Saturday, August 22, 2026

Bukan Tak Sayang cuma Dah Tak Beriya


Dulu.. ada benda kecil rasa teruja nak cerita.
Sekarang.. nak buka mulut pun malas je rasa.

Bukan sebab tak ada cerita tapi sebab dah tahu bagaimana rasanya bercakap dengan orang yang ada di depan mata tapi perhatian entah ke mana. 

Daripada excited nak bercerita, terus jadi.. 'Takpelah..'  sebab dah terbiasa.

Cukup dengan diam.
Cukup dengan tidak lagi berkongsi.
Cukup dengan tidak lagi mencari.

Berdendam?
Tidak.. Aku tak berubah. Aku cuma belajar membalas apa yang selama ini aku terima  jika dilayan seperti angin, belajar balas seperti angin juga.

Bila diam sudah tidak lagi menakutkan.
Bila berjauhan sudah tidak lagi dirindukan.

#RemajaPurba: Pedulikan.. 

Friday, August 21, 2026

Bukan Menuding, Cuma Untuk Mengingatkan


Bukan semua tulisan itu sindiran. Kadang-kadang, kita yang terlebih terasa. Apa yang kita tulis mungkin tak sama dengan apa yang orang lain faham. Berdiam diri tidak bermaksud kita bersalah dan belajar daripada pengalaman tidak bermaksud kita masih menyimpan dendam.


dari [SINI]


Apa yang berlaku, dah pun berlaku tapi pengalaman itu mengajar aku sesuatu supaya lebih berhati-hati. Mungkin perkara ni nampak remeh tapi bagi orang yang pernah melaluinya, kesannya tak berhenti pada hari kita terima teguran itu tapi ia akan ikut kita..

Masuk dalam cara kita berfikir..
Masuk dalam cara kita bercakap..
Masuk dalam cara kita menulis..

'Tak semua benda perlu diketahui oleh semua orang'.

#RemajaPurba: Aku tak simpan dendam, aku simpan pengajaran..

Wednesday, August 19, 2026

Kata Dulang Paku Serpih [RazStudio69]


19 Ogos 2026 - Rabu [6 Rabiulawal 1448H]

Ada lagu yang kita dengar sekadar untuk hiburan. Ada juga lagu yang membuat kita teringat pada kenangan silam tapi lagu 'Kata Dulang Paku Serpih' ni boleh buat kita tersenyum kerana liriknya adalah realiti dalam kehidupan.

Lagu ini membawa teguran tentang sikap manusia yang terlalu mudah melihat, mengata dan menghukum kesalahan orang lain  sedangkan kesalahan sendiri sering terlupa. Sebelum sibuk mencari salah orang, lihat dulu diri sendiri. Tiada manusia yang sempurna. Bezanya.. ada yang sedar akan kekurangan diri dan memilih untuk memperbaikinya dan ada yang lebih sibuk menghitung salah orang lain.


dari [SINI]

Lagu: Kata Dulang Paku Serpih
Dari: RazStudio69


LIRIK LAGU: KATA DULANG PAKU SERPIH

Teringat kata orang-orang tua..

Kata dulang paku serpih
Mengata orang, dia yang lebih
Lucunya.. manusia..

Mulut laju mencari cela
Jari ligat menunjuk salah
Empat jari diam tanpa suara
Namun semuanya.. sedang menunjuk dirinya..

Orang pakai selipar, katanya takde gaya
Sedang selipar dia sendiri pun putus dua.
Orang datang lambat, katanya banyak alasan
Dia sendiri lewat, terus keluar drama anak jalanan..

Orang punya silap, habis sekampung bercerita.
Diri sendiri buat, dan danlah 'manusia tak sempurna..'

Mulut bukan main petah menghukum manusia
Macam undang-undang dunia dia yang punya
Pantang nampak orang, ada saja cacat dan cela..
Siang malam mengata, macam dibayar gajinya
Bila batang hidung sendiri yang mula terkena..
Habis disalahkan cuaca.. jiran.. binatang dan cuaca..

Bab meratib mengira dosa orang bagi dia..
Punyalah tekun hingga dosa sendiri pun dia tak kira.
Sampai cermin depan pun tunduk kecewa..
Sebab tiap pagi, asyik dengar cerita orang saja.

Kata dulang.. paku serpih
Mengata orang, dia yang lebih
Baik buruk orang sibuk kau tertoleh-toleh
Bila suku sakat sendiri yang buat pandai pula berdalih..

Baik tua, baik muda perangai sama hebat
Bab mengata orang memang cukup cepat
Sampai tak sedar dulang sendiri berbunyi kuat
Kena atas batang hidung sendiri.. tahu pula terlompat..

Orang bergaya, dikatanya nak berlagak
Yang dia show off seluar baju tak pula riak
Orang bercerita, katanya saja buat gempak
Kena tang dia.. nah kau.. 'lima puluh gambar satu tapak..'

Orang marah, katanya manusia tak reti sabar
Pandai bercakap hidup ini memang mencabar
'Eh!Jap.. dia ni memang lupa atau tak sedar'
Yang waktu dia naik angin, satu taman boleh bergegar..

Pantang betul nampak orang buat silap
Terus buka mulut macam terpaling lengkap
Bila giliran sendiri mula tersilap langkah
Terus keluar ayat 'Janganlah suka menghukum sangat..'
ciss..

Orang silap sekali, terus kau jadi pendakwa
Macam dosa dia, kau pulak yang jaga
Bila kau sendiri buat, terus keluar tajuk cerita
'Alah.. manusia.. biasalah..' katanya..

