Followers Remaja Purba

Wednesday, March 25, 2026

HARI RAYA KEDUA


22 Mac 2026 - Ahad [2 Syawal 1447H]  

Pagi..
Kami berada di rumah Mak Long di Negeri Sembilan. Memang meriah bila dapat berkumpul dengan sepupu-sepapat. Cuma kali ini, tak ada rezeki nak merasa rendang daging + maman — semua ingat raya jatuh hari Jumaat, jadi menu raya habis lebih awal.

Gara-gara tak dapat merasa rendang Mak Long aku tu, en. Hubby sanggup beli sayur maman yang dijual di hadapan pasar dekat kampung, konon nak masak rendang maman sendiri nanti. Setakat ini, sayur maman tu masih elok tersimpan dalam peti sejuk di rumah kami.

— Disclaimer —
[Tiada gambar makanan mahupun gambar keluarga]


Tengah hari..
Kami beraya di kampung kawan myFIL. Rumah ini memang dah jadi destinasi wajib setiap kali hari raya kedua — sampai ada yang tertanya-tanya, kami ni sebenarnya siapa pada tuan rumah. Paling best, setiap kali nak balik, mesti aku ambil sebalang kuih raya dan seperti biasa, deme dah cukup faham dengan perangai aku yang satu ni.


Johor.. kami datang.
Walau sekadar di sempadan Melaka – Johor, tetap nak juga mengaku — aku balik kampung di Johor. Destinasi kali ini di rumah Pak Long, datang untuk menzirahi beliau kerana Pak Long baru kehilangan isteri di [SINI].

Sampai-sampai saja, anak-anak Pak Long sedang menyiapkan makan tengah hari — memang langkah kanan kami. Menu pulak signature dish - Asam Pedas Ikan Pari (walau tak sama dengan air tangan arwah Mak Long) tetap sedap. Laksa Penang pun ada. Kenyang teramat dibuatnya, tambah pulak cuaca yang panas berdenting, 'kembung' minum air sejuk je.

Di sinilah rutin Pak Long setiap petang.
Sebab Kematian: Ischemic Heart Disease (IHD)

Kami tak lama di rumah Pak Long kerana perlu sampai ke rumah Mak Busu aku di Melaka sebelum malam — tak nak tersangkut lama dalam kesesakan lebuh raya. Dah namanya musim raya, memang tak lari dari jalan sesak. Kali ni sedikit terkejut, jalan sesak teruk sebelum sampai ke persimpangan lampu isyarat menuju ke rumah Mak Busu.

Alhamdulillah, kami selamat sampai. Di rumah Mak Busulah kami berehat sebelum pulang. Ini merupakan destinasi terakhir — memang tak ke mana-mana lagi dah, malas nak berhadapan dengan kesesakan jalan raya yang teruk.


Merasalah tengok bunga api jenis macam ni di rumah Mak Busu.




Tak perlu perjalanan yang sempurna untuk mencipta kenangan yang indah cukup ada insan tersayang di sisi, itu sudah lebih dari cukup untuk menjadikan setiap detik raya bermakna.


Penat memang penat, jalan pula sesak tapi inilah warna sebenar hari raya — tentang pertemuan, tentang kasih sayang dan tentang menghargai masa bersama selagi masih ada. Moga setiap langkah perjalanan ini bukan sekadar ziarah tapi mengeratkan lagi silaturahim yang tak ternilai harganya.


#RemajaPurba: 1 Syawak di [SINI]

No comments:

Post a Comment

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...