mana yang kurang baik dan mengganggu ketenangan, kena letakkan sempadan.
NOVEMBER 2026 — episod baru..
Tak meletakkan harapan yang tinggi. Cukuplah jika hari-hari mendatang berjalan dengan lebih baik, urusan dipermudahkan, kesihatan terus terjaga dan rezeki sentiasa mencukupi. Moga masih ada ruang untuk menikmati perkara-perkara kecil yang menggembirakan diri sendiri.
Selamat datang November 2026..
Tidak semua hari perlu sempurna.
Cukuplah jika masih punya kekuatan untuk meneruskan perjalanan.