Followers Remaja Purba

Sunday, November 30, 2025

BANJIR YANG MELANDA


Kenangan yang tertinggal..

21 November 2025 - Jumaat (30 Jamadilawal 1447H)
Minggu lepas dak Adik balik, hari ini pula giliran dak Kakak. Seronoklah dak Nuha ada geng untuk bergaduh dan bercerita. Hati rasa lapang melihat rumah kembali riuh dengan suara anak-anak.


24 November 2025 - Isnin (3 Jamadilakhir 1447H)
Hujan lebat dari hari Ahad, buat aku risau nak ke tempat kerja.
Pagi.. satu perkara yang sangat jarang berlaku  aku terlajak bangun. Menambah kalut, berhadapan dengan kesesakan jalan raya ditambah dengan hujan yang masih turun buatkan aku gelisah, menambah rasa lewat tiba di tempat kerja.

En. Hubby pula sempat berpesan supaya aku tidak ikut laluan biasa untuk balik ke rumah kerana jalan itu sudah dinaiki air — lemas pula Mr. Black nanti. Terpaksa mengambil laluan yang lebih jauh. Memanglah lewat aku sampai tapi syukurnya En. Hubby sudah siap masak untuk makan malam. Dapatlah aku menarik nafas lega dan bertenang kerana kepenatan.


25 November 2025 - Selasa (4 Jamadilakhir 1447H)
Menghampiri hujung tahun, sebagai penutup, ada satu lagi kursus di luar tempat kerja yang perlu aku hadiri selama tiga hari. Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu amat merisaukan aku kerana tugasan ini perlukan aku berulang-alik dari rumah. 

Laluan utama dan kawasan sekitar perumahan aku mengalami 'banjir termenung'. Air tak surut, parit, longkang malah kebun kelapa sawit sebelah taman aku ni pun dah macam kolam, hampir menyamai jalan masuk ke taman aku. Mengulang kejadian pada 11 November 2022 lepas berlaku limpahan air masuk ke kawasan perumahan.


27 November 2025 - Khamis (6 Jamadilakhir 1447H)
Ini kali pertama MetMalaysia mengesan ribut tropika terbentuk di Selat Melaka sendiri sebelum menghentam daratan. Amaran hujan berterusan, ribut tropika dan laut bergelora telah dikeluarkan untuk beberapa negeri di pantai barat dan tengah Semenanjung



Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
Dr Mohd Hisham Mohd Anip
di [SINI]

Semenanjung Malaysia sedang berdepan sesuatu yang jarang berlaku. Ribut Tropika Senyar yang terbentuk di Selat Melaka. MetMalaysia menjangkakan hujan lebat berterusan, angin kencang sehingga sekitar 40–60 km/j dan laut bergelora sehingga sekurang-kurangnya Sabtu. Ini bukan lagi ribut biasa musim hujan, ini sistem ribut tropika yang lengkap.



28 November 2025 - Jumaat (7 Jamadilakhir 1447H)
Penat dan lelah aku rasa tapi aku tetap bersyukur kepadaNYA kerana masih jauh daripada ancaman banjir, jika dibandingkan dengan mereka yang setiap tahun terpaksa berdepan dengannya. Jangan mengeluh, wahai Mak Budak kerana di luar sana ada yang lebih besar ujiannya.


Ku pegang kata-kata seorang teman..
Andai kita rasa kita susah dengan masalah yang kita hadapi, ingatlah ada orang yang lagi susah dari kita. Ini hanya dugaan kecil yang kita hadapi. Sabarlah dan berdoa banyak-banyak kepadaNYA. Pasti ada ganjaran dariNYA.

Buat mereka yang dilanda musibah ini, kuatkanlah semangat walau dah tak sekuat mana. Moga semua urusan berkaitan dipermudahkanNYA. Aamiin..

@RemajaPurba: ..

MINGGU YANG MENGUJI, HATI YANG MEMUJUK


29 November 2025 - Sabtu (8 Jamadilakhir 1447H)

Lepas selesai berkongsi tentang satu ceramah Integriti bertajuk 'Pengkisahan Dari Tirai Besi Modul: Guarantee Money' di [SINI], akhirnya aku kembali kepada rutin — cerita yang berkisar tentang kehidupan.

Minggu ini sangat mencabar — tiga hari aku berkursus, berhadapan dengan kesesakan jalan raya, ditambah pula perlu mengelak laluan yang mula dinaiki air akibat banjir. Badan letih, kepala berserabut, kadang rasa seperti ruang untuk diri sendiri pun hilang sekejap. Tenaga emosi tak cukup, fokus pun lari.

Tapi dalam semua keletihan itu, aku kena belajar untuk berhenti sejenak, tarik nafas dan kembali bercerita tentang hari-hari kecil yang membentuk hidup aku sebenarnya.
Kadang, selepas hari-hari yang berat, aku cuma perlu berhenti sekejap untuk ingat bahawa hidup ini tetap berjalan perlahan tapi masih penuh harapan.

@RemajaPurba: ..

Friday, November 28, 2025

TUMBUK RUSUK: PENGAJARAN DARI TIRAI BESI


28 November 2025 - Jumaat (7 Jamadilakhir 1447H)

Kadang-kadang, perkara yang tidak kita duga memerlukan sebuah pengorbanan. Aku..? Akhirnya berjaya menyiapkan setiap inci isi ceramah Integriti bertajuk 'Pengkisahan Dari Tirai Besi Modul: Guarantee Money' telah diadakan ditempat kerja aku pada 13 November 2025 – Khamis (22 Jamadilawal 1447) yang lalu.

Alhamdulillah, setiap pengkisahan beliau, aku dengar dengan teliti, aku edit pada beberapa bahagian dan akhirnya aku terjemahkan sepenuhnya di bawah ini – dari Part 1 hingga ke bahagian terakhir. Semoga setiap patah kata yang ditulis membawa cerita yang lengkap dan pengajaran yang mendalam buat kita semua. InsyaAllah..

  • Part 1 di [SINI]
    Ceramah Integriti bertajuk 'Pengkisahan Dari Tirai Besi Modul: Guarantee Money'. Perkongsian ini disampaikan oleh seorang mantan pegawai unit beruniform yang pernah bertugas menjaga sempadan negara, namun akhirnya disabitkan bersalah dan dipenjarakan. 

  • Part 2 di [SINI]
    HUKUMAN untuk jenayah rasuah selain dari PENJARA dan DENDA.

  • Part 3 di [SINI]
    Tegurannya halus tapi sangat jauh ke depan.

  • Part 4 di [SINI]
    Peruntukan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, iaitu Seksyen 165 Kanun Keseksaan - memperuntukkan bahawa seorang penjawat awam melakukan kesalahan jika menerima apa-apa benda berharga tanpa balasan daripada mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
  • Part 5 di [SINI]
    Pendedahan mengenai kegiatan kartel yang beroperasi di pintu masuk negara.

  • Part 6 di [SINI]
    GUARANTEE MONEY atau MONEY SETTING

  • Part 7 di [SINI]
    'Kena batang hidung' mereka sendiri.
  • Part 8 di [SINI] 
    Perjalanan berakhir dengan keputusan rayuan ditolak di Mahkamah Tinggi. 

  • Part 9 di [SINI]
    Diberi peluang menyertai program Jalinan Kasih oleh pihak penjara.
  • Part 10 di [SINI
    Pengalaman dan kehidupan di dalam penjara.

