14 Februari 2026 - Sabtu [26 Syaaban 1447H]
Tambahan cuti perayaan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang diperuntukkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di [SINI] telah dimaklumkan oleh pihak SMK dak Nuha.
Pagi..
Memulakan perjalanan untuk mengambil dak Kakak pulang. Kali pertama berhadapan dengan kesesakan jalan raya berkilometer panjangnya. Dalam keadaan kepala berdenyut dek migrain dan badan yang belum benar-benar pulih seperti di [SINI] — perjalanan terasa lebih menguji kesabaran.
Sepanjang perjalanan, aku cuba melelapkan mata.
Selesai urusan mengambil dak Kakak, kami terus bergerak pulang. Tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang memenatkan. Alhamdulillah.. yang sulung telah selamat di sisi. Esok, giliran yang nombor dua pula pulang.
Malam..
Berehat di rumah, menyimpan tenaga untuk hari esoknya. Alhamdulillah.. migrain yang tadi mencengkam, perlahan-lahan beransur pergi dalam diam.
15 Februari 2026 - Ahad [27 Syaaban 1447H]
Pagi..
Gotong-royong memasak bubur lambuk sempena menyambut Ramadan dijalankan, bertujuan untuk diagihkan kepada warga taman dan jemaah di masjid. Aku hanya membantu mengikut kemampuan kerana badan masih terasa sakit.
Aktiviti ini dibuat di rumah kami, mudah kerana semua kelengkapan memasak sudah tersedia — tak perlu bersusah-payah mengangkat ke tempat lain.
Bubur Lambuk
Sementara mereka sibuk dengan kerja masing-masing, dak Kakak menemani aku pergi menjemput dak Adik di hentian bas. dak Adik hanya dapat cuti seminggu sempena sambutan CNY, tak apalah.. asalkan semua ada di sisi aku.
Setibanya kami di rumah, bubur hampir siap dibungkus dan semua orang sudah mula menikmati hidangan tengah hari yang dimasak bersama sebelumnya. Jadi.. tiada gambar menarik untuk dikongsi tapi suasana tetap meriah walaupun tak sempat merakam detik itu.
Siap untuk diagihkan.
Petang..
Membawa dak Nuha ke klinik untuk mendapatkan rawatan, sebab dia dah mula demam dengan suhu badan agak tinggi. Dia mengadu sakit tekak sejak dua hari lalu dan bila batuk membuatnya rasa tidak selesa.
Malam..
Berehat di rumah kerana dak Nuha tak larat nak berjalan. Selepas makan ubat, dia tidur sebelah aku — senang nak pantau jika suhu badan dia meningkat semula. Syukur juga dia tak merengek, kalau tak.. mahu aku tak tidur sepanjang malam melayan ragam dia.
#RemajaPurba: ..



No comments:
Post a Comment