Followers Remaja Purba

Monday, September 30, 2024

'MENJADIKAN ANAK SEBAGAI ASET DUNIA DAN AKHIRAT?' - Program Permuafakatan Bersama Waris Tahun 6 di SK - Part 3


Sambungan dari..
Part 1 di SINI..
Part 2 di SINI..

22 Jun 2024 - Sabtu (15 Zulhijjah 1445H)

MENJADIKAN ANAK SEBAGAI ASET DUNIA DAN AKHIRAT? KERANA APA?
ANAK ITU BUKAN BEBAN. Seteruk mana pun anak-anak kita pada mata ibu ayah, mereka masih boleh dididik. Jangan pernah putus asa, jangan pernah kecewa dengan anak-anak. Kadang-kadang terdetik dalam hati 'Ikut hang nak jadi apa pun'. Tolong, jangan pernah terdetik perasaan itu dan jangan pernah kecewa mendidik anak-anak.

Ingat balik semasa tuan-tuan menerima berita mereka itu berada di dalam kandungan isteri masing-masing. Saya sering ingatkan, ibu ayah yang datang, terutama untuk anak sulung. Bagaimana bahagia perasaan itu kenapa dia semakin menyusut dan berkurang? Kenapa pada mereka tidak mampu membuat keputusan, ibu ayah tinggalkan mereka? Bila dah masuk sekolah menengah 'mereka dah besar'. Tidak! Didik dan nasihat anak-anak itu sehingga kita mati.

Kalau ibu ayah yang tak pernah kisah dengan anak-anak, cuba tanya.. tanya apa-apa. Kalau yang tak pernah peluk anak, peluklah.
  • Pupuklah nilai agama dan moral dalam diri anak-anak. Itu wajib. 
  • Disiplin dan komunikasi itu sangat penting. Anak-anak yang kerap berkomunikasi menjadi lebih yakin, menjadi seorang anak yang tahu menghormati. Tolong bercakap dengan anak-anak. Kalau ayah seorang yang pendiam, ambil masa untuk tanya, sikitpun cukup.
  • Banyak membaca, pilihlah cerita yang yang memberi motivasi. Dari cerita kisah Nabi dan sahahat baginda Rasulullah SAW atau berita yang terbaca dari dalam akhbar atau media sosial. Sebutkan kepada anak-anak itu.

INI ADALAH CABARAN YANG PALING BESAR - MAIN..
Semua orang suka main tapi tolong ingat bila nak peperiksaan tolong berhenti main. Tak kisahlah main game, online gaming ke. Online gaming ni pun bahaya juga sebab menjadi tabiat yang sukar nak diberhentikan. Hadkan masa melihat video di media sosial dan penggunaan gadjet. Saya selalu cakap tapi saya juga kadang-kadang gagal untuk apply pada anak saya yang tingkatan 4 (anak bongsu). Saya ada empat orang anak, tiga orang telah bekerja. Seorang pegawai farmasi, seorang supply and chain executive (sekarang di Hong Kong, outstation, bekerja dengan syarikat luar negara) dan seorang lagi event co-ordinator di IDCC, Shah Alam. Ketiga-tiganya mempunyai ciri-ciri dan minat yang berbeza, belajar di aliran berbeza.

Saya suka untuk aplikasikan ketegasan yang dibuat oleh ramai ibu iaitu rampas handphone dan simpan. Kalau cakap elok-elok tak nak dengar 'Rampas dan Simpan'.

MEMUPUK BAKAT DAN HOBI..
Ibu ayah adalah pendorong kecemerlangan anak-anak. Memang tidak dinafikan, ibu ayah yang pertama menjadi motivator kepada anak-anak. Ibubapa yang baik dan cemerlang, selalunya menjadi hero dalam keluarga. Hero di mata anak-anak, sebab itu ayah mesti hero dan ibu menjadi heroin. Kalau ayah tak boleh jadi hero di mata anak-anak, maka kerana itulah anak-anak perempuan cepat jatuh cinta sebab dia tiada hero. Ayah bukan hero maka dia akan cepat jatuh cinta.