Orang jatuh hari ini, kau gelak sepuas hati
Esok kau rebah, terus minta orang fahami
Semalam mulut kau.. fuhh bukan main tinggi
Apesal hari ini kau berbunyi.. 'Jangan hukum aku lagi..'

Dosa orang, berkurun kau bebel omelkan
Silap sendiri, lima minit dah hilang dalam ingatan
Aib orang.. kau simpan macam harta simpanan
Aib sendiri.. kau panggil 'ujian kehidupan..'

Pandai benar menyusun seribu nasihat
Perangai sendiri langsung tak sempat dibetulkan
Sibuk menyapu halaman rumah orang setiap saat
Rumah sendiri.. semaknya sampai hilang halaman..

Hari-hari sibuk menimbang salah manusia..
Seolah-olah syurga neraka, dihujung lidahnya.
Sedang cermin di depan mata, berhabuk tak dipandang sua
Patutlah dulang berbunyi..
Rupanya penuh serpih belaka..

Kata dulang, paku serpih
Janganlah sibuk mencari salah yang tersisih..
Sebelum jari menunjuk arah yang dipilih..
Lihatlah cermin.. siapa yang sedang merintih..

Tiada manusia yang sempurna di dunia
Setiap hati punya cela dan juga cerita.
Jangan jadikan lidah senjata mencela
Kerana yang kita jatuhkan.. mungkin diri kita juga..

Belajarlah melihat sebelum menghukum
Belajarlah mendengar sebelum menuduh
Kadang yang kita sangka benar di mata kita..
Belum tentu sama.. pada pandangan.. Yang Maha Esa..

Mengata dulang.. paku serpih..
Bukan sekadar lagu menyindir pedih..
Namun mengingat diri agar hati kembali bersih..
Agar terhindar dari azab.. yang mengundang perih..


Mengata Dulang Paku Serpih 

Sebelum sibuk menunjuk jari kepada orang lain, cuba tengok dulu empat jari yang sedang menunjuk balik kepada kita.


Kadang-kadang, teguran paling tepat bukanlah yang ditujukan kepada orang lain tapi kepada diri sendiri – 'Aku ni sedang melihat kesalahan orang atau sebenarnya sedang terlupa melihat diri sendiri?'..

#RemajaPurba: ..

Tuesday, August 18, 2026

FUNGSI LAMPU SIGNAL LORI


18 Ogos 2026 - Selasa [5 Rabiulawal 1448H]

Lama sungguh aku simpan dalam draft, baru hari ini terasa nak publish. Idea ni dari satu blog yang aku baca dari [SINI]. 

Tentang lampu signal lori – sesuatu yang nampak biasa tapi mungkin ada yang tak tahu maksud di sebaliknya. Dalam pemanduan, pemandu lori sebenarnya menggunakan kod signal tertentu. Ada tiga jenis kod melalui signal lampu sebagai isyarat kepada pemandu di belakang.

Penggunaan signal ini sebagai 'komunikasi tidak rasmi' dengan kenderaan yang berada di belakang yang menjadi amalan atau kebiasaan di kalangan sesetengah pemandu lori.

LAMPU SIGNAL LORI:
  • LAMPU KECEMASAN (dua-dua lampu menyala)
    JANGAN RAPAT dengan lori. Kemungkinan ada bahaya di hadapan atau lori agak sukar untuk merempuh jalan yang berbukit.

  • LAMPU SIGNAL KANAN
    JANGAN MEMOTONG lori. Menunjukkan jalan di bahagian hadapan amat bahaya dan tidak digalakkan untuk pemandu di belakang memotongnya.

  • LAMPU SIGNAL KIRI
    Pemandu lori MEMBENARKAN MEMOTONG. Pemandu di belakang boleh memotong kerana jalan di hadapan tidak bahaya.


sumber en. Google

Antara contoh Titik Buta (Blind Spot) pada kenderaan berat seperti di [SINI].

- sumber en. youtube -
Mungkin ada antara kita yang pernah terjumpa situasi macam ni..


Selain dari itu, sekiranya terlihat lori dari arah bertentangan, kebiasaannya:
  • Memberi sekali high beam (lampu tinggi)
    Ini mungkin kenderaan kita menggunakan lampu tinggi atau mereka berselisih dengan kawan dari arah bertentangan.

  • Memberi dua kali high beam
    Ada kemungkinan sekatan jalan raya dijalankan oleh pihak berkuasa di hadapan.

  • Memberi tiga kali high beam
    Memberi amaran kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan kerana risiko bahaya yang menanti di hadapan.


Memahami isyarat ini mungkin membantu kita lebih peka di jalan raya TAPI jangan sesekali menganggapnya sebagai jaminan bahawa keadaan benar-benar selamat untuk memotong. Signal tersebut bukan pengganti kepada pemerhatian dan pertimbangan pemandu sendiri.

Kita kena nilai keadaan di hadapan, trafik dari arah bertentangan dan hanya memotong apabila benar-benar yakin selamat.

@RemajaPurba: Keselamatan bukan pilihan tapi keutamaan.

Monday, August 17, 2026

Bila Hati Sudah Tidak Lagi Berharap

 

SUAMI
Percayalah.. apabila seorang isteri sudah tidak lagi meminta bantuan daripada suaminya, jangan cepat menganggap dia tidak memerlukan atau tidak mahu menyusahkan. Bila dia diam, itu tak bermakna dia baik-baik saja.

