Followers Remaja Purba

Sunday, March 30, 2025

JASMINE DITEMPATKAN SEMENTARA DI HOTEL PENGINAPAN


29 Mac 2025 - Sabtu (28 Ramadan 1446H)

Pagi..
Selesai urusan membeli barang dapur, aku singgah di kedai di pekan untuk membeli pasir kucing. Owner kedai bertanyakan dak Jasmine.

'Macam mana kucing tu, ok tak?'
'Ia ok, yang tak ok ibunya ni, pening kepala nak balik kampung nanti macam mana'.

Tiba-tiba owner kedai memberi cadangan tinggalkan dak Jasmine di hotel. Cadangan tu menarik tapi aku membayangkan harganya pasti mahal.
'Dekat sini berapa RM satu hari?'
'Tak mahal, tapi yang tinggal hanya bilik biasa, itupun dah nak penuh, yang bilik vip dah penuh'. Terkejut aku mendengar harganya, 'Ingatkan mahal macam dekat hotel'.
'Kalau sehari banyak tu, saya boleh pergi haji balik hari kak'. Tergelak owner.

Aku tak pernah survey pun harga bilik penginapan untuk dak Jasmine sebab dok fikir harganya pasti mahal. Tambah lagi nak kena tinggalkan hampir seminggu, bila dicongak-congak duit syiling yang ada, takde cara lain, kena juga bawa balik kampung kerana tiada siapa yang boleh menjaganya.

Aku manalah tahu harga bilik penginapannya satu malam berapa. Rupa-rupanya tidaklah mahal sangat, masih lagi dalam kadar kemampuan aku. [Doakan aku bertambah rezeki lagi ye..]

Selepas mengambil kira kami tiada pengalaman berjalan jauh dengan kucing dan perbincangan di saat-saat akhir dengan en. Hubby, pilihan terbaik dengan menghantar dak Jasmine ke hotel. Rezeki kami, ada pelanggan yang batalkan tempahan penginapan di saat-saat akhir. Walau hanya bilik standard bukan vip room, asalkan tempatnya selesa.

Petang..
Menghantar dak Jasmine ke tempat penginapan sementara. Harap ia tenang-tenang je di situ. Nak ditinggalkan sayang, nak bawa pulang ke kampung takut stress memanjang. Jalan terbaik, kuatkan hati, hantar ke hotel penginapan.

Malam..
Sunyi pula rasa bila dak Jasmine takde.

Kisah dak Jasmine di [SINI]

@RemajaPurba: Mak Budak yang tiada pengalaman menjaga kucing indoor..

Saturday, March 29, 2025

BUBUR LAMBUK KAMPUNG BARU


Ketika zaman Budak Purba dulu, setiap kali bulan Ramadan, ayah aku mesti bawa balik bubur lambuk Kampung Baru. Bubur lambuk yang sentiasa menjadi kesukaan aku ketika bulan Ramadan. 

Bubur Lambuk Kampung Baru

Kini, walau bukan lagi ayah aku yang membawa pulang tetapi aku masih lagi boleh mendapatkannya hampir setiap kali Ramadan. Tahun ini, walau telah bertukar tempat kerja tetapi mereka di tempat lama masih lagi memberi kepada aku. Alhamdulillah.. rezeki. Moga mereka dimurahkan rezeki.


@RemajaPurba: ...

Friday, March 28, 2025

PERIUK NASI DI BULAN RAMADAN


27 Mac 2025 - Khamis (26 Ramadan 1446H)

Hari ini adalah hari Jumaat terakhir di bulan Ramadan dan hari Jumaat minggu hadapan akan berada di bulan Syawal. Moga kita semua sentiasa di bawah lindungan dan rahmat dariNYA.

Sepanjang bulan Ramadan ini, hidangan berbuka dan bersahur menu biasa sahaja, tidaklah sehingga tahap membazir. Kami pun hanya berlima, masak pun seadanya. Aku mengamalkan 'makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan'

Antara barangan elektrik yang memberi kerjasama terbaik ialah periuk nasi.
Dahlah cantik, pendiam, pandai masak pulak tu..
Tapi..
Jika terlupa nak tekan, berbuka puasa dengan lauk ajelah jawabnya.


Jangan terlalu risau dengan rezekimu kerana rezeki itu sudah ditentukan..


@RemajaPurba: Moga kita dapat bertemu lagi Ramadan 1447H.

