07 November 2025 - Jumaat (16 Jamadilawal 1447H)
Ada hari-hari yang terasa biasa tapi tanpa kita sangka, Allah selitkan kejutan kecil yang menyentuh hati. Hari ini salah satunya — sebuah pertemuan yang tak pernah terlintas akan terjadi semula.
Hari ini aku bercuti, ada urusan di hospital di sini. Sambil menunggu giliran dipanggil, mataku tertangkap pada seseorang yang terasa begitu dikenali. Tak sangka, di tempat yang tidak pernah dijangka, aku dipertemukan semula dengan sahabat lama yang bertahun-tahun tidak bersua muka.
Rasa macam babak dalam rancangan Bersamamu TV3 bila akhirnya dapat bertentang mata semula. Kami berdua tak mampu menahan air mata — terlalu lama tak bersua, terlalu banyak cerita yang hilang bersama masa. Semua itu hanya kerana kami terputus hubungan tanpa sedar.
Tak peduli pandangan orang di sekeliling, saat itu hanya ada kami berdua — dua jiwa yang pernah rapat, kini kembali bertemu dalam pelukan yang lama dirindui. Kami menangis bukan kerana sedih tapi kerana terlalu gembira.
Banyak yang ingin diluahkan, namun masa terlalu cemburu. Sempat juga aku meminta nombor telefonnya yang baru, cuma satu yang tersisa di hati — kami terlupa merakam sekeping gambar sebagai kenangan pertemuan yang tak disangka itu.
'Kerana setiap pertemuan, ada cerita yang Allah atur dengan indah..'
Ironinya.. tempat kami bertemu semula itu sebenarnya tempat kerjanya sendiri — masih di hospital yang sama tapi aku kehilangan nombor telefonnya, kami terputus begitu saja. Setiap kali aku ada urusan di hospital itu, wajahnya pasti terlintas di ingatan tapi aku selalu fikir mungkin bukan rezeki untuk bertemu lagi. Masing-masing sudah dengan kehidupan sendiri. Dan hari ini, tanpa diduga, Allah izinkan juga pertemuan itu terjadi. Sungguh.. aku terharu. Syukur Ya Allah, atas kasih dan aturan-Mu yang indah, kami akhirnya dipertemukan semula selepas sekian lama.
Kadang-kadang.. Allah temukan semula seseorang bukan untuk kita simpan lama tapi untuk mengingatkan - bahawa ada persahabatan yang tetap hidup walau lama terpisah. Pertemuan itu mungkin sekejap tapi cukup untuk menyembuhkan rindu yang bertahun tersimpan.
Aku melangkah pulang dengan hati yang penuh rasa.. sekurang-kurangnya hari ini, satu kenangan telah tercipta — dengan senyum dan air mata gembira. Moga satu hari nanti kami dapat berdua bersama mengimbau kenangan lama.
@RemajaPurba: Aku sayang kau - Iban..

No comments:
Post a Comment