Followers Remaja Purba

Friday, November 29, 2024

SEMAKIN BANYAK KAWASAN DINAIKI AIR


28 November 2024 - Khamis (26 Jamadilawal 1446H)

Malam..
Hujan semakin lebat. Laluan masuk ke taman perumahan telah dinaiki air. Laju je air melepasi taman, longkang melimpah dah airnya.


29 November 2024 - Jumaat (27 Jamadilawal 1446H)

Pukul 2:00 am..
Hujan masih belum berhenti.

Rumah jiran..

Pagi.. 6:30 am..
Hujan renyai-renyai..

Malam tadi, airnya jernih je.
Pagi ni, dah macam air teh susu warnanya.
Gambar kiri - laluan masuk ke taman perumahan kami
Gambar kanan - tepi lorong rumah aku
Longkang bahagian hadapan dan belakang rumah telah dipenuhi air.

Hujung itu lorong pertama dan depan ni lorong kedua.

Rumah hujung sekali tu keseluruhan rumah telah dinaiki air, rumah yang lain, air baru masuk di bahagian dapur. Setakat ini, lorong kedua, baris rumah aku, air belum memasuki kawasan rumah.

Hujung sana itu jalan keluar, seberang jalan pun sama dinaiki air.
Jalan utama hadapan jalan masuk ke taman kami ni, rosak berlubang.
Kebun kelapa sawit di bahagian kiri, kanan dan depan taman kami telah dipenuhi air.


Aku mengambil keputusan untuk cuti kecemasan. Aku mesej boss besar..
'Keliling kawasan taman perumahan saya dah dinaiki air sejak malam tadi, Hujan masih belum berhenti + air belum surut. Saya tak berani nak drive, takut kereta pulak rosak (kereta dah purba)'

Ini pula laluan di pekan berhampiran, dah macam sungai besar keadaannya.


Petang.. 5:30 pm..
Alhamdulillah, langit mendung tapi hujan dah berhenti. Sepanjang laluan dalam kampung di sini, ada kawasan telah pun surut tapi parit utama masih lagi penuh. 

Buat mereka yang dilanda musibah ini, kuatkanlah semangat walau dah tak sekuat mana. Moga semua urusan berkaitan dipermudahkanNYA. Aamiin..

#RemajaPurba: Banjir hari ini.. tidak seteruk seperti di SINI..

Wednesday, November 27, 2024

TELUR AYAM 'DOUBLE YOLK'


Teruja sekejap..
Hampir separuh dari sepapan telur ayam yang en. Hubby beli mempunyai bahagian kuning berganda (double yolk). Segelintir orang akan buang telur yang mempunyai double yolk ini, mereka mungkin fikir akan memberi kesan tidak elok pada diri.

Aku..?
Wah.. untung aku, seolah-olah aku makan telur dua biji sedangkan hanya sebiji telur yang aku guna.

Telur pertama 'sempurna'
Telur kedua memiliki 'dua ovum'

Kejadian ini merupakan ketidaknormalan proses pembentukan sebutir telur kerana ada dua ovum (sel telur) yang terovulasi secara bersamaan atau hampir bersamaan - sumber en. Google -


'Ibu ayam tu yang sepatutnya dapat kembar tapi kau dah pecahkan telunya, jadi tak dapatlah ia anak kembar' 😆


Catatan terdahulu..
Penangan Pisang Kembar di SINI..
Makan Pisang Kembar akan dapat Anak Kembar di SINI..


Walau apa pun mitosnya, selagi tak rosak atau busuk, aku anggap ia masih dalam keadaan baik dan boleh dimakan; satu pembaziran jika aku buang. 'Tak perlu membazir, bukan senang nak cari duit demi sesuap nasi'.

#RemajaPurba: Hujan lebat pagi tadi..

Wednesday, November 20, 2024

LELAKI DIUJI KETIKA BANYAK DUIT

 
20 November 2024 - Rabu (18 Jamadilawal 1446H)


Lelaki diuji ketika banyak duit, maka habiskan duit suami supaya tidak diuji.
Isteri diuji saat tiada duit, maka ambil duit suami.
Jadi.. langsung dua-dua tiada ujian.


