Sunday, June 21, 2026

Bila Anak Sakit, Hati Ibu Turut Terasa


Ada masanya Allah menguji kita bukan dengan perkara yang besar pada pandangan orang lain tapi dengan melihat orang yang kita sayang sedang menahan kesakitan. Sebagai seorang ibu, melihat anak yang biasanya ceria dan aktif tiba-tiba tidak bermaya membuatkan hati jadi tidak keruan. Walaupun cuba bertenang dan berfikiran positif, bila anak mengadu sakit siapa yang tidak risau.


20 Jun 2026 - Sabtu [4 Muharram 1448H] 

Hari ini kami hanya berehat di rumah sambil melayan drama pilihan. Namun lewat petang, dak Nuha mula mengadu sakit dada. Sebelum ini dia pernah mengadu perkara yang sama tapi taklah seteruk kali ini. Macam-macam soalan aku tanya untuk memastikan keadaannya baik-baik sahaja.

Malam..
Babahnya ajak keluar untuk membeli makanan. Sebaik sahaja sampai di rumah, dia mengadu makin sakit. Kami tidak mahu mengambil risiko dan terus membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan serta mengetahui punca sebenar kesakitannya.

Di klinik, dia mengadu sakit perut dan sakit dada. Setelah pemeriksaan dibuat, doktor mengesahkan bahawa dia mengalami gastrik. Doktor turut menerangkan makanan yang perlu dielakkan dan makanan yang sesuai diambil sepanjang tempoh pemulihan. Walaupun doktor memaklumkan keadaan jantung dak Nuha berada dalam keadaan baik, untuk menenangkan hati kami, doktor mencadangkan supaya dia menjalani prosedur ECG.


Alhamdulillah.. result ECG menunjukkan semuanya normal. Lega sekejap rasa hati. Setelah menerima ubat yang dibekalkan, kami pun pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, en. Hubby terpaksa berhenti di tepi jalan kerana dak Nuha rasa ingin muntah. Hati ibu mana yang tidak risau melihat anak yang biasanya ceria tiba-tiba menjadi lemah dan tidak bermaya.

Lewat malam..
Dak Nuha muntah dalam biliktak sempat ke bilik air. 'Kesian ibu, Nuha susahkan ibu'. Aku sengaja berjaga sampai lewat malam untuk pastikan keadaannya ok dan dapat tidur dengan selesa.


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

21 Jun 2026 - Ahad [5 Muharram 1448H] 

Awal pagi tadi..
Sebelum tidur malam tadi, aku pesan pada dak Nuha masuk tidur bilik ibu kalau masih rasa sakit. Awal pagi tadi, perlahan-lahan dia kejutkan aku sebelum terus berbaring di sebelah. Dalam keadaan mengantuk, aku hanya mampu memujuknya supaya terus berehat. Babahnya pula terpaksa mengalah dan tidur di atas lantai.

Pagi..
Sebelum ke tempat kerja, en. Hubby sempat masakkan sup ayam untuk dak Nuha. Aku pula paksa dia bangun untuk makan terlebih dahulu sebelum mengambil ubat yang diberikan doktor.

Petang..
Lena dia tidur dalam bilik. Bila terjaga, dak Nuha mula menangis kerana badannya terasa sakit. Dahlah sakit perut, ditambah pula dengan sengal-sengal badan, period pulak tu. Berganda-ganda rasa tak selesanya.

Aku..?
Sebenarnya dah mula rasa tak sedap badan tapi aku cuba nampak kuat. Dia ni ratu panik, aku tak nak dia risau kalau aku tak sihat. Biarlah dia nampak aku kuat supaya dia boleh lebih tenang dan fokus untuk berehat.

Alhamdulillah.. setakat ni keadaan dak Nuha masih terkawal dan moga dia segera sembuh. Moga Allah terus memelihara kesihatan kami sekeluarga dan menjauhkan kami daripada segala penyakit yang memudaratkan. Aamiin..

#RemajaPurba: ..

Friday, June 19, 2026

Hari Konsultansi Bersama Ibu Bapa di Sekolah


19 Jun 2026 - Jumaat [3 Muharram 1448H] 

Ada hari yang kita lalui tanpa banyak perancangan dan ikut aje rentak yang sudah tersusun. Tanpa sedar, hari yang biasa-biasa itulah kadangkala meninggalkan kenangan dan rasa syukur yang paling banyak dalam hati.


