Followers Remaja Purba

Thursday, February 29, 2024

2024 - Tahun Lompat dan Vivo Y100 Purple Leather


29 Febuari 2024 - Khamis

Uniknya tahun ini, bulan Februari mempunyai 29 hari dan ini berlaku pada setiap empat tahun sekali. 

Today's Doodle in Google Search

LEAP DAY 2024

TAHUN LOMPAT 2024


Tahun Lompat 2024, turut menyaksikan lompatan jarak jauh jenama Vivo Y78 5G terus ke Y100 5G. Dengan warna temanya ungu menarik perhatian dak Kakak untuk membelinya. Sumber kewangan? Mana lagi.. ibu duit dialah 😆

Bertambah unik bila vivo Y100 ini bertukar tangan selepas dibuat pembelian. Alhamdulillah, rezeki buat dak Kakak. Lama dia menunggu nak dapatkan telefon bimbit yang baru. Walau bukan jenama yang dia inginkan tapi tetap puas hati sebab jenama ini pun antara yang baru dalam pasaran. Staff Vivo cawangan di sini bagitahu model ini baru keluar 24 Februari 2024. 'Keluar dari kotak, display atas meja'.

vivo Y100
Purple Leather
Spesifikasi lebih lanjut boleh lihat di SINI..


Vivo Y100 5G
Rekaan yang agak berbeza dengan bingkai badan yang diratakan dan skrin tidak lagi melengkung. Cip terbaharu 4 Gen 2 digunakan dan pengecas lebih laju. Paling dak Kakak suka memorinya besar iaitu 256GB. Telefon bimbit sebelum ini tidak lagi mampu menampung ruang simpanan yang banyak, hanya 64GB. Seiring dengan masa dan keperluan dak Kakak, kami belikan yang baru.

Selain dari itu..?
Vivo Malaysia sedang mengadakan pertandingan di Facebook yang menyediakan hadiah istimewa. Hanya cari Vivo Y100 Purple Leather di Google dan kongsikan tangkap layar serta tanda pagar (#) berkaitan di komen Facebook Vivo Malaysia. Maklumat lanjut boleh didapati di SINI..


SELAMAT HARI LAHIR buat:
Mereka yang lahir pada 29 Februari..
🎊🎉🎊
Happy Birthday to You.. 29022024


#RemajaPurba: Alhamdulillah.. lega.

Wednesday, February 28, 2024

TITIK BUTA 'Blind spot' PADA KENDERAAN BERAT


Setiap pemandu kenderaan pasti ada kenangan pahit manis ketika memandu di atas jalan raya. Jika bukan kita sebagai pemangsa, mungkin kita pula yang menjadi mangsa. Walau kau sehabis 'pembaris' mengikut peraturan tapi disebabkan sikap segelintir orang lain, sedikit sebanyak rasa negatif mampu menjentik hati. Mental kena kuat bila berhadapan dengan pemandu yang antaranya bersikap pentingkan diri, main selit ikut suka, pembuli, tak guna signal. Perlu lebih berhati-hati dengan orang sebegini, bahaya menanti bukan sebab kemalangan tapi untuk beradu kekuatan. 

Lampu signal memainkan peranan sangat penting ketika memotong atau membelok dengan selamat supaya pemandu lain bersiap sedia untuk memberi laluan. Tanpa lampu signal, mengundang bahaya akhirnya.


Kisah sebegini patut dijadikan teladan:
Kena ingat, berhati-hati bila berada di bahagian tepi lori. Pemandu lori takkan nampak kerana kedudukan kita berada di titik buta (blind spot) lori. Bila kita terus mencelah masuk kononnya pemandu lori nampak, maka.. jadilah seperti di dalam video ini.

di SINI.. blindspot pada lori

'Ini kalau buat report di balai polis, silap-silap mahu kena gelak. Saman dapat, malu pun dapat'.
'Dia tak nampak ke ending side road tu + dia kena tahu dia nak masuk jalan orang bukan jalan dia. Pergi report balai pun kena gelak je'.
'Ikut gaya dia ni, I will not be surprise if this incident to happen again in the future coz she's too arrogant to learn!'.


