Friday, November 21, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 5]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Untuk entri kali ini, aku fokus kepada kisah benar — Pengkisahan dari Tirai Besi: Guarantee Money yang disampaikan melalui penceramah iaitu mantan pegawai unit beruniform yang pernah disabitkan bersalah dan menjalani hukuman penjara.


Kisah Benar:
Dalam sebuah laporan akhbar pada Ogos 2010, telah didedahkan kegiatan kartel yang terbongkar melalui maklumat seorang ejen yang menggunakan orang tengah bagi menguruskan urusan dengan sebuah jabatan kerajaan. Laporan tersebut turut menghuraikan bagaimana kartel di pintu masuk negara beroperasi, termasuk dakwaan berlakunya pemberian habuan besar kepada pegawai tertentu. Inilah titik permulaan kepada pendedahan berskala besar.

Pada ketika itu, Dato’ KP baharu bagi jabatan berkenaan telah dilantik menggantikan Dato’ KP sebelumnya yang direhatkan akibat isu salah guna kuasa. Kehadiran beliau membuka semula beberapa isu tertunggak dan susulan pendedahan tersebut, seramai 20 orang pegawai telah diarahkan untuk bertukar serta-merta.

Ketika kejadian berlaku, saya sendiri sedang bertugas di salah satu pintu masuk utama warga asing ke negara ini. Apabila arahan pertukaran besar-besaran itu dikeluarkan, nama saya tidak tersenarai — dan waktu itu saya benar-benar berasa lega.


Diceritakan semula berdasarkan pengalaman beliau.


Punca sebenar saya tidak ditukarkan? Kerana saya adalah watak utama dalam cerita ini. Dalam salah satu laporan akhbar, nama saya didedahkan sebagai 'mastermind' dalam kes rasuah berkenaan. Ia menjadi satu fenomena sensasi pada waktu itu kerana kes ini bergerak seiring dengan isu PKSZ Klang. Ketika itu, pihak berkuasa melakukan ambush besar-besaran di pintu-pintu masuk negara dengan pelbagai siri kes. Mereka yang terkena tempias waktu itu memang peritlah.

Saya yang dikaitkan dengan kes tersebut direman oleh SPRM selama enam hari. Namun kisah saya bukanlah tentang tempoh reman itu — tetapi hakikat bahawa saya sebenarnya bukan yang terawal dipanggil untuk siasatan, meskipun saya didakwa sebagai 'mastermind'. Aduan tersebut bukanlah tangkapan mengejut atau situasi di mana saya ditahan ketika memberi duit, sebaliknya ia melibatkan pembongkaran kartel yang didedahkan melalui media.

Siasatan hanya bermula selepas beberapa pegawai diperlukan untuk diambil keterangan. Proses reman pula berlaku apabila terdapat aduan atau penjelasan yang tidak selari serta memerlukan pihak SPRM menjalankan siasatan lanjut terhadap pegawai terlibat.


Isu Guarantee Money ini sebenarnya tidak melibatkan seorang individu sahaja tapi satu pasukan. Ketika saya ditahan, pegawai SPRM yang datang bukanlah individu yang saya jangka, dia ialah kawan baik saya — seseorang yang sudah lama saya tidak bertemu sejak kami berpisah haluan. Rupanya selama ini kawan baik saya itu adalah salah seorang pegawai SPRM yang melakukan undercover bagi mendapatkan maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan.

Kadang-kala kita terlalu percaya pada seseorang hingga semuanya kita nak kongsikan, sedangkan kita sebenarnya tidak pernah tahu siapa dia. Itulah hakikatnya — kita tak boleh menjangka watak sebenar 'kawan baik' kita.

SPRM pula bukan menunggu rasuah berlaku baru hendak menyiasat. TIDAK! Siasatan selalunya sudah lama berjalan dalam diam. Apabila ada sahaja unsur mencurigakan, pasukan mereka sudah pun turun menyiasat tanpa pengetahuan kita. Rekod asas tentang kita mungkin sudah ada, mereka hanya bertindak apabila menerima aduan. Bila aduan itu sampai, biasanya siasatan mereka sudah pun lengkap.


Kisah ini bukan sekadar tentang kesalahan atau hukuman tapi tentang realiti di sebalik sistem, ketelitian pihak berkuasa dan hakikat bahawa setiap tindakan kita, besar atau kecil, ada rekodnya. Ia menjadi pengajaran bahawa integriti dan kewaspadaan tidak boleh dipandang ringan.


- bersambung -

Ok cukup dulu setakat ini, ada banyak lagi.. nanti aku kongsikan di entry akan datang.

@RemajaPurba: ..

Thursday, November 20, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 4]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Selain daripada hukuman penjara dan denda di [SINI], bagi mereka yang terlibat dengan rasuah, ada satu lagi peruntukan yang perlu diberi perhatian. 
Peruntukan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, iaitu Seksyen 165 Kanun Keseksaan - memperuntukkan bahawa seorang penjawat awam melakukan kesalahan jika menerima apa-apa benda berharga tanpa balasan daripada mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Walaupun tidak melibatkan suapan secara langsung tapi kesannya tetap besar kerana ia menunjukkan unsur penyalahgunaan kedudukan dan boleh membawa implikasi undang-undang yang serius.


'AMBIL TANPA BALASAN'.


