13 Februari 2026 - Jumaat [25 Syaaban 1447H]
Hari ini telah dipilih oleh pihak pengurusan tertinggi sebagai 'COOL DAY'.
KISAH SEBELUM:
Beberapa minggu lepas, aku telah memberi nama untuk menyertai perlawanan ping pong di tempat kerja — itu pun selepas dipaksa oleh salah seorang kawan yang sudah lama teringin nak bermain semula. Namun di saat-saat akhir aku menarik dari, bukan kerana tak mahu atau tak mampu tapi aku tak suka kalau team aku kalah disebabkan aku.
Dalam masa yang sama, team aku merancang untuk makan-makan secara potluck sempena nak menyambut Ramadan minggu depan. Sehari sebelum, salah seorang anak buah aku membawa dua ekor ikan dan meminta en. Hubby tolong masakkan untuk dikongsi bersama tapi aku boleh terlupa nak bawa balik. Aku hanya teringat ketika sedang menempuh kesesakan jalan raya dalam perjalanan balik kerja. Ralat rasanya + rasa bersalah sangat-sangat. En. Hubby hanya menyediakan kari daging tetel, sepatutnya ikan masak tiga rasa tapi ikannya tertinggal dalam peti sejuk.
HARI KEJADIAN:
PAGI..
Ketika anak-anak buah aku memotong buah dan menyusun segala juadah untuk makan tengahari, aku pula segera menyiapkan beberapa tempahan untuk diserahkan kepada bahagian kewangan untuk diproses. Selesai urusan berkenaan, barulah aku bercadang untuk turut sama membatu mereka TAPI.. aku tidak terus kembali ke tempat aku sebaliknya, pantas pula kaki aku melangkah untuk melihat mereka yang sedang bertanding dalam perlawanan ping pong.
Di satu sudut, ada beberapa orang sedang bermain santai. Aku meminta kebenaran untuk bermain sekejap, sekadar melepaskan gian. Bukan untuk membuktikan apa-apa — cuma untuk merasa kembali sesuatu yang sebelum ini aku sendiri lepaskan.
Ada yang bertanya kenapa aku menarik diri dari perlawanan ping pong itu. Aku hanya tersenyum tanpa memberikan jawapan yang sebenar. Walau jauh disudut hari teringin juga untuk bermain tapi aku memilih untuk tidak mengambil risiko, risaukan diri yang tak secergas dulu. Bertahun tak memegang bet ping pong, tanpa latihan konsisten — tiba-tiba nak main? Bukankah itu menzalimi diri sendiri?
Yang baru pertama kali melihat aku bermain nampak sedikit terkejut, tak sangka yang aku boleh bermain. Dalam hati aku.. 'Ini Mak Budaklah.. dulu pernah masuk perlawanan ping pong waktu mengandung enam bulan, anak sulung pula tu hingga jadi perdebatan pihak atasan tak bagi aku main'. Degil sangat aku masa tu tapi syukur Alhamdulillah.. dak Kakak pun dah besar sekarang tapi selepas habis perlawanan waktu tu, satu badan aku sakit.. Adan uke..
Sejak bertukar tempat kerja, aku dah tak berpeluang untuk bermain kerana tiada kesempatan. Bermain selepas waktu bekerja bukan lagi pilihan utama. Aku tak sanggup mengambil risiko memandu dalam keadaan penat, rumah pulak jauh. Itu belum lagi cerita tentang berhadapan dengan kesesakan jalan raya. Jadi, antara minat dan keselamatan diri, aku kena kekal waras, jangan ikut sangat kata hati.
PERCAYA ATAU TIDAK?
Ketika mereka sedang sibuk bertanding dalam perlawanan di ruang hadapan, aku pula rancak bermain di bahagian belakang, dengan berpakaian baju kurung pula tu. Dari hanya bermain beberapa pukulan hingga berlarutan hampir dua jam tanpa henti. Aku paksa team teknikal untuk terus bermain melayan aku, sampai satu tahap mereka angkat tangan tanda menyerah.
'Akak tak letih ke..?' mereka bertanya.
'Kalau nak letih, biar sekali'. jawab aku selamba.
Mereka kepenatan tapi aku yang puas melepaskan gian untuk bermain.
Makan tengahari
Sebahagian menu 'Rembayung' kata deme.