Bila en. Hubby tiba-tiba bertanya pada anak-anak..
'Kalau Babah ada banyak duit, korang nak ikut babah ke ibu?'
'Dah tentulah dorang ikut ibu..' Aku menyampuk.
'Kenapa pulak..?'
'Sebab semua duit abang yang banyak tu sayang dah ambil, jadi anak-anak akan ikut ibu dia ni'.
'Amboi, mata duitan sungguh..'
'Tapi.. sebab abang belum kaya, itu yang kami kena tinggal dengan abang..' 😆

Kadang-kadang, gurauan kasar boleh mematikan niat suami. Hal yang mungkin bagi suami kecil tapi bagi isteri boleh meninggalkan kesan dalam hati, itu yang bila bergaduh boleh diungkit semula.

Aku..?
Selagi boleh sabar, aku layankan aje.
Pada siapa lagi dia nak habiskan duit jika bukan pada kami seperti di SINI..

#RemajaPurba: Usah jadi pembaris..

Sunday, November 17, 2024

KAU PERNAH DENGAR - LAW OF FAMILIARITY?


The Law of Familiarity is a psychological principle that states people tend to choose what is familiar over what is better. - en. Google -

Bila kita berada bersama pasangan untuk satu tempoh, kita mula kurang hargai dia. Bukannya kita dah tak kisah tapi kita dah terbiasa. Kita pun dah tahu serba-serbi pasal dia dan akhirnya dia jadi kurang penting. Memang dalam hati, kita tahu dia penting tapi lama-lama ia jadi perkara yang sekadar kita tahu dan bukan lagi satu perkara yang kita kena rasa dalam hati. Tapi ramai orang lupa yang emosi dan perasaan cinta itu perlu kita siram setiap hari.

'Kau pernah dengar pasal Law of Familiarity?' di SINI..


Like any muscle, if you don't use it, you lose it. Hubungan suami isteri ini banyak bergantung pada rutin harian mereka. Kalaulah setiap hari balik rumah, kita bagi salam dan kemudian buka tv atau balas emel atau mengadap handphone, kita boleh agak macam mana rupa hubungan itu lagi lima tahun.

Silap suami bila dia banyak lepaskan tanggungjawab kepada isteri. Jangan biarkan isteri terlalu berdikari, jangan biarkan isteri terkontang-kanting buat sendiri, hingga sampai satu tahap, isteri sampai anggap suaminya itu tidak wujud dalam rumahtangga.

Dalam perkahwinan, proses saling mengenali adalah sepanjang hayat. Pasangan kita adalah anugerah dariNYA, hargailah dia dan luangkan masa untuk terus mencipta kenangan yang manis bersama. Perkara ini kena bertepuk dua belah tangan, it takes two to tango. Kalau seorang berusaha, lagi seorang tak peduli, hubungan tu tak kemana, silap-silap hi hi bye bye akhirnya. Pokoknya.. komited!

Kena sentiasa beringat, mengurus rumahtangga itu pemimpinnya adalah suami, isteri hanya menyokong dan membantu sahaja.

#RemajaPurba: Bertahan selagi mampu..

Friday, November 15, 2024

SUAMI TAKKAN TIDUR BILA ISTERI YANG MEMANDU


ALASAN KENAPA TAK YAKIN BILA ORANG PEREMPUAN YANG PANDU KERETA?
Orang perempuan ni kurang situational awareness, sebab dia biasa multi task. Sekejap² dia akan terkejut atau tak perasaan satu² benda tu waktu memandu. Benda lain dia nak multi task takpe, goreng ikan sambil cuci baju ke, ini takpe tapi memandu ni melibatkan nyawa, memang kena sentiasa bersedia untuk kecemasan. Jika berlaku kemalangan, dah tak boleh ulang dua kali, nyawa kita satu je. Perempuan kalau berlaku kecemasan, mulut buka dulu - menjerit tetapi lelaki kalau berlaku kecemasan, tangan bertindak dahulu. Apa-apapun hargailah perbezaan ni, masing-masing sudah diberi kelebihan oleh Allah tapi kalau bab memandu ni, lebih selamat bagi orang lelaki yang drive.
- sumber En. Google - 


Aku..?
Setiap kali memandu kereta dan en. Hubby menjadi 'Pegawai JPJ' di sebelah, aku belum tekan brek, dia dah tekan brek dahulu 😅.. Sama juga bila dak Adik duduk sebelah aku, 'Ibu, breklah bila dia tengok aku 'lambat' nak brek..' 

