Followers Remaja Purba

Sunday, November 16, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 2]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Apakah HUKUMAN untuk jenayah rasuah selain dari PENJARA dan DENDA?



HUKUMAN ROTAN:
Di bawah Akta SPRM, tiada hukuman rotan ditetapkan tetapi bagi kes yang melibatkan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan, Seksyen 408, 409 dan 420, hukuman rotan wujud sebagai salah satu bentuk hukuman. Dalam konteks semasa, beberapa kes melibatkan menteri juga dikenakan tuduhan pecah amanah mengikut seksyen 420. Bagi mereka yang layak menerima hukuman rotan, terdapat had umur, iaitu individu mestilah di bawah 50 tahun. Sebagai contoh: YB Syed Saddiq telah dikenakan tuduhan mengikut seksyen 420.


Rotan yang digunakan bagi kes rasuah, kesalahan pecah amanah (CBT - Criminal Breach of Trust) dan jenayah kolar putih biasanya ialah rotan jenis nipis. Manakala rotan yang lebih tebal digunakan untuk jenayah berat seperti rogol atau kekacauan seksual. Walau apa pun jenisnya — nipis atau tebal — hukuman sebatan tetap sakit sebab tujuan utamanya adalah memberi pengajaran, bukan keselesaan. Contoh rotan bagi 20 kali sebatan boleh lihat di [SINI].


Sekiranya seseorang pengsan semasa dijatuhkan hukuman rotan, pegawai penjara akan memberinya rehat seketika tapi ada juga kes di mana pengsan berulang kali — 'satu pengsan, dua pengsan, tiga pengsan' — yang sebenarnya hanya berpura-pura pengsan. Dalam situasi ini, hukuman tetap diteruskan.

Secara amnya, hukuman rotan dilaksanakan secara berterusan dengan maksimum 24 sebatan. Jika melebihi 24 kali sebatan, lebihan sebatan itu akan ditukarkan kepada hukuman penjara atau dipilih untuk dirotan pula, dia kena tunggu keadaan betul-betul baik sebelum disambung balik. Terdapat juga kes penjahat tegar yang memilih untuk terus dirotan. Bagi individu seperti ini tiada rasa takut atau pedoman hidup — apa yang penting bagi mereka hanyalah kepuasan peribadi.


HUKUMAN PUNGLI:
Rasuah yang digunakan di Indonesia iaitu Pungutan Liar (Pungli). Jumpa warga Indonesia, kalau dia ada bersuara nak bagi PUNGLI, itu adalah rasuah. Jangan terima - itu adalah bahasa mereka.


DI DALAM PENJARA:
Terdapat pelbagai jenis banduan. Ada yang insaf, memang betul-betul berubah. Namun, ada juga yang masuk kerana kes kecil tapi apabila berada dalam penjara, mereka belajar dari tauke-tauke jenayah lalu menjadi lebih jahat berkali ganda dari keadaan yang asal bila dia keluar. 'Don't judge by it's cover' — Kita tidak boleh menilai seseorang hanya dari penampilan atau latar belakangnya. Setiap kes perlu dinilai dengan teliti dan tidak boleh menjatuhkan hukuman atau membuat penilaian awal tanpa penyiasatan yang sewajarnya terhadap banduan tersebut.

Sesetengah banduan sebenarnya perlukan perhatian dan peluang kedua daripada masyarakat. Peluang untuk betul-betul berubah tapi kalau peluang tu tiada, mereka akan cuba cipta ruang hidup mereka sendiri. Bila ruang itu dicipta tanpa bimbingan atau sokongan, mereka cenderung untuk ulang semula kesilapan lama — malah kadang-kadang jadi lebih teruk daripada sebelumnya.

Hakikatnya, banduan yang dimasukkan ke dalam penjara lebih kepada menjalani hukuman, bukan semestinya pulih sepenuhnya. Bila hukuman tamat, mereka keluar dan tanpa sokongan luar, mereka cenderung mencipta ruang hidup yang lain, ruang yang lebih besar hingga melakukan jenayah yang lebih serius. Akhirnya, dia ulang masuk penjara.. lagi dan lagi yang tiada kesudahan.

Tugas kita, sebagai masyarakat ialah beri sebanyak mungkin sokongan moral. Kadang-kadang keluarga sendiri pun bila anak dah terlibat dengan jenayah, mereka tolak bulat-bulat, rasa tak sanggup terima. Sedangkan apa yang anak itu perlukan ialah sedikit ruang, sedikit harapan, dan sedikit sokongan untuk bangkit semula.

Kadang manusia jatuh bukan sebab dia jahat tapi sebab dia tak punya sesiapa untuk percaya dia boleh berubah.


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.

@RemajaPurba: Sakit pinggang..

No comments:

Post a Comment

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...