Aku..?
Sebaiknya biarlah kenderaan besar dan berat bergerak terlebih dahulu. Aku tak nak kereta aku cedera apatah lagi nak kena pergi balai settle cerita. Biarlah deme gerak dulu, bukan ke mana pun, tetap sesak jalan di depan tu.

Aku lebih suka berada di belakang kenderaan besar dalam jarak selamat sebab kalau deme brek masih berjarak. Tidak seperti pada segelintir pemandu kereta, sekali brek, terus brek mengejut sebab ikut kereta di hadapan dengan jarak rapat. Nak pula bila berada di laluan paling kanan. Takut.. 

Apa-apapun, lagu disebalik kejadian itu lebih menarik hatiku.

Plot twist - lagu disebalik kejadian:

Dari SINI..

Lirik Lagu Untuk Adinda - Khalifah

(1)
Kala ku terbayang
Wajahmu daku terkenang-kenang
Kadangkala pagi siang malam
Jadi gila bayang.

Padamu duhai sayang
Kasihku hanya padamu seorang
Hanyalah dikau jadi pujaan
Cinta kanda sayang.

(2)
Padamu duhai sayang
Yang jauh di rantau orang
Ingatlah pesanan dari kekanda.

Jangan-jangan bermain mata
Jangan-jangan cuba menduga
Kasihku cintaku selamanya.

Ku renung bulan bintang
Ku sampaikan kasih salam sayang
Ku serah segala tanda cinta buatmu adinda.

Pada si rama-rama
Terbanglah dikau padanya si dia
Pesankanah rinduku padanya
Rinduku padanya.

ulang (2) dan (1)


#RemajaPurba: ...

Tuesday, February 27, 2024

BIJAK LAKSANA TUAH, BERANI LAKSANA JEBAT

 
Baru-baru ini di SINI, ternampak satu slogan di papan iklan di atas jejantas - jalan di Melaka.


'BIJAK LAKSANA TUAH, BERANI LAKSANA JEBAT'


Slogan baharu yang diilhamkan Ketua Menteri Melaka ke-13, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh disifatkan sebagai simbol kehebatan Melaka.



BIJAK LAKSANA TUAH:
  • - Bijak Membuat Keputusan
  • - Integriti Sentiasa Diutamakan
  • - Jati Diri, Warisan dan Budaya Bangsa
  • - Antarabangsa, Melaka Terkenal di Mata Dunia
  • - Kehormatan dan Pengiktirafan

BERANI LAKSANA JEBAT:
  • B - Berani dan Berprinsip
  • E - Empati dan Cakna Persekitaran
  • R - Rasional dalam Pertimbangan
  • A - Azam Tinggi Kemajuan Diri
  • N - Niat Suci Melaksanakan Tanggungjawab
  • I - Inspirasi kepada Transformasi Semasa
Maksud disebaliknya di SINI..


Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam menyambut baik slogan baharu ini kerana ini adalah lambang kehebatan dan kepahlawanan Melayu yang unggul yang mana nama Hang Tuah dan Hang Jebat terpahat gagah dan terukir megah dalam lipatan sejarah serta keperwiraan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka Abad ke-15.

Slogan baharu ini merupakan kesinambungan daripada slogan 'Melakaku Maju Raya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia dan seterusnya akan mengukuhkan serta memberi suntikan semangat kepada seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Melaka lebih progresif, dinamik dan sejahtera. - 24 Ogos 2023 -

Selamat Datang ke Melaka
Bandaraya Warisan Dunia, UNESCO

Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat


Banyak lokasi menarik yang boleh dilawati di Negeri Melaka, dan antaranya ada di SINI.. boleh klik link mana yang berkenan di hati untuk dilawati. 

#RemajaPurba: ..

Monday, February 26, 2024

Bahagia dan Kebaikan


Memulakan langkah dengan lafaz بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ  

Moga rutin harian dipermudahkanNYA. 
Moga dikurniakan bahagia dan kebaikan yang berpanjangan selagi hayat dipinjamkanNYA.