Pengalaman saya ketika bertugas di mahkamah bagi kanak-kanak, yang membicarakan perbicaraan melibatkan kanak-kanak yang berusia di bawah 18 tahun ke bawah (di bawah perundangan):
  • Di mahkamah, apabila menghadiri perbicaraan kanak-kanak, orang luar tak boleh tengok, (Hanya ibubapa, peguambela, pegawai mahkamah, pegawai polis, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan ada dua orang penasihat mahkamah seperti saya).
  • Kes-kes melibatkan akhlak (jika perempuan), lari dari rumah ikut kekasih, seludup kekasih masih ke dalam rumah apabila ibu ayah sudah tidur, melakukan zina dan akhirnya ibu ayah tidak mampu menjaga. Bila ditanya oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) (ada report sebelum ditempatkan di rumah-rumah pemulihan ataupun lain-lain), jawapan dari anak-anak.. 'Ayah dan ibu tak kisah' 'Ayah dan ibu sangat sibuk' 'Ayah dan ibu tak pernah bertanya' 'Tak sayang ayah?' 'Tak..' Kemudian dihantar ke rumah pemulihan. 

Di sekolah saya, ada ibu bertanya bagaimana langkah-langkah untuk meletakkan anak dia di rumah pemulihan dan dia tak mampu jaga. Anak selalu keluar tak balik, tak tahu ke mana.

IBU DAN AYAH, MARI SAYA CERITAKAN..
Tak cool hantar anak ke rumah pemulihan, ibu ayah rasa dah lepas tangan?

Di sana ada banyak lagi kes-kes keruntuhan akhlak untuk pelatih-pelatih dia. Anak kita, kita hanya tak mampu jaga sebab dia tak dengar cakap, mungkin dia ada kekasih dia. Dekat sana, ada pelacur muda, perempuan simpanan. Apa yang ditakuti, apabila keluar daripada pusat pemulihan, dia dapat 'menambah ilmu baru'. Bila ibu itu minta, saya bagi rasionalnya. 'Puan, puan jaga dulu. Kami bantu di sekolah sebagai kaunselor, jangan hantar atau report dekat JKM lagi'.

Kadang-kadang kita rasa kita dah tak mampu, kita nak lepaskan kepada kaunselor, cikgu-cikgu tetapi tanggungjawab kita sebagai ibu ayah kepada anak-anak sehingga mati. Ibu ayah jangan cepat kecewa, jangan cepat putus asa. Untuk ibu, doa banyak-banyak. Sesekali mesej manis-manis dekat anak-anak, letakkan nota kecil dalam beg anak-anak. Hantarlah mesej yang indah, yang sedap dibaca, yang sweet

Merapatkan hubungan anak dengan sentuhan..
  • Sentuhan dengan pasangan, memanjangkan usia pasangan. Dengan anak-anak, akan memberi aura dan rasa kasih yang tidak dapat diungkap. Jadi, tolonglah peluk anak-anak. Kalau tak nanti, dia akan peluk orang lain.

JIKA IBU AYAH RASA KUSUT SANGAT:
  • Kita buat positive self talk. muhasabah diri. Kita nak bercakap yang didengar oleh telinga sendiri. Kalau rasa susah sangat 'It's ok, aku akan usaha lagi untuk berjaya'. Contoh: Matematik, susah sangat nak faham konsep tapi aku akan cuba. Tak apa cuba lagi sebab kita ni manusia bukan malaikat.
  • Jangan salahkan diri sendiri, terima emosi yang ibu ayah rasa. Kadang-kadang rasa tak puas hati atau rasa kecewa, takpe terima rasa itu tapi buat sesuatu. Cari tips bagaimana boleh meningkatkan balik hubungan supaya hubungan yang baik itu auranya akan terus pergi kepada anak-anak.
  • Boleh juga ibu ayah buat selfcare. Orang kata buat perkara-perkara boleh menunjukkan sayang dekat diri sendiri. Tidur sebelum zohor sekejap tapi jangan sampai terlepas masak nasi. Tengok media sosial jadi ralit padahal bukan buat apa pun.

