Followers Remaja Purba

Sunday, September 21, 2025

SAMBUTAN BIRTHDAY - MAKAN di SATAY BONDA


Kisah Birthday Girl dari [SINI]

20 September 2025 - Sabtu (27 Rabiulawal 1447H)

Selepas seminggu dak Adik balik bercuti, tibalah masanya untuk dia kembali ke selatan menyambung pengajian. Kali ni rasa macam cepat sangat masa berlalu. Belum puas lagi duduk ramai-ramai di rumah, dah kena hantar semula. Kebetulan pula hari ini jatuh tarikh lahir Kakak, jadi aku cadangkan supaya sambut birthday di sana sekali. Kami pun sengaja tak makan berat sebelum memulakan perjalanan sebab memang rancang nak makan setibanya di selatan.

Perjalanan pergi - jalan agak sesak, kenderaan banyak. Tambah pula kali ini aku yang jadi pemandu. Rasa berdebar pun ada sebab dah lebih sebulan tak pegang stereng. Sekali bila dapat pandu, terus long distance pula. Dalam hati doa semoga semuanya dipermudahkanNYA.

Sampai saja di selatan, singgah sekejap di sebuah pasaraya membeli sedikit keperluan Adik. Lepas itu, kami terus menuju ke tempat yang dirancang tanpa pengetahuan dak Kakak.

Kali kedua aku menjamu selera di SATAY BONDA..
Kali pertama di [SINI]..

Alhamdulillah, setibanya kami di sana sudah ada beberapa pelanggan yang sedang menikmati hidangan. Anak-anak pula senyap tanpa banyak bicara — mereka memang sukakan tempat yang tak terlalu ramai orang dan tidak bising Aku pula rasa tak sabar nak menikmati apa yang sudah lama terbayang dalam kepala.

Satay daging dan kambing menjadi pilihan

Waktu kami sampai, ada satay daging, ayam, kambing dan perut tapi kali aku pilih satay daging dan kambing je, Selain satay yang jadi menu utama, ada juga menu goreng-gorengan disediakan sebagai pilihan tambahan.

Nasi goreng ayam
Tiada dalam gambar nasi goreng kampung, nasi goreng pattaya dan nasi lemak


Birthday Girl

Walaupun hanya sederhana, yang penting dapat diraikan bersama-sama. Tanpa kek sepeti kebiasaan, kali ni kami bawa dak Kakak makan di Satay Bonda. Barulah lengkap kami satu family. Bahagia melihat anak-anak dapat makan bersama. Selesai makan, lepas hantar dak Adik, kami terus bergerak balik kerana en. Hubby ada urusan lain.

'Mehler Singgah'

SATAY BONDA
Tempahan dan Pertanyaan: 018 - 366 8538
Buka: Rabu hingga Ahmad
Tutup: Isnin dan Selasa


Kadang-kadang, kebahagiaan itu bukan terletak pada besar atau mewahnya sambutan tapi pada moment kecil yang dikongsi dengan orang tersayang. Itulah yang akan jadi kenangan paling indah bila dikenang semula nanti.

@RemajaPurba: ..

Saturday, September 20, 2025

SEPTEMBER - BULAN KELAHIRAN DAK KAKAK


20 September 2025 - Sabtu (27 Rabiulawal 1447H)

'Langkahmu adalah harapan, doaku jadi pelindungmu'

Setiap kali tarikh ini tiba, hati seorang ibu menjadi sebak. Terasa sekejap benar masa berlalu — dari seorang bayi kecil dalam dakapan, kini sedang mengenali dunia luar.

Alhamdulillah..
Cinta hati aku dan en. Hubby – anak sulung yang dari kecil hingga kini, kau membesar di depan mata dengan seribu satu kisah yang penuh warna.

Doa ibu dan babah tidak pernah putus untukmu. Moga Allah sentiasa melindungi langkahmu, melimpahkan rezeki dan mempermudahkan perjalananmu dalam menamatkan pengajian di universiti. Aku yakin masa depanmu Kakak akan bersinar jika kamu terus berusaha dengan sabar dan tekun.

Sebagai anak sulung, harapan kami semoga dak Kakak menjadi contoh terbaik buat dak Adik dan dak Nuha. Jadilah seorang yang penuh tanggungjawab dan sentiasa menjaga maruah diri. Ingatlah, doa kami sentiasa mengiringi setiap langkahmu walau di mana pun kamu berada.

Selamat hari lahir buatnya Umairah a.k,a dak Kakak. Teruslah menjadi kebanggaan kami, Doa ibu dan babah sentiasa mengiringimu – setiap waktu.

Selamat Hari Lahir Kakak..
Happy Birthday to You..

@RemajaPurba: - 20092025 -

Friday, September 19, 2025

MAKLUMAT YANG ANDA PERLU TAHU SEBELUM MENDAFTAR UNTUK MENDERMA DARAH


15 September 2025 - Isnin (22 Rabiulawal 1447H)

Menderma darah merupakan satu amalan mulia yang bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah memberi manfaat kepada kesihatan penderma itu sendiri. Namun, sebelum mendaftar sebagai penderma, terdapat beberapa maklumat asas yang perlu difahami agar proses pendermaan berjalan lancar dan selamat. Mengetahui syarat kelayakan, persediaan sebelum menderma serta aspek kesihatan yang perlu dipenuhi adalah penting supaya setiap titisan darah yang didermakan benar-benar memberi kebaikan kepada penerima.