Ada ketika, diam itu tanda dia sudah berhenti berharap. Dalam fikirannya, suami yang suatu ketika dahulu menjadi tempat bergantung, perlahan-lahan bukan lagi menjadi keutamaan. Bertahun-tahun memendam rasa tapi sampai bila?

Jangan terkejut jika suatu hari nanti dia minta untuk dilepaskan. Bukan kerana orang ketiga tapi kerana terlalu lama hidup tanpa rasa dihargai hingga kasih dan sayang dalam hati akhirnya perlahan-lahan mati.

Kau kena ingat.. hati seorang isteri yang sudah tawar tidak akan kembali seperti dahulu hanya dengan menambah 'sesudu gula'.


ISTERI
Percayalah.. bila kau semakin berdikari, jangan sampai itu menjadi tiket untuk suami semakin selesa mengambil mudah. Semakin kau mampu buat semuanya sendiri, semakin mudah dia membina satu mindset:

'Tak apa, isteri aku ada..'
'Tak apa, isteri aku boleh buat..'
'Tak perlu risau, nanti dia uruskan..'
Dan di situlah kesilapan yang paling besar — apabila terlalu lama memberi ruang, terlalu banyak bertolak ansur dan terlalu biasa berkata.. 'Tak apa..'

Akhirnya kau yang memikul semuanya.
Kau yang mengurus.
Kau yang menyelesaikan.
Kau yang menahan marah.
Kau juga yang terpaksa memujuk hati sendiri setiap kali kecewa.

Kemudian kau mula bertanya.. apa pilihan yang aku ada? Minta dilepaskan? tapi bagaimana jika dia sendiri tidak mahu melepaskan kerana selama ini terlalu banyak perkara dalam hidupnya bergantung kepada kau? Akhirnyakau tersepit antara tanggungjawab, rasa kasihan dan hati sendiri yang semakin hari semakin letih.


ANAK
Jangan terlalu cepat menyalahkan mereka apabila suatu hari nanti mereka mula berubah. Anak-anak melihat lebih banyak daripada apa yang kita sangka. Mereka melihat siapa yang mengambil berat, siapa yang sentiasa ada dan siapa yang hanya hadir ketika semuanya sudah selesai.

Apabila seorang ibu menguruskan sakit pening, keperluan rumah dan anak-anak seorang diri, sedangkan seorang bapa seolah-olah tidak mahu mengambil tahu apa yang sedang berlaku, jangan hairan jika sedikit demi sedikit rasa hormat itu turut terhakis.

Bila perkara asas pun dibiarkan, anak-anak akan mula bertanya sendiri.. 'Apa sebenarnya fungsi seorang ibu dan bapa dalam sebuah keluarga?'jangan salahkan anak-anak apabila hati mereka mula terluka dengan apa yang mereka lihat sendiri.


ORANG LUAR
Kalau kau tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, jangan mudah menambah luka yang sudah sedia ada. Tidak semua perkara perlu dinasihati. Tidak semua keadaan memerlukan ceramah dan tidak semua orang yang diam itu jahil tentang agama atau kehidupan. Ada kalanya seseorang hanya sedang berusaha bertahan daripada runtuh.

Jadi.. sebelum menuding jari dan bercakap seolah-olah paling tahu tentang hidup orang lain, cubalah faham bahawa kau hanya melihat sebahagian kecil daripada cerita.


Ada luka yang tidak berdarah tapi sakitnya cukup dalam.
Ada hati yang tak lagi marah kerana sudah terlalu lama kecewa.


AKU
Mungkin itulah yang paling menakutkan — apabila seseorang berhenti meminta, berhenti berharap dan akhirnya belajar untuk tidak lagi peduli.

#RemajaPurba: Makin lama aku menulis, makin retak hati ini..

Lagu Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM)


17 Ogos 2026 | Isnin [4 Rabiulawal 1448H]

Tahun ini, lagu tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026) diberi judul 'Aku Berjanji' hasil ciptaan Faizal Tahir dan dinyanyikan sendiri oleh beliau.

Lagu 'Aku Berjanji' ini membawa mesej tentang ikrar dan kesetiaan rakyat kepada negara, di samping menyerlahkan semangat perpaduan, pengorbanan serta kebersamaan dalam mempertahankan tanah air. Lagu ini turut menekankan kepentingan kesejahteraan, kemerdekaan dan perpaduan sebagai asas untuk terus melangkah bersama demi Malaysia.


Lagu Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026)

dari [SINI]

Lagu: Aku Berjanji
Penyanyi: Faizal Tahir
Lirik: Faizal Tahir, Darien Sebastian, Glowrush
Komposer: Faizal Tahir, Darien Sebastian, Glowrush


LIRIK LAGU: AKU BERJANJI

​[Verse 1]
Aku berjanji
Dan ku bersumpah setia
Demi Tuhan dan negara
Akan ku korbankan jiwa

​[Verse 2]
Aku berjanji
Akan satukan semua
Kita pertahan bersama
Tanah air yang tercinta

​[Chorus]
Semangat waja
Kan ku pertaruhkan nyawa
Demi sejahtera semua
Negaraku yang merdeka
​Terus melangkah
Tetap terpahat di dada
Kita sejahtera bersama
Malaysia

​[Verse 3]
Aku berjanji
Kepada ibu pertiwi
Kekal perpaduan ini
Teras semangat madani

[Ulang Chorus]


Setiap bait dalam lagu Aku Berjanji membawa makna tersendiri, bukan sekadar ungkapan kesetiaan kepada negara tetapi turut menggambarkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang menjadi kekuatan rakyat Malaysia.

