02 Februari 2026 - Isnin [14 Syaaban 1447H]
Aku pernah menyaksikan satu situasi yang meninggalkan kesan dalam diri. Seorang anak pulang dari kerja dan memberi komen tentang masakan emaknya. Seorang ibu sudah memasak untuk semua orang namun masih ada yang komen tentang masakan yang dimasak. Aku memilih untuk diam. Bukan kerana setuju tapi kerana aku sedar batas. Itu keluarga dia dan aku hanyalah orang luar. Tidak perlu menjadi orang yang paling betul, apatah lagi dalam hal yang bukan tempat aku bersuara.
Situasi itu sebenarnya tidaklah menggambarkan dia sebagai anak yang kurang ajar terhadap emaknya. Ia cuma perbualan biasa antara anak dan ibu. Siapalah aku untuk memberi komen atau menegur — aku memilih untuk diam kerana diam terasa lebih selamat daripada bersuara tanpa tempat. TAPI.. cerita ini bukan tentang dia. Aku tidak menulis untuk menilai orang lain.
DULU..
Selepas berkahwin dan mula tinggal di rumah sendiri, akulah yang memasak untuk keluarga kecil kami. Bila memasak, memang normal kalau rasa masakan ikut tekak sendiri — ada rasa masin, pahit, pedas atau manis, semuanya berdasarkan selera sendiri.
Suatu hari, ketika makan, en. Hubby menegur masakan aku, katanya, 'Lauk ni kurang rasa'. Tanpa berfikir panjang, aku menjawab,
'Bersyukur dah ada orang yang masakkan. Saya dah penat masak, abang makan ajelah'.
'Abang tegur untuk kebaikan, lepas ni boleh improve cara masak tu'.
'Lepas ni abang je yang masak, takdelah saya penat'. Sememangnya en. Hubby memang pandai masak pun. Jadi satu kelebihan untuk aku..
Sejak itu, en. Hubby jarang menegur masakan aku, sama ada sedap atau tidak. Dia makan aje.. Anak-anak pula memang dah biasa sebab mereka membesar dengan air tangan aku berbanding en. Hubby yang kebanyakkan masa berada luar kawasan.
SEKARANG..
En. Hubby yang masak memandangkan keluarga kami semakin kecil — dak Kakak dan dak Adik sudah berada di luar negeri. Di rumah, tinggal dak Nuha seorang tapi ada masa dak Nuha request aku yang masak, biasalah masing-masing ada tekak dan rasa sendiri.
AKAN DATANG..
Adakah aku masih dapat makan masakan yang sedap? Tidak semua perkara perlu diterangkan, apatah lagi kepada mereka yang tidak tahu. Selagi mampu ditutup rapi, biarlah ia kekal tersimpan.
Dari semua ini..
Aku belajar bahawa memasak bukan sekadar menyediakan makanan. Ia tentang kesabaran, belajar menyesuaikan diri dengan orang lain dan kadang-kadang tentang melepaskan ego. Ada rasa sedap, ada rasa biasa — dan itu bagi aku, hargai setiap detik yang ada sangat bermakna.
#RemajaPurba: ...
No comments:
Post a Comment