Pagi..
Alhamdulillah.. pagi yang tenang mengiringi langkah perjalanan ke tempat kerja. Hari ini aku hanya bekerja separuh hari kerana sebelah petang perlu menghadiri Hari Konsultansi Bersama Ibu Bapa di SMK dak Nuha.


Petang..
Bila aku sampai di rumah, dak Adik bagitahu hari ini hujan lebat. Oh.. patutlah jalan masih basah dan ada beberapa kawasan yang berlopak air. Memandangkan aku sampai rumah lebih awal, sempatlah berehat sekejap. Menjelang pukul empat petang, dak Adik menemani aku ke sekolah.

Hari Konsultansi Bersama Ibu Bapa di SMK dak Nuha. Jarang sebenarnya aku dan en. Hubby dapat meluangkan masa bersama-sama ke sekolah untuk berjumpa guru kelas. Selalunya hanya salah seorang daripada kami yang hadir.

Bersama dak Adik menunggu giliran, sementara en. Hubby menunggu di luar kelas.


Bila sampai giliran kami, guru kelas dak Nuha berseloroh.. 'Haa.. Nuha, hari ini ibu dengan bapa kamu datang sekolah'tapi aku rasa beliau terkejut kami datang berdua sebab selain dari kami, majoriti yang hadir ibu atau bapa. Aku sengaja memberikan kejutan buat dak Nuha yang Babahnya pun turut serta. Sebenarnya dak Nuha cuak dan risau kena marah bila nampak Babah dan abangnya turut sama hadir ke sekolah.

Keputusan peperiksaannya tidaklah sebaik yang diharapkan. Walaupun lulus, namun masih jauh daripada sasaran sebenar. Perjalanannya masih panjang tapi inilah masa untuk membentuk dan membimbingnya supaya tidak hanyut. Guru kelas dak Nuha berpesan, 'Nuha ni ok cuma kena berhati-hati dalam berkawan. Jangan tersalah pilih kawan'. Ini pun ada kes di sekolah tapi nantilah jika aku rajin aku kongsikan kisahnya.

Selesai urusan di sekolah, en. Hubby kembali ke tempat kerja. Aku bersama dak Adik dan dak Nuha pula singgah membeli sedikit keperluan untuk memasak tapi dak Adik awal-awal lagi minta aku tak perlu masak. Katanya, tapau aje sebab dia nak makan nasi kerabu, dak Nuha pula nak makan kuey teow kungfu dan aku nak makan somtam. Aku layankan sahaja. Bila mood deme berdua baik dan ceria, aku senang hati.


Lewat petang..
Berehat bersama anak-anak sambil menikmati hidangan yang dibeli tadi. Alhamdulillah.. rezeki daripada Babah deme yang bagi duit belanja. Nikmat apa lagi yang kau nak dustakan.


Malam..
Berehat dari melakukan rutin harian. Kebiasaannya hari Jumaat memang aku cuba mengelakkan diri daripada melakukan kerja rumah yang berat. Hari untuk aku merehatkan badan sambil menonton drama kegemaran.


Syukur untuk hari ini. Tak semua rezeki hadir dalam bentuk wang ringgit. Ada masanya rezeki itu datang dalam bentuk masa bersama keluarga, anak-anak yang ceria, pasangan yang meluangkan masa dan hati yang diberi ketenangan.

#RemajaPurba: Langsung tak terfikir nak ambil gambar kenangan.

Thursday, June 18, 2026

Rehatlah Sekejap, Kita Bukan WiFi


Ada masanya kita perlu mengutamakan diri sendiri. Bukan kerana pentingkan diri tapi kerana kita sedar bahawa kesihatan, ketenangan dan kesejahteraan diri juga perlu dijaga.

Kalau hari ini terasa berat, rehatlah sekejap. Kita bukan WiFi yang perlu sentiasa laju dan berfungsi tanpa henti. Ada masanya badan penat, fikiran berserabut dan emosi meminta ruang untuk dipulihkan. Hidup ini memang begitu. Ada hari tenang, ada hari huru-hara. Kadang-kadang belum sempat satu masalah selesai, datang pula masalah yang lainseperti di [SINI].



Aku tak boleh biarkan diri terlalu penat hingga akhirnya tumbang. Pengalaman lalu mengajar aku bahawa kesihatan perlu diutamakan. Aku tak mahu lagi 'staycation' di hospital hanya kerana gagal menjaga diri sendiri.

Usia mengajar kita bahawa menjaga diri bukan tanda kelemahan tapi tanda kita semakin menghargai kehidupan.