Wednesday, March 26, 2025

SELAMAT HARI LAHIR MAK


26 Mac 2025 - Rabu (25 Ramadan 1446H)

Alhamdulillah..
Bertemu lagi tarikh ini - 26 Mac..
Mak yang kini berada di kampung masih kuat dalam meledani rutin harian disamping abang dan cucu-cucu tersayang. Maafkan kami Mak kerana tidak dapat bersama hari ini meraikan ulangtahun kelahiran Mak tapi hari raya nanti kami balik kampung. Hanya berbaki empat hari sebelum menyambut ketibaan Syawal.. InsyaAllah.. 


Doa kami dari jauh buat Mak di kampung..

๐Ÿ˜Selamat Hari Lahir Mak ๐Ÿ˜
โ–ช๏ธ Moga dilimpahi rezeki yang melimpah-ruah, berkat dan berpanjangan.
โ–ช๏ธ Moga dikurniakan kesihatan yang baik, dilapangkan dari kesulitan.
โ–ช๏ธ Moga rutin harian dipermudahkanNYA. 
Aaminยณ ๐Ÿคฒ๐Ÿป

Happy Birthday Mak.. ๐ŸŒท


Tarikh ini juga adalah tarikh di mana arwah atok aku pergi meninggalkan kami, sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha ketika itu. Kiranya hari ini ada dua peringatan hari buat aku dan keluarga. 

@RemajaPurba: Moga arwah atok tenang di sana dan buat mak, mak tetap mak.

Saturday, March 22, 2025

JASMINE BAKAL MENJADI KESAYANGAN RAMAI?


05 Mac 2025 - Rabu (04 Ramadan 1446H)

Salah seorang kenalan dari socmed bertanya pada en. Hubby sekiranya berminat untuk mengambil seekor anak kucing, dia nak bagi sahaja tanpa sebarang bayaran.

Aku pula, bila memikirkan komitmen untuk menjaganya membuatkan aku berbelah bahagi untuk menerima. Hati ini belum terbuka untuk menjaga kucing, apatah yang jenis indoor. Tambah lagi baka munchkin.

Kucing yang selalu bertandang di rumah aku pun, biasanya kucing jiran ataupun kucing yang tidak bertuan. Datang mencari makanan dan pergi bila dah kekenyangan.
  • Pernah menjaga kucing sehingga akhir hayatnya.
  • Pernah menangisi kematiannya.
  • Pernah risau ketika balik kampung, bagaimanalah keadaan kucing yang kena tinggal [kucing yang kami jaga bukan indoor].
  • Pernah berpesan dengan jiran dengan meninggalkan makanan agar kucing tidak kelaparan.

TETAPI..
tidak seperti sekarang ni.. menjaga kucing indoor.
Dari Singapura singgah di Johor Bahru.
Selamat tiba di rumah kami pada malam 05 Mac 2025 yang lalu.

Telah disahkan ia kucing betina.

Perkenalkan..
JASMINE yang bakal menjadi kesayangan ramai..


Aku..?
En. Hubby yang berkenan sebenarnya tapi yang menjadi mangsa aku dan anak-anak. Hailaaa.. Babah budak ni.. Nak kucing tapi tak nak jaga. 

'Kucing ni kalau buat hal, saya bungkus kain baju dia dengan abang sekali. Jangan tinggal dengan kami!'.. Aura tak puas hati dari aku buat en. Hubby.

====================================================

22 Mac 2025 - Sabtu (21 Ramadan 1446H)

Hari ini..
Buat pertama kali aku menghantar dak Jasmine untuk sesi grooming bagi ia lawa menjelang raya nanti. 'Kucing pun nak healing juga'.. 'Anak dara kenalah lawa kan..' 

Reaksi anak-anak..
'Untunglah kau Jasmine, ibu beli macam-macam untuk kau, untuk kitorang takde pun..'

Aku..?
Ini pengalaman pertama menguruskan anak kucing macam ni. Dulu kucing yang ada, lepas bebas keluar masuk rumah. Sekarang.. seekor ni pun dah buat aku pening kepala berfikir macam manalah nanti aku nak balik beraya di kampung.