PALING PENTING..
Doa adalah yang paling mujarab. Berdoalah ibu ayah, jangan cepat putus asa kerana Allah itu tidak pernah lelah, tidak pernah letih untuk menerima doa hambaNYA. Jangan kecewa dengan perangai anak-anak. Bagaimana teruk pun dia, dia adalah anak ibu ayah. Tidak pernah dia tidak boleh diubah jika Allah izinkan dia berubah mengikut doa ibu ayahnya. Jangan cepat kecewa. Baca Al-Quran itu adalah healing yang terbaik. Kadang-kadang rasa sesak je jiwa, bukan Al-Quran baca mana-mana surah yang ada. Menjadi satu solusi kepada kita. Kadang-kadang ayat itu benar tentang situasi kita pada waktu itu.

INI UNTUK IBU AYAH..
  • Ibubapa yang suka bergaduh - anak menjadi ganas dan panas baran.
  • Ibubapa sering sedekah - hati anak akan lembut.
  • Ibubapa tidak meninggalkan solat - anak mudah mendapat hidayah.
  • Ibubapa sering membaca Al-Quran - dapat anak yang bijak.
  • Ibubapa yang mengawal emosi - anak soleh dan pandai mengawal keadaan.

KENAPA BANYAK DISEBUTKAN TENTANG IBU?
Ibu adalah kunci syurga, doanya sangat dimakbulkan dan buat semua ibu, tolonglah.. jangan silap cakap.

#RemajaPurba: Ok.. tunggu Part 4.. update di SINI..

Saturday, September 28, 2024

'KENAPA PENTING URUSAN EMOSI?' - Program Permuafakatan Bersama Waris Tahun 6 di SK - Part 2


Sambungan dari SINI..

22 Jun 2024 - Sabtu (15 Zulhijjah 1445H)

KENAPA PENTING URUSAN EMOSI?
Ramai ibu ayah menyalurkan emosi negatif kepada anak-anak, Tak kira dari mana, kadang bergaduh dengan suami, marah anak. Suami tak puas hati di tempat kerja, balik rumah tengking isteri. Isteri rasa stress, marah anak. Kalau dapat pasangan yang sabar, Alhamdulillah..

Dulu kita selalu cakap 'ibu dulu, kalau nenek tengok, pandang aje. ibu dah berhenti dah buat benda itu'. Zaman kita dulu tak sama dengan zaman anak-anak. Apa yang ibu ayah kita didik kita dengan cara ibu, kadang-kadang ia tidak sesuai dengan anak-anak. Kita kena ubah, benda ni kita boleh belajar tapi anak-anak jangan pula 'yeaa... cikgu Rina cakap, ibu ayah kena buat semua'. Anak-anak, jadilah anak-anak yang soleh, yang menghormati ibu ayah, mendengar kata.

Saya ada banyak cerita, bagaimana dulu asuhan ibu ayah mereka kepada mereka untuk anak-anak juga. Siapakah ibu ayah kita, kita tak boleh ubah. Kita tak boleh minta 'aku nak lahir dalam keluarga ni lah'. Tengok ibu ayah kita, itulah ibu dan ayah sampai mati. Nak tukar ibu ayah dengan kawan, tukar tempat sekarang. nak tak? Kita boleh belajar menjadi ibu ayah yang baik, yang kita boleh belajar. Saya belajar banyak untuk menjadi ibu ayah yang baik. 


SAYA CERITAKAN KISAH KISAH..
Ayah saya sangat garang, mak saya sangat garang. Saya anak sulung, salah je memang kena pukul. Pernah satu masa saya bergurau dengan mak saya.. 'Mak, setiap hari angkut air, tangan kakak macam nak patahlah'. Saya cakap melawak je, masa tu angkut air dari telaga rumah orang, belum ada air bersih lagi masa tu. Mak saya pergi cakap dekat ayah saya, ayah saya pegang heret saya ke sungai dekat rumah tu, dia lemaskan saya. 'Suruh buat kerja sikitpun berkira, malas, menjawab'. Sedih saya masa tu sebab saya melawak tapi saya kena hukuman macam tu. Lepas tu balik jangan senyap-senyap nak duduk dalam bilik, healing tu takde. Dengan baju yang basah tu lah saya pergi angkut air penuhkan tempayan yang ada.