#RemajaPurba: Jangan terlalu keras terhadap diri sendiri.

Cara Parkir Kereta Dengan Mudah


Dulu..
Di rumah myFIL, tiap kali balik kerja, myFIL yang akan tolong parkirkan kereta di depan rumah. Memang dah jadi kebiasaan sebab waktu petang myFIL akan berborak dengan jiran-jiran di pondok depan rumah. Kalau waktu tu aku rasa susah nak parkir, memang myFIL yang akan settlekan.

Bila pakcik-pakcik tu menyakat..
'Lesen beli ke..?' Aku cuma gelak je..

Bila aku dah tinggal di rumah sendiri, ada masa en. Hubby yang tolong parkirkan kereta. Otak aku akan auto jadi E bar bila en. Hubby ada di rumah. Tidaklah selalu tapi bila sesekali nak bermanja, Bila en. Hubby takde, auto jadi 5G otak aku berfungsi, pandai serba-serbi. Bukan tak boleh berdikari, saja malas tak nak buat sendiri.

Itu kalau di rumah, kalau ada urusan di luar pula?
Aku lebih suka mencari parkir yang mudah dan senang untuk aku keluar masuk. Tak kisahlah kalau kena berjalan sedikit, janji aku tak stress dan boleh buat urusan dengan tenang. Aku tak suka parkir sesuka hati sampai menghalang kenderaan orang lain. Biarlah ambil masa sikit, asalkan hati tenang dan tak pening kepala.


Bila bercerita pasal kereta, aku memang mudah panik.
Tayar pancit, kereta tiba-tiba berbunyi pelik atau ada icon pada meter tiba-tiba menyalasemua ni cukup buat jantung aku berdegup laju. Jika kereta breakdown di tepian highway, orang pertama yang aku akan hubungi mestilah en. Hubby. Lepas tu barulah myAdik lelaki, adik kepada arwah kawan baik en. Hubby. 

Jika dulu aku suka memandu, sekarang aku lebih suka sebagai co-pilot. Memandu pun hanya kerana pergi dan balik kerja aje. Selain dari tu, aku lebih suka berada di di rumah, menikmati masa sendiri dan ketenangan yang ada seperti di [SINI].

#RemajaPurba: Alhamdulillah..

Wednesday, June 17, 2026

Tahun Baru 1 Muharram 1448H


17 Jun 2026 - Rabu [1 Muharram 1448H] 

Alhamdulillah..
Sekali lagi dipertemukan dengan lembaran baru dalam kalendar Islam. Kehadiran 1 Muharram bukan sekadar menandakan pertukaran tahun tapi turut membawa bersama ruang untuk kita merenung perjalanan yang telah dilalui, mensyukuri nikmat yang masih dipinjamkan dan memperbaiki kekurangan yang masih ada dalam diri.


Selamat Tahun Baru1 Muharram 1448H.
Moga tahun ini mampu memberikan momentum buat kita untuk refleksi diri untuk menjadi yang lebih baik dan penuh kasih sayang.


Buat anak-anakku 

 Ya Allah.. lindungilah anak-anakku ke mana dan di mana pun mereka pergi.
Jauhkanlah mereka daripada hal buruk.
Janganlah mereka menyakiti atau disakiti oleh orang lain.


Semoga tahun 1448H ini membawa lebih banyak keberkatan, ketenangan jiwa, kebahagiaan dan kemudahan dalam setiap urusan yang kita lalui. Semoga setiap langkah yang diatur sentiasa berada dalam rahmat dan petunjuk-Nya, serta menjadikan kita lebih baik daripada semalam.

#RemajaPurba: ..

Tuesday, June 16, 2026

Bila Semuanya Datang Serentak


16 Jun 2026 - Selasa [30 Zulhijjah 1447H] 

Pukul tiga pagi..
Dalam mamai, aku kejutkan en. Hubby dan bagitahu kipas dalam bilik rosak sebab tiba-tiba berhenti berputar. Langsung tak terfikir bekalan elektrik terputus. Aku ingatkan kipas rosak sebab kipas dalam bilik ni memang dah sampai masa untuk ditukar baru. Kenapa tak on aircond? Sebelum tu aku dah tutup aircond sebab sejuk.

Aku sambung semula tidur dan terjaga lagi sekali dekat pukul 5:30 pagi, aku nampak en. Hubby masuk bilik air guna lampu..
'Abang, kenapa tak on lampu?'
'Elektrik mana ada..'
'Ohh.. ye ke?' Jadi yang aku kata kipas rosak tu sebenarnya sebab elektrik tak ada.