Habis tu, kenapa nak jaga juga?
  • Awal dulu, ia seperti jinak-jinak merpati, bila dekat ia lari'.
  • Sekarang, seperti budak kecil dengan kenakalannya yang tersendiri.
  • Rasa sayang nak lepaskan ia pergi.
  • Bila rasa dah bercambah dalam hati, ia hilang sekejap pun dah sibuk mencari.


@RemajaPurba: Ini semua salah en. Hubby..

Thursday, March 20, 2025

MALAM LAILATUL QADAR


20 Mac 2025 - Khamis (19 Ramadan 1446H)

Moga dengan mengamalkan doa ini pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan, kita dapat meraih keampunan daripadaNYA.

- sumber dari SINI -

ุงู„ู„ู‡ูู…ูŽู‘ ุฅูู†ูŽู‘ูƒูŽ ุนูŽูููˆูŒู‘ ุชูุญูุจูู‘ ุงู„ู’ุนูŽูู’ูˆูŽุŒ ููŽุงุนู’ูู ุนูŽู†ูู‘ูŠ

Bacaan Rumi:
Allahumma Innaka Afuwwun Tuhibbul 'Afwa Fa'fu 'Anni.

Maksudnya:
Ya!Allah, Ya!Tuhan kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.

 
- Dr. Ahmad Sanusi Azmi -


@RemajaPurba: ...

Friday, March 14, 2025

ROTI JOHN AIR TANGAN ANAK-ANAK


14 Mac 2025 - Jumaat (13 Ramadan 1446H)

Mengeluh penat..?
Dalam kepenatan siap juga juadah berbuka puasa. Hanya menu yang biasa kami makan, jika istimewa pun hanyalah roti John yang dimasak oleh dak Kakak dan dak Adik.

Kisah minggu lepas..
Sebelum ini, anak-anak banyak membantu Babah deme meniaga burger, kali ini masing-masing sedang bercuti jadi Babah deme bagi peluang pada anak-anak untuk meniaga di bulan Ramadan.

Menangis jika peniaga roti John bazar Ramadan melihat inti sebegini.

Mereka yang membeli kali ni sangat beruntung sebab dak Kakak salah sukatan, tak ikut spesifikasi yang diajar oleh Babah deme. Rezeki mereka yang membeli.. 'takpelah, kita sedekah buat mereka'.

Keesokkan harinya.. ada yang bertanyakan roti John, membayangkan kesedapan dan kemungkinan mereka akan dapat lagi seperti itu tapi mohon maaf kerana anak-anak cuti 'merajuk' tak nak masak sebab hasil yang mereka buat kurang mendapat sambutan. Alah.. rajuk budak-budak, kita bagi semangat sikit, esoknya deme meniaga semula. 


Dak Kakak dan dak Adik meniaga bukan untuk mendapat keuntungan semata. Sehari adalah dalam sepuluh bungkus roti John je yang dijual. Mereka buat di rumah dan hantar ke tempat jiran meniaga. Konsepnya mudah, tak habis dijual, sedekah aje.

Kenapa tak masak di tempat Babah deme meniaga..?
Bila masak dari rumah, senang. Bahan tak cukup masuk je ambil. Lagipun Babah deme tak dapat nak bantu kerana kekangan masa. Tak perlu pergi jauh, cukup dari rumah, badan pun tak penat sangat. 

Apa-apapun, moga kita semua sentiasa di bawah lindunganNYA dan moga rutin harian kita dipermudahkanNYA.

@RemajaPurba: Tahniah Kakak.. tahniah Adik..

Monday, March 10, 2025

MICROSLEEP DAN KEMALANGAN


03 Mac 2025 - Isnin (02 Ramadan 1446H)

Petang..
Selepas susur keluar dari lebuh raya untuk balik ke rumah, ternampak dua kemalangan telah berlaku. Kemalangan pertama aku rasa membabitkan di antara kereta dan motor. Kemalangan kedua melibatkan lori dan kereta. Sebaik melepasi kedua-dua kemalangan tersebut, aku menerima mesej bergambar dari en. Hubby dan 'Eh!Gambar ni nampak sama dengan kemalangan tadi'.

Kawan en. Hubby yang memandu lori telah terlibat kemalangan dengan sebuah kereta
microsleep -

Microsleep..
Sekelip mata ianya berlaku. Pemandu kereta dikatakan terlelap dan tidak sempat mengelak dari terlanggar lori yang dipandu kawan en. Hubby. Syukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku walau keadaan kereta pada bahagian hadapannya agak teruk. Pemandu dan penumpangnya cedera dan tersepit akibat dari hentaman di bahagian belakang lori.