En. Hubby tak percayakan aku boleh memandu kereta?
Sejak kejadian yang terjadi ke atas diri aku di SINI.. rasa percaya mereka sedikit kurang. Namun begitu, memandangkan tempat kerja jauh dan tidak sehala dengan en. Hubby, setiap hari tawakkal dan berdoa kepadaNYA agar perjalanan pergi dan balik selamat.

Jujurnya sekarang aku 'takut' untuk memandu tapi demi tugas, aku kena kuat dan kekal tenang waktu memandu.

#RemajaPurba: ...

Thursday, November 14, 2024

HIDUP BERSAMA COVID-19 | PEMAKAIAN PELITUP MUKA


TAHUN 2022
Keranamu COVID-19, kau buat aku menangis dan tertekan di SINI.. Sungguh kelam-kabut jadinya tapi aku sangat berterima kasih kepada guru kelas dak Kakak yang berusaha memastikan semua pelajar yang terkesan dapat mengambil peperiksaan tanpa ada yang keciciran.


Kini.. TAHUN 2024 
Cuba untuk sampaikan mesej yang masa sekarang berlalu terlalu pantas.

'Kenapa kau pakai mask, kau tak sihat ke?'
'Sebab aku dah terbiasa, rasa pelik kalau tak pakai mask'.
'Tapi.. covid kan dah lima tahun berlalu'.

Sehingga kini, selain dari berjumpa doktor, aku masih mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat kerja. Mana yang jarang berjumpa atau ternampak aku pasti soalan 'tak sihat ke?' menjadi pembuka bicara. 

Sebenarnya, pemakaian pelitup muka di tempat kerja ni kerana nak mengurangkan dari terhidu bau yang kurang sedap. Sebagai contoh: bau rokok, bau mulut 🤣😆 .. Aku..? Biarlah orang nak kata apa, janji aku selesa dan kerja hakiki aku berjalan tanpa sebarang masalah.

===============================================

Berkuatkuasa pada 15 Julai 2024 yang lepas..

Malaysia sekarang berada dalam situasi yang lebih baik dan bersedia untuk peralihan fasa hidup bersama COVID-19. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengemaskini keperluan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ('Hone Surveillance Order' - HSO) serta keperluan pemakaian pelitup muka.


di SINI..
HIDUP BERSAMA COVID-19


PENGURUSAN KES POSITIF COVID-19
  • Tiada lagi Home Surveillance Order (HSO) diberikan. Individu yang positif COVID-19 akan dirawat sama seperti jangkitan saluran pernafasan yang lain.
  • Elakkan interaksi rapat dengan orang lain.
  • Sentiasa mengamalkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan kesihatan awam.
  • Segera ke fasiliti yang terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk.


di SINI..


PEMAKAIAN PELITUP MUKA:
  • Individu disahkan positif COVID-19 dan perlu meminimumkan interaksi sosial serta mengelakkan tempat sesak.
  • Individu yang bergejala seperti batuk dan selesema, terutama ketika berada di fasiliti kesihatan atau tempat yang sesak dengan pengudaraan yang kurang baik.
  • Petuga kesihatan ketika berada di fasiliti kesihatan, terutama semasa menguruskan pesakit selaras dengan amalan kawalan dan pencegahan jangkitan.

Pemakaian Pelitup Muka amatlah digalakkan - membantu mengurangkan risiko penularan COVID-19



Kisah benar..
Ada seorang ketua ni, bagi nasihat pada orang 'Kalau tak sihat pakai mask, takut nanti berjangkit' tapi bila dia sendiri yang tidak sihat, takde pula nak pakai pelitup muka. Pandai nasihat orang tapi diri sendiri tak buat. 

#RemajaPurba: Prevention is better than cure..

Wednesday, November 13, 2024

PROSES PENUAAN YANG NORMAL


13 November 2024 - Rabu (11 Jamadilawal 1446H)

Semakin meningkat usia, apa yang boleh dibuat ketika zaman Budak Purba kini mula perlahan-lahan meninggalkan aku. Tahap kecergasan mula menurun kerana dah lama tak bersenam. Jika dulu bukan main #PerasanSlim, sekarang #MakinMengembang tak menguncup rupanya. 🤣😆

I'm at the age where I use my phone to take picture of labels that I can't read and use my phone to enlarge the print so I can read it. 
I thought I was a genius thinking that up..