Anda dilarang untuk menderma darah sekiranya anda PERNAH TERLIBAT, walaupun sekali di dalam aktiviti-aktiviti seperti berikut:
  • Bertukar-tukar pasangan seks atau mengamalkan aktiviti seks rambang.
  • Melanggani pekerja seks/pelacur.
  • Mengamalkan hubungan sejenis (homoseksual).
  • Mengamalkan hubungan jenis dengan kedua-dua jantina (Bisexual).
  • Mengambil dadah secara perkongsian jarum suntikan.


KRITERIA UNTUK MENDERMA DARAH
KRITERIA ASAS YANG MELAYAKKAN SESEORANG MENJADI PENDERMA DARAH:
    • Sihat.
    • Berumur 18 - 65 tahun (jika berumur 17 tahun, mendapat kebeneran bertulis daripada ibubapa atau penjaga).
    • Berat badan 45 kg atau lebih.
    • Tahap hemoglobin sekurang-kurangnya 12.5g.

KRITERIA LAIN:
    • Tidak minum minuman beralkohol hingga memabukkan dalam masa 24 jam sebelum menderma darah.
    • Tidak mengambil sebarang ubat antibiotik dalam masa dua minggu sebelum menderma darah.
    • Tidak menerima sebarang vaksinasi dalam masa dua minggu sebelum menderma darah.
    • Tidur sekurang-kurangnya lima jam.
    • Tidak hamil.
    • Boleh menderma darah selepas tiga hari haid.
    • Tidak menyusukan anak dengan susu ibu.
    • Menetapkan di Malaysia sekurang-kurangnya satu tahun (bagi bukan warganegara Malaysia).


Anda tidak boleh menderma darah pada hari pendermaan darah atau untuk SEMENTARA WAKTU sahaja, sekiranya anda:
    • Demam,
    • Minum minuman beralkohol hingga memabukkan dalam masa 24 jam sebelum menderma darah.
    • Mengambil sebarang ubat antibiotik dalam masa dua minggu sebelum menderma darah.
    • Telah menerima sebarang vaksinasi dalam masa tiga minggu sebelum menderma darah.
    • Tidur kurang dari lima jam.
    • Hamil dan Datang haid (1 - 3 hari).
    • Menyusukan anak dengan susu ibu.
    • Telah menjalani pembedahan dalam masa enam bulan sebelum menderma darah.
    • Telah menerima rawatan gigi dalam masa 24 jam sebelum menderma darah.
    • Telah menindik telinga, bertatu atau akupuntur dan berbekam darah dalam masa enam bulan sebelum menderma darah.
    • Menetap di Malaysia kurang dari satu tahun (bagi bukan warganegara Malaysia)

Anda perlu MENGECUALIKAN DIRI anda daripada menderma darah sekiranya anda menghadapi:
    • Tekanan Darah Tinggi yang tidak stabil.
    • Penyakit Diabetes (Kencing Manis) yang mengambil rawatan penyakit kencing manis secara insulin dan turut menghidap penyakit kronik lain.
    • Penyakit Asma / Lelah yang bergantung kepada rawatan steroid.
    • Penyakit Jantung.
    • Penyakit Sawan (Epilepsi).
    • Penyakit Tibi.
    • Penyakit Berjangkit (Contoh: Siflis, Hepatitis dan HIV)

Anda juga TIDAK BOLEH menderma darah sekiranya:
    • Pernah menetap di United Kingdom (England, Northern Ireland, Ireland, Scotland, Wales, Isle of Man, Channel Island) atau di Republik Ireland di antara 1 Januari 1980 hingga 31 Disember 1996).
    • Pernah menetap di negara-negara Eropah (Austria, Belgium, Denmark, Finland, France, German, Greece, Holland, Italy, Liechtenstein, Luxembourg, Norway, Portugal, Spain, Sweden dan Switzerland) dari tahun 1980 hingga 31 sekarang untuk tempoh terkumpul enam tahun atau lebih.
    • Pernah menerima transfusi darah atau suntikan darah atau komponen darah semasa di United Kingdom dari tahun 1980 hingga sekarang.
Setitis darah anda mungkin menjadi peluang kedua untuk seseorang terus hidup

Menderma darah bukan sahaja satu bentuk keprihatinan tetapi juga tanggungjawab sosial yang membawa manfaat besar kepada orang lain. Dengan persediaan yang betul dan maklumat yang jelas, setiap pendermaan anda mampu menjadi harapan baharu buat mereka yang memerlukan.

Aku..?
Atas saranan doktor, buat sementara aku tidak dibenarkan untuk menderma darah atas faktor kesihatan. 