==================================================

07 Mac 2025 - Jumaat (06 Ramadan 1446H) 

Hari kelima memandu kereta pergi dan balik kerja sangat menguji stamina badanku. Lebih-lebih lagi waktu balik kerja, mengantuk tak boleh dibawa bincang. Microsleep amat berbahaya kepada diri dan boleh melibatkan orang lain juga.

En. Hubby selalu berpesan:
'Berhenti di hentian rehat sebelum sambung semula memandu. Kalau accident, tak melibatkan orang lain tak apa, kalau kena, bukan ke dah menyusahkan banyak pihak'.

Petang..
Bila berhadapan dengan kesesakan jalan raya hingga menyebabkan lewat tiba di rumah membuatkan aku sedikit kelam-kabut untuk menyediakan menu untuk berbuka. Sedang memotong ayam, ku lihat jari kaki ayam kurang satu jari. Terus aku ambil gambar sebagai bahan bukti untuk ditunjukkan kepada en. Hubby tapi bila ku lihat semula jari kaki ayam tersebut.. 'Eh!Bukan ayam cuma ada empat jari ke?'. Inilah jadinya bila diri terlampau penat dan tidak cukup rehat.

Bahagian kaki ayam ini biasanya aku bagi pada Markonah, anjing yang sentiasa menunggu makanan di baahagian belakang rumah bila waktu kami masak di dapur.


Sementara itu.. en. Hubby tidak sempat sampai rumah sebelum waktu berbuka..
Alhamdulillah.. walau tidak dapat bersama keluarga tetapi dapat tengok gambar pun jadilah

==============================================

08 Mac 2025 - Sabtu (07 Ramadan 1446H) 

Menemani dak Kakak ke kedai membaiki telefon bimbit di sini. Telefon dak Kakak tak dapat digunakan, dia reset/reboot terus skrin bertukar putih. Nah..!Tepuk dahi Mak Budak. Hailaa anak.. usia telefon baru masuk setahun, baru je habis tempoh warrantynya. 

Selepas beberapa kali percubaan, Alhamdulillah, mungkin rezeki dak Kakak, telefon dapat diselamatkan malah tak perlu bayar apa-apa. Pekerja di kedai tersebut sangat membantu. Leganya rasa hati + selamat duitku.


Hujung minggu, tiada kisah menarik untuk dikongsi. Rutin berjalan seperti biasa.

@RemajaPurba: Alhamdulillah..

Thursday, March 6, 2025

HIDUP SETIAP ORANG BERBEZA


06 Mac 2025 - Khamis (05 Ramadan 1446H)

Dahulu..
Mak kejutkan aku bangun sahur.
Sekarang..
Aku kejutkan anak mak mertua aku, en. Hubby bangun tidur.

Dahulu..
Penat, lapar, dahaga.. tak sabar nak berbuka.
Sekarang..
Bukan tak sabar nak berbuka tapi hampir hilang sabar memandu di atas jalan raya.

Dahulu..
Tidak kelam-kabut pulang awal ketika bulan Ramadan.
Sekarang..
Lambat..? Alamatnya bersilatlah mengejar waktu di dapur.

Dahulu..
Rambang mata melihat juadah di bazar Ramadan.
Sekarang..
Masak lebih jimat demi kelangsungan hidup.

Dahulu..
Apa yang aku masak, itulah hidangan berbuka kami sekeluarga.
Sekarang..
Apabila dak Kakak tawarkan diri memasak, aku..? berulangkali aku ucapkan terima kasih.

Dahulu..
Nak kurus ketika bulan Ramadan.
Sekarang..
Kurus..? Dah lama pergi meninggalkan aku keseorangan.

Hidup setiap orang berbeza, cabaran juga berbeza.
Hargailah apa yang kita ada supaya kita lebih bersyukur padaNYA.

@RemajaPurba: Bahagia dari hal sederhana, itu menenangkan hati dan mentalku.

Monday, March 3, 2025

RAMADAN MENYEMAI IMAN MENUAI KEBERKATAN


03 Mac 2025 - Isnin (02 Ramadan 1446H)

Terima kasih buatmu FEBRUARI..
Moga kita ditemukan lagi pada tahun 2026 nanti.