  • Part 11 di [SINI]
    Hargailah kebebasan, kita mungkin tak pernah rasa terkurung.
  • Part 12 di [SINI
    Masih lagi wujud kes rasuah di pintu masuk negara.

  • Part 13 di [SINI]
    Amanat dari Dato' Abdul Samat Kasah, Mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.
  • Part 14 di [SINI]
    Memahami Minda Koruptor.
  • Part 15 di [SINI]
    Meraikan kecemerlangan anak di dalam pelajaran.
  • DISEBALIK TABIR di [SINI]
    Penerimaan keluarga selepas dibebaskan dari hukuman penjara.


Semoga setiap catatan ini menjadi pintu untuk kita melihat diri, memperbaiki niat dan memperkukuh langkah. Jika ada kekurangan dalam penulisan ini, mohon ditegur dengan penuh hikmah agar manfaatnya dapat terus mengalir. Terima kasih kerana sudi membaca hingga ke akhir.


@RemajaPurba: Moga kita ambil iktibar di atas perkongsian ini. 

TUMBUK RUSUK: INSAN DISEBALIK TIRAI BESI


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Selesai sudah perkongsian Ceramah Integriti: Tumbuk Rusuk: Pengkisahan Dari Tirai Besi Modul: Guarantee Money.


Belakang Tabir:
Awalnya, urusetia memanggil aku untuk bertemu dengan penceramah di ruang makan tapi siapalah aku untuk turut duduk sekali bersama mereka. Urusetia kemudian berpesan, selepas semua selesai makan tengah hari — jika aku ingin berjumpa beliau boleh turun ke lobi.

Tak sangka, urusetia sanggup menghubungi aku semula dan 'memaksa' aku untuk turun. Awalnya memang aku keberatan — yakin aku takkan sempat berjumpa dengan beliau kerana pasti beliau akan terus bergerak pulang.

Aku tak akan lupa detik aku berlari dari tingkat empat hanya kerana mahu bertemu dengan beliau. Kenapa tidak menggunakan lif? Lif terlalu lambat — dan sudah tentu aku tak mahu terlepas moment berharga itu.

Sampai di lobi, 'minta nyawa' aku dibuatnya — mengah tak terkata.


Percayalah - jika kita menerima rasuah, pasti akan 'jatuh' akhirnya.
'Castello'


Sangat eksklusif dan bertuah rasanya kerana aku berpeluang bertanya dan mendengar sendiri kisah beliau. Ketika di dalam auditorium, tiada siapa pun yang bertanya. Mungkin masing-masing tidak mahu menyinggung perasaan beliau atau mungkin malu.

TAPI aku..?
Dalam mengah yang tak terkata, aku sempat juga tergelak sebab nak buka mulut bercakap pun tak boleh. 'Oksigen.. oksigen..' 'Tarik nafas, hembus nafas'. Penceramah pun gelak kecil sambil menyuruh aku bertenang dulu — nampak sangat tahap mengah aku masa tu.


Bagaimana penerimaan keluarga selepas bebas dari penjara?
Bagaimana keadaan isteri sekarang ini?

Soalan ini sebenarnya ditunggu oleh penceramah ketika di dalam auditorium.


Seperti yang diceritakan oleh beliau di [SINI], 'saya tak dapat sedikit pun pengampunan dari ibu dan ayah saya. Bila saya sangkut kes, keluarga saya dah buang saya jauh-jauh. Saya fight sendirian, hanya anak dan isteri saya yang beri sokongan penuh kepada saya'.


Bagaimana penerimaan keluarga selepas bebas dari penjara?
Dari awal mak saya memang tak suka saya, isteri dan anak (waktu itu anak berusia dua tahun). Kami dipinggirkan keluarga. Mak tuduh isteri saya bawa malang pada keluarga dan dari mulut-mulut orang keliling buat mak tak suka pada isterinya, Saya cakap pada mak saya, 'Kalau mak tak suka tak apa tapi saya takkan ceraikan isteri saya. Biar saya cari bukti untuk buktikan isteri saya tak bersalah. Saya akan balik jumpa mak sebagai anak tapi saya takkan bawa isteri dan anak saya balik jumpa mak'.


Akhirnya, mak saya terpaksa menerima keputusan saya dan perlahan-lahan hubungan dengan keluarga serta isteri kembali pulih. Kini, isteri saya menjaga mak yang disahkan menghidap kanser tahap 4, bergilir-gilir bersama dua orang kakak saya, memastikan mak tidak merasa kesepian atau bosan di satu tempat. Setiap senyuman mak, setiap detik yang kami kongsi bersama terasa begitu berharga — seakan mengingatkan bahawa kasih sayang dan pengorbanan keluarga adalah harta paling bererti dalam hidup ini.


Bagaimana keadaan isteri sekarang ini?
Alhamdulillah, isteri saya sihat dan masih berjuang melawan penyakit kansernya.


Bagaimana penerimaan anak pula?
Anak sulung yang pernah menanggung pelbagai tohmahan, kini berusia 17 tahun, bersiap sedia menghadapi peperiksaan SPM — moment yang menandakan satu fasa penting dalam hidupnya. Saya mempunyai tiga orang anak, anak kedua pula adalah kembar digelar sebagai anak PKP yang membesar dalam suasana penuh cabaran tapi tetap diselubungi kasih sayang keluarga. Setiap senyuman mereka, setiap langkah kecil mereka, menjadi penawar dan pengingat bahawa kekuatan dan harapan keluarga sentiasa hadir, walau dalam ujian yang paling getir sekalipun.


Apa punca kini menjadi penceramah?
Sebelum mendapat restu ayah, saya banyak melakukan pelbagai kerja termasuk dalam bidang elektrikal kerana memiliki kemahiran dan bekerja di banyak tempat.

Pada awalnya, ayah tidak bersetuju malah marah — kenapa mahu bercerita kepada orang lain tentang perkara yang orang lain sudah lupakan. Namun, ketika ayah mula sakit, ayah memanggil dan bertanya, 'Ceritakan pada ayah, macam mana cara kau nak bagi ceramah pada orang?'.

Dari situlah permulaan saya menjadi seperti sekarang ini. Ayah saya kemudian kembali ke rahmatullah pada 1 Januari 2023 — Al-Fatihah.


Lengkap sudah Pengkisahan Dari Tirai Besi, Modul: Guarantee Money, seperti yang diceritakan oleh beliau. Entry ini adalah satu perkongsian eksklusif daripada aku di sini. Terima kasih kepada beliau kerana memberi izin dan InsyaAllah, semoga kisah yang dikongsikan ini dapat memberi pengajaran kepada semua. Tak banyak, sikit kita ambil dan jadikan iktibar.


Bukti bergambar diperlukan?


Memandangkan dalam slide yang dikongsikan beliau terdapat maklumat, data dan isu yang sensitif, beliau memohon jasa baik aku untuk menapis segala maklumat tersebut sebelum dimuat naik ke media sosial. 'Jangan risau tuan, bukan setakat maklumat, gambar tuan pun saya tapis..'


@RemajaPurba: Lega..

Thursday, November 27, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 15]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Beliau menceritakan kembali detik manis ketika bertemu dengan anak di Program Jalinan Kasih. Detik itu bukan sekadar pertemuan fizikal tetapi juga awal sebuah perjalanan penuh harapan dan ikatan yang kuat antara ayah dan anak.