#RemajaPurba: 

Thursday, September 18, 2025

#Ceramah - KERJA SEBAGAI SATU IBADAH


Kenapa seluruh hidup ini dikatakan ibadat? 
Apa saja yang kita buat – kerja, belajar, tolong orang, jaga keluarga malah berehat sekali pun – boleh jadi pahala bila diniatkan kerana Allah dan ikut cara yang betul. Hidup kita sebenarnya boleh jadi ladang ibadat, bukan hanya terbatas pada solat atau puasa semata-mata. Inilah luasnya rahmat Allah – seluruh perjalanan hidup kita boleh menjadi bekalan akhirat, selagi kita menjaga niat dan menepati perintahNYA.

Kenapa dikatakan seluruh kehidupan ini sebagai ibadat?
Surah Az-Zāriyāt ayat 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya:
'Dan ingatlah.. tidak AKU jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepadaku'.


IBADAH TERBAHAGI KEPADA TIGA BAHAGIAN:
  • IBADAH ASAS
    Merujuk kepada hubungan langsung antara hamba dengan Allah – meliputi kepatuhan terhadap Rukun Iman dan Rukun Islam.

  • IBADAH SUNAT
    Amalan tambahan yang apabila dilakukan akan mendatangkan kasih sayang Allah – Ia ibarat markah bonus untuk menyempurnakan ibadah asas kita.

  • IBADAH UMUM
    Segala urusan kehidupan harian, daripada perkara kecil hinggalah sebesar-besarnya – melibatkan hubungan sesama manusia dengan niat kerana Allah.


LIMA SYARAT AGAR KERJA MENJADI IBADAH:
  • Niat kerana Allah s.w.t
    Setiap amalan akan dinilai berdasarkan niatnya.

  • Pastiikan kerja itu halal dan tiada unsur haram
    Jauhkan diri daripada perkara haram. Paling rugi di akhirat ialah mereka yang mendapat rezeki haram hingga menjerumuskan diri ke neraka.

  • Mematuhi syarat dan peraturanNYA
    Ikut syarat Allah dan juga peraturan manusia. Allah sukakan hamba yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam bekerja.

  • Tidak meninggalkan ibadah asas dan segala perintahNYA
    Solat dan perintah Allah yang lain jangan ditinggalkan. Ia memberi kekuatan jiwa dan kelapangan fikiran untuk kita jalankan urusan kerja dengan lebih berkesan.
  • Bersyukur kepadaNYA di atas kejayaan
    Bukan sekadar menyebut Alhamdulillah tetapi cara paling efektif adalah back to basic —  taat segala suruhanNYA dan menjauhi laranganNYA.


KESAN APABILA KERJA DIJAGA SEBAGAI IBADAH:
  • Lahir Tamadun Rohani
    Akan lahir insan yang berakhlak mulia, berperibadi tinggi dan dekat dengan Allah.

  • Lahir Tamadun Material
    Individu, syarikat dan masyarakat akan mencapai kemajuan serta pembangunan yang seimbang.


KESIMPULAN:
Bila kerja dilakukan dengan niat kerana Allah, ia bukan sekadar memberi hasil di dunia tetapi juga menjadi bekalan untuk akhirat.

Moga bermanfaat.

@RemajaPurba: - ceramah oleh wakil dari YaPIEM (2011) -

Wednesday, September 17, 2025

BUKAN SELUDUP MINYAK


17 September 2025 - Rabu (24 Rabiulawal 1447H)

Aku beli dua botol minyak masak jenama SAJI dari kawan di tempat kerja..
Ini bukan seludup minyak.. 

Kadang-kadang kita rasa nak sediakan stok supaya hati tenang tapi sebenarnya cukuplah sekadar berpada-pada. Rezeki ni., kalau kita pandai urus, InsyaAllah takkan putus.

@RemajaPurba: ..

Tuesday, September 16, 2025

IKLAN - RUKUN NEGARA MALAYSIA


16 September 2025 - Selasa (23 Rabiulawal 1447H)

Maksud Rukun Negara
Rukun Negara ialah ideologi kebangsaan Malaysia yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ia digubal untuk membentuk perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara dengan menjadi panduan hidup rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya.


RUKUNEGARA
BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA 
mendukung cita-cita hendak

mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;
memelihara satu cara hidup demokratik;
mencipta satu masyarat yang adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan

==============================================

Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia daripada PETRONAS |
Marilah kita berpegang teguh kepada janji yang menyatukan kita demi keharmonian dan perpaduan dalam menuju kemajuan bersama. ​
Sumber dari Arkib Negara / Edaran Rukun Negara di [SINI]

==============================================

- video penuh -


Sumber dari [SINI]
LIMA PRINSIP RUKUN NEGARA DAN MAKNANYA:
  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
    Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan.
    Tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang.
    Agama-agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram.

  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
    Setiap warganegara hendaklah taat setia, jujur dan ikhlas kepada SPB YDPA.
    Di negeri, rakyat dikehendaki taat setia kepada raya yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada SPB YDPA.

  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN
    Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara.
    Setiap warganegara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah.

  • KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
    Menjamin kehidupan anggota masyarakat dapat bergerak lancar dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat.
    Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan.

  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN
    Membentuk warga yang bersopan santun dan bersusila selara dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni. Individu yang bersopan santun dan bersusila adalah amat penting dalam konteks perhubungan pelabagai kaum di negara ini.