#RemajaPurba: ..

Sunday, August 16, 2026

TEMA dan LOGO Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026


Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 dan logo Malaysia MADANI pula dikekalkan sebagai logo rasmi sambutan tahun ini.
  • Sambutan Hari Kebangsaan 2026 — 31 Ogos 2026 di Dataran Putrajaya
  • Sambutan Hari Malaysia 2026 — 16 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak (Amalan penggiliran lokasi setiap tahun sama ada di Sabah, Sarawak dan Semenanjung).

RASIONAL TEMA HKHM 2026
  • Gambaran visi kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara yang maju, inklusif dan harmoni, di mana setiap individu dapat merasai kesejahteraan secara menyeluruh, istilah 'MADANI' yang berakar daripada konsep tamadun (civilisation) merangkumi nilai-nilai keadilan, kebajikan dan kemanusiaan.
  • Fokus utama tema ini adalah untuk memastikan bahawa kesejahteraan bukan sahaja dikecapi oleh golongan tertentu tetapi oleh seluruh rakyat tanpa pengecualian.

RASIONAL LOGO HKHM 2026
  • Logo Malaysia MADANI dijadikan sebagai logo rasmi HKHM pada tahun ini kerana reka bentuk logo ini berteraskan Malaysia MADANI yang menghasilkan corak simbolik 'tangan yang sedang diangkat untuk melafazkan ikrar Rukun Negara'.

Jabatan Penerangan Negara [JAPEN]
Kapsul JAPENTV | Tema & Logo Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2026
dari [SINI]

LOGO dan TEMA Hari Kebangsaan dari Tahun 1970 hingga 2024 di [SINI] dan 2025 di [SINI]


LOGO HKHM 2026
'MALAYSIA MADANI Kesejahteraan Dinikmati'


Berikut adalah pecahan elemen pada logo Malaysia MADANI yang digunakan:
  • JALUR
    Melambangkan lima jari dengan jalur merah dan putih merupakan simbolisme kepada Rukun Negara yang mendasari ideologi Malaysia.

  • BULAN SABIT
    Melambangkan simbol agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

  • BINTANG
    Berbucu 14 melambangkan perpaduan dalam kalangan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

  • BULATAN
    Dalam lingkungan warna biru melambangkan permuafakatan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.
  • WARNA KUNING
    Pada anak bulan dan bintang itu adalah tanda negara ini dnaungi oleh Raja Berperlembagaan.

  • WARNA MERAH
    Adalah tanda semangat jati diri rakyat Malaysia yang mendukung semangat wira yang membara.

  • WARNA BIRU
    Mendasari apresiasi jalinan budaya perpaduan nasional masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

  • WARNA PUTIH
    Tanda keikhlasan dan keamanan sebuah negara bangsa yang merdeka.

Sambutan Hari Kebangsaan 2026
31 Ogos 2026 bermula 0700 pagi di Dataran Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya


Tanggal 31 Ogos 2026 sentiasa dinantikan oleh rakyat Malaysia. Pelbagai acara dan aktiviti akan turut mewarnai sepanjang sambutan Hari Kebangsaan berlangsung. Tak sabar sudah pasti, kuasa viral sentiasa dinanti buat mereka yang tak dapat hadir sekali.

#RemajaPurba:  Maklumat dari Merdeka 360 di [SINI]

Saturday, August 15, 2026

Bila Luahan Caller Bertukar Jadi Perdebatan


13 Ogos 2026 | Khamis [29 Safar 1448H]

Kisah ni sebenarnya bukan semata-mata nak menyebelahi caller tapi nak buka perspektif yang lebih luas tentang beban kerja yang terpaksa ditanggung akibat colleague tidak hadir. Cuma yang selalu hilang dalam perdebatan macam ni ialah empati kepada pihak yang satu lagi — bukan menghentam working mom, bukan juga membela caller secara membuta tuli.

Ada antara suara dalam komen-komen tu:
  • Ada yang simpati kepada caller kerana penat menanggung kerja colleague.
  • Ada yang mempertahankan working parents.
  • Ada yang rasa DJ sepatutnya dengar dahulu sebelum membuat kesimpulan.
  • Ada juga komen yang sudah terlalu jauh sampai mendoakan perkara yang bukan-bukan.

Isu ni memang meletup!


Sepatutnya DJ dengar dulu sampai habis, jangan cantas apa yang cuba disampaikan oleh caller. Kesannya, ramai mak-mak yang terkesan dan merentan hanya kerana ayat last caller tersebut. Aku tak rasa dia akan menjawab sampai macam itu sekiranya dia tidak di provoke. Burnout sebab kerja jangan buat main ye.

Jika kau dengar semula apa yang dia cakap, mungkin kedengaran kasar atau agak angkuh tapi kita tak tahu berapa lama dia dah memendam perkara tersebut. Kadang-kadang seseorang tidak marah kerana satu kejadian. Dia marah kerana terlalu banyak perkara yang terkumpul sebelum itu. Bila sudah sampai satu tahap, sedikit je provokasi pun boleh membuatkan emosi yang selama ini ditahan akhirnya meletup.

'Saya rasa saya boleh je susun masa saya'.
'Tak apa, saya boleh urus masa saya'.