Bila melibatkan tahap penglihatan pula..
'Ibu ni, kena pakai cermin mata dah ni..' Bila ku minta bantuan dak Nuha.
'Ibu tu tak sedar dia dah tua..' en. Hubby berkata.
'Abang yang dah tua, sayang muda lagi..' Tak nak kalah Mak Budak..
'Cuba tanya anak-anak, muda ke tua..?'
'Ibu muda lagi..' Nah.. dak Nuha sendiri kata ibu muda.
'Itu nak jaga hati je sebenarnya..' 

Perubahan penglihatan adalah sebahagian daripada proses penuaan yang normal. Jadi.. Mak Budak mohon sedar diri yang kau mula melalui fasa 'rabun'.. 🤣

Cermin mata..?
Aku belum lagi membuat pemeriksaan mata untuk mengetahui tahap kesihatan mataku. 

#RemajaPurba: ...

Monday, November 11, 2024

BILA-BILA MASA MEREKA AKAN BERPALING TADAH


11 November 2024 - Isnin (9 Jamadilawal 1446H)

Rule of Work di SINI..
Apabila berada di tempat kerja, jangan mudah percaya pada sesiapa. Jika join group whatapps, berhati-hatilah bila bersuara, bila-bila masa je mereka akan berpaling tadah screenshot perbualan kita itu. Kita takkan tahu ke mana perbualan itu akan pergi dan lebih teruk, bagaimana ia akan 'diedit'.

Dengan rakan di tempat kerja..
  • Jangan kutuk kawan lain
  • Jangan cerita masalah peribadi
  • Jangan kongsi pencapaian yang diterima
  • Jangan jadikan kawan rapat
  • Cukuplah borak hal kerja dan isu semasa, benda positif, hobi tetapi bukan isu sensitif
  • Keep professional, rakan kerja hanyalah rakan kerja
  • Keep boundaries between them.

Tanda kau semakin purba..
  • Kau mula banyak bersabar
  • Tidak mengikut kata hati
  • Malas nak melayan hal-hal yang menyakitkan hati

Apa yang dah lepas, biarlah ia berlalu pergi. Tak usah dikenang kerana akan menyakitkan hati. Percayalah.. hidup akan menjadi lebih aman dan harmoni.

===========================================

Mak mertua myBoss meninggal tengahari tadi, la ni deme satu family dalam perjalanan balik kampung di Kedah. Salam takziah buat myBoss dan keluarga. Moga semua urusan berkaitan dipermudahkanNYA dan moga selamat pergi dan balik.

#RemajaPurba: Pernah ada seseorang yang istimewa di hati.. di SINI..

Sunday, November 10, 2024

DIA INGAT DALAM DUNIA NI SEMUA FREE AGAKNYA

 
Isteri tahu bila suami tiada duit tapi suami tak tahu bila isteri tiada duit. Suami ingat duit yang diberi kepada isteri tak habis-habis. Pastu dia tanya.. 'Eh!Takkan dah habis?' Dia ingat semua benda dalam dunia ni free agaknya. - sumber en. X -

Tidak jatuh miskin jika suami membelanjakan duit dan menggembirakan isteri dan anak-anak, Makin bertambah rezeki bila kau tidak kedekut dengan mereka. Duit yang diminta oleh isteri bukan untuk dirinya tetapi untuk mencukupkan keperluan dalam keluarga. Jangan jadikan isteri sebagai hamba tapi layanlah sebaiknya pasti kau akan bahagia.

Tarik nafas dalam-dalam, hembus perlahan-lahan.

Aku..?
Bila aku minta duit dari en. Hubby dan dia tak bagi.. takpe. Nanti aku minta lagi. Minta sampai dapat. Mana lagi tempat dia nak habiskan duit kalau bukan pada aku dan anak-anak.

#RemajaPurba: Jangan jadi pembaris..

Thursday, November 7, 2024

KAWASAN BELAKANG RUMAH DI KAMPUNG MAK


02 November 2024 - Sabtu (30 Rabiulakhir 1446H)

Malam..
Memulakan perjalanan balik kampung MakBudak di selatan. Sepanjang perjalanan tersebut, semua pakat tak tidur sebab aku yang pandu kereta 😆 Aku lagi suka deme tak tidur sebab aku ada kawan sembang. 'Kitorang sanggup tak tidur kalau ibu yang pandu, takut. Ibu pandu laju..'