#RemajaPurba: ...

Friday, February 23, 2024

Kenduri Aqiqah, Tahlil dan Doa Selamat


19 Februari 2024 - Isnin

Siang di tempat kerja, malam memulakan perjalanan balik kampung. Balik kampung bagi menghadiri kenduri aqiqah bersekali dengan tahlil dan doa selamat diadakan di rumah abang bapa saudara aku di Melaka. Kami balik bagi memenuhi permintaan beliau yang mahukan en. Hubby masak nasi beriani. 

Awalnya en. Hubby yang pandu kereta dan dipertengahan jalan singgah stesen minyak untuk mengisi minyak dan membeli sedikit makanan untuk mengalas perut. 'Kakak, ibu terlampau penat ni, badan ibu rasa sakit. Nak baring atas tilam je sekarang ni'. Ini gara-gara selepas balik kerja petang ni aku menyiapkan keperluan untuk balik kampung dan tidak rehat. Pewailah aku jadinya.

'Tak boleh jadi ni, biar ibu yang pandu kereta..' En. Hubby pun tak kata apa-apa, maka stereng kereta MakBudak yang punya. Dari elok anak-anak dapat tidur, terus segar mata deme sepanjang perjalanan sehingga ke susur keluar lebuhraya 🤣 Berbeza sungguh bila Babah deme yang pandu, lena sampai ke depan pagar rumah. Sebenarnya, aku jarang diberi peluang memandu kereta untuk jarak perjalanan yang jauh kecuali bila en. Hubby betul-betul letih dan mengantuk.

Alhamdulillah, selepas susur lebuhraya, aku kembali menjadi co-pilot. Bila sampai di kampung, terus cari bantal. Lena sampai ke pagi. Sejuk malam pun tak rasa sebab penat.


20 Februari 2024 - Selasa

Pagi:
Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk memasak nasi untuk kenduri aqiqah bersekali dengan tahlil dan doa selamat, haruslah sampai awal. Aku pula cuma tolong makan 😉 sebab semua kerja telah diuruskan oleh team rewang. Alhamdulillah.. majlis berjalan dengan baik dan semuanya dipermudahkanNYA. 

Nak ambil gambar pelbagai sudut pun aku segan.
Apatah lagi nak ambil video.

Ketua Bahagian Memasak
Dalam keadaan kaki beliau yang tak berapa baik, pakBusu tetap gagah membuat kerja tanpa mengeluh penat. Moga beliau diberikan kesembuhan dan kuat dalam meledani rutin harian.

myCousin, demam tapi gagah juga datang membantu.

Haruslah sedondon dengan MakBudak.



Kali pertama makan ni.
Cendol Boyat (dari tepung sagu)

myCousin.. bodyguard di kampung.

Memasak di kebun getah di hadapan rumah.
Sebelah kiri pokok tebu, sebelah kanan pokok getah dan di belakang gambar ni ada kandang kambing.


Hari ini juga merupakan cuti umum tahunan bagi Negeri Melaka bagi menggantikan cuti Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah yang diraikan pada 15 April setiap tahun. Oleh itu, Kerajaan Negeri Melaka menawarkan 10 lokasi menarik yang boleh dilawati secara percuma di SINI..

Aku..?
10 lokasi menarik itu..?
Tiada masa langsung untuk turut serta memeriahkan suasana. Lagipun, kami nak kena balik, esoknya kerja. Tengok dari gambar di socmed buatkan aku lagi bersyukur, tidak turut serta. Ramai orang membuatkan tidak puas nak menikmati suasana/pemandangan bila dah terlalu sesak. Makan nasi beriani + kari kambing lagi sedap dan puas hati.. 🤣

Malam:
Selamat tiba di rumah dekat tengah malam dan esoknya kembali bekerja.

#RemajaPurba: Mengantuk sangat..