Kisah Benar:
Ketika darjah satu, anak saya pernah menolak untuk ke sekolah kerana terlalu banyak kecaman ke atas dirinya yang masih kecil. Dia hidup tidak sama seperti anak-anak lain — dihina, dicerca, dilabel sebagai anak kepada 'orang jahat'. Bila mahu bermain, hanya satu perkataan yang dia dengar daripada sekeliling.. 'Jangan kawan dengan dia. Nanti kau pun jadi jahat macam bapa dia'.

Di sekolah, bila ada kes hilang pemadam, pensil, pembaris — dituduh anak saya dahulu. Anak saya tak mampu terima hakikat itu hingga satu masa, dia diejek pula sebagai anak yang 'tak ada bapa'. Traumanya anak saya, kesan sengsara yang anak saya tanggung pada peringkat usia yang masih muda.


Isteri saya pernah berkata kepada anak, 'Kalau tak mahu pergi sekolah, tak apa.. tapi kena cakap dengan abah. Jangan cakap dengan ibu'.

Bila anak dan isteri saya datang ke penjara, anak saya cakap dia tak mahu ke sekolah. Saya kata kepadanya, 'Kalau abang tak mahu pergi sekolah, abang jangan datang jumpa abah lagi'. Saya terpaksa bertegas demi masa depan dia. 

Saya bukan marah kerana tak sayang tapi kerana masa depan dia lebih penting. Apa yang dia lalui memang menyakitkan, memang membuatkan saya geram — sampai saya pernah tumbuk dinding, saya sepak pintu besi sampai kaki saya bengkak.

Hakikatnya, saya seolah-olah menghukum diri sendiri kerana perbuatan saya tetapi yang paling terkesan bukan saya. Keluarga saya, anak saya. Mereka yang menanggung kesannya sedangkan merekalah yang paling saya mahu lindungi.


Dan Alhamdulillah.. masuk darjah dua, dia jadi best student di sekolah elit tempat dia belajar. Budak yang dibesarkan oleh ibunya hidup dalam keadaan serba sederhana, serba kurang tapi dia tetap bangkit.

Bila anak saya dapat jadi best student, isteri saya tanya, 'Abang nak hadiah apa?'. Dia tak mahu apa-apa, cuma dia nak satu — dia nak jumpa saya. Tuhan Yang Maha Mendengar suara anak kecil itu. Jadi dia dapat jumpa saya secara live ketika Program Jalinan Kasih di [SINI].

Bila saya dapat tahu anak saya sendiri akan datang untuk bertemu saya, saya terdiam. Sebagai seorang banduan, apa hadiah yang saya mampu bagi? Saya tak ada apa-apa. Semuanya serba kekurangan tapi saya tetap nak buat sesuatu sebagai seorang bapa.

Dengan inisiatif saya sebagai tukang masak, ration makanan yang saya masak hari itu, saya tak makan. Saya tapau dan saya seludup keluar untuk bagi anak saya makan. Saya tahu perbuatan itu salah. Saya tahu saya boleh ditangkap, boleh kena tindakan tapi demi anak saya, saya sanggup buat apa saja — untuk meraikan kecemerlangan anak saya dalam pelajaran.

Saya masak dengan air tangan saya sendiri sebagai tukang masak. Saya kata pada dia, 'Abah masak ni. Abah tak ada hadiah lain nak bagi. Inilah hadiah yang abah mampu bagi. Abang rasalah'. Anak saya makan dengan penuh selera sehingga saya tengok, saya pun tak makan. Dia senyum, dia mungkin tak luahkan apa-apa tapi saya tahu apa yang ada dalam hati dia.

Dia tak sentuh sebarang makanan di atas meja kecuali makanan yang saya bawa. Dia hanya makan makanan yang saya bawa. Hanya makanan yang dimasak oleh abah dia sendiri — seorang lelaki yang hidup di balik pintu besi.


Ingatlah.. anak-anak kita perlukan perhatian kita.
Mereka perlukan kasih sayang, bimbingan dan kehadiran kita. Jangan sampai kita pentingkan diri sendiri hingga sanggup melanggar integriti — kerana setiap perbuatan salah yang kita buat, bukan kita sahaja yang menanggungnya tapi anak-anak dan keluarga kita juga menjadi mangsa. Mereka yang menanggung malu, mereka yang menanggung pedih, mereka yang menanggung luka yang tidak pernah mereka minta.


Tolong.. saya merayu dengan sepenuh hati:
Berkhidmatlah dengan penuh integriti. Jalankan amanah dengan jujur. Kerana hanya dengan integriti, anda dapat menjalani kehidupan yang tenang, damai dan sempurna bersama keluarga. Jangan ulangi kesilapan saya. Jangan biarkan orang yang anda sayang menanggung akibat daripada pilihan kita sendiri.


AKHIR KATA DARI PENCERAMAH:
Pilih integriti tolak korupsi dan seterusnya hormati kehidupan, hargai keluarga, hargai kebebasan dan pelihara sulur galur keberkatan. Halal pun jelas, haram pun jelas. susur galur itu samar-samar. Anda kena pandai untuk membezakan arahan tersebut. 


Terujanya aku..
Apabila aku dapat kebenaran dari empunya diri part yang ini aku akan kongsikan dalam entry terakhir selepas ini.

@RemajaPurba: ..

Wednesday, November 26, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 14]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Minda seorang koruptor terbentuk secara perlahan, dipengaruhi oleh konflik nilai, tekanan hidup, peluang yang tidak diawasi dan budaya 'semua orang buat'. Setiap tindakan korupsi sering diselaputi alasan dan justifikasi yang melemahkan prinsip diri. Dengan memahami cara mereka berfikir, kita boleh mengenal pasti punca sebenar dan merancang langkah pencegahan yang lebih bijak serta berkesan.


Sambungan dari [SINI]..

MEMAHAMI MINDA KORUPTOR:

KENAPA SAYA AMBIL RASUAH?
    • Kalau saya tidak ambil, orang lain akan ambil. 
    • Dalam dunia moden sekarang, susah saya nak tolak. Hari ini boleh kita tolak, esok belum tentu lagi. Lagipun saya tidak minta, mereka yang nak beri.

BERCITA-CITA TINGGI DAN TAMAK:
    • Saya mahu jadi kaya seperti pegawai sebelum ini. 
    • Dia boleh kaya, kenapa tidak saya? Peluang hanya datang sekali.

MANGSA KEADAAN DAN TAKUT KENA PULAU:
    • Kalau saya tak ambil rasuah, rakan-rakan setugas saya akan pulaukan saya. 
    • Saya tidak mahu kena pulau. Jadi, untuk mudahkan hidup saya, saya terpaksa juga terima.

KEPIMPINAN MELALUI TELADAN:
    • Bos pun sama juga, saya ikut bos la. 
    • Kalau dia 'sapu', kenapa saya nak jadi orang baik pula?

MINDSET 'SEKALI TERLEPAS, SELAMANYA TERLEPAS':
    • Sekali buat terlepas, dua kali terlepas, tiga kali terlepas. Setakat ini semuanya beres. Berani buat beranilah tanggung.

DEMI SURVIVAL HIDUP:
    • Dunia sekarang ni, kalau tak hulur, susahlah dapat projek. 
    • Kerja gaji kecil, lebih-lebih lagi tinggal di bandar. Kalau tak ada side-income, susahlah hidup.