Realiti bagi isu ini, ramai yang trigger dengan jawapan caller tersebut hingga menjadi perbualan hangat. Ada yang mempertahankan anak sakit bukan sesuatu yang boleh dirancang. Itu betul.. tapi empati sepatutnya berjalan dua hala. Kalau kita mahu orang memahami keadaan seorang ibu yang terpaksa mengambil EL kerana anak sakit, kita juga perlu cuba memahami keadaan colleague yang berkali-kali terpaksa mengambil alih kerja tersebut.

Bila baca komen dari netizen, aku tak bersetuju dengan komen-komen yang sampai mendoakan perkara buruk kepada caller seolah-olah mereka pula yang tersakiti. Kita boleh tidak bersetuju. Kita boleh terasa. Kita boleh mempertahankan pendirian masing-masing TAPI tak perlulah sampai mendoakan yang bukan-bukan. Kebanyakkan komen yang mendoakan yang buruk tu sangat 'menyeramkan' dan aku pula yang takut membacanya.

Single pula tidak bermaksud dia tiada kehidupan. Dia mungkin ada ibu bapa yang perlu dijaga. Ada masalah sendiri. Ada komitmen yang kita tidak tahu dan ya.. dia juga berhak untuk mempunyai kehidupan di luar tempat kerja. Jangan kerana seseorang itu tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak, kita terus menganggap hidupnya lebih lapang dan kerjanya boleh diserahkan kepadanya apabila kita tidak dapat hadir bekerja. Jangan begitu..

Mungkin sudah tiba masanya management melihat semula bagaimana tugasan diagihkan. Mungkin perlu ada backup. Mungkin perlu ada sistem supaya beban tidak jatuh kepada orang yang sama setiap kali seseorang tidak hadir. Mungkin juga kedua-dua pihak perlu belajar untuk berkomunikasi dengan lebih baik supaya tiada yang sampai tahap burn out.

  • Untuk colleague yang mempunyai anak dan sering memerlukan EL — cuba fikirkan kesannya kepada orang yang selalu membantu menampung kerja.
  • Untuk colleague yang selalu diminta cover — jangan pendam sehingga meletup. Kalau beban sudah terlalu berat, suarakan kepada management. Fight for your right too.


Cuba pandang dari sudut perspektif yang lebih luas 

Kalau kita mahu difahami, kita juga perlu belajar memahami.
Dalam dunia pekerjaan, bukan seorang je yang perlu dijaga.
Working parents perlu empati.
Working colleagues juga perlukan empati.
Management pula perlu ambil peduli, jangan tutup mata dan berat sebelah.


Mereka yang merentan atas alasan 'anak nak dengan ibu, tak nak dengan ayah..' itulah yang menyebabkan mereka terpaksa EL tapi sesusah mana pun situasi tersebut, the key is 'urus masa dengan betul'. Aku pun, anak-anak nak dengan aku sebab mereka jarang dapat berjumpa Babah deme. Waktu dak Kakak dengan dak Adik masih kecil aku struggle sebab aku dan en. Hubby LDR.

Aku pernah berhadapan situasi dak Adik yang perlu kerap ke hospital mendapatkan rawatan pakar untuk kaki dan tangannya. Pernah seminggu dak Adik dimasukkan ke hospital, aku pula terpaksa ulang-alik dari rumah, hospital dan tempat kerja. Waktu itu.. aku bersyukur. Alhamdulillah, aku dikelilingi oleh mereka yang baik-baik – baik dari sisi keluarga, tempat kerja mahupun mereka di hospital.

Like I say.. the key is 'urus masa dengan betul'. Jangan merentan.

#RemajaPurba: Balance is the key ..

Friday, August 14, 2026

Bila Alert Mode Menyelamatkan Aku


Ketika berada di atas jalan raya, mengekalkan jarak itu sangat penting. Bukan sebab terlalu berhati-hati tapi untuk memberi ruang jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Sekurang-kurangnya ada masa untuk membrek dan mengurangkan impak sekiranya berlaku kemalangan.

Aku..?
Mengamalkan jarak antara kenderaan di hadapan jika..
  • TIDAK HUJAN – sekurang-kurangnya berjarak sebuah kereta dengan kenderaan di hadapan.
  • HUJAN  jarak ditambah kepada sekurang-kurangnya dua buah kereta dengan kereta di hadapan.


Kisah di bawah ni nampak macam perkara biasa di jalan raya tapi kalau masa tu kita tak berada dalam alert mode, perkara yang nampak kecil boleh jadi punca kemalangan.


12 Ogos 2026 | Rabu [28 Safar 1448H] 

Pagi..
Alert mode sentiasa on bila mula memegang stereng kereta, keselamatan diri paling utama. Ini kerana ada segelintir pemandu yang gemar memandu terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan dan ada pula yang suka membrek secara mengejut kerana terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan.

Ketika inilah.. tiba-tiba sebuah kereta memberi signal dan terus masuk di hadapan aku.

Aku..?
Sempatlah brek sebab berada dalam alert mode. Aku perhatikan kereta tersebut mengekori rapat dengan kenderaan di hadapannya. Aku tak tahu sama ada pemandunya terleka atau memang jenis suka memandu rapat. Sampailah tiba-tiba dia membrek mengejut..

Terus mencanak naik adrenalin aku. Secara automatik, aku mengelak ke kanan sambil sempat melihat cermin belakang. Kereta di belakang aku pula terus membrek dan mengelak ke kiri. Syukur. Kami semua sempat bertindak.

Selepas itu, pemandu di hadapan aku mula perlahankan kereta. Mungkin pemandunya sendiri terkejut dengan apa yang berlaku tapi disebabkan perlahan dan memandu di lorong paling kanan, aku bagi high beam sebagai isyarat supaya dia menukar lorong jika mahu terus memandu perlahan.