Thursday, February 22, 2024

Pegawai JPJ dan Majlis Perkahwinan


16 Februari 2024 - Jumaat

Menemani en. Hubby makan malam di kedai kawannya selepas selesai di kedai gunting rambut. Dak Nuha peneman setia, tak ajak pun dia tetap nak ikut 😆 

Ini tuan empunya kedai tapi itu bukan gaya dia, sengaja menyakat kami 😆

Chicken Grill

Sparkling Lychee

Sparkling Longan Ribena

Sebenarnya tujuan en. Hubby ajak aku keluar untuk menunjuk arah buat aku kerana esoknya aku kena jadi supir buat dak Kakak. Ini semua sebab aku bagitahu pada dak Kakak.. 'Kalau ibu terlajak susur/simpang, kita terus balik rumah'

Kenapa tak guna je teknologi Global Psitioning System (GPS) a.k.a Guna Pun Sesat? Letaklah google map, wazes, peta lokasi, en. Hubby tetap pilihan hati. Gigihlah dalam penat tu diajaknya aku. Alah.. MakBudak bukan tak tahu cuma tak yakin, biasanya hanya sebagai co-pilot.


17 Februari 2024 - Sabtu

Dak Kakak..
Bila Babahnya memberi lampu hijau untuk bertemu kawan-kawannya, maka akulah yang menjadi supir buatnya. Kenapa dia tak pergi sendiri? Kami tinggal di tepian pekan, jauh dari pengangkutan awam dan aku pula risaukan keselamatan dia.

Panas berdenting sewaktu sampai di titik pertemuan.
Bila kawan-kawan dia dah sampai, barulah aku balik bersilat di dapur pula.


Menunggu deme selesai healing.


Petang:
Bukan setakat menjadi supir dak Kakak, aku turut menjadi supir en. Hubby. Dari tempat kerja en. Hubby, aku terus drive ke titik pertemuan dak Kakak.

Bersama peneman sepanjang hayat yang menjadi co-pilot je hari ni.
Aku dipaksa memandu sampai ke rumah. Letih.


'Ibu bila Babah ada, pandu kereta macam baru dapat lesen tapi bila Babah takde, ibu pandu kereta laju'. Dak Nuha mengadu pada Babahnya. Dia tak tahu yang Babah dia tu bukan setakat menjadi pegawai JPJ malahan turut boleh menjadi polis trafik bila duduk sebelah aku waktu aku memandu, dia yang brek dulu sebelum aku brek.. 'Laju sangat ni, perlahan sikit. Laju-laju nak pergi mana?' Nampak je macam tidur lena tapi sebenarnya tak.. 😆😆

Cukuplah dulu waktu remaja, ikut kata hati, laju je tapi bila dah menjadi RemajaPurba ni.. #Tenang-tenang je waktu memandu. Pandu laju pun, tetap sampai lambat sebab jalan sesak 🤣 tak boleh nak menyelit.


18 Februari 2024 - Ahad

Menghadiri jemputan Majlis Perkahwinan anak kakak sepupu en. Hubby di Kajang. 

Nurul Aina Syahirah dan Muhammad Ar-Rafi

MUA - mySIL
Pakaian dan aksesori - team mySIL
Pelamin - dewan punya

Tahniah buat pasangan pengantin.
Moga kekal bahagia hingga ke akhir hayat dan moga rutin harian dipermudahkanNYA.

Bersama ibu dan bapa pengantin perempuan.

Bersama family myMIL.
Mak dan Abah kat bawah melihat gelagat anak, cucu, menantu di atas pelamin.

'Azlee Senario' 🤔

Orang makan nasi kenduri, deme makan nasi lemak.

Selesai semuanya, kami terus balik rumah. Masa untuk berehat.

#RemajaPurba: ...

Wednesday, February 21, 2024

MAJLIS PERPISAHAN di SK dan TAKWIM PERSEKOLAHAN SESI 2024/2025


Cuti Akhir Persekolahan bermula pada 10 Februari 2024 hingga 10 Mac 2024 dan akan kembali ke sekolah pada 11 Mac 2024.


05 Februari 2024 - Isnin

Jamuan Akhir Tahun SK kelas dak Nuha di SK di sini. Meriah sungguh dengan pelbagai menu yang disajikan oleh ibubapa selain dari menu utama dan juga hadiah buat mereka semua.