PUNCA:
  • Agama
  • Commercialize - Perdagangan Jawatan
  • Perangkap
  • Imuniti Ego
  • Gagal Merancang Perbelanjaan [Tahu vs Sedar]


Semua ini mencerminkan faktor yang membentuk perilaku koruptif. Memahami punca-punca ini membolehkan kita bukan sahaja mengenal pasti risiko tapi juga mengambil langkah proaktif untuk mencegah dan memperkukuh integriti dalam diri serta masyarakat.

Punca rasuah jelas: Tamak, Ego dan Lalai - Tindakan cegah adalah kunci Integriti.

Ok cukup dulu setakat ni, ada dua part lagi untuk melengkapkan keseluruhan isi ceramah ini.

@RemajaPurba: ..

Tuesday, November 25, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 13]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Entry kali ini aku kongsikan untuk kita merenung, mengambil pengajaran dan meneguhkan hati untuk terus hidup dengan kejujuran, kesabaran dan keberkatan dari Allah swt.


Sambungan dari [SINI]..


TAHU dan SEDAR
Kita tahu benda salah tetap salah tapi kenapa kita masih melakukannya? 
Kalau setakat tahu sahaja tak cukup, kita perlu sedar. Menyedari kesalahan itu dan faham akibatnya kena jalan seiring — hanya dengan itu kita benar-benar faham mengapa pelanggaran integriti perlu dielakkan.


Setiap tindakan ada timbal baliknya. Fikirkan secara terbuka dan fahami dengan jelas apa yang dibenarkan dan apa yang dilarang. Janji Allah itu pasti: 'Barang siapa yang melakukan kejahatan, akan dibalas dengan kejahatan dan begitu juga sebaliknya'. Inilah konsep asas yang perlu kita fahami dan patuhi. Sama ada cepat atau lambat, setiap perbuatan akan tetap ditanggung, itu adalah perintah Allah swt.


Saya masuk penjara, senior-senior saya tidak. Memang pada awalnya saya rasa sakit hati tapi bila tengok apa yang berlaku kepada mereka sekarang, saya mula memahami.

Selepas saya keluar penjara:
Ada senior yang betul-betul insaf dan rasa bersalah datang menemui saya..
'Kalau boleh, abang minta maaf dengan awak kerana abanglah punca yang menyebabkan awak terikut sekali dalam situasi ini'.

'Kalau tak kerana akak yang kenalkan kau dengan pegawai macam ni, kau takkan terjebak. Kau takkan jadi macam ni, mesti kau dah jadi seorang pegawai yang baik tapi masalahnya, akaklah yang jadi punca dulu'. Saya jawab.. 'Tak apalah kak, benda dah lepas. Dah jadi dah pun. Akak teruskanlah perkhidmatan akak dengan baik, jaga elok-elok. Akak nak pencen dah'.

Ada pula yang datang jumpa saya dan berkata..
'Saya tak bahagia'.
Saya tanya.. 'Kenapa?'
Dia jawab.. 'Mungkin saya tak masuk penjara tapi apa yang saya ada sekarang, rasa macam takde ketenangan. Saya ada rumah, ada tanah — semua yang Tuhan bagi tapi silap saya beli semua pakai duit tepi'.

Harta yang tiada keberkatan. Tanam pokok atas tanah, pokok tak berbuah. Bina rumah guna duit tepi, rumah nampak buruk, retak sana sini.. sentiasa ada masalah. Hidup sentiasa ada halangan.

Satu perkara penting: Harta, pangkat dan kuasa tanpa keberkatan tidak memberi kebahagiaan. Keikhlasan dan Integritilah yang menentukan ketenangan sebenar dalam hidup.

Halal dan haram mesti difahami kerana itu fitrah kita. Kalau gaji kecil, jangan merungut — itu ujian Tuhan untuk mengajar kita mencukupkan apa yang ada dengan sabar dan bijak. 'Jangan berbelanja melebihi kemampuan - memang tak cukuplah kalau ikut perbelanjaannya'Hidup dalam keadaan mencukupi adalah kunci ketenangan. Walaupun duit terasa tidak cukup, jangan mengeluh. Hargai rezeki Allah beri, jaga keberkatan setiap yang dibelanjakan. 'Tuhan uji dengan duit tak cukup pun nak merungut'.

Kita dijadikan di atas muka bumi ini untuk melalui pelbagai ujian sebelum akhirnya dikembalikan kepada Allah. Saya kongsikan perkara ini kerana ia ada kaitan rapat dengan cara kita menjalani kehidupan beragama.


Satu amanat dari:
Dato' Abdul Samat Kasah
Mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.


'Mencegah rasuah adalah usaha akhir ibarat kita mencuci air kotor di muara sungai, tetapi pembudayaan integriti adalah penjagaan dari hulu sungai supaya air dari hulu itu bersih maka kita tidak lagi mencuci air kotor di muara'.



Maksudnya begini:
Apabila kita menjaga nilai integriti dari awal, kita akan dapat melihat hasilnya. Jaga integriti kita, InsyaAllah, hati kita akan lebih tenang. Tidak perlu lagi berfikir tentang cara nak buat duit tepi atau mencukupkan nilai kewangan secara salah. Jangan lupa bahawa Allah swt lah yang mencukupkan keperluan kita. Kita sebagai manusia mudah alpa, terlalu bergantung kepada usaha sendiri tanpa mengingati Tuhan Yang Maha Esa — itulah silap kita.


Kesilapan saya dahulu jangan dijadikan tauladan tapi jadikan sebagai sempadan — pengajaran supaya kita tidak terjerumus ke jalan yang sama.


Setiap tindakan ada akibatnya. Hidup dengan integriti bukan sekadar bercakap tapi perlu dilaksanakan. Kata-kata tanpa tindakan tidak akan membentuk kehidupan berintegriti. Ambil cakna setiap perbuatan, kerana itulah yang membentuk diri kita.


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang. 

@RemajaPurba: ..

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 12]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Kali ini lebih kepada pengalaman beliau tentang integriti, kuasa dan godaan duniawi — yang mana beliau pernah tewas kepada godaan harta dan gagal menjaga integriti. Dari pengalaman beliau, kita dapat belajar bahawa kuasa dan tradisi boleh memerangkap sesiapa sahaja.


Sambungan dari [SINI]..

Kisah Benar:

Tahun 2020 perkara yang sama kembali berlaku. Mereka yang terlibat dengan rasuah telah ditahan oleh SPRM. Nak dijadikan cerita, waktu itu mereka memakai pakaian berwarna oren. Semasa saya ditahan dulu, saya tidak memakai pakaian oren kerana ketika itu tempahan pakaian tersebut masih belum siap.




Jika dilihat pada gambar di atas, gred biasa tapi 'jutawan', dapat pula menggunakan kereta mewah. Namun Alhamdulillah, saya dahulu hanya menggunakan kereta Wira ketika barangan saya disita. Wira saya turut disita kerana menggunakan enjin turbo. Orang lama memang bijak menyembunyikan perkara — kata mereka, 'luar setinggan, dalam kondo'.

Kita ni terlalu mengikut senior dan mudah terpengaruh dengan apa yang kita lihat. Kita cenderung menjadikan mereka sebagai idola kerana mengikuti tradisi yang mereka lakukan sehingga tanpa sedar kita meniru rentak mereka. Kita tengok pegawai kita melakukan rasuah tetapi kita tak belajar untuk mengubah keadaan — sebaliknya kita rasa tidak puas hati dan mahu menyaingi mereka. 'Kalau mereka boleh makan, kenapa aku tidak boleh? Kalau kena, kenalah sekali'.