Ibu ayah, lihat balik diri masing-masing. Apakah yang perlu aku buat untuk memastikan anak aku cemerlang dunia dan akhirat? Tanya saya balik, adakah saya marah kepada ayah saya ke? Marah memang marah tapi itu ayah. Adakah saya nak berdendam dia selama hidup dan berkata 'Biarlah, bila sakit nanti lantak kaulah abah. Kau buat aku macam-macam dulu kan'. Tidak sekali-kali kerana abah mungkin tiada ilmu waktu itu. Dia merasakan tindakan dia benar.

Ibu ayah kerap merasakan tindakannya benar. Kalau saya panggil datang ke sekolah, 'Betullah cikgu, saya buat untuk anak saya'. Tapi berapa ramai saya terima kes anak-anak anxiety sangat tinggi, depression sangat tinggi, stress sangat tinggu, ada OCD lagi. Mandi sampai dekat dua jam, yang ibu ayah hentak bilik air suruh keluar, yang anak ini mandi tak bersih, tak bersih. Minta ibu ayah hantar ke hospital untuk rujukan pakar psikiatrik tak layan. 'Kau ni buat-buat, saja-sajalah kakak'.

Ada satu kes murid saya, dia dah bertukar dari OCD kepada pelajaran pulak. Bila buat graf matematik, dia rasa tak lurus, tak lurus, dia ambil masa lama untuk siapkan. Ibu ayah boleh bayangkan dia masuk dalam dewan peperiksaan, kalau dia makin teruk, sempat ke dia siapkan? Melainkan dia ada surat dari pakar psikiatri, kemudian mungkin dia akan dapat tambahan masa. Sebab itu ibu ayah anggap benda itu mudah, enteng, senang. Jadi, tolong beri masa kepada anak-anak.

Saya selalu nak cakap 'Tolong beri masa kepada anak-anak, dengar mereka nak cakap apa.'. Saya seumur hidup masa kecil, saya tak pernah dipeluk ibu ayah. Bila besar, saya bertugas sebagai kaunselor, saya boleh peluk anak-anak murid saya senang-senang je. Pelukan itu meningkatkan motivasi anak, boost kan hormon untuk perkara yang baik-baik. Pasangan pun sama kan? Kalau yang tak pernah peluk pasangan tu.. peluklah.

Tapi, saya nak nyatakan saya sangat sukar untuk memeluk anak saya. Saya rasa pelik, tak tahu nak cakap sebab kita tak pernah dapat. Jadi, ibu ayah ubah sesuatu yang tak boleh buat, kita buat kalau benda itu baik. Saya sampai paksa diri peluk anak saya. Masa mereka kecil saya tak peluk pun walaupun saya sangat mesra dengan anak-anak murid saya tapi sekarang Alhamdulillah.. ok dah.


BILA KITA DIDIK ANAK KITA..
  • Kita nak anak kita didik anaknya. Kita nak generasi yang menjadi generasi yang soleh, baik akhlaknya, bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik. Tidak dinafikan didikan ibu ayah itulah hasilnya anak-anak tapi ada juga sebenarnya cabaran-cabaran luar yang boleh mempengaruhi anak-anak. Tapi jika didikan ibu ayah itu sangat bagus, baik selalunya dia dapat tepis perkara yang negatif. Mungkin dia nakal sikit tapi dia akan balik semula.

UNTUK IBU AYAH..
  • Walau bagaimana pun kita rasa pada zaman kita kecil, kalau ada banyak yang tidak manis, yang sakit, yang tidak suka, jangan alihkan kepada anak-anak. Tahan diri. Jangan berkata yang tidak baik dengan anak-anak, tahan diri seboleh-bolehnya. Kita tak nak stress kita pergi dekat anak-anak/pasangan. Happy mother is happy family. Mak itu bahagia.. InsyaAllah keluarga itu bahagia.
  • Pilih perkataan yang positif, anak-anak yang kerap mendengar perkataan negatif akan menuturkan kepada kawan-kawannya. Bagaimana bahasa yang kita dengar dari anak-anak sekarang sangat menakutkan, takde bahasa yang elok.