Sebagai contoh:
Kamu bekerja di agensi kerajaan dan kenal dengan tauke yang besar-besar. Dia cuba menghampiri kamu tapi kamu bertindak tegas tidak berkompromi dengan sogokan dan sebagainya. Bila dah berkawan dengan dia, niat kamu betul dan tiada unsur kepentingan apa-apa. Cuma, bila kamu terdesak dan perlukan duit, kamu tidak minta tetapi pinjam dari dia. Tauke ini pula ada kena-mengena dengan tempat kerja kamu, contohnya sebagai pihak kontraktor yang berurusan untuk mendapatkan pengesahan dari tempat kerja kamu. Bila kamu meminjam, dia pasti akan bagi sebab dia tahu kedudukan kamu di tempat kerja. Kalau kamu bukan siapa-siapa, takdenya dia nak bagi pinjam.


Cuba tanya diri kamu:
Dalam proses itu – kamu pinjam, dia bagi dan ada transaksi masuk ke akaun kamu. Memang niat kamu nak pinjam dan ada pembayaran balik tapi persoalannya, SPRM akan tanya, 'Kalau kamu bukan bekerja di situ, adakah dia nak bagi pinjam?' Itu soalan yang perlu kita tanya pada diri sendiri.

Bila keadaan macam itu berlaku, kita tak minta cuma nak pinjam, ia menjadi ambil tanpa balasan. Bila jadi macam tu, Seksyen 165 Kanun Keseksaan boleh kenakan kamu. Kena berhati-hati.. kalau ada yang bagi bunga atau kek, jangan terima. Kalau terima kek, nilai kek itu – pegawai boleh dikenakan denda RM10,000 atau maksimum 2 tahun penjara. Hukuman nampak rendah tapi kesannya tetap boleh kena penjara.


Satu Kisah Benar:
Seorang sahabat telah terlibat dengan Seksyen 165 Kanun Keseksaan, apabila meminjam duit daripada seorang tauke. Kawan ini hanya kenal dan berkawan baik dengan tauke tersebut. Nak dijadikan cerita, SPRM telah menjejak seorang pegawai polis yang menerima suapan. Dalam proses itu, SPRM menjejak akaun tauke dan mendapati ada amaun yang diberikan kepada pegawai polis tersebut. Pada masa yang sama, akaun itu turut dikesan mempunyai nama sahabat saya. Maksudnya, duit itu pernah dihantar kepada sahabat saya melalui transaksi tauke tersebut. Bukan bermakna dia disabitkan, tapi dia tetap perlu disiasat sekali. Sekarang, dia telah ditahan tugas dan menunggu proses kes untuk dibawa ke mahkamah.

Sayang.. terlalu sayang sebab dia dah mencipta masa itu terlalu lama. Saya kata, lebih baik kau pinjam dari Ahlong daripada pinjam dengan tauke tersebut. Bila kau pinjam dengan tauke yang ada urusan dengan tempat kerja kau, Seksyen 165 Kanun Keseksaan tak boleh dielak sebab ia seolah-olah pengakuan salah. Tak boleh nak kata apa.


Seksyen 165 Kanun Keseksaan bermaksud ambil tanpa mengharapkan balasan.
Kita tak memberi apa-apa balasan kepada dia, cuma menerima pemberian tersebut tanpa imbal balik. Ia boleh dikenakan kepada penjawat awam. Berhati-hatilah. Baca betul-betul undang-undang, fahami benda yang boleh dibuat dan benda yang tak boleh dan jangan lakukan perkara yang salah.


Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.

@RemajaPurba: ...

Wednesday, November 19, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 3]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..



Filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee — Ali Baba Bujang Lapok:
Dalam satu adegan dalam filem ini, digambarkan bahawa selepas menerima gaji, kesemua 40 orang penyamun keluar bersuka ria di bandar. Ada yang mengenakan pakaian hakim, kelasi kapal dan ada yang berpakaian seperti pak imam. Kebiasaannya, para penyamun ini hanya memakai pakaian seluar kuda belang tapi pada malam tersebut mereka menukar penampilan — masing-masing bergaya dengan pakaian seperti pekerja government berpakaian korporat.


Apa sebenarnya yang cuba disampaikan dan apa yang boleh kita pelajari daripada filem ini?
Adegan tersebut bukan sekadar babak lucu atau suka-suka. Ia membawa mesej tersirat tentang 'pemakaian topeng' dalam kehidupan. Watak-watak penyamun itu diwujudkan untuk menggambarkan bahawa seseorang boleh kelihatan segak, bergaya dan meyakinkan di luar — memakai pakaian hakim, kelasi kapal, pak imam, pegawai kerajaan atau pakaian korporat, namun itu tidak semestinya mencerminkan integriti sebenar di belakangnya.


Inilah gambaran yang cuba diselitkan:
Jangan mudah terpesona dengan pakaian, penampilan atau imej luaran. Ada yang kelihatan profesional, kemas dan dihormati tapi dalam diam terlibat dengan pelbagai bentuk jenayah, salah laku atau rasuah. Pakaian boleh menipu mata tapi kelakuan dan nilai seseoranglah yang menentukan siapa mereka sebenarnya.


Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar membuat komedi untuk hiburan:
Beliau sebenarnya mengadaptasi sindiran sosial ke dalam filem, yang mana bila kita tonton, ada adegan itu sedang berlaku pada zaman kita hari ini. Banyak teguran yang beliau sampaikan secara halus — tentang moral, integriti dan manusia yang menyamar dengan imej baik tapi kita sering menonton hanya sebagai cerita tanpa meneliti maksud tersirat yang diberikan. Tegurannya halus tapi sangat jauh ke depan.


Sebenarnya TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi ini panjang lagi, nanti secara perlahan-perlahan aku akan kongsikan — setakat ini dulu yang mampu aku ceritakan. Nanti sambung dalam entry akan datang. Stay tuned..

@RemajaPurba: Sakit lagi pinggang ni..

AdSense

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...