Bila aku lalu di sebelahnya.. 'Eh..! Dia pandang aku macam aku pula yang buat salah'. 


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
 
14 Ogos 2026 | Jumaat [1 Rabiulawal 1448H] 

Ini pula kisah pagi tadi..
Kejadian berlaku dah hampir sampai susur keluar, tiba-tiba boleh pula dia brek mengejut dan terus tukar lorong untuk masuk ke susur tersebut. Spontan aku bagi high beam dan hon panjang.

Aku tak kata aku ini terlalu mengikut peraturan atau pemandu paling sempurna. Aku pun ada silapnya tapi kalau benda asas seperti menjaga jarak, memberi ruang dan tidak membrek secara mengejut pun kita abaikan, tindakan itu boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Alhamdulillah.. selamat sampai di tempat kerja.
Alhamdulillah juga rezeki di pagi hari, salah seorang pegawai aku memberi buah naga untuk dikongsikan bersama rakan-rakan yang lain.



Cantik warna Buah Naga ni.


Di atas jalan raya, jangan terlalu yakin semuanya akan berjalan seperti yang kita jangka. Kita boleh menjaga jarak, memandu mengikut had kelajuan dan berhati-hati tapi kita tak boleh nak kawal tindakan pemandu lain  sebab itu, kena sentiasa berada dalam alert mode. Kadang-kadang satu saat untuk bertindak itulah dapat mengelak dari berdepan kemalangan.

Ingatlah..
Jalan raya bukan kita seorang yang punya. 
Jangan terlalu pentingkan diri sendiri. Kita berkongsi jalan yang sama.
Semoga kita semua lebih berhati-hati ketika memandu dan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya.

#RemajaPurba: Jaga jarak. Jaga diri. Jaga pengguna jalan raya yang lain.

Thursday, August 13, 2026

International Left Handers Day


13 Ogos 2026 - Khamis [29 Safar 1448H]

Menjadi kidal bukan sesuatu yang perlu disorok atau dirasakan pelik. Setiap manusia diciptakan dengan keunikan masing-masing. Mungkin cara kita berbeza tapi itu tidak pernah bermaksud kita kurang daripada sesiapa. Apa yang penting, belajar menyesuaikan diri, menjaga adab dan menghormati perbezaan.


Siapa Kidal, kita geng..


Hari ini, kita raikan mereka yang menggunakan tangan kiri — kerana berbeza itu juga satu keistimewaan.

#RemajaPurba: Berbeza tangan, sama nilai..

Tuesday, August 11, 2026

Nak Isteri Cantik? Ringankan Bebannya Dulu

 
11 Ogos 2026 - Selasa [27 Safar 1448H]

Bukan semua isteri melalui kehidupan rumah tangga yang sama. Ada yang memikul hampir semua tanggungjawab sendirian, ada juga yang bertuah kerana mempunyai pasangan yang sama-sama menggalas beban. Bezanya, sokongan itu sering memberi ruang kepada seorang isteri untuk terus menjaga dirinya.

Nak isteri sentiasa cantik, bergaya dan berseri? Jangan setakat pandai letak syarat. Jangan asyik pandai mengeluh tapi usaha tak ada. Hargai, bantu dan ringankan bebannya. Cantik itu bukan datang dengan kata-kata tapi dengan sokongan yang diberi setiap masa.


Rita Rudaini - Jarang tak slay..


Masa masih ada suami, macam-macam kerenah isteri kena hadap. Semua urusan dicampakkan pada isteri. Duit pula cukup-cukup makan, isteri pula yang terpaksa tambah. Lepas tu, nak isteri sentiasa cantik je, tak suka tengok isteri selekeh.

Jangan buat 'kajian' dengan hanya melihat di socmed semata-mata. Cuba tanya mereka yang bukan sahaja membesarkan anak sendiri, malah menjaga anak mak mertua, tanggungjawab itu jauh lebih besar dan lebih mencabar daripada yang disangka.


Huh! 

Dia tak tahu, bela anak mak mertua lagi serabut dari bela anak sendiri..


Sebelum berkahwin mampu membeli baju, skincare, makeup dan menjaga diri tanpa perlu berfikir banyak kali tapi selepas berkahwin dan mempunyai anak, keutamaan berubah. Duit lebih banyak digunakan untuk susu anak, pampers, yuran sekolah, bil rumah, dapur dan macam-macam lagi. 

Bila duit tak cukup, isteri selalunya orang pertama yang mengorbankan kehendak sendirijangan mudah mengejek bila nampak isteri memakai baju yang sama, badan makin berisi, rambut tak terurus atau kulit semakin kusam.

Tanya mereka.. ada duit nak makan tak? Pakaian dalam bertukar tak? Skincare cukup tak? Ambil tau..! Jangan bunyi macam langau tapi satu kerja pun tak membantu. Sepatutnya kau tak boleh salahkan isteri kau. Kau yang sepatutnya malu sebab gagal cantikkan isteri kau.

Percayalah..
Sokongan, kerjasama dan sikap saling membantu dalam rumah tangga memainkan peranan yang besar. Bila beban rumah tangga dikongsi, kedua-duanya akan lebih bahagia, lebih terurus dan lebih menghargai antara satu sama lain.


ISTERI Jangan rasa bersalah kalau kau sudah tak seperti dulu. Kau terlalu banyak memikul 'beban' rumah tangga.