Hampir pukul 9:30 pagi barulah bekalan elektrik kembali pulih. Alhamdulillah, syukur. Kebetulan hari ni aku memilih bekerja dari rumah. Terus ku buka laptop dan hadap kerja. Pagi ni banyak sungguh mesej yang aku kena jawab, baik dalam group mahupun pm tepi. Kebetulan pula satu apps ni tak berfungsi, tiba-tiba ramai pula yang kena 'panic attack'. Aku reply yang ini, yang sana berbunyi, aku reply dalam group, dia pm tepi.


Bila satu demi satu perkara datang menguji, kadang yang paling diperlukan bukanlah kekuatan tapi kesabaran untuk menghadapinya.


Malam..
Tenang menikmati secawan Teh O Panas sambil menonton drama pilihan. Apa pun, syukur semuanya selesai untuk hari ini.

#RemajaPurba: Ada hari tenang.. ada hari huru-hara..

Monday, June 15, 2026

Aku Tak Nak Tolong..!


Kisah minggu lepas..


12 Jun 2026 - Jumaat [26 Zulhijjah 1447] 

Kadang-kadang bila kita kata 'aku tak nak tolong', orang terus anggap kita sombong atau berkira. Hakikatnya, ada masanya kita terpaksa berhenti membantu supaya dia belajar memikul tanggungjawab yang sepatutnya berada di bahu mereka sendiri.


Pagi..
Menu sarapan pagi aku terbawa sampai ke tengah hari. Bukan sebab sengaja tak makan tapi sedikit kelam-kabut menyediakan bahan sebelum masuk bilik mesyuarat untuk satu sesi perbincangan mengejut. Di situlah bermula aku menahan rasa. Sampai satu tahap, aku menjawab dengan nada sinis bahawa aku tidak akan membantu menyiapkan kerja yang sememangnya bukan tugas aku.

Aku cuma nak tengok apa yang akan berlaku kepada pegawai tersebut kerana tarikh akhir tugasan tu 15 Jun 2026. Bukannya aku tak pernah ingatkan sebelum inijangan bertangguh sebab masa semakin suntuk.

Aku..?
Selesai sesi perbincangan, aku segera menyiapkan tugasan penting lain sebelum tengah hari. Akhirnya, menu sarapan pagi aku bawa ke tengah hari. Rasa lapar entah ke mana tapi rasa penat datang berganda.


Petang..
Akhirnya siap juga tugasan tersebut. Terus aku kongsikan maklumat yang diperlukan kepada team aku kerana mereka perlu membuat kemas kini daya sistem.


Malam..
Dipendekkan cerita, hampir tengah malam aku bantu team aku untuk mengemaskini bahagian penting dalam sistem tersebut kerana maklumat tersebut perlu dimasukkan satu persatu.


Aku tak nak tolong?
Bukan.. Aku cuma dah penat menolong orang yang memilih untuk bertangguh walaupun sudah tahu tarikh akhirnya semakin dekat. Manual kerja sudah tersedia. Tinggal nak baca, faham dan ikut sahaja langkah yang telah ditetapkan. Kadang-kadang masalah bukan sebab kerja itu susah tapi sebab malas nak memahami cara kerjanya.

Entry ni bukan sekadar luahan rasa penat bekerja tapi tentang akauntabiliti dan tanggungjawab. Kadang-kadang kita terlalu kerap membantu sampai orang lain selesa bergantung kepada kita.

Ingatlah.. bantuan itu untuk meringankan beban, bukan untuk menggantikan tanggungjawab.

#RemajaPurba: Biarkan dia..

Thursday, June 11, 2026

Larangan Pergerakan Kenderaan Berat


11 Jun 2026 - Khamis [25 Zulhijjah 1447H]

Pemandangan jalan raya sesak sudah menjadi rutin waktu berulang-alik ke tempat kerja. Setiap kali waktu puncak, lebuh raya dipenuhi pelbagai jenis kenderaa termasuklah lori dan treler yang bergerak bersama-sama menuju destinasi masing-masing.

Memang banyak kenderaan berat yang boleh dilihat di lebuh raya ketika waktu puncak. Mungkin mereka pun takde pilihan. Ada tugasan yang perlu diselesaikan, barang yang perlu dihantar dan arahan yang perlu dipatuhi. Mereka juga mencari rezeki seperti kita.