Hari ini merupakan hari kedua umat Islam berpuasa dan kali pertama aku memulakan tugas di tempat kerja baru di dalam bulan Ramadan pada tahun ini.
  • Moga bulan yang penuh keberkatan ini membawa ketenangan, keampunan dan meningkatkan keimanan kita dalam menjalani ibadah puasa dan amalan-amalan lain. Marilah kita manfaatkan Ramadan kali ini dengan sebaiknya, memperbanyakkan ibadah, doa serta mempereratkan ukhuwah sesama kita.
  • Moga bulan Ramadan kali ini akan memberi lebih banyak rezeki, lebih bahagia dan moga terus kekal sihat dan selamat di bawah lindunganNYA.

Buatmu MAC..
Jangan cepat pergi meninggalkan aku. Berilah aku peluang untuk menikmati bulan Ramadan kali ini.

@RemajaPurba: Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua..

Sunday, March 2, 2025

SEMPENA MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN RAMADAN


28 Februari 2025 - Jumaat (29 Syaaban 1446H) 

Pagi..
Pertama kali aku menghadiri Majlis Bacaan Yassin yang telah diadakan di tempat kerja baruku, sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan. Suasana baru, rakan kerja baru membuatkan aku teruja merasainya. 

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik dengan penuh kebersamaan. Turut diserikan dengan pelbagai juadah menarik yang disumbangkan. Semoga dengan kehadiran dan doa bersama ini, kita semua mendapat keberkatan serta rahmat daripada Allah SWT dalam menyambut bulan Ramadan yang akan tiba.

Gambar ehsan dari rakan sekerja
Lontong + Nasi Impit

Pakej dengan periuk sebab malas nak salinkan ke dalam bekas lain.'Mengimbau kenangan lama ni kak' bila salah seorang dari mereka berkata kerana dulu jika en. Hubby masakkan menu untuk tempat kerja, ku bawa sekali dengan periuk begini.

Ada juga spageti dan punten selain dari pelbagai jenis menu potluck yang dibawa.
Alhamdulillah.. kenyang..


Petang..
Penetapan melihat anak bulan diadakan melalui pencerapan di kesemua 29 tempat yang disenaraikan di [SINI] dan kemunculan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sudah pasti dinantikan khususnya umat Islam.


Malam..
ุจูุณู’ู…ู ุงู„ู„ู‡ู ุงู„ุฑูŽู‘ุญู’ู…ูฐู†ู ุงู„ุฑูŽู‘ุญููŠู’ู…ู
'Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka, adalah dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Ahad, 02 Mac 2025. Sekian, wassalamualaikum warahmatullah'.

Sumber dari Berita Perdana, RTM

Akhirnya terjawab persoalan warna baju yang dipakai oleh Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad

===============================================


01 Mac 2025 - Sabtu (30 Syaaban 1446H) 

Menghadiri kenduri kesyukuran di rumah adik en. Hubby. Adiknya mahukan abangnya menyediakan menu utama. Alhamdulillah, walau sedikit lambat sampai tapi tidaklah membuatkan tetamu menunggu.

Tiada gambar kenangan untuk ditularkan kerana kami penat tak cukup rehat. 

===============================================


02 Mac 2025 - Sabtu (01 Ramadan 1446H) 

Alhamdulillah.. bertemu lagi Ramadan pada tahun ini, bulan yang dirindui.

Pagi..
Alarm pertama aku suara dak Nuha kejutkan aku bangun tidur. Malam sebelumnya aku dah pesan kepada anak-anak kejutkan aku kerana aku dan en. Hubby tak cukup rehat dan terlampau penat.

Sahur pertama bersama family kecilku, tidak sempat menyediakan menu berat untuk bersahur kerana aku terlewat bangun tapi aku bersyukur dak Kakak membantu di dapur dan Alhamdulillah kami semua sempat bersahur.

Petang..
En. Hubby mengajar dak Kakak dan dak Adik menyediakan roti John untuk di jual di bazar Ramadan. Deme masak di rumah dan hantar ke tempat jiran meniaga. Anak-anak tiada masalah kerana sebelum ini pun deme pernah membantu babah deme meniaga jual burger. Moga urusan en. Hubby dan anak-anak serta jiran kami dipermudahkanNYA. InsyaAllah.. Aamiin..

Dari aku..?
Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada semua

@RemajaPurba: ...

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...