Sepatutnya entry ini dahulu sebelum Jamuan Akhir Tahun SRA di SINI.. tapi takpelah. Janji ada kenangan untuk disimpan di sini.

Terima kasih buat cikgu kerana merakam kenangan bersama anak-anak muridmu.

Kenangan dari guru kelas dan guru kedua kelas.

Kelas dak Nuha sebelah pagi, aku hanya sediakan yang ini.
Hidangan utama dah ada selain dari potluck dari ibubapa.








Terima kasih buat semua guru² yang mengajar anak kami, sabar dengan kerenah mereka. Terima kasih di atas segala ilmu yang dicurahkan.

Moga rutin harian semua guru² dipermudahkanNYA.

==========================================================


08 September 2024 - Khamis

Majlis Perpisahan Cikgu Zaliadi dan Cikgu Umi Kalthum

Sempena majlis perpisahan tersebut, murid-murid yang berhasrat hendak memberi hadiah kepada Cikgu Zaliadi dan Cikgu Umi Kalthum sebagai tanda terima kasih boleh berbuat demikian. Dak Nuha turut sama memeriahkan majlis ini sebab nak bagi cikgunya hadiah. 

Dalam masa yang sama, sempatlah bergambar kenangan bersama Aliyaa, 5 Beta yang akan bertukar sekolah di Terengganu.

Adakah mungkin satu hari nanti deme akan bertemu..?

Simpan sini sebagai kenangan



Semua hadiah dibalut oleh dak Kakak.


Daripada Cikgu Fatimah:
Sekalung tahniah dan terima kasih buat anak-anak 5 Beta yang disayangi ❤️ Semoga anak-anak 5 Beta tingkatkan kecemerlangan dan kejayaan pada masa akan datang. Usaha dengan lebih gigih dan jangan berputus asa. Terima kasih ibu bapa yang menyokong dan mendokong segala program di kelas dan di sekolah. Hormatilah guru dan ibu bapa dan selamat bercuti. 
💐💐💐💐💐💐💐💐


Daripada Cikgu Suri:
Assalamualaikum WBT.
Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan anak² sesi 2023/2024. Saya dengan rendah hati memohon kemaafan andai ada kekurangan sepanjang saya mengajar anak² tuan/puan. Saya hanya insan biasa yang banyak melakukan salah dan silap, tanpa sedar ataupun tidak. Terima kasih untuk hadiah yang diberi.

Saya doakan semoga anak² tuan/puan akan menjadi insan yang soleh/ solehah,cemerlang dunia, akhirat. Berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Inshaa Allah ada rezeki kita jumpa lagi sesi akan datang. Terima kasih. 🌹 🤲


============================================================

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah pun mengeluarkan Takwim Persekolahan bagi sesi 2024/2025. Secara rasminya:

Tarikh bermula sesi persekolahan 2024/2025:
  • Kumpulan A: 10 Mac 2024
  • Kumpulan B: 11 Mac 2024

KUMPULAN A
Sekolah-sekolah di Negeri:
Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu



KUMPULAN B
Sekolah-sekolah di Negeri:
Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya


#RemajaPurba: ...

Monday, February 19, 2024

Kerajaan Melaka Menawarkan 10 Lokasi Menarik secara Percuma pada 20 Februari 2024



Selamat Datang ke Melaka
Bandaraya Warisan Dunia, UNESCO

Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat


Kerajaan Negeri sudah mewartakan 20 Februari sebagai cuti umum tahunan bagi menggantikan cuti Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah yang diraikan pada 15 April setiap tahun. Tarikh ini merupakan detik pembebasan keluar daripada penjajah yang diumumkan oleh Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada 20 Februari 1956.