Aku pandu berhemah deme kata laju, kalau en. Hubby yang pandu deme pakat tidur, mana nak sedar laju ke tidak. Sebenarnya, jadi macam ni sebab aku pernah kemalangan awal tahun 2018 di SINI.. deme risau jadi macam tu. نَعُوْذُبِاللهِ مِنْ ذَالِكَ


03 November 2024 - Ahad (01 Jamadilawal 1446H)

Tengahari..
Balik kampung mak aku, jumpa mak, pakNgah. Lama tak balik jenguk orang tua. Alhamdulillah.. deme sihat dan moga terus kekal sihat dan kuat dalam menjalani rutin harian.

Kali ni ada perubahan besar telah berlaku di kawasan belakang rumah di kampung mak.

Pemandangan di bahagian belakang rumah
Luas dan lapang dah tanah ni

Tanah ni dahulu adalah kebun getah. Arwah atok dan uwan aku pernah bekerja menoreh getah. Di sini jugalah tempat aku dan adik mengutip biji getah untuk dibuat main sambil menemani makBusu menoreh getah.

Aku dan adik aku membesar di sini. Kalau waktu itu aku ada camera, pasti banyak gambar yang boleh aku kongsikan. Banyak kenangan yang tertinggal.. Rindunya aku dengan suasana dulu, zaman Budak Purba yang innocent. Membesar dalam suasana kampung yang jauh dari hiruk-pikuk kota. 

Dulu di sana ada kolam ikan..

Kawasan belakang rumah arwah atok dan uwan aku yang kini diduduki oleh mak dan PakNgah aku, telah dibersihkan oleh tuan tanah untuk penanaman pokok durian. Aku tak teruja sebab bukan buah kegemaran aku, lainlah buah-buahan tempatan yang lain. Memang tersandar kekenyangan dibuatnya.

Malam..
Selamat sampai rumah selepas berhadapan dengan kesesakan jalan raya. Alhamdulillah.. kali ni en. Hubby yang pandu kereta. Aku dan anak-anak.. tidur.. hahaha..

============================================

Sepanjang minggu ini, rutin harian tidak banyak berubah. Belum rajin untuk update selalu di sini tapi perlahan-lahan aku cuba tinggalkan jejak di teratak kawan-kawan. 

#RemajaPurba: ...

Friday, November 1, 2024

ORANG KATA KALAU NAMPAK DIA PAKAI SELEKEH..


31 Oktober 2024 - Khamis (28 Rabiulakhir 1446H)

Cuti umum.. Hari Deepavali.

Aku pun turut bercuti. Cuti dari memasak dan tugas diambil alih oleh #ChefHubby. Menu pilihan kali ini, Asam Pedas Ikan Pari. Alhamdulillah.. senang kerja MakBudak hari ni, makan aje kerjanya.

Asam Pedas Ikan Pari

Bendi wajib ada, anak-anak penggemar sayur ni


Petang..
Bosan di rumah, jom keluar. Boleh pulak dak Nuha request nak Roti Boy waktu ibunya ni pakai macam budak sekolah. Dengan hanya t-shirt, tracksuit, selipar, tudung hanya lilit silang atas bahu je aku pakai masuk dalam shopping mall. 'Ibu ni biar betul, pakai macam ni nak masuk mall'. 'Kalau Nuha malu, pakai mask'. Babahnya pulak sengaja nak kenakan aku.. kahkahkah..

'Roti Boy' terdekat ada di sini

Hanya kami bertiga

Aku tak minat dengan tempat tumpuan ramai tapi demi anak dan anak tekak aku sendiri, beli tetap beli, malu tolak tepi. Sepanjang jalan kami berada di kiri dan kanan en. Hubby.. 'Biar kita malu bersama..' 😆


Orang kata..
Kalau nampak dia pakai selekeh masuk shopping mall, maksudnya rumah dia dekat situ aje.

Orang kata juga..
Orang sempoi ni banyak duit..
Aamiinkan aje..


====================================================


30 Oktober 2024 - Rabu (27 Rabiulakhir 1446H)

Tol Percuma Sempena Perayaan Deepavali selama dua hari mulai 29 Oktober 2024 hingga 30 Oktober 2024 (Selasa dan Rabu)

Alhamdulillah.. rezeki, jimat duit tol aku pergi dan balik kerja untuk dua hari tersebut.

Terpakai di semua lebuh raya KECUALI plaza tol lebuh raya di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.


#RemajaPurba: Esok nak balik kampung..


Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...