Ketika saya ditangkap dulu, kenapa hanya lapan orang sahaja yang didakwa walaupun ramai yang terlibat? Jika SPRM menuduh semua, satu jabatan boleh lumpuh. Sebenarnya, jika mengikut bukti, ramai yang terlibat.

Kenapa begitu?
Sistem 'guarantee money' ini bersifat pusingan. Apabila saya keluar, orang lain akan masuk dan menyambung. Oleh itu, orang baru inilah yang menjana ekonomi untuk pegawai-pegawai lain yang tidak berada di tempat ada income — kerana kita bekerjasama.

Apabila dilihat dari segi hierarki, rasuah yang berlaku secara sistematik dan membentuk satu kumpulan yang terlibat — ia tidak dapat berjalan secara individu. Setiap orang mesti ada kumpulannya sendiri. Dalam konteks tradisi ini, jika seseorang mengambil peluang, yang lain turut terikut. Jika kita tidak mengambil, peluang itu akan diberikan kepada rakan lain. Dari situlah mereka boleh menjadi kaya, manakala kita mungkin tidak. Prinsipnya sama sahaja — sama ada mengambil atau tidak, risiko tetap ada. Jika tidak mahu menghadapi risiko, satu-satunya pilihan ialah berhenti kerja.

Jika kita tidak mahu bekerja di bahagian yang berisiko tinggi dan terdedah kepada isu rasuah, sebaiknya berhenti kerja dan buat kerja lain. Namun, jika memilih untuk terus berkhidmat dalam tugas yang penuh halangan dan cabaran, kita perlu berusaha menjaga diri agar tidak terjebak dalam melakukan kesalahan. Saya sendiri banyak belajar daripada pengalaman yang telah berlaku.



PUNCA BERLAKU


AGAMA:
Ini adalah salah satu bentuk pelanggaran yang paling serius. Apabila gagal menjaga agama, seseorang akan mudah melakukan pelanggaran integriti tanpa disedari. Percaya dan yakinlah, jika seseorang lalai dalam agama — culas dalam solat atau dalam menegakkan hukum agama — berlaku pelanggaran integriti dalam tingkah laku ketika bekerja atau menjalani kehidupan seharian.


KENAPA BEGITU?
Kerana saya sendiri telah melalui proses itu. Sejak kecil hingga dewasa, saya terlibat secara aktif dalam aktiviti keagamaan. Dalam konteks agama, tidak mustahil saya boleh memegang jawatan sebagai biro ketua agama dalam jabatan tersebut tapi itu tidak semestinya menjadikan saya seorang yang alim. Akhirnya, apabila saya tewas dengan godaan duit, saya mula mengabaikan agama dan gagal menjaga integriti.

Fahamilah dengan betul keadaan kita sebagai manusia yang diciptakan di muka bumi ini — untuk apa kita diciptakan? Adakah untuk melakukan kejahatan? Adakah untuk melakukan perkara yang tidak baik?


Semua perintah agama dalam mana-mana kitab suci tidak pernah mengajar kita melakukan kejahatan. Namun, mereka yang melakukan perkara jahat melakukannya atas kehendak sendiri — suka melanggar integriti. Perintah agama tidak menyuruh kita berbuat begitu, semuanya datang dari diri sendiri. Menyesal selepas berlaku tidak berguna, jika nak menyesal, mulakan sekarang. Jangan berpura-pura. Tanggalkan topeng itu sendiri dengan kesedaran sendiri.


Apabila kita memiliki pangkat dan kuasa, kita mudah terlupa tanggungjawab sebenar. Apa yang sepatutnya dilakukan, kita abaikan kerana kita terlalu bangga dengan kuasa yang hanya dipinjamkan sementara kepada kita.
Apabila diberikan kuasa yang hanya dipinjamkan sementara, laksanakanlah tanggungjawab itu dengan penuh integriti. InsyaAllah, kehidupan di dunia dan di akhirat akan dirahmati. Sebenarnya perkara ini mudah difahami - apa yang kamu lakukan, itulah yang akan menjadi timbal balik untuk kamu.

Saya mungkin dikategorikan dalam kalangan mereka yang berada dalam satu kartel yang rasa diri ini macam'Eh.. orang lain boleh buat tapi kenapa yang kena dekat aku? Tidak adil'. Memang rasa tidak adil kerana saya yang menanggung sedangkan rakan-rakan lain tidak. Tapi, saya bersyukur kerana Allah SWT menyayangi saya. Dia ingin saya kembali kepada fitrah asal supaya tidak lagi terlibat dalam jenayah rasuah hingga akhir hayat. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas peluang itu.


Integriti bukan sekadar pilihan, ia adalah cara hidup. Apa yang kita lakukan hari ini akan menjadi cerminan diri kita esok dan rahmat Allah sentiasa memberi peluang untuk kita kembali ke jalan yang benar.


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang. Tinggal sikit je lagi nak habis.

@RemajaPurba: ..

Monday, November 24, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 11]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Entry kali ni lebih kepada mengimbau kenangan waktu mula-mula dibebaskan dari penjara.

Sambungan dari [SINI]..


HUKUMAN PENJARA:
Kad atau ID dalam penjara tidak dipegang oleh banduan sebaliknya kad pengenalan kita akan disimpan oleh pegawai penjara. Nombor kad daftar ini kekal bersama kita seumur hidup, selain daripada nombor kad pengenalan. Jika seseorang masuk penjara berkali-kali, nombor yang sama akan digunakan — tiada nombor baharu diberikan. Di dalam penjara, nombor ini sangat penting hingga kita wajib menghafalnya. Kita hilang ingatan bab nama takpe tapi jangan hilang ingatan sebab nombor kerana pihak penjara memanggil banduan berdasarkan nombor badan bukan nama.


Apabila dibebaskan, adakah kad pengenalan sama atau pun tidak?
Sama je, cuma rekod yang terdapat pada kad pengenalan itu sudah pun menyatakan dengan jelas bahawa kita pernah melakukan kesalahan. Rekod tersebut memang kekal dan menjadi rujukan setiap kali identiti kita disemak.

Masa awal-awal keluar dari penjara dulu, saya pernah memandu tanpa lesen kerana lesen saya sudah lama mati — enam tahun. Pernah kena tahan polis dan bila polis membuat semakan, rekod saya akan terus muncul dan soalan pertama mereka biasanya ialah, 'Encik dulu kerja dekat mana?' sebab bila mereka tengok kes di bawah ASPRM, mereka tahu dah. Nak hidupkan lesen semula memerlukan proses yang rumit. Memang susah ketika itu dan proses untuk bangkit semula memang mengambil masa.


Saya dapat pengampunan ibarat satu 'jackpot' yang saya sendiri tak pernah sangka.
Allah SWT memakbulkan doa saya, tanpa saya sedari, saya sujud syukur di dalam mahkamah dengan air mata yang mengalir waktu itu. Betapa bersyukurnya saya kerana akhirnya saya dapat kembali ke pangkuan keluarga.


Jadi, hargailah kebebasan sebab kita mungkin tak pernah rasa terkurung.
Paling lama kena kurung pun semasa PKP — dua kali selama enam bulan. Saya pula, selepas bebas pada tahun 2018, terus 'sambung' kurungan sebab PKP. Terlintas juga dalam hati, 'Aku ni memang kena kurung je ke?' Belum habis di penjara, di luar pun kena kurung tapi bagi saya, enam bulan itu tidaklah memberi kesan sangat sebab saya sudah 'dilatih' selama enam tahun.