SATU LAGI SAYA NAK KONGSI TIPS..
  • Zaman sekarang, apabila media sosial itu terlalu meluas, bila anak-anak sampai masa untuk sambung belajar atau bekerja, majikan akan minta 'cik, buka media sosial cik, saya nak tengok'. Maka, dia akan tengok apa yang kita post, apa bahasa yang kita gunakan.
  • Ada banyak kes, hatta anak saya pun (anak saya seorang tu suka menyanyi), majikan dia nak tengok IG dia post banyak dia tengah menyanyi, oklah kan lagu. Nasib baiklah kan. Tapi majikan akan tengok, bagaimana interaksi anak-anak, bagaimana bahasa yang digunakan untuk mendapatkan pekerjaan.
  • Elakkan menengking. Saya kalau bercakap tone dan pitch suara saya memang tinggi. Jadi, kalau saya bercakap tak pakai mic pun saya rasa setengah dari ibu ayah boleh dengar. Jadi boleh bayangkan jika saya bercakap atau menengking macam gunung nak runtuh. Jadi, perlahan-lahan rendahkan suara dan tone. 'Perlahankan sikit suara'.
  • Sekarang, kekerasan fizikal tu mungkin kurang sikit tapi ada. Ada anak-anak yang datang berkongsi dengan saya, kita buat salah je, memang getah paip naik kat badan. Tak payah bagi alasan. 
  • Penderaan fizikal juga memberi trauma yang sangat kuat. Selalunya mereka yang dididik dengan cara kekerasan mempunyai intensi/rasa untuk membuli orang lain supaya dia dilihat lebih superior/hebat. Sebab dekat rumah dia asyik kena je kan. Dia ada kecenderungan untuk jadi pembuli.
  • Apa pun yang kita buat bagi orang Islam (atau mengikut agama masing-masing), mahu atau tidak mahu kembali kepada agama. Ibu ayah, pastikan anak-anak cukup solat lima waktu. Pastikan mereka solat. Sejauh mana anak-anak pergi, jika mereka solat, mereka akan cepat sedar dan kembali. Sejauh mana kesalahan dan dosa yang mereka lakukan, dia akan cepat kembali balik.

PENGALAMAN SAYA SEMASA MENJADI GURU DAN KAUNSELOR..
  • Mana background ibu ayah yang tak kisah sangat tentang solat, anaknya memang akan jadi hari-biru. sebab dia takde saat yang dia boleh tenang, yang dia boleh rasa orang sayang dekat dia. Kalau pun ibu ayah itu tidak sayang, bila dia solat Allah sayang dekat dia.
  • Jadi, ibu ayah, pastikan solat cukup dan pastikan solat anak juga cukup. Itu wajib.

#RemajaPurba: Ok.. tunggu Part 3.. - update di SINI..

Friday, September 27, 2024

DEPOSIT DAN RUMAH SEWA


25 September 2024 - Rabu (21 Rabiulawal 1446H)

Hari ni aku cuti membantu en. Hubby yang menguruskan tempahan makanan dari myBIL dari Terengganu untuk sarapan pagi dan makan tengahari  bagi rombongan sekolah beliau dari sana ke sini.

KidZania Kuala Lumpur, di sini kami hantar tempahannya. Hujan mengiringi.

Selepas selesai urusan berkaitan, kami meneruskan perjalanan ke luar negeri bagi melawat rumah yang akan disewa oleh dak Kakak dan kawan-kawannya. Sebagai wakil bagi semua anak-anak yang terlibat, kami bertemu tuan rumah dan berbincang segala yang berkaitan. Ini kerana sebelum ini, kami hanya berurusan  melalui panggilan dan whatapps.

'house tour'
Ruang luar - meja untuk study, sofa dan meja makan

Bilik tidur - katil single dan almari satu pintu.

Bahagian belakang - ruang memasak, akan diletakkan dapur dan tong gas.
Peti sejuk akan ditukar yang baru.