Kenapa?
Larangan pergerakan kenderaan berat pada waktu puncak di jajaran lebuh raya terpilih berkuatkuasa mulai 19 Februari 2025.
  • Kenderaan berat Kelas 2 dan Kelas 3 (lori besar dengan 2 gandar dan 6 roda ke atas kecuali bas) dilarang memasuki lebuh raya terpilih pada waktu pagi.
  • Kenderaan seperti lori perkhidmatan kecemasan, penguatkuasaan, penyelenggaraan lebuh raya dan pembersihan sisa domestik adalah dikecualikan.


sumber gambar dari Lembaga Lebuhraya Malaysia



Peraturan ini berkuat kuasaIsnin hingga Jumaat (kecuali hari kelepasan am) dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan dari 4:30 petang hingga 7:30 malam.


Jalan raya ini dikongsi bersama

Kita mungkin memandu kereta, mereka pula membawa muatan yang berat. Semoga semua pengguna jalan raya sentiasa dilindungi dan selamat sampai ke destinasi.



Aku..?
Aku cuma mampu mendoakan agar perjalanan mereka sentiasa selamat. Semoga dipermudahkan urusan mencari rezeki dan terhindar daripada sebarang kesulitan, termasuklah ditahan kerana memasuki lebuh raya pada waktu yang tak dibenarkan.

#RemajaPurba: ...

Wednesday, June 10, 2026

Kalaulah Boleh Naik Treler Tu..


Aku tak tahu sama ada orang lain pernah terfikir benda yang sama atau tidak. Tiap kali nampak treler kosong di lebuh raya, aku mesti berangan.


Aku memang suka berada di belakang treler kosong macam ni. Bukan selalu dapat peluang nampak treler panjang meluncur di tengah lebuh raya tanpa membawa apa-apa muatan.

Kenapa?
Aku terbayang kereta sendiri dipandu naik ke atas treler tu, kemudian aku duduk rileks sambil treler bawa sampai ke destinasi. Ala-ala babak dalam filem Fast & Furious gitu. Tak perlu tekan pedal minyak, tak perlu fikir jem, minyak kereta pun jimat. 


Lagu yang mewarnai latar video di atas dari sumber di bawah ini

dari [SINI]

Kadang-kadang jadi menyeronokkan bila ada benda kecil untuk diperhatikan. Walaupun cuma sebuah treler kosong di depan tapi dah cukup untuk berimaginasi sepanjang perjalanan.

#RemajaPurba: ..

Tuesday, June 9, 2026

Maggi | Orang Lain Masak Lagi Sedap


Bohonglah kalau aku kata aku tak makan maggi di tempat kerja. Sesekali bila rasa teringin, maggi cup memang jadi pilihan yang aku beli dari mesin 'gedegang' di tempat kerja dan ya.. jangan jadi 'pembaris' bila melibatkan jenama tersebut. 



Itu kalau di tempat kerja. Kalau di rumah, bila teringin nak makan maggi, siap tambah bahan-bahan yang ala-ala macam dalam iklan tv tapi bila makan tak habis pun. Tengok orang lain masak Maggi nampak mengiurkan tapi bila masak sendiri, rasa macam ada yang kurang.


Tapi..
Dalam operasi mencari mangsa yang hilang baru-baru ini, ada satu video yang memaparkan anggota penyelamat sedang menikmati semangkuk Maggi. Di tengah hutan yang sunyi dan gelap, jauh daripada keluarga serta keselesaan rumah, Maggi yang dimasak tanpa bahan-bahan seperti dalam iklan tv itupun nampak sedap.

dari [SINI]


Mungkin suasana di dalam hutan itu sendiri yang menjadikan rasa Maggi yang dimasak nampak sedap. Selepas berjam-jam meredah denai, mendaki mencari mangsa tanpa mengenal penat, apa je yang dapat mengisi perut serta mengembalikan tenaga pasti terasa lebih nikmat.

Kadang-kadang yang paling mengenyangkan bukanlah makanan yang mewah tapi hati yang tahu bersyukur dengan apa yang ada.


Hargailah setiap rezeki yang hadir, walaupun hanya semangkuk Maggi. Hari ini mungkin kita mampu memilih apa yang ingin dimakan tapi esok belum tentu. Selagi masih diberi kesempatan untuk merasa dan menikmati rezeki yang dikurniakan, bersyukurlah seadanya kerana tidak semua orang bernasib baik seperti kita.

#RemajaPurba: ..