Kadang-kadang kita rasa tidak adil dikurung begitu tapi cuba bayangkan banduan yang terkurung tanpa peluang melihat dunia luar langsung. Bila kita bandingkan diri dengan mereka yang lebih susah, barulah hadir rasa sedar dan ketika itu, kita akan sentiasa bersyukur atas setiap nikmat yang Allah SWT berikan.


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.

@RemajaPurba: ..

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 10]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Kisah beliau ini sebenarnya panjang dan aku tak tahu bagaimana nak ringkaskannya sebab setiap bahagiannya menarik. Jadi, aku cuba pecahkan kepada beberapa bahagian. Apa-apapun aku cuba update sehingga selesai kerana masih ada beberapa bahagian lagi yang perlu aku susun sebelum dapat dikongsikan sepenuhnya.



Sambungan dari [SINI]..

Saya menunggu selama sebulan sebelum Mahkamah Rayuan memanggil saya semula dan memberikan pengurangan hukuman.

Hukuman asal saya ialah 12 tahun penjara. Namun, jumlah itu meningkat kepada 46 tahun kerana kegagalan membayar sejumlah denda. Sekiranya denda tidak dibayar, ia akan ditukar kepada tempoh penjara tambahan mengikut budi bicara hakim.

Jangan sangka apabila mendapat pengampunan penjara, semuanya akan selesai. Hakikatnya, di dalam penjara masih banyak cabaran dan pelbagai insiden sesama banduan yang perlu dihadapi. Cabaran hidup dalam penjara ini sangat hebat dan memerlukan kekuatan mental yang tinggi.


PENGALAMAN DI DALAM PENJARA:
Di dalam penjara, apa sahaja boleh dijadikan senjata. Tulang ayam pun boleh disimpan dan digunakan untuk menikam. Pensel yang diasah tajam juga mampu menjadi alat yang berbahaya — boleh digunakan untuk menikam mata. Saya sendiri pernah hampir ditikam dan sehingga hari ini saya tidak tahu siapa yang tidak berpuas hati dengan saya. Mungkin kerana saya bekas penguatkuasa menjadikan saya sasaran ancaman.

Oleh sebab itu, saya diletakkan sebagai banduan berstatus perhatian khas dan dikawal selia dengan rapi bagi mengelakkan sebarang insiden. Jika mengikut peraturan, saya sepatutnya berada di bahagian asingan di dalam 'chamber'.


Banduan yang berprofil tinggi tak boleh bercampur dengan banduan yang hukuman singkat sebab buat kita sakit hati. Dia nak berkawan dengan kita, kita ok je, kita tak buat apa-apa kat dia tapi yang jadi masalah dia cerita nak balik yang kita tak nampak lagi jalan balik.

Sebab itu saya lebih memilih untuk berkawan dengan banduan yang menjalani hukuman panjang. Lebih mudah untuk berbual, berkongsi pengalaman dan mencari kembali semangat diri yang hilang. Kita perlukan sokongan daripada orang yang dekat dengan kita, lebih-lebih lagi apabila keluarga berada jauh.

Atas sebab itu, saya memilih untuk tidak duduk terkurung. Jika dibiarkan terasing, saya boleh tertekan dan 'mati awal'. Saya sendiri yang meminta untuk dicampurkan dengan banduan lain, walau proses itu mengambil masa yang lama untuk saya pulih untuk keluar dari kepompong kemurungan.


KENANGAN SAMBUTAN HARI LAHIR DI DALAM PENJARA:
Pernah menerima 'hadiah hari lahir' yang luar biasa daripada seorang kawan di dalam penjara. 'Aku ada hadiah untuk kau, nanti kau lalu dekat bengkel ukiran kau tengok aku buat untuk kau. Aku buat cantik untuk kau'. Bila saya lalu dan tengok, ada dua batang — batu nisan. Nama saya ditulis lengkap dalam tulisan Jawi, cuma tarikh kematian sahaja yang dibiarkan kosong. Walaupun gurauannya kasar, saya tahu niatnya baik. Di tempat seperti itu, bila ada orang masih mahu membuat kita ketawa, itu tanda dia menghargai kita sebagai kawan. Alhamdulillah, kawan saya tu pun dah jadi 'orang' pun sekarang.

Begitulah cara kami bergurau senda di dalam penjara — gurauan yang kadangkala kedengaran keras, tetapi itulah satu-satunya hiburan yang dapat mengurangkan tekanan hidup di sebalik tembok besi. Dalam keadaan semua orang menanggung beban masing-masing, sedikit gelak tawa itu sangat bermakna. Gurauan seperti itulah yang membuatkan kami masih mampu bertahan dan mengingatkan diri bahawa kami masih manusia, bukan sekadar nombor banduan.


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.

@RemajaPurba: ..

Sunday, November 23, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 9]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Seterusnya, saya masih ada satu lagi perjalanan di Mahkamah Rayuan — tempat terakhir yang menentukan perjuangan kes saya ketika itu. Saya teruskan bukan kerana saya kuat tapi kerana anak, isteri, sahabat-sahabat dan beberapa pegawai yang benar-benar memahami keadaan saya. Mereka inilah yang berulangkali berikan kata semangat kepada saya, 'Kalau nak merayu, biar sampai habis. Jangan berhenti separuh jalan'. Kata-kata itu yang saya pegang.

Dan akhirnya, saya tidak menunggu lama kali ini — hanya setahun sebelum dipanggil semula ke Mahkamah Rayuan. Tetapi ketika itu keadaan saya memang sangat teruk. Saya demam berlarutan, tak mampu berjalan, tidur lama di atas simen menyebabkan saya ada masalah saraf. Berdiri terlalu lama pun tak boleh, kaki akan jadi cramp. Semua ini telah disahkan oleh pihak penjara, Kesakitan yang ditanggung begitu berat sehingga ada waktunya saya termenung, terlintas di fikiran,.. 'Aku nak mati ke ni?'.

Apabila tubuh tidak lagi berupaya dan mental semakin lemah, ditambah pula dengan hukuman yang panjang serta keadaan fizikal yang merosot, tiada lagi yang mampu saya lakukan selain berserah sepenuhnya kepadaNYA.


Rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya


Satu perkara bila jadi banduan:
Perasaan apabila keluarga datang melawat. Walaupun mereka hadir sekali-sekala, melihat raut wajah mereka yang sedih, lebih-lebih lagi apabila air mata mereka menitis — itu adalah sesuatu yang saya tidak mampu tahan. sebab itu saya pesan kepada isteri, kalau nak datang, biarlah setahun sekali, waktu cuti sekolah anak atau waktu raya.

Saya mungkin antara banduan yang paling jarang menerima kunjungan keluarga. Bukan kerana mereka tidak mahu datang tapi kerana saya sendiri tidak sanggup melihat wajah mereka yang menyedihkan. Saya tidak mahu menambah beban emosi mereka dan itu akan merosakkan mental saya. Dalam satu keadaan, saya sempat pesan kepada isteri supaya jangan menangis. Kalau nak menangis, lebih baik duduk di rumah je.