Oleh itu, Kerajaan Melaka menawarkan 10 lokasi menarik yang boleh dilawati secara percuma pada 20 Februari 2024 ini. Lokasi tersebut adalah seperti berikut:
  • Menara Taming Sari (9 pagi hingga 5 petang) di SINI..
  • 21 Muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) (9 pagi hingga 5 petang) di SINI..
  • Balai Cerap Al-Khawarizmi (9 pagi hingga 5 petang) di SINI..
  • Muzium Penjara Malaysia Melaka (9 pagi hingga 5 petang) di SINI..
  • Zoo Melaka (10 pagi hingga 5 petang) menggunakan sistem first come first serve di SINI..
  • Malaysia Heritage Studios (10 pagi hingga 6 petang) di SINI..
  • Melaka River Cruise di tiga jeti iaitu Jeti Pengkalan Rama, Jeti Taman Rempah dan Jeti Muara di SINI..
  • Melaka Wonderland & Themepark (6 petang hingga 10 malam) di SINI..
  • Taman Laut Negeri Melaka (kos aktiviti menyelam sahaja) di SINI..
  • Lima Kelab Golf Negeri Melaka (Percuma green fee) di SINI.. iaitu di Ayer Keroh Country Club (AKCC), A Famosa Golf and Country Club, Orna Golf and Country Club, Tiara Golf and Country Club dan Jasin Heritage Golf Club.
  • Pelancong turut menikmati parkir percuma di semua kawasan Pihak berkuasa Tempatan (PBT) pada tarikh ini.
Semua di atas adalah tertakhluk pada terma dan syarat yang disediakan.


Selain dari itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Melaka mencadangkan tarikh 20 Februari setiap tahun diwartakan sebagai cuti umum Persekutuan bagi memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Beliau berharap Kerajaan Persekutuan boleh menjadikannya sebagai cuti umum Persekutuan kerana ini adalah hari yang penting dan bersejarah.


Aku..?
InsyaAllah esok akan berada di Negeri Melaka tapi sayang tidak dapat turut serta memeriahkan suasana kerana esok bapa saudara aku mengadakan kenduri tahlil dan doa selamat. Beliau mahukan en. Hubby memasak nasi beriani. 

Anak-anak teruja bila aku bagitahu semuanya percuma untuk dilawati tapi sayang kami tak dapat nak tunaikan permintaan mereka. Mungkin akan datang, InsyaAllah walaupun ketika itu berbayar.

Tak sabar nak balik kampung.. 🤲

updated di SINI..

#RemajaPurba: Jasad di sini, roh dah sampai kampung..

Saturday, February 17, 2024

Sambutan Tahun Baru Cina 2024


9 Februari 2024 - Jumaat

Pengecualian tol bermula pada 12:01 tengah malam 8 Februari 2024 hingga 11:59 malam 9 Februari 2024 sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina, membabitkan kenderaan persendirian (Kelas 1). Tol percuma ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia seperti mana dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi.


Aku..
Tol percuma hanyalah sebagai bonus tapi sebab utama balik kampung, PakBusu nak masak kari itik. Rugi tak balik. Dalam masa yang sama, PakBusu mahukan en. Hubby memasak nasi beriani. 

Tol Percuma..
Hanya berbaki 10 minit sebelum berakhirnya tol percuma.
Mengalahkan mereka yang menyambut Tahun Baru Cina lagaknya 😆


10 Februari 2024 -  Sabtu

Tahun Baru Cina kali ini, kami dihidangkan dengan menu kari itik. Sambil menunggu PakBusu dan en. Hubby masak, nampak pula garisan putih yang banyak di langit.

Banyak pula ku lihat, bercabang kiri dan kanan.

Dulu.. waktu aku BudakPurba, bila nampak asap garisan lurus putih di langit, 'itu roket lalu..' tapi bila dah RemajaPurba ni baru ku tahu apa sebenarnya asap tersebut. Ia hanyalah wap air yang memeluwap di astmosfera sejuk. 

Jejak Wap boleh di baca di SINI..

Jejak Wap ialah wap air terhasil apabila haba panas dari muncung ekzos enjin pesawat yang bertindak balas dengan ruang udara yang bersuhu bawah -40 darjah celcius ataupun pesawat yang berada di paras ketinggian 26,000 kaki (8,000 meter). Kebiasaannya jejak wap ini dapat dilihat di ruang angkasa laluan pesawat (airway route) ketika langit agak cerah dan cuaca lembap.