DAN..
Disebalik buku tulis murid dan pelajar sekolah, ada catatan mengenai RUKUN NEGARA yang kita baca setiap kali perhimpunan di sekolah.



Percayalah, setiap kali ikrar Rukun Negara kita baca, pasti terbit rasa sebak dan bangga dalam hati. Ia bukan sekadar lafaz tapi satu peringatan bahawa kita semua berkongsi tanggungjawab menjaga keharmonian dan menyemai kasih pada tanah air tercinta. Marilah sama-sama kita hayati, fahami dan amalkan dalam kehidupan seharian.

@RemajaPurba: - Selamat menyambut Hari Malaysia 16092025 -

Sunday, September 14, 2025

HARI MALAYSIA + SARA one-off


14 September 2025 - Ahad (21 Rabiulawal 1447H)

Esok..
15 September 2025 telah diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Tambahan bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September 2025 (Selasa). Pengumuman ini dibuat oleh YAB Perdana Menteri sebagai tanda penghargaan terhadap semangat perpaduan dan kebersamaan seluruh rakyat Malaysia.

- Sumber en. Google -

Kebetulan jatuh pada awal cuti sekolah, memang terasa bahagia bila dapat luangkan masa bersama keluarga. Cuti tambahan seperti ini pastinya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berehat di rumah dan recharge tenaga. Masalah kerja letak tepi dulu, tak payah fikir pasal apa yang menunggu bila masuk kerja nanti. Asalkan tak ada yang kacau, rasa syukur sangat dapat nikmati masa tenang macam ni.


Bertambah rasa syukur apabila kerajaan mengumumkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas melalui MyKad bermula 31 Ogos 2025 lalu. Inisiatif ini mencatat sejarah baharu dalam bentuk bantuan tunai yang bersifat menyeluruh.

Bila difikirkan semula, nilai RM100 mungkin nampak kecil pada mata kasar tetapi cukup besar maknanya bila diberi kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang. Ia tanda prihatin kerajaan terhadap kebajikan rakyat. Alhamdulillah,, syukur.


Aku..?
Masih belum menggunakannya lagi. Lagipun, tempohnya masih panjang kerana tarikh akhir penebusan pada 31 Disember 2025.

@RemajaPurba: ..

Saturday, September 13, 2025

LEMANG + RENDANG AYAM PENCEN


12 September 2025 - Jumaat (19 Rabiulawal 1447H)

Sambungan dari [SINI]

Malam..
Ada sesi membakar lemang dan memasak rendang ayam pencen. Bukan di rumah kami tapi en. Hubby ke rumah kawannya untuk bantu. Kata en. Hubby, deme saja nak buat makan-makan.

Bila tinggal di kawasan kampung ni, daun pisang paling mudah dicari

Buluh lemang pun senang, order je., tahu-tahu sampai..

Tempat bakar lemang ni, deme ambil dari rumah kami

Tukang masak, tukang jaga api - en. Hubby

Lembut dan 'sungguh enak dimakan begitu saja..'

Rendang ayam pencen

Lemang #chefHubby

Kombinasi yang menarik

Tak perlu tunggu raya, bila rasa teringin nak makan, tak perlu beli  kita bakar je..

@RemajaPurba: ..

Friday, September 12, 2025

BUKTI ANAK SELAMAT


12 September 2025 - Jumaat (19 Rabiulawal 1447H)

Pagi..
Adik sepupu aku yang hantar dak Adik ke hentian bas di selatan untuk balik ke rumah. Dia tunggu sampai dak Adik selamat naik bas, barulah dia bergerak pulang.

Kali pertama dak Adik naik di sini

Petang..
Sebenarnya sepanjang perjalanan dah berkali-kali aku pesan, cuma mungkin ada sedikit salah faham, itu yang dia salah hentian  maklumlah, budak baru pertama kali naik bas seorang diri jadi mungkin dia keliru. Sudahnya, en. Hubby pergi jemput dak Adik dengan ditemani dak Nuha dan si bulus, dak Jasmine.

Alhamdulillah.. dak Adik selamat sampai rumah selepas Babahnya jemput di hentian bas tersebut. Sepatutnya dia turun di hentian terakhir tapi entah macam mana dia turun lebih awal di hentian sebelumnya. Sudahnya, kena tinggal baslah jawabnya. Mula-mula memang aku marah juga tapi seperti biasa, Babah dia jadi penyelamat keadaan.

en. Hubby siap buat video call sebagai bukti anak selamat.


Malam..
Ada sesi membakar lemang dan memasak rendang ayam pencen. Bukan di rumah kami tapi en. Hubby ke rumah kawannya untuk bantu. Kata en. Hubby, deme saja nak buat makan-makan.

Projek nak buat lemang

- update di [SINI] -

@RemajaPurba: Cuti sekolah pun bermula.

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2024


Terjawab akhirnya dengan pemakluman pada 13 Mac 2025 dan surat rasmi telah aku terima pada bulan Jun 2025.

