02 Ogos 2025 - Sabtu (8 Safar 1447H)
Pagi..
Mengambil dak Kakak pulang kerana cuti semester sudah bermula. Dak Nuha ada kawan selepas abangnya, dak Adik melanjutkan pelajaran di [SINI].
Tengah hari..
Sementara dak Kakak dengan dak Nuha melakukan 5S [Sisih, Susun, Sapu, Seragam, Sentiasa Amal] di dalam bilik mereka, aku ambil peluang berehat. Letih sangat badan, mata pula asyik tersengguk-sengguk menahan mengantuk tapi tetap cuba mencari idea untuk update blog tapi..
Petang..
Sekitar pukul empat petang, aku dikejutkan dengan panggilan dari kampung di Johor, mak saudara aku telah meninggal dunia pukul 2:50 petang.
Tak tunggu lama, sejam kemudian kami terus bertolak ke Selatan. Dak Jasmine pula macam mana? Asalnya nak hantar dak Jasmine ke hotel tapi en. Hubby dah minta bantuan kakaknya a.k.a mySIL tolong jagakan. Ok, selesai satu hal.
Perjalanan yang terasa panjang kerana perlu berhadapan dengan kesesakan jalan raya. Kami sampai di surau kawasan rumah Paklong sebelum solat Isyak dan aku sempat melihat jenazah waktu sedang dikapankan. Rezeki dak Kakak dan Nuha cuma kami tak sempat ambil dak Adik untuk di bawa sekali kerana mengejar masa. Dak Adik pun faham situasi dan minta kami berhati-hati sepanjang jalan.
Paklong sendiri terkejut kami sempat sampai dari jauh. Dia tanya, 'Dari mana kamu tahu?'
'Dak Ida yang telefon', aku jawab. 'Dapat je berita, terus kami gerak balik'.
Tenangnya Paklong.. tak nampak langsung air mata, malah dia yang tenangkan kami agar jangan menangis. Wajahnya jelas keletihan — katanya tiga hari terakhir ni dia hampir tak tidur jaga arwah.
Lepas solat Isyak, jenazah disolatkan dan juga turut dibuat tahlil ringkas sebelum dibawa terus ke tanah perkuburan. Alhamdulillah, selesai urusan mengenai arwah, kami kembali ke rumah Paklong, bertanya khabar dan mendengar Paklong bercerita keadaan arwah sebelum pemergiannya.
Bukan kami tak mahu bermalam di rumah Paklong tapi kami faham, anak-anak beliau perlukan ruang untuk menguruskan semuanya dengan tenang. Kami cuma berpesan pada anak-anak beliau, sekiranya ada apa-apa, jangan lupa bagitahu kepada kami.
Sedih nak tinggalkan paklong.. hanya doa mengiringi. Hampir lewat malam kami bertolak balik ke rumah mak saudara aku,
'Selamat Datang ke Daerah Tangkak'
Sebelum kami keluar ke Plaza Tol Tangkak, kami sempat singgah di sebuah kedai makan kerana dak Nuha sudah merengek lapar. Selesai makan, waktu hendak membayar terasa seram pula — rupa-rupanya sudah tengah malam, dan pembayaran secara online tidak dapat dilakukan. Mujur ada wang tunai dalam tangan. Fuh… kalau tidak, jawabnya kena masuk dapur kedai basuh pinggan..!
Laici kang - cantik bekasnya
Kami ambil keputusan untuk terus ke rumah mak saudaraku di Melaka — untuk menjenguk dak Adik. Perjalanan diteruskan perlahan-lahan, en. Hubby mengantuk, berhenti rehat sekejap di RnR sebelum menyambung semula pemanduan. Aku pula memang tak larat nak memandu dan en. Hubby memang tak benarkan pun.
Alhamdulillah, kami selamat sampai sekitar jam dua pagi. Sunyi malam terasa panjang, tapi aku tahu — dalam kepenatan hari ini, Tuhan sedang ajar sesuatu. Tentang masa. Tentang kehilangan. Tentang menghargai mereka yang masih ada, sebelum kita hanya mampu menatap mereka untuk kali terakhir.
Moga Allah merahmati roh mak saudaraku, melapangkan kuburnya dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang beriman. Dan buat kami yang masih di sini, semoga terus diberi kekuatan untuk menghargai hidup — selagi waktu masih berbaki.
Sebab Kematian: Ischemic Heart Disease (IHD)
Merujuk kepada masalah bekalan darah yang tidak mencukupi ke otot jantung. Ia biasanya berlaku disebabkan salur darah ke jantung (arteri koronari) menjadi sempit atau tersumbat — selalunya kerana pembentukan plak kolesterol (aterosklerosis).
Maksud ringkas: Jantung tak dapat cukup oksigen sebab aliran darah terganggu — ini boleh menyebabkan sakit dada (angina) atau serangan jantung (myocardial infarction).
==================================
03 Ogos 2025 - Ahad (9 Safar 1447H)
Pagi
Berehat seketika sebelum memulakan perjalanan pulang. Kali ini terasa lain kerana dak Adik perlu ditinggalkan. Demi masa depan, usaha dan sabarlah, Adik. Walau jarak tidak sejauh mana, hati ibu tetap terasa — cuma sedikit terubat bila tahu Adik masih di bawah pengawasan keluarga.
Petang
Hampir lewat petang, kami tiba di rumah mySIL untuk mengambil dak Jasmine pulang. Penat mula terasa, apatah lagi Isnin nanti sudah kembali bekerja.
Malam..
Hanya berehat di rumah..
@RemajaPurba: [Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu, Shitsuke]
No comments:
Post a Comment