Program Jalinan Kasih:
Inilah yang akhirnya menemukan saya kembali dengan isteri dan anak. Sebulan sebelum saya dipanggil ke Mahkamah Rayuan, saya diberi peluang menyertai program Jalinan Kasih yang ditaja oleh sebuah badan NGO untuk makan bersama keluarga. Pihak penjara buat begitu untuk saya buka minda saya, cuba tenangkan diri saya dan mereka jemput isteri dan anak saya. Mereka jemput keluarga saya datang tapi mereka tak nak datang sebab dari awal saya tak dapat sedikit pun pengampunan dari ibu dan ayah saya. Bila saya sangkut kes, keluarga saya dah buang saya jauh-jauh. Saya fight sendirian, hanya anak dan isteri saya yang beri sokongan penuh kepada saya.

Ikutkan saya tak bagi datang sebab susah pada isteri saya nak naik bas. Bila isteri saya dapat jumpa dan menangis di bahu saya, saya marah kenapa nak menangis. Walaupun gari telah dibuka tapi dikawal ketat dengan pegawai bersenjata. Semua dalam kawalan pihak penjara. 

Saya faham apa yang isteri saya rasa. Dia pernah cakap, dia sudah penat, tak tahan lagi memikul dua peranan sekaligus — sebagai isteri dan suami serentak. Dalam masa yang sama, dia menghidap kanser hati dan asma kronik. Dia tidak boleh makan ubat kerana ubat asma boleh mengaktifkan sel kansernya. Dia rasa hidupnya sudah tidak lama lagi. Rasa tertekan, letih, dengan rawatan hospital membuatkan dia semakin murung. Semua itu menyeksa jiwa saya kerana saya hanya mampu melihat dari jauh tanpa dapat membantu.


Selepas pertemuan itu, saya demam teruk kerana terlalu banyak berfikir dan tidak boleh tidur. Sampai satu masa, saya berdoa kepada Allah SWT:
'Takkan takde satu pun kebaikan yang aku buat di atas muka bumi ini, sampaikan Kau menjatuhkan hukuman yang begitu lama, tinggalkan tanggungjawab yang begitu besar aku dekat orang tanpa aku boleh menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang anak dan juga suami kepada anak dan isteriku?' — Pada ketika itu, kekecewaan saya terhadap hukuman yang begitu lama benar-benar mematahkan semangat saya.


Tak lama.. dalam masa sebulan selepas itu, saya dipanggil semula. Alhamdulillah.. tapi kali ini saya pesan kepada isteri saya supaya tidak datang. Saya takut jika keputusannya kekal akan mengecewakan mereka. 


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.

@RemajaPurba: ..

Saturday, November 22, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 8]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Kisah ini bermula apabila saya menjalani hukuman penjara selama lima tahun selepas rayuan saya ditolak di Mahkamah Tinggi. Disebabkan tempoh hukuman yang lama, saya telah memohon rayuan di peringkat mahkamah yang seterusnya.

Secara umumnya, proses mahkamah mempunyai tiga peringkat berikut:
    • Mahkamah Seksyen
    • Mahkamah Tinggi
    • Mahkamah Rayuan
Jika sesuatu kes bermula di Mahkamah Tinggi, proses rayuannya akan berakhir di Mahkamah Persekutuan yang diadili oleh lima orang hakim.




Selama lima tahun melalui proses perbicaraan dan rayuan, perjalanan saya berakhir dengan keputusan rayuan ditolak di Mahkamah Tinggi. Saya akan ditempatkan semula di bawah kuarantin selama tujuh hari dan tidak dibenarkan turun ke blok. Setiap kali prosiding ditangguhkan atau ditunda, proses yang sama berulang. Prosedur kuarantin ini dilaksanakan ke atas mana-mana banduan yang keluar dari kawasan penjara sebagai langkah keselamatan — bagi mengelakkan penyeludupan barang terlarang, khususnya dadah masuk semula ke dalam penjara. Dalam tempoh itu, banduan akan melalui pemeriksaan tertentu.


Walaupun kes saya berbeza, saya tetap kena melalui prosedur kuarantin yang ditetapkan. Setiap kali dikuarantin, saya ditempatkan di bahagian chamber, iaitu kawasan berhampiran sel asingan. Bangunan chamber ini turut menempatkan ruang pelaksanaan hukuman gantung dan bilik yang saya duduki merupakan bilik yang pernah digunakan untuk penahanan Mona Fandey sebelum hukuman dijalankan. Sepanjang tempoh kuarantin itu, saya mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam disebabkan adanya 'gangguan'. Rasa tidak tenteram itu berlarutan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.

Sebagai banduan yang dikategorikan sebagai perhatian khas, saya dikuarantin secara bersendirian dan tidak dibenarkan ditempatkan bersama banduan lain. Saya juga menjalani hukuman dalam tempoh yang panjang di penjara dengan pemeriksaan pegawai dilakukan setiap tiga puluh minit bagi tujuan pemantauan berterusan.


Menunggu selama lima tahun untuk keputusan mahkamah akhirnya berakhir dengan hukuman saya dikekalkan, meninggalkan rasa kecewa yang amat mendalam. Pada waktu itu, anak saya berusia empat tahun dan isteri yang merupakan suri rumah sepenuh masa, terpaksa berjuang sendiri tanpa sokongan tambahan dari keluarga terdekat. Keadaan ini amat mencabar dan penuh kesusahan.

'Isteri saya ni tak pandai bawa kereta, pandai naik bas. Hari tersebut, dia bawa beg baju dan anak naik bas sampai ke seksyen 16, naik grab pergi ke mahkamah tinggi mengharapkan suaminya pulang selepas lima tahun duduk di dalam penjara tapi keputusan yang sampai itu adalah keputusan yang mengecewakan'.  Masa ni kami di dalam dewan rasa sebak dan rasa sayu bila beliau menceritakan keadaan ketika itu.

Saya kemudian terpaksa kembali ke penjara untuk meneruskan baki hukuman. Saat itu, melihat anak saya, soalan pertama yang dia ajukan kepada seorang sahabat saya yang hadir pada waktu itu, 'Pakcik, abah saya macam mana?'. Inilah hakikat yang saya kena terima. Saya hanya mampu memeluk dan menciumnya seketika tapi tidak dapat bersama dengannya kerana terpaksa kembali ke penjara dalam keadaan kecewa yang mendalam.


Proses menjalani hukuman ini sangat perit dan saya berharap agar kamu tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jangan mengikut 'contoh' saya semata-mata untuk menjadi penceramah atau tampil di pentas. Hakikatnya, Allah SWT yang menentukan perjalanan hidup saya seperti sekarang ini. Saya husnuzon dan terima sepenuhnya ketentuanNYA sambil berusaha melakukan yang terbaik dalam berdakwah kepada masyarakat mengenai bahaya pelanggaran integriti.


- Bersambung dalam entry akan datang -


@RemajaPurba: ..

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 7]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sebagai penceramah dan motivator profesional bertauliah, beliau tampil berkongsi pengalaman serta memberi pencerahan berkaitan isu integriti dalam perkhidmatan. Dengan satu niat — untuk memperingatkan bahawa amanah yang dipikul bukan sekadar tugas tetapi satu tanggungjawab yang menentukan maruah diri dan organisasi.


Sambungan dari [SINI]

Kisah Benar:
Saya pernah datang memberi ceramah tapi bila tiada kesedaran diri dan tiada nilai integriti, bila mereka terasa apa yang saya sampaikan 'kena batang hidung' sendiri, mereka bangun dan meninggalkan saya di hadapan pentas. Sedangkan tujuan saya hanyalah untuk berkongsi dan mengingatkan tentang bahaya perbuatan itu dan SPRM pun sebenarnya sudah lama tahu — hanya menunggu masa untuk bertindak.