Selepas sedekad, detik ini hadir kembali cuma kali ini di tempat yang berbeza. Jika dahulu ia berlaku di tempat lama hingga membawa aku dan yang lain ke [SINI], kini aku melangkah di bawah bumbung serta pengurusan baharu. Suasana berubah, wajah kepimpinan juga tidak sama. Hampir enam tahun berbakti sebelum takdir sekali lagi mengizinkan aku merasainya.

Ya, aku tahu.
Masih ada yang belum pernah melaluinya — aku faham benar perasaan itu kerana aku juga pernah berada di situ.

Dulu.. lama dulu..
Pengarah pernah bertanya, 'Pernahkah awak menerima anugerah ini?'
Jawapanku, belum. Kali pertama aku merasainya hanyalah ketika di tempat kerja lama. Selepas itu, walau pengarah silih berganti, aku masih belum pernah menerimanya. Sehinggalah pada satu hari — waktu itu aku sedang bercuti kerana menjaga dak Adik yang dimasukkan ke hospital di [SINI]. Tiba-tiba, pengarah memanggil aku hadir ke pejabat, meminta aku menulis justifikasi. Katanya, beliau sendiri akan menambah apa yang perlu untuk memastikan aku layak menerimanya.

Untuk anugerah sebegini, justifikasi daripada ketua amat penting bagi mengesahkan kelayakan seseorang. Aku..? Tidak pernah mengharap kerana aku tahu kedudukan aku bukanlah pilihan utama. Tapi bila mendengar kata-katanya, aku benar-benar terpaku. Speechless.


Dan.. ketika aku menerima anugerah bagi tahun 2024, Pengarah tersebut sempat menghubungi aku untuk mengucapkan tahniah. Aku pula, dengan penuh rasa hormat dan syukur berterima kasih kepadanya kerana pernah mencalonkan aku untuk anugerah ini. Beliau adalah seorang ketua yang tak mungkin aku lupakan. Terima kasih banyak-banyak puan atas penghargaan yang begitu besar maknanya bagi diri ini.



11 Ogos 2025 - Isnin (17 Safar 1447H)
Akhirnya, bertempat di sebuah hotel di situ, aku melangkah naik ke atas pentas — dengan dada berdebar + menahan malu. Boleh dihitung dengan jari betapa jarangnya aku menjadi perhatian; aku lebih selesa bekerja di balik tabir. Namun, di hadapan begitu banyak mata yang memandang, gemuruh itu tetap ada. 

Alhamdulillah.. syukur di atas nikmatNYA ini.

Alhamdulillah.. Tahniah Mak Budak.
Terima kasih kepada Pengarah dan Ketua Unit kerana sudi mencalonkan aku untuk anugerah ini. Enam tahun aku berkhidmat di situ sebelum berpindah mulai awal tahun 2025 — inilah hadiah paling bermakna dan kenangan terindah yang akan aku simpan selamanya.
Setiap usaha akan sampai pada masanya dan bila tiba, syukuri dengan sepenuh hati sambil terus melangkah menjadi versi terbaik untuk diri sendiri..

Tahniah Mak Budak..
Seperti kata seseorang 'You deserved it..'


@RemajaPurba: Sedekad lalu di [SINI]

Thursday, September 11, 2025

SELAGI IKATAN ITU SAH


11 September 2025 - Khamis (18 Rabiulawal 1447H)

Alhamdulillah..
Walau laut ada pasang surutnya, aku masih lagi milik sah en. Hubby. 
Aku sebenarnya kurang gemar berkongsi aktiviti bersama di laman Facebook (FB) kerana ramai rakan sekerja turut ada di situ. Jadi, sebagai langkah selamat, aku memilih untuk unfriend dan block mereka —  seperti kisah sensitif yang pernah ceritakan di [SINI] dulu. Aku lebih tenang untuk bercerita di blog ini, bersama circle yang aku selesa sekarang.

Namun, sejak aku tidak lagi aktif berkongsi di FB, muncul pula persoalan lain. Semuanya bermula apabila aku kembali bekerja di [SINI], seorang boss sempat bertanya soalan yang agak sensitif:

'Awak masih lagi bersama dengan en. Suami atau sudah..?'

Terkedu aku mendengarnya. Rupanya persoalan itu timbul kerana ada beberapa rakan sekerja lain yang tidak lagi bersama dengan pasangan masing-masing. Memandangkan sudah bertahun kami tidak berjumpa, itu menjadi soalan pertama yang terlintas di fikirannya.


'Alhamdulilah.. saya masih lagi dengan en. Suami dan dia tetap setia bersama saya'.
- Kita dah halal.. awak bila lagi..? -

Aku…?
Selagi ikatan itu sah dan tidak diputuskan, aku tetap isteri kepada en. Hubby. Doakan yang baik-baik, itu sudah memadai. Kebahagiaan bukan untuk ditayang atau diukur oleh sesiapa kerana hidup ini bukan di tangan manusia — hanya Allah yang menentukan segalanya.

@RemajaPurba: ..