Sunday, June 7, 2026

Guna Kompas? Google Maps Pun Boleh Sesat


Mesti ada yang dah tengok video Tuan Komando bercakap pasal orang yang suka hiking tapi langsung tak tahu ilmu jungle survival dan baca kompas tu kan? Kisah di [SINI]

Aku..?
Gunung apa je yang aku tak pernah naik? Semua tak pernah aku daki. Google Maps yang tengah elok tunjuk jalan tu pun kalau tiba-tiba hilang connection, aku dah mula cuak. Lagi-lagi kalau masa tu dah dekat simpang atau exit, silap-silap boleh tembus ke daerah lain. Inikan pula guna kompasdalam hutan.. kiri, kanan, depan, belakang pun pokok yang semua nampak lebih kurang sama je rupanya.


Jalan raya bertingkat macam ni?
Boleh dapat anxiety kalau tersalah exit..
Sumber gambar dari en. Google 


Google Maps..?
Walaupun ada masa mengada-ngada tapi dia tetap ajar kita jangan mudah putus asa. Sesat macam mana pun, selagi ada line, dia akan terus rerouting. Salah lorong 10 kali, dia rerouting 10 kali.

Kompas..?
Kalau kompas tu kau salah baca, tak ada suara lembut nak cakap 'turn left, turn right'. Silap-silap kau duduk berpusing di tempat yang sama, tak pun hilang ditelan jauh ke dalam hutan.


DALAM HUTAN 

Keyakinan membawa kita melangkah tetapi ilmu membantu memastikan langkah itu menuju ke arah yang betul.


Lepas ni, eloklah pihak berkuasa buat ujian kelayakan. Bukan setakat bayar permit dan terus boleh masuk. Kena lulus ujian baca kompas, tahu asas survival dan dapat pengesahan doktor mengenai tahap kesihatan baru boleh mendaki gunung.

#RemajaPurba: Alhamdulillah.. telah selamat dijumpai.

Saturday, June 6, 2026

Di Sebalik Operasi SAR


Aku..?
Lebih tertarik pada mereka yang bekerja keras di sebalik tabir — pasukan SAR yang terdiri daripada individu yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Jika tiada misi seperti ini, bagaimana mereka mahu menilai, mengasah dan menambah pengalaman yang ada?


Tidak semua wira berdiri di hadapan kamera.
Ada yang berpeluh, berjuang dan berkorban jauh di dalam rimba demi menyelamatkan nyawa insan yang tidak mereka kenali.


sumber video di atas dan di bawah ini adalah dari [SINI



Asbab daripada insiden pendaki yang hilang di Gunung Batu Putih, banyak gambar dan video mula tersebar. Dari situlah kita dapat menyaksikan betapa cantiknya pemandangan di dalam hutan dan di puncak gunung.

Namun, dalam cantik dan menawannya alam ciptaan Allah itu, tersimpan juga cabaran yang mengingatkan kita hutan bukan sekadar tempat untuk beriadah tapi juga perlu dihormati.


DALAM HUTAN 

Kadang-kadang.. hasil paling berharga bukan sekadar menemukan mangsa tapi ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk membantu menyelamatkan nyawa orang lain pada masa akan datang.


Operasi mencari dan menyelamat ini sudah tentu mempunyai tempoh dan prosedur yang telah ditetapkan. Sekiranya mangsa masih tidak ditemui selepas tempoh tertentu, kes tersebut tidak akan dianggap sia-sia. Sebaliknya, segala pengalaman, cabaran dan penemuan sepanjang operasi akan direkodkan dan dijadikan rujukan untuk misi-misi SAR pada masa hadapan.

Semoga setiap usaha mereka dipermudahkan dan harap kita semua mengambil iktibar bahawa alam semula jadi yang indah itu juga menuntut ilmu, persediaan dan rasa hormat sebelum diterokai.

#RemajaPurba: ILMU Menyelamatkan, EGO Mematikan di [SINI]..

Wednesday, June 3, 2026

Selamat Kembali Bertugas


01 Jun 2026 - Isnin [15 Zulhijjah 1447H]

Selesai urusan menghantar dak Kakak, kami pun bergerak pulang. Sambil melayan lagu dan mengharungi kesesakan di lebuh raya, lalu kereta peronda di sebelah kami. Aku mula rasa cuak bila aku perasan en. Polis di dalamnya asyik memandang ke arah Mr. Black. Mana taknya, Mr. Black nampak sedikit comot + hitam. Risau pulak aku walau hakikatnya mungkin en. Polis itu sekadar memandang je.