Dessert dan buah yang banyak menghiasi meja makanan sebenarnya tapi sebab aku penat memang tiada gambar untuk dijadikan kenangan.
PENAT..?
Selepas puas bermain dan berpeluh sakan, aku segera kembali untuk join my team — its makan time. Mereka tertanya-tanya ke mana aku hilang sebab tak muncul-muncul. Aku..? Bila dah penat, selera makan pun hilang. Aku hanya makan dessert dan buah aje walau deme suruh aku makan.
Bila dah duduk dan bertenang, panas berkurangan, kesan sakit mula terasa hingga membuatkan aku rasa sangat tidak selesa. Setiap gerakan badan sangat menyakitkan. Sendiri cari penyakit dengan menzalimi diri sendiri, maka terimalah akibatnya. Adan uke mak budak.. Dia ingat dia muda belia lagi agaknya, tak sedar diri yang diri tu dah mula memasuki alam Remaja Purba.
PETANG..
Berhadapan dengan kesesakan jalan raya mengundang rasa serba tak kena. Badan yang dah mula rasa sakit membuat aku ingin sampai ke rumah secepat mungkin.
MALAM..
Merengek mengadu pada en. Hubby — semua sendi rasa sakit. Rasa nak menangis pun ada. Dahlah kena bangun awal nanti untuk mengambil dak Kakak di luar negeri tapi part yang ini nanti aku cerita pada entry akan datang. Cuma berharap, esok badan tak merajuk terlalu lama.
======================================
PENUTUP:
Lewat petang, ketika memandu balik kerja, aku baru perasan jari aku sedikit melecet dan merah — akibat dua jam memegang bet ping pong tanpa henti. Urat di bahagian ibu jari tangan mula bengkak. Sekejap je rasa seronoknya tapi kesannya mengambil masa nak sembuh.

Bukan bet ini yang menyebabkan jariku bengkak.
Jika ada gambar di hari pertandingan, nanti aku kongsikan..
Aku bagitahu pada en. Hubby..
'Dah boleh beli bet ping pong yang baru ni..'
'Dulu beli mahal, sudahnya berhabuk lama tak guna'. Jawab en. Hubby.
Teringat pula waktu aku tengah gila main ping pong di tempat kerja lama. Sampai sanggup beli bet yang mahal harganya tapi waktu itu berbaloi — hampir setiap hari waktu rehat dan kadang-kadang waktu balik kerja, aku bermain bersama partner aku. Kira tak rugilah membelinya. Tapi sekarang..? Kalau aku beli, masa bila pula aku nak main? Kadang-kadang, semangat ada tapi realiti masa dan tenaga buat kita terpaksa mengalah.
DULU..
Semuanya mudah, semangat melimpah, tenaga tak pernah habis.
KINI..
Hanya tinggal memori, manis untuk dikenang tapi badan ini tak lagi mampu seperti dulu. Kadang rasa rindu tapi kena sedar diri.
Kadang-kadang aku tersenyum sendiri mengimbau kenangan lama — waktu bermain ping pong tanpa henti.
======================================
OBJEKTIF PENGANJURAN COOL DAY:
PENGANJURAN COOL DAY ADALAH BERTUJUAN UNTUK;
- Memberi peluang kepada warga kerja melaksanakan aktivit-aktiviti yang tidak dapat dijalankan berikutan jadual rasmi yang padat, khususnya yang melibatkan mesyuarat.
- Mengeratkan hubungan antara pihak Pengurusan dan kakitangan melalui aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang program berlangsung.
- Memberi ruang dan masa kepada kakitangan untuk menyelesaikan tugasan atau kerja-kerja sendiri yang dapat meningkatkan produktiviti individu.
- Memberi peluang kepada kelab berkaitan termasuk Kelab Sukan untuk menggunakan hari tersebut bagi melaksanakan aktiviti yang melibatkan warga kerja.
ETIKA BERPAKAIAN:
- Smart Casual.
- Semua kakitangan dibenarkan memakai t-shirt rasmi organisasi bersama seluar yang bersesuaian.
- Pemakaian jeans, legging, jogger pants dan pakaian yang tidak menepati garis panduan adalah tidak dibenarkan bagi memastikan keseimbangan antara keselesaan dan kesesuaian sepanjang aktiviti dijalankan.
#RemajaPurba: .. Badan masih lagi rasa sakit ..

No comments:
Post a Comment