Wednesday, September 10, 2025

TINDAKAN SERTA-MERTA


21 Ogos 2025 - Khamis (27 Safar 1447H) yang lepas..

Majlis Perbandaran telah mengejutkan pemilik kenderaan yang parkir di tepi jalan hadapan tempat kerja dengan arahan supaya mengalihkan kenderaan mereka serta-merta. Tindakan dibuat susulan aduan daripada pihak pengurusan tempat kerja kerana banyak kenderaan yang diparkir di hadapan bangunan menghalang pandangan keluar-masuk, berisiko menyebabkan kemalangan.

- abaikan bunyi latar di belakang -
Dalam gerimis hujan..
Kelihatan semua pemilik kenderaan berlari-lari anak mengalihkan kereta masing-masing, bimbang kereta kena tunda.


Selepas itu.. nampak ada sedikit perubahan, walaupun masih ada yang degil. Biasalah.. dalam setandan pisang, tak semuanya elok.

Pandangan aku..? Pihak Majlis Perbandaran kena selalu pantau secara berkala kerana kawasan tersebut bukan tempat parkir kenderaan. Harapnya, dengan sedikit usaha dan pemantauan, kawasan itu boleh jadi lebih teratur dan selamat untuk semua.

@RemajaPurba: ..

Tuesday, September 9, 2025

BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH


09 September 2025 - Selasa (16 Rabiulawal 1447H)

Kau ok tak tu..?
Aku tahu kadang menung terlalu lama boleh jadi letih, fikir macam-macam tapi bersabarlah.. Allah sedang menyusun jalan yang cantik untukmu. Sebagai peringatan bahawa Dia tidak akan mensia-siakan hambaNya yang sabar — dua kali Allah ulang dalam Al-Quran..


فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا * إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“Maka sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan.
Sesungguhnya besama kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah: 5-6)


Setiap kesusahan yang kau lalui, pasti ada keindahan yang menanti di hadapan. Kau perlu sabar dan yakin dengan janji itu. Aku faham.. kadang-kadang penat, kadang rasa sedih dan kecewa. Tapi itulah hakikat kehidupan — hidup memang penuh cabaran. Nama pun hidup, kan?

Ingat, kita hidup bukan sekadar untuk dunia, tetapi untuk akhirat. Kau perlu bersabar, percaya dengan janji Allah. Allah sedang menyusun sesuatu yang indah untukmu. Bersabarlah, sangka baiklah kepada Allah, InsyaAllah, kehidupanmu akan dipenuhi kebaikan.

Aku mendoakan kepada semua yang sedang melalui kesusahan, rasa kecewa atau sedih, semoga kalian diberi kekuatan mental dan kesihatan yang baik. Mari kita berdoa agar Allah memudahkan setiap urusan kita dan memberi kita kekuatan untuk menghadapi setiap ujian. InsyaAllah…


Biarlah hati ini tetap yakin, sangka baik kepada Allah dan berserah kepadaNya. InsyaAllah, apa yang tersimpan untukmu akan datang pada masa yang tepat, membawa bahagia, ketenangan dan keberkatan dalam hidupmu.
Kesabaran hari ini adalah kunci kebahagiaan esok. Yakinlah.. Allah tahu apa yang terbaik untukmu..

@RemajaPurba: ..

Monday, September 8, 2025

DAHULU PERGI, SEKARANG TIDAK LAGI


Setiap program kerja yang dianjurkan pastinya membawa tujuan dan manfaat tersendiri. Namun, di sebalik jadual yang disusun, ada juga ruang untuk kita menilai semula — sejauh mana program itu benar-benar memberi kesan dan sejauh mana pula ia mempengaruhi keseimbangan rutin harian serta tanggungjawab peribadi. Adakah berbaloi untuk mengorbankan rutin harian hanya demi hadir atau cukup sekadar memilih apa yang benar-benar penting dan relevan dengan tugas sendiri.


DAHULU..
Setiap kali ada bengkel, kursus atau latihan — apatah lagi jika diadakan di hotel atau lokasi menarik jauh dari tempat kerja — aku pasti hadir. Selain menimba ilmu, peluang ‘berjalan’ sambil bekerja memang sesuatu yang aku nantikan. Seronok rasanya bila dapat keluar dari rutin harian, walaupun jadual padat dari hari pertama hingga hari terakhir. Penat itu ada tapi tetap rasa berbaloi. 

Naik flight, naik bas, naik kereta, naik bot malah naik rakit seperti di [SINI] pun pernah aku lalui. Zaman waktu Remaja Purba yang fikir nak enjoy, tak kira di mana. Dalam kepala cuma satu.. 'Bila lagi nak dapat peluang macam ni? Lupa sekejap segala tekanan di tempat kerja. Rasa bebas — walau sementara.


SEKARANG..
Sejak insiden dua kali aku pernah pengsan di tempat kerja, aku jadi lebih berhati-hati. Nak sertai bengkel, kursus atau seminar yang jauh pun aku fikir banyak kali. Seboleh mungkin, aku elakkan. Bukan apa — aku tak nak susahkan orang, tak nak buat en. Hubby risau dan paling penting, tak nak jadi beban kepada pihak urusetia. Kalau boleh tak pergi, aku pilih untuk tak pergi.