Buat lintas hormat untuk Tahun Baru Cina ke.. 🤭


Ok sambung semula kisah kari itik.
Tiga ekor itik yang dibela oleh PakBusu.


Kari itik yang dimasak oleh PakBusu.
Lupa nak ambil gambar nasi beriani yang dimasak oleh en. Hubby.

Kentang sebagai pelengkap cerita.

Sementara anak-anak menemani en. Hubby pergi memancing di kolam ikan, aku pula ke kebun PakBusu. 

Pokok petai sedang melalui fasa mengeluarkan buah.

Cempedak makin membesar.

MakBudak turut membesar seperti pokok yang ditanam PakBusu.

Buah Durian Belanda.
Belum cukup masak untuk dipetik.

Ini pokok Sentul.
Benihnya dulu ku ambil dari rumah arwah Uwan aku. Tanam di kebun PakBusu.
Cepatlah kau membesar dan berbuah wahai pokok Sentul.


11 Februari 2024 - Ahad

Menjenguk Paklong dan Maklong di Johor. Singgah tanpa memberitahu terlebih dahulu sebab tak nak susahkan mereka menyediakan juadah untuk kami. Namun kami tetap kena bebel.. 'kenapa tak bagitahu awal sebelum nak datang rumah'. Kami datang bukan nak makan tapi nak menjenguk bertanya khabar.

Sambil itu, merasalah kami minum air kelapa yang dipetik sendiri Paklong di kebunnya. Aku suka je sebab bila balik kampung, macam-macam yang aku dapat bawa balik. Kali ini, limau kasturi, ubi kayu, daun cincau. Semuanya segar baru petik dari kebun. 

Daunnya boleh dibuat air cincau hijau.

Update:
Bawa balik rumah tapi tak menjadi walau mengikut resepi yang ada dek kerana terlebih air, Nampak gaya, kena balik kampung dan petik lagi daunnya ni.


Petang, pulang semula ke rumah PakBusu. Kali ni aku pula memandu kereta kerana en. Hubby mengantuk. Takde ikut jalan kampung, en. Hubby suruh terus masuk highway walau tahu highway pasti sesak. Senang sebab en. Hubby dapat tidur sekejap, kalau nak dibandingkan ikut jalan kampung, takut sesat katanya. Nampak je macam dah lena siap berdengkur tapi tidak sebenarnya. Tiap kali aku yang memandu, pasti en. Hubby yang tekan brake. Ibarat JPJ memantau dalam diam gayanya 😆😆

Sempat juga kami singgah di pasar malam di kampung PakBusu. Rambang mata tapi tak tahu nak beli apa sebab masing-masing kepenatan sebenarnya.

Pau bentuk cendawan, udang dan cili besar antara yang dibeli.
Sate satu cucuk RM 1.00. 

Kenapalah takde gambar makanan. Tiada gambar nak simpan sini sebagai kenangan.


12 Februari 2024 - Isnin

Cukuplah pakej tiga hari dua malam di kampung halaman. Sempat jugak menjenguk mak dan PakNgah. Kebetulan Pakcik, adik mak dari Perak pun ada, lama sungguh kami tak jumpa Pakcik. Moga Pakcik sihat dan kuat dalam menjalani rutin harian hendakNYA. Mak dan PakNgah pun kelihatan sihat nampak gayanya. Alhamdulillah.

Nak mengelak dari berhadapan dengan kesesakan di highway, kami memang sengaja memilih mengikut jalan lama tapi tetap sampai rumah lewat gara-gara ada je tempat persinggahan.  

Me.. every time I see this.
Tak pernah tak berjaya mengambil gambarnya walau kualiti gambar yang diambil tidak secantik mana.

Alhamdulilah.. siap juga entry sepanjang cuti Tahun Baru Cina minggu lepas. Sambungan kisah ada di SINI..

#RemajaPurba: ...

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...