SUAMI Kalau kau mahukan isteri yang ada masa dan tenaga untuk menjaga dirinya, jangan abaikan perkara yang menyebabkan dia kehilangan masa dan tenaga itu.

#RemajaPurba: Jangan hanya menilai hasil..

Monday, August 10, 2026

Bila Suami Tegur Masakan Isteri

 
Dalam rumah tangga, bila isteri dah bersusah payah di dapur, suami belajarlah menghargai masakan yang dimasak oleh isteri. Janganlah setiap kali makan, hanya komen dan kritikan apa yang isteri masak. Lama-lama bukan selera yang hilang, semangat isteri nak memasak pun boleh hilang sekali.

Aku..?
Pernah dulu, en. Hubby tegur masakan aku kurang rasa. Aku ni berdarah pendekar, dah penat bersilat di dapur, ditegur begitu. Terus aku jawab,. 'Saya dah penat masak.. sedap ke tidak, abang makan aje, jangan banyak bunyi..'

Hasilnya..?
Sekarang, bila aku tanya macam mana rasa masakan aku, jawapan en. Hubby tetap sama.. 'sedap je..'. Walaupun aku tahu, takdelah sedap mana. Kalau anak-anak pula komen depan Babah deme.. 'Makan aje apa yang ibu dah masak. Jangan nak komen apa-apa..' Nampak tak kuasa seorang ibu..?

Hakikatnya, en. Hubby memang lebih pandai memasak dan boleh masak untuk kenduri dalam skala besar. Aku pula biasanya hanya sekadar PA dan tukang makan aje. Begitulah.. masing-masing ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada perkara yang kita lebih mahir, ada perkara yang pasangan pula lebih hebat. Anak-anak juga begitu.

Jadi, daripada sibuk membandingkan siapa lebih pandai, siapa masak lebih sedap atau siapa lebih hebat, lebih baik kita belajar menghargai usaha orang yang sudah bersusah payah menyediakan sesuatu untuk kita.


Tak sedap?  Belajar masak.
Sedap?  Ucap terima kasih.


Jadi, sebelum mencari kekurangan, belajarlah menghargai usaha. Kalau ada yang kurang, tegurlah dengan baik. Kalau ada yang lebih, terima ajelah kerana tak semua benda perlu dinilai dari hasilnya sahaja.

Hargai dulu sebelum mengkritik kerana kita tak pernah tahu berapa banyak tenaga yang telah dia habiskan hanya untuk memberikan yang terbaik kepada kita.

#RemajaPurba: Kisah asal dari [SINI]..

Sunday, August 9, 2026

Isteri Masak, Jangan Banyak Komen


Ada orang mudah membandingkan masakan isteri dengan masakan ibunya tanpa sedar setiap perkataan yang keluar dari mulut boleh meninggalkan luka di hati. Kenapa nak bandingkan sesuatu yang memang dari awal tak pernah sama? Jangan pernah bandingkan, it take times to adapt a new environment.




'You masak sedap tapi tak boleh lawan masakan mak Ai..'
Ayat itu mungkin kedengaran biasa bagi sesetengah orang tapi bagi orang yang bertungkus-lumus di dapur, ia boleh meninggalkan rasa yang sukar digambarkan. Kita semua dibesarkan dalam keluarga yang berbeza, cara memasak berbeza, sukatan berbeza, resipi berbeza malah air tangan pun berbeza. Jadi, bagaimana mungkin semuanya boleh sama?

Bukan soal sedap atau tidak. Soalnya, hargai usaha orang yang sudah bersusah payah menyediakan makanan. Seorang isteri bukan sedang berlumba untuk mengatasi masakan ibu mentuanya. Dia hanya sedang belajar menyesuaikan diri dengan keluarga yang baru dan tentu itu akan mengambil masa.


Cara Didikan Berbeza 

Sebelum lidah memilih untuk membandingkan, biarlah adab mendahului setiap kata.


Adab menghargai usaha lebih penting daripada membandingkan rasa. Jika seseorang sudah memasak untuk kita, ucapkan terima kasih. Jika ada yang kurang, berilah cadangan dengan baik. Tidak perlu membandingkan dengan masakan orang lain sehingga menjatuhkan semangatnya.

Didikan setiap keluarga tidak sama, begitu juga masakan. Sebab itu, anak-anak juga perlu diajar bahawa menghargai usaha seseorang jauh lebih penting daripada membuat perbandingan yang tidak membawa manfaat.

Tidak salah merindui masakan ibu kerana itulah rasa yang membesarkan kita sejak kecil tapi bila sudah berumah tangga, belajarlah hargai setiap usaha pasangan yang sanggup memasak untuk kita. Masakan mungkin belum sempurna tapi penghargaan dan kata-kata yang baik mampu memberi semangat untuk terus belajar.

#RemajaPurba: Didikan pun tak sama, lagikan masakan..
 

Saturday, August 8, 2026

Hati Seorang Ibu Tidak Pernah Berhenti Risau


07 Ogos 2026 - Jumaat [23 Safar 1448H]

Ada hari.. penat kerana kerja. Ada hari.. penat kerana rutin yang tidak pernah habis tapi ada juga hari yang paling meletihkan bukan badan, sebaliknya hati seorang ibumemang tidak pernah berhenti risau. Kadang-kadang orang nampak kita masih bekerja, masih berjalan seperti biasa. Hakikatnya, dalam hati ni penuh dengan rasa risau yang tak pernah berhenti.

Dah beberapa hari blog ni sunyi.

