09 Januari 2026 - Jumaat [19 Rejab 1447H]

@RemajaPurba: Alhamdulillah..
Pagi..
Temujanji dak Nuha di hospital untuk doktor menilai keadaan selepas pembedahan tahun lepas di [SINI], termasuk keputusan ujian makmal ke atas spesimen yang diambil.
'Alhamdulillah..' — itu perkataan yang keluar dari mulut doktor yang memeriksa dak Nuha [aku lupa nama doktor tu tapi doktor berbangsa Cina]. Nampak jelas beliau keletihan, mungkin tak cukup rehat melayan jumlah pesakit yang ramai, ditambah pula kekurangan doktor. Sebelum ini, kes dak Nuha dikendalikan oleh Dr. Zahirah tapi kali ini mungkin beliau ada tugasan lain, jadi doktor lelaki yang mengambil alih. Fizikalnya kecil, siap berseloroh kata dia malu sebab dak Nuha lebih besar daripada dia.
Layanan keseluruhannya sangat baik, daripada staf kaunter hinggalah doktor bertugas. Cuma kami terpaksa menunggu lebih sejam dalam mendapatkan keputusan ujian makmal dak Nuha kerana doktor agak sibuk ketika itu. Walaupun begitu, semuanya berjalan lancar, cuma dak Nuha keletihan menunggu. Aku pun sama, sampai terlelap di kerusi.
Alhamdulillah.. lega hati bila keputusan yang keluar menunjukkan tiada masalah. Doktor cuma berpesan..
'Kemungkinan untuk berlaku lagi ada tapi kena jaga diri betul-betul. Jangan jatuh tersembam dan jangan suka gigit bibir'.
Sementara aku sibuk menguruskan dak Nuha, en. Hubby pula menguruskan pengambilan ubat ulangan untuk aku di bahagian pengambilan ubat. Selesai semuanya, kami segera terus balik.
Petang..
Dak Nuha ajak aku keluar mencari barang, bosan duduk rumah katanya, walhal pagi tadi bukan main letih di hospital. Dak Adik turut ikut serta tapi barang yang dicari tak ada satu pun yang dia berkenan. Alang-alang keluar, kami singgah mandikan Mr. Black. Badannya kotor berhabuk, rimas pula aku melihatnya — lagipun esok nak balik kampung. Bagi handsome mewangi Mr. Black.
Sekembali di rumah.. terasa nak makan nasi goreng. Kebetulan ada sedikit kangkung yang ditanam dak Nuha di hadapan rumah (entah kenapa aku lupa nak ambil gambar), maka terhasillah nasi goreng kangkung versi campak-campak.

Nasi Goreng campak-campak namanya
Malam..
Berehat sambil bergossip dengan anak-anak, menonton TV dan dalam masa yang sama cuba mengedit entry blog.
Tak semua hari sempurna tapi hari ini cukup baik untuk disyukuri.
Tutup mata, tarik nafas, hembus nafas, esok sambung lagi.
@RemajaPurba: Alhamdulillah..

No comments:
Post a Comment