Kalau program yang tak memerlukan bermalam, aku masih boleh terima. Taklah terlalu mengganggu rutin harian di rumah. Jadi, aku hadir dengan hati yang lebih tenang. Andai ada yang berkata, 'Macam dia seorang saja ada anak, ada suami..' — silakan. Kita tak hidup dalam rutin yang sama, apatah lagi menanggung tanggungjawab yang serupa.

Tapi bila bengkel itu jauh di luar kawasan, jaub di sudut hati — 'Apa aktivitinya?'. Hakikatnya, aktiviti tetap sama — 3 hari 2 malam dengan slideshow PowerPoint, aktiviti berkumpulan dan akhirnya bila kembali bekerja.. kau dengan bidang kau, aku dengan kerja aku.
Bukan semua yang berjalan itu belajar dan  bukan semua perjalanan itu membazir..

Kerja tetap berjalan, program silih berganti tapi di hujungnya ada tanggungjawab dan rutin di rumah yang tetap setia menanti. Di situlah sebenarnya, terletak makna keseimbangan yang aku pilih untuk dijaga.

@RemajaPurba: ..

BUATLAH ADUAN DI PEJABAT BURUH


Berdasarkan kisah benardi tempat kerja en. Hubby..
Kisah bermula, bila seorang staff ini membuat kenyataan berkenaan isu di tempat kerja di dalam salah sebuah group di dalam media sosial. Tanpa disangka, en. Hubby turut meninggalkan komen pada post tersebut. Dari situlah tercetus apabila staff berkenaan bertindak memburukkan nama en. Hubby. Benarlah kata orang, jika hati tidak cukup kental, jangan mudah bermain dengan medial sosial. Jika silap langkah, boleh kemurungan.


Berhati-hati di dalam mengeluarkan kenyataan di media sosial dengan niat menghasut terutama tanpa asas dan bukti kukuh bagi. 
  • Kalau rasa parah sangat dan tidak adil, buat aduan di Pejabat Buruh, kalau post tu viral, bahaya pada tukang post sebab pihak syarikat boleh saman atas dakwaan fitnah, tambah lagi tiada bukti bertulis, malahan siap ada nama dan gambar tempat kerja tersebut. Viral begitu kau tak dapat apa pun. Be smart.
  • Nak cakap syarikat itu teruk, ada lagi syarikat yang teruk cuma kau je yang tak tahu. Syarikat besar ni, tak hairan andai kau nak berhenti kerja. Kau berhenti, ada je orang yang akan menggantikan tempat kau.
  • Bayangkan sekiranya syarikat itu terpaksa ditutup gara-gara dikecam dari semua arah, berapa ramai pekerja yang hilang sumber pendapatan, bukan senang nak dapat kerja dengan kelayakan yang ada. Mereka yang bekerja itu mungkin atas tiket 'janji ada kerja', 'janji dapat bayar semua komitmen yang ada', 'janji keluarga tak kelaparan'.
  • Ada orang elok je kerja tanpa masalah, asalkan kau pandai bawa diri dan tidak menyusahkan pihak pengurusan di tempat kerja dah cukup syukur untuk mereka terus dikekalkan.

'Bersyukurlah ada kenaikan gaji tahunan dari ada syarikat yang tiada langsung kenaikan' 

Setiap syarikat mempunyai cara pengurusan mereka sendiri. Sekiranya tidak berpuas hati boleh buat aduan secara rasmi kepada syarikat tersebut dan memanjangkannya kepada pihak berwajib yang berkenaan. Tak perlulah hingga memburukkan tempat kerja orang lain mencari rezeki. Bukan setakat kau burukkan nama syarikat tu tapi turut memburukkan nama orang yang bekerja di situ. Apa niat kau sebenarnya?

'Jika kau menginginkan kerja yang bergaji tinggi tapi tidak mahu penat, tak perlulah kau nak mohon kerja di situ. Nak gaji besar, kerja mudah - ukur baju di badan sendiri dulu'.

Roda itu bulat.. Jangan hanya pandai nak viral tapi tak berani nak bersemuka. Rileks bro.. Chill sudah.. kau tak suka kau boleh blah. 

'Orang macam tu usah dilayan, nanti kita pun sama nampak bodoh macam dia'.

#RemajaPurba: ...

Sunday, September 7, 2025

JUARA PERTANDINGAN DEKORASI RUANG MERDEKA 2025


Pada 27 Ogos 2025 (Rabu) lepas, keputusan rasmi 'Pertandingan Dekorasi Ruang Merdeka 2025' telah diumumkan — dan tak sangka team aku berjaya meraih kemenangan besar! Tahniah diucapkan kepada semua yang telah bertungkus-lumus menyiapkan dekorasi hingga berjaya mengharumkan nama team.

Inilah hasilnya..
Tempat Pertama - RM1300.00
Berbaloilah dengan penat lelah yang team aku usahakan



Memberi penerangan kepada juri pertandingan
- Juri pertandingan adalah dari pihak luar, bukan dari tempat kerja kami -



- pembaca berita TV Borneo -

- TV Borneo -
Gambar sebelum diletak di tempat sebenar

Dekorasi yang dihasilkan bukan sekadar cantik dipandang mata tapi ada cerita di sebaliknya. Bahan utama yang digunakan terdiri daripada bahan kitar semula dan juga pakai buang. Idea ini bukan sahaja menjadikan dekorasi lebih kreatif, malah turut memberi nilai tambah pada markah pertandingan. Bonus besar untuk team aku!