Bukan sebab tak ada cerita tapi tenaga dan fikiran benar-benar diuji dengan rutin harian yang tak putus-putus. Di tempat kerja huru-hara dengan tugasan yang datang bertimpa-timpa. Balik rumah, melayan kerenah anak-anak.

Dak Nuha dah beberapa hari tak sihat. Batuk, selesema, sakit tekak. Dalam masa yang sama, gastriknya pula berulang sebab tak ada selera nak makan. Tengok dia macam tu, hati ni memang tak tenang. Abangnya yang berada di selatan pula mengadu sakit tekak dan tonsil bengkak. Aku berpesan pada dak Adik supaya segera ke klinik kalau sakit semakin teruk.

Si bulus, dak Jasmine pun tak seperti biasa. Selalunya ia memang aktif tapi kali ni nampak lebih banyak diam. Hati ni turut risau melihat perubahan kecil pada si bulus kesayangan.


Seorang ibu mungkin kelihatan kuat di mata semua orang tetapi Allah tahu setiap doa yang dipendam, setiap air mata yang ditahan dan setiap kerisauan yang disembunyikan di sebalik senyuman.


Moga Allah mengurniakan kesembuhan buat anak-anakku, mempermudahkan segala urusan mereka dan mengangkat setiap kesakitan yang sedang mereka tanggung kerana bagi seorang ibu, tiada apa yang lebih melegakan selain melihat anak-anak kembali sihat dan mampu tersenyum seperti biasa.

#RemajaPurba: Memikul rasa risau yang tak pernah berhenti..

Monday, August 3, 2026

Duduk Rumah Sampai Lupa Rupa Sendiri



The more I stay at home, the more homeless I look.
That's how I've been looking these days.


Bila terlalu lama duduk di rumah, rutin bersiap pun semakin ringkas.
Rambut..? Ikat asal lepas.
Baju..? Mana yang selesa, itulah pilihan.
Selagi takde urusan di luar, cermin pun macam tak ada kepentingan sangat.

Bukan sebab tak pandai bergaya, cuma rumahlah tempat paling selesa untuk jadi diri sendiri tanpa perlu fikir apa orang nak katayang penting hati tenang, perut kenyang dan hidup masih berjalan seperti biasa. Hakikatnya, bukan aku tak terurus. Aku cuma terlalu selesa berada di rumah.

#RemajaPurba: Bukan menyendiri seperti di [SINI]..

Sunday, August 2, 2026

Naik Sekejap Cipta Kenangan


30 Julai 2026 - Khamis [15 Safar 1448H]

Hari ni aku cuti sebab ada urusan berkaitan dak Kakak. Awalnya, hanya dak Nuha yang menemani tapi last minute en. Hubby dapat cuti. Pucuk dicita ulam mendatangaku jadi co-pilot sepanjang perjalanan pergi dan balik. Nikmat apa lagi yang kau nak dustakan, Mak Budak?

Dalam perjalanan, kami singgah sarapan di warung di tepi jalan di situ. Sebelum ni selalu je aku lalu di situ tapi tak pernah pula nak singgah. Makanannya sedap dan pelanggan pun ramai. Mungkin sebab lokasinya di tepi simpang jalan besar.

Donut gebu

Teh Tarik
Aku order sebab nampak menarik buihnya tapi en. Hubb yang kena minum sudahnya.


Cantik pemandangan waktu pagi - nun di sana kabus meliputi.

Menunggu dak Kakak.

Selesai urusan berkaitan dak Kakak, kami pun bergerak balik. Aku sengaja minta en. Hubby drive menghala ke Genting Highlands. Kali ni beliau terus setuju tanpa banyak soal. Peluang macam ni bukannya selalu dapat. Sepanjang perjalanan, kami berkongsi cerita dan kenangan lama dengan dak Nuhakenapa tempat ni pernah menjadi antara destinasi yang selalu kami kunjungi suatu ketika dahulu.

Kenapa ke Genting Highlands?
Dah berbelas tahun kami tak naik ke sana. Selama ni kalau ke arah Pahang atau Pantai Timur, cuma mampu tengok dari jauh. Berkali-kali juga aku pujuk en. Hubby supaya naik tapi tak berjaya. Kali ni tanpa dipaksa, beliau sendiri yang terus memandu naik ke Genting Highlands. Bukan nak berjalan pun, sekadar nak bagi dak Nuha merasai sendiri bagaimana keadaan di atas sana.


Perjalanan naik menghampiri plaza tol Genting.

Genting Highlands Entry

dari [SINI]

Genting Highlands Premium Outlets


Sempatlah kami mengambil gambar sebelum bergerak turun. Memang sekadar drive thru je. Lagipun dak Nuha bersungguh nak pergi sekolah sebelah petangnya. Walaupun guru kelasnya telah dimaklumkan dia cuti kerana menemani aku, dia tetap berkeras nak hadir juga.

Perjalanan turun

Alhamdulillah, perjalanan balik lancar dan jalan pun taklah sesak. Mungkin sebab hari bekerja. Dak Nuha pun sempat sampai ke sekolah walaupun sedikit lewat.

Malam..
Berehat dan mengumpul semula tenaga sebab esok aku perlu kembali berhadapan dengan suasana yang huru-hara di tempat kerja.


Destinasi Hanyalah Alasan 

Kadang-kadang kita tak mencari tempat yang hebat. Kita cuma mencari alasan untuk mencipta satu lagi kenangan bersama.


#RemajaPurba: ..
 

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...