04 September 2025 - Khamis (11 Rabiulawal 1447H)
Dulu, setiap kali hadir ke program, aku akan bawa buku nota untuk catat isi-isi penting. Sekarang, cara itu dah berubah — aku lebih selesa merakam, kemudian dengar semula sebelum diolah menjadi satu entry blog untuk dikongsikan sebagai pengajaran.
Beberapa hari sebelum Sambutan Hari Kemerdekaan, aku sempat merakam ucapan CEO dalam satu majlis. Dalam hati aku yakin, pasti ada isi menarik yang boleh aku kembangkan jadi bahan penulisan dalam blog nanti. Tak sangka, petang sebelum balik kerja, seorang pegawai datang bertanya soalan yang buat aku terkedu.
'Mesti dalam group awak sekarang tengah panas kan..?'
'Kenapa pula..?' Dalam hati — hebat betul, sampai orang luar group pun boleh tahu.
'La.. awak tak dengar ke waktu ucapan CEO tadi..?'
Aku terkeju.., 'Eh! Ada ke..?'
'Siapalah yang sampaikan hal tu kat CEO ye..?' Pegawai tersebut cuba mendapatkan jawapan dari aku.
Aku hanya mampu diam sambil tersenyum. Pada aku, tak semua benda perlu dijawab — walaupun isu tu mungkin dah tersebar luas.
Malamnya di rumah, aku teringat semula rakaman ucapan CEO. Aku buka dan dengar dengan teliti — memang betul, isu itu ada disebut. Rupanya aku tak perasan sebab waktu tu aku mengantuk, patutlah member sebelah sempat cuit aku. Barulah aku faham kenapa pegawai tersebut bertanya pada aku.
Pengajaran untuk aku — dan juga untuk kita semua: Jangan terlalu 'ramah' dalam group. Kadang-kadang tanpa kita sedar, ada perkara yang sampai ke telinga orang yang tak sepatutnya. Hingga hari ini, aku dan rakan-rakan masih tertanya-tanya siapa sebenarnya yang menyampaikan isu itu kepada CEO, sampai jadi kes. Rujukan dari [SINI].
===================================
Aku kongsikan rakaman ucapan beliau sebagai iktibar dan pengajaran buat kita semua.
Kita perlu sentiasa bersedia menghadapi perkara-perkara yang tidak dijangka. The word of RESPECT mesti ada dalam diri kita kerana rasa hormat tidak akan lahir sekiranya kita hanya sekadar melakukan perkara yang biasa.
Apabila kita menerima sesuatu yang baharu — sama ada arahan, tugasan atau inisiatif — kita hendaklah berlapang dada untuk melaksanakannya. Itulah yang diharapkan daripada kita. Pada masa yang sama, kita juga perlu membebaskan diri daripada belenggu minda lama. Janganlah kita masih terikat dengan cara fikir zaman penjajahan — bila tidak puas hati, terus diluahkan di media sosial.
Baru-baru ini, seorang kakitangan telah ditegur kerana luahan ketidakpuasan hatinya melalui salah satu group di socmed. Budaya sebegini bukanlah budaya kita. Mengadu tentang organisasi sendiri di ruang terbuka, seolah-olah kita sudah tidak lagi menganggapnya sebagai sebuah keluarga.
- Sama seperti dalam kehidupan berkeluarga — jika kita tidak puas hati dengan pasangan atau anak-anak, adakah wajar kita menyiarkannya di media sosial? Sudah tentu tidak. Masalah keluarga harus dibincangkan dalam keluarga sendiri, bukan diluahkan secara terbuka.
- Sama juga dengan kita di sini — jika ada perkara yang tidak memuaskan hati dengan pihak pengurusan, janganlah memuat naik luahan itu di media sosial. Apa tujuan kita menulis di media sosial? Untuk memberitahu seluruh dunia bahawa kita tidak gembira di sini? Adakah anda fikir dunia akan datang membantu anda? NO! People may curse you.
Sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68 ini, marilah kita memerdekakan minda. Inilah cara baharu untuk kita terus bertahan pada masa hadapan — dengan kesediaan menerima apa jua cabaran selagi tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.
- Kita mesti hentikan tabiat menyebarkan kata-kata atau komen negatif tentang organisasi kita di media sosial.
- Dalam sebuah organisasi swasta di negara kita, sekiranya ada kakitangan yang menyatakan perkara negatif mengenai organisasi, dalam tempoh 24 jam sahaja tindakan akan diambil. Orang seperti itu jelas tidak layak berada dalam organisasi tersebut.
- Kita tidak mahu melaksanakan tindakan sebegitu kerana kita percaya budaya hormat-menghormati perlu diamalkan. Kita tidak sepatutnya membuka aib atau keburukan organisasi kepada dunia luar — kita sudah merdeka dan kemerdekaan itu bermakna kita menjaga maruah sendiri.
- Mana mungkin kita yang telah lama bersama dalam organisasi ini sanggup membuka keburukan sendiri kepada orang luar. Jika ada yang tidak puas hati, selesaikanlah di peringkat dalaman. InsyaAllah, setiap masalah ada jalan penyelesaian.
Aku..?
Moga kisah kecil ini jadi peringatan buat kita semua — kadang-kadang satu perkataan boleh membawa besar akibatnya. Ingatlah, setiap kata dan tindakan kita hari ini membentuk suasana esok, jadi bijaklah dalam berkata dan bertindak sebab aku pun pernah terkena satu ketika dulu..
@RemajaPurba: ...
No comments:
Post a Comment