Paling penting, kemenangan ini bukan hasil seorang dua tapi usaha semua. Dari proses membeli + mencari bahan, menyusun idea, hinggalah ke sentuhan akhir — semuanya dilakukan bersama. Memang betul kata orang, bila ada semangat bekerjasama hasilnya lebih manis dan bermakna.
Syukur atas rezeki ini. Buat team aku.. Tahniah buat korang semua, moga kemenangan yang diperoleh jadi suntikan semangat untuk terus berkarya, mencuba perkara baharu dan mencipta lebih banyak kenangan indah selepas ini.

@RemajaPurba: sambungan dari [SINI]..

@@@ THE TRAUMA CODE: HEROES ON CALL - KDrama (2025)


05 September 2025 - Sabtu (13 Rabiulawal 1447H)

Dah lama sebenarnya entry ni tersimpan dalam draf — sejak bulan Januari lagi. Masuk bulan September barulah berjaya aku update.

K-Drama perubatan yang pertama bagi tahun 2025. Satu drama yang menarik untuk ditonton, Aku suka drama yang macam ni - doktor brutal, tebuk kepala pesakit dalam helikopter dan ambulans. Doktor pula bukan doktor biasa tetapi bekas doktor tentera dari kawasan perang.


Pada 24 Januari 2025 satu siri K-Drama [genre: Perubatan, aksi, komedi, perubatan] The Trauma Code: Heroes on Call yang diarahkan oleh Lee Do Yoon telah disiarkan secara eksklusif di Netflix. Drama yang menpunyai lapan episod yang diadaptasi daripada novel web 'Jungjeungoesangsenteo: Goldeun Awo' (중증외상센터: 골든 아워) oleh Hansan Iga (한산이가).

This drama is a MASTER PIECE.
Credit goes to the script writer, the Director for drawing the best from the actors and making this drama so thrilling.

Director: Lee Do Yoon


SINOPSIS;
Baek Kang Hyuk (Ju Ji Hoon), seorang pakar bedah cemerlang dengan pengalaman luas dalam melakukan pembedahan di zon konflik yang paling berbahaya. Beliau diamanahkan untuk mengetuai Pasukan Trauma yang kekurangan dana yang dipinggirkan di Hankuk National University Hospital. Misi yang akan menguji kepakaran dan ketahanannya.

Pasukan yang cuba dibentuk dianggotai oleh Yang Jae Won, bekas pakar bedah proktologi yang menjadi anak murid pertama Baek Gang Hyeok, jururawat Cheon Jang Mi dan residen anestesiologi, Park Gyeong Won. Di bawah kepimpinan beliau, pasukan tersebut berubah daripada sekadar unit simbolik kepada sebuah pasukan yang benar-benar aktif dalam menyelamatkan nyawa.

Watak Utama:
Ju Ji Hoon as Baek Gang Hyeok
Choo Young Woo as Yang Jae Won
Ha Young as Cheon Jang Mi
Yoon Gyung Ho as Han Yu Rim
Jeong Jae Kwang as Park Gyeong Won

Watak Pembantu:
Kim Eui Sung as  Choi Jo Eun [Director of Korea University Hospital
Kim Won Hae as Hong Jae Hun [Director of Planning and Coordination]
Jang Sung Yoon as Kim Seong Yun [Nurse]
Kim Sun Young as Kang Myeong Hui [Minister of Health and Welfare]
Hong Woo Jin as An Jung Heon [Rescue Team's Member]


- Trailer -

Episode pertama
Baek Gang Hyeok telah mengejutkan banyak pihak dengan tindakan beraninya hingga membuatkan pengurusan atasan tidak senang dengannya.

Episod akhir 
Punca mengapa Baek Gang Hyeok memilih kerjaya untuk menjadi seorang doktor

Behind The Scene
Ini baru drama, kalau filem mesti lagi hebat teknologi yang digunakan.

wawancara di [SINI]

Aku..?
Hanya ada satu kesilapan dalam drama ini - kenapa hanya 8 episod? Patutnya 16 episode baru puas menontonnya tapi walau hanya 8 episod, aku ulang tengok banyak kali.


Walaupun hanya sebuah drama, karya yang dihasilkan serta diterjemahkan untuk tontonan umum menjadikannya sangat menarik. Dengan penggunaan teknologi green screen di dalam studio, props dan latar yang dipersembahkan terasa begitu realistik — jauh lebih maju berbanding drama Melayu.

Satu lagi KDrama yang menggunakan teknologi green screen ialah drama JIRISAN, tahun 2021. Dari drama itulah aku mula mengenali pelakon Ju Ji-hoon, watak utama dalam drama The Trauma Code: Heroes on Call ini. Betullah agaknya kata orang, makin tua makin seksi dan tahun 2025 Ju Ji-hoon telah buktikannya sekali lagi dengan lakonannya yang sangat berkesan dan seksi.

@RemajaPurba: - sumber gambar dan video dari en. Google -

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...