Malangnya, ada yang menuduh saya datang bercerita kerana dengki, iri hati, seolah-olah saya berdendam kerana saya sendiri pernah dikenakan tindakan. Kononnya saya cemburu sebab mereka kini hidup mewah? Saya tak pernah peduli pun apa yang mereka ada.




Apa yang saya mahu hanyalah menyampaikan satu perkara:
Sedarlah bahawa perbuatan itu salah tapi itulah sikap sesetengah orang — enggan mendengar penjelasan, cepat menghukum dan lebih mudah menuduh saya sebagai tali barut SPRM hanya kerana saya sepatutnya menerima hukuman penjara yang lebih lama.

Jadi bila mereka nampak saya keluar awal, itulah puncanya mereka menuduh saya sebagai 'hantu SPRM'. Kononnya mesti ada sebab saya dibebaskan lebih awal dari penjara. Kadang-kadang nak je saya maki sebab saya pun ada mulut. Mereka tak hidup dengan saya, mereka tak tahu apa yang saya lalui.

Saya datang untuk bagi ceramah hanya kerana seorang sahabat meminta saya berkongsi pengalaman — pahitnya melalui situasi itu. Pengarah mereka sendiri yang memanggil saya untuk beri taklimat kepada stafnya. Katanya, 'Kau saja yang boleh jelaskan perkara sebenar sebab budak-budak ni tak faham. Mereka masih ikut tradiri, cara orang lama'.

Dengarlah dulu.. saya bukannya datang untuk mengutuk atau menuding siapa yang ambil. Saya cuma mahu menjelaskan perkara sebenar dan kesannya tapi mereka tetap menolak, malah menidakkan perkara itu.


Macam saya masuk kerja dulu, tradisi itu memang sudah wujud. Saya hanyalah penyambung warisan. Kalau ikutkan takkan saya kena, takkanlah saya boleh dilabel sebagai 'mastermind'.


Kenapa saya yang kena?
Sebab saya terlibat dalam tradisi itu. Kalau saya tak ambil, kalau saya menolak sejak awal, saya tidak akan ditahan. Saya tak pernah minta apa-apa imbuhan, saya tak rasa bersalah — tapi kerana saya tetap mengambil walaupun diberi, di situlah silapnya. Nampak tak.. perbuatan itu nampak simple saja.

Sebab itu jangan terlalu 'aktif' sangat. Terlebih aktif pun boleh jadi 'marking' kepada jalan cerita yang tidak baik dan perkara-perkara yang berisiko.


Satu Pesanan.
Jika kamu dipanggil oleh SPRM untuk siasatan, pergi jelah jangan takut. Kita takut kerana kita buat tapi kalau kita tak buat InsyaAllah kita tidak akan direman. Jadi, pilihlah untuk sentiasa menjaga integriti dan mematuhi undang-undang.


- Bersambung dalam entry akan datang -

@RemajaPurba: ...

Friday, November 21, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 6]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Untuk yang baru membaca entry ini, disarankan rujuk dahulu entry sebelum ini. Terdapat beberapa siri yang telah aku kongsikan dan sekarang masih ada beberapa lagi dalam draft akan aku kongsikan untuk bacaan bersama. Ceramah yang aku hadiri pada 13 November 2025, membuatkan aku ingin kongsikan apa itu TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi  Guarantee Money  dengan izin dari empunya badan.

Sambungan dari [SINI]


GUARANTEE MONEY atau MONEY SETTING


Kisab Benar:
Pada Mei 2011, saya telah dituduh di mahkamah atas 31 pertuduhan yang melibatkan kemasukan warga asing ke Malaysia tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Tiga hari selepas itu, saya menerima surat penahanan kerja. Bermulalah satu fasa baru dalam hidup saya, di mana saya tidak lagi dibenarkan hadir ke pejabat dan gaji hanya dibayar separuh kerana terlibat dalam prosiding mahkamah.


Bagaimana boleh timbul 31 pertuduhan?
Semua berpunca daripada transaksi wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank yang bukan milik saya tapi milik ejen. Ejen ini terlibat secara langsung dalam kartel, bertindak sebagai orang perantara untuk 'guarantee money'. Dia mengumpulkan wang itu, menyerahkan bahagian kita dan mengekalkan bahagiannya sendiri. Ejen ini juga bekerjasama dengan pegawai yang terbabit.

Konflik berlaku apabila ejen tidak berpuas hati disebabkan pengurangan daripada pihak pelanggan. Perselisihan ini akhirnya membawa kepada laporan kepada media oleh salah seorang yang kecewa. Ejen yang ditahan SPRM pula tidak dikenakan pertuduhan, malah ditukarkan menjadi saksi kerana dia yang membuat laporan.

Jangan mudah percaya kepada orang tengah seperti ini.
Sikap ejen yang dididik oleh kartel adalah untuk mencipta peluang atau 'engagement' dengan pegawai berkepentingan bagi membina hubungan. Dia bermula sebagai kawan, kemudian membawa kepada 'tolong adjust'. Kadang-kadang, dia bagi tugasan yang mudah dahulu kemudian tugasan lebih sukar. Kita yang termakan sedikit demi sedikit akhirnya terjerumus ke situasi yang lebih parah sehingga menjadi ancaman kepada kita. Kita tak boleh nak menolak walaupun tahu ia salah di sisi undang-undang. Dari awal, kita sudah tergadai kerana mengambil perkara yang nampak simple tapi membawa implikasi besar.


GUARANTEE MONEY ini apa?
Secara ringkas  wang jaminan yang dibayar untuk memastikan sesuatu kepentingan atau urusan berjaya, biasanya dalam rangka hubungan tidak rasmi antara pegawai dan pihak tertentu.

Bila seorang melanggar peraturan, orang lain akan ikut. Perlanggaran kecil seperti ini menimbulkan penyalahgunaan etika dan berpotensi membesar jika dibiarkan kerana ia menjadi asas kepada pelanggaran yang lebih serius. Itulah yang saya lihat sewaktu berkhidmat dalam jabatan kerajaan.

Sebab itu, saya ingin pesan kepada semua pegawai, sama ada di agensi kerajaan atau swasta  jangan sekali-kali melanggar integriti, walaupun sekecil mana. Sekali kamu langgar, ia membuka ruang kepada pelanggaran yang lebih besar, bermula daripada tindakan kamu sendiri yang kadang-kadang tidak disedari.

Jadi, apabila saya dikenakan 31 pertuduhan, ia berkait dengan kartel yang wujud iaitu berhubung dengan 'guarantee money'. Walaupun ramai mungkin tidak perasan, perkara ini masih berlaku, contohnya di pintu masuk negara dengan adanya 'kaunter setting'. Dulu ia dikenali sebagai 'guarantee money', sekarang nama ditukar kepada kaunter setting - sama ada je keadaannya, sama je fitrah kejadiannya.


Kalau ditanya kenapa sampai 2025 perbuatan itu masih wujud?
Ini isu kartel. Peluang untuk melakukan perbuatan tersebut memang ada dan sesiapa yang berjaya mencipta ruang di situ boleh menghasilkan perbuatan yang jahat itu tapi jika kamu menolak untuk bersekongkol dengan kartel, kamu bebas daripada terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.

Ambillah kisah ini sebagai peringatan - bukan untuk menuding sesiapa tetapi untuk mengingatkan kita tentang pentingnya memilih jalan yang betul sejak awal.

- bersambung -

Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.

@RemajaPurba: ..

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...