Alhamdulillah.. takdelah Mr. Black kena tahan, aku je yang rasa cuak macam tengah berhadapan dengan guru disiplin. Itu pun sebab en. Hubby yang pandu, kalau aku yang pandu - berangan jelah Mak Budak. Sebenarnya en. Hubby mana bagi aku pandu macam kisah di [SINI].


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


02 Jun 2026 - Selasa [16 Zulhijjah 1447H]

Petang..
Aku paksa en. Hubby keluar menemani aku window shopping. Anak-anak pula tak nak ikut, jadi kami berdua jelah keluar dating. Lepas puas berjalan, kami bawa Mr. Black ke kedai cucian kereta bagi kembali handsome dan sexy semulakenalah nampak berkilat sikit, barulah aku ada mood nak memandu.
 


+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++


03 Jun 2026 - Rabu [ 17 Zulhijjah 1447H]

Selamat kembali bertugas. Cuti panjang pun dah berakhir, jadi jom kembali ke dunia realiti. Buat mereka yang bekerja dari rumah, semoga terus bersemangat menyelesaikan tugasan. Manakala mereka yang bekerja di tempat kerja seperti aku, teruskan melangkah seperti biasa. Rutin yang sama, jadual yang sama. Moga semangat bekerja kembali selepas lama bercuti.

#RemajaPurba: ..

Tuesday, June 2, 2026

Pemandu Gantian Yang Sentiasa Dipantau


Menjadi kebiasaan, jika perjalanan jauh en. Hubby yang akan memandu. Letih macam mana pun, beliau jarang menyerahkan stereng kepada aku kecuali bila betul-betul tak larat atau terlalu mengantuk. Waktu itulah barulah aku merasa pegang stereng tapi bila aku mula memandu, hilang terus rasa mengantuknya.

Aku perasan, walaupun en. Hubby nampak macam sedang lena di sebelah, beliau tetap boleh 'mengesan' cara aku memandu. Dari bunyi enjin, cara tekan minyak, masuk selekoh hinggalah kelajuan keretasebab itulah tiba-tiba kedengaran suara dari sebelah.. 'Perlahankan sikit.. laju-laju nak pergi mana?'

Dalam hati terus terdetik.. 'Eh! Bukan tadi tidur siap berdengkur ke? Macam mana boleh tahu aku bawa laju?' Rupa-rupanya.. walaupun mata tertutup rapat, terus bertukar ke alert mode.

Bila aku tanya macam mana boleh tahu kereta dah sampai limit walaupun tak tengok meter?
  • Bunyi enjin mula berubah — lebih kasar, lebih kuat menderam daripada biasa.
  • Mula ada gegaran kecil bila speed dah melebihi tahap yang sepatutnya.

Mungkin sebab itu juga en. Hubby susah nak betul-betul lena bila aku yang memandu. Bukan sebab tak percaya atau nak mempertikaikan kemampuan aku tapi lebih kepada naluri dan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan keluarga. Walaupun mata pejam tapi 'radar keselamatan' tetap aktif.

Aku..?
Bila en, Hubby yang memandu, aku boleh lena sepanjang jalan, tahu-tahu..
'Eh! Kat mana ni..?'
'Eh! Dah sampai ke..?'

Itulah beza en. Hubby tidur sambil berjaga, aku pula berjaga sekejap, lepas tu terus lena sampai ke destinasi. 

#RemajaPurba: ..

ILMU Menyelamatkan, EGO Mematikan


02 Jun 2026 - Selasa [16 Zulhijjah 1447H]

Jungle Solo Survival - Jejak Rimba
Sekadar berkongsi sedikit nasihat buat pendaki, lebih-lebih lagi dengan banyaknya insiden yang berlaku kebelakangan ini.
(Berdasarkan video di bawah)

Pengalaman kau tentang hutan hanyalah ikut trek yang orang dah lalu. Beribu-ribu orang dah lalu sebelum kau, kemudian kau lalu. Kau cuma ingat laluan yang dah dibersihkan. Tapi kalau jadi apa-apa dalam hutan, kalau kau tersalah arah dan masuk tempat lain, kau boleh balik? Tak boleh. Sebab kau tak tahu hukum alam dan hukum rimba.
  • Jangan sembang kita kaki hutan, penuh pengalaman, mendabik diri dan angkuh tapi baca peta pun tak pandai. Macam mana?
  • Balik kampung sembang dengan kawan, aku hiking sana, aku hiking sini, tunjuk gambar tapi realitinya, otak kau kosong. Tak ada benda pun yang kau pandai.
  • Boleh kau jalan dalam hutan yang tak ada denai macam aku buat dalam jungle solo survival? Kau ingat aku bergerak dalam hutan ada trek dan denai? Tak ada. Tanpa denai, macam mana nak balik? Dengan kompas.

Cuba tengok setiap tahun, siapa yang hilang dan sesat dalam hutan?
Geng hiking, bukan geng jungle survival. Ini baru pengalaman atas trek tapi sembang bukan main padu.

Bila orang tegur, kau jawab, 'Saya hiking dah 10 tahun, saya hiking dah 17 tahun'. Jangan berlagak sombong.

Aku ulang sekali lagi:
  • Pengalaman kau hanyalah atas trek yang telah dibersihkan dan dilalui beribu-ribu orang sebelum kau tapi kau berani mendabik diri dengan hutan. Kompas tak tahu guna, survival tak pandai, tiba-tiba sesat dalam hutan.
  • Kau ingat suhu hutan waktu malam macam dalam bilik kau? Hutan lebih menggerunkan dan lebih mencabar pada waktu malam. Ambil pengajaran. Kau nak ke orang jumpa jasad kau dalam hutan? Kau kena ingat, ramai yang mati dalam hutan bukan sebab binatang buas, tapi sebab ego mereka sendiri.

Ego yang macam mana?
Kau tak nak belajar ilmu hutan, ilmu kompas, ilmu peta dan ilmu survival. Semua kosong, tapi sembang cukup padu.

(Ini videonya)
dari [SINI]


Paling penting, jangan berlagak pandai atau terlalu yakin bila berada dalam hutan. Kalau ilmu tentang hutan pun kosong, bila sesat jangan pula bertindak ikut suka hati.
  • Tindakan paling utama ialah berhenti, duduk diam dan bertenang sementara menunggu bantuan. Jimatkan tenaga yang ada dan elakkan bergerak tanpa arah.
  • Jangan mengada-ngada kerana setiap langkah yang silap boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih sukar.
  • Bila melangkah masuk ke hutan, tinggalkan ego dan segala sembang besar. Hormati alam, datang dengan niat yang baik dan anggap diri sebagai tetamu.


Aku..?
Tak pernah pergi hiking, apatah lagi berkhemah di tengah hutan kecuali zaman sekolah dulu — itu pun anjuran pihak sekolah. Kenapa tak pergi? Tak pernah dapat kebenaran dari mak dan ayah aku untuk join, en. Hubby pun sama — memang tak bagi kebenaran walaupun aku teringin nak ikut.

Betullah kata orang.. kita tak sesuai berada di dalam hutan kalau tiada sebab TAPI jangan cepat melatah kata aku macam budak pandai. Masing-masing ada minat dan passion yang berbeza. Selagi pandai jaga diri, InsyaAllah semuanya akan selamat.


DALAM HUTAN 

Bukan siapa paling berani tapi siapa yang paling tahu menghargai dan menghormati alam. Berdoakan memohon perlindungan serta keselamatan. Mudah-mudahan setiap langkah dipermudahkan dan selamat masuk serta selamat keluar.


#RemajaPurba: Hutan tak pernah menipu — yang menipu itu ego manusia sendiri.

Monday, June 1, 2026

EPISOD Keenam - JUN 2026


01 Jun 2026 - Isnin [15 Zulhijjah 1447H]

Dalam episod kelima - MEI 2026
Terima kasih untuk semua kenangan yang ditinggalkan. Mana yang manis aku simpan, yang pahit aku jadikan pengajaran dan yang memeningkan kepala.. tak usah dipedulikan. Hidup ni bukan drama yang boleh ulang episod kegemaran berkali-kali.

Selamat tinggal MEI 2026.
Kau tinggalkan memori manis yang layak disimpan, bukan dipadam. You were memorable but the show must go on.


Sesetengah kenangan tidak perlu diulang 

Closing one chapter doesn't mean the story ends. It simply means the next plot is ready to begin.


Hello, JUN 2026.
Apa pun yang menanti, aku akan hadap sebab hidup ini bukan tentang sentiasa kuat tapi tentang tetap berjalan walaupun penat. Moga akan ada lebih banyak cerita yang baik untuk ditulis dan dikenang.

#RemajaPurba: Entry MEI paling aku suka ada di [SINI]

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...