Mesin basuh dan peti sejuk akan dibekalkan kemudian oleh tuan rumah.
Bahagian siling dibuka sedikit bagi ruang pengudaraan + sidai baju


Tuan rumah sangat baik dan friendly.. 
'Awalnya kami berbelah bahagi juga untuk sewakan ruang ni tapi bila tahu masih ada yang mencari rumah untuk disewa, ini yang kami buka, lagipun ruang ni kami guna hanya bila ada mesyuarat/perbincangan'

Seperti yang dibincangkan, dari segi dokumentasi dan kunci akan diserahkan pada hari kejadian nanti. Selesai urusan berkaitan, terus gerak balik memandangkan en. Hubby kena outstation ke Johor malamnya. Penat tapi kenalah hadap.


26 September 2024 - Khamis (22 Rabiulawal 1446H)

Pagi..
Tiba-tiba dak Kakak mesej bagitahu yang dia dan kawannya diterima masuk ke kolej kediaman. Permohonan rayuan sebelum ini 'tewas' tapi tak sangka berita gembira yang diterima. Berkali-kali aku minta dak Kakak untuk semak semula, takut hanya sekadar harapan palsu tapi bila ku lihat sendiri, betullah.

Selepas maklumat telah disahkan betul dan semua kawannya turut diterima masuk, aku terus menghubungi tuan rumah yang kami jumpa semalam bagi memaklumkan perkara ini. Rasa bersalah kerana terpaksa menolak untuk menyewa di situ. 

'Kami mohon maaf sebab terpaksa batalkan untuk sewa di situ kerana anak saya dapat kolej kediaman dan untuk kes macam ni, apa tindakannya? Adakah deposit itu dapat semula atau burn?'.


'Assalamualaikum puan. Tak apa, saya pulangkan semula duit. Bukan salah puan untuk saya hold duit tersebut. Nanti bagi no. akaun ye'.

'Wsalam. Sekali lagi saya mohon maaf sangat² bagi pihak kelima² anak² ni. Alhamdulillah semua dapat atas rayuan kedua kolej kediaman. Terima kasih kerana banyak bantu kami walau akhirnya kami tak jadi menyewa'.

Sedih + rasa bersalah sangat pula aku rasa. Aku harap akan ada mereka yang lain menyewa di situ. Kemudahan dalamnya lengkap bukan kosong. Moga tuan rumah diberikan rezeki yang melimpah ruah di atas bantuan dan kebaikan yang diberikan. InsyaAllah.. Aamiin..


27 September 2024 - Jumaat (23 Rabiulawal 1446H)

Jumaat terakhir bagi bulan September 2024.

Alhamdulillah pagi Jumaat yang indah..
Syukur kita dibangunkan dengan pertolongan dari Allah.
Yakin pada Allah..
Rezeki yang Allah beri itu cukup dan ada rezeki buat dak Kakak..

Ya!Allah..
Aku bersyukur padaMU.. 
Terima kasih Ya!Allah..
Rezeki buat dak Kakak di saat sedang buntu memikirkan bagaimana nak kembali ke sana.

#RemajaPurba: Alhamdulillah.. Syukur

Tuesday, September 24, 2024

'IBU AYAH ALPHARD, ANAK-ANAK FERRARI' - Program Permuafakatan Bersama Waris Tahun 6 di SK - Part 1


Masih ada lagi stok draft yang masih tersimpan dan ini salah satunya.

22 Jun 2024 - Sabtu (15 Zulhijjah 1445H)

Pada tarikh ini aku telah menghadiri Program Permuafakatan Bersama Waris Tahun 6 di SK dak Nuha. Gigih aku mendengar semula rakaman suara penceramah dan aku terjemahkan di sini, cuma akan jadi beberapa entry kerana aku cuba untuk masukkan semua tanpa tertinggal apa-apa.
Sambungan dari SINI..


Penceramah jemputan, Puan Norhasrina binti Ghazali, Guru Bimbingan dan Kaunseling dari SMK Saujana Utama, Sg. Buloh. Beliau adalah lepasan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Berpengalaman luas dan lama dalam bidang pendidikan selama 32 tahun. Beliau aktif terlibat di dalam aktiviti luar:
  • Ahli Majlis Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran
  • Penasihat Mahkamah bagi Kanak-kanak Kuala Selangor
  • Ahli NGO Sahabat Jariah Malaysia
  • Ahli NGO Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser
==============================================


TAJUK: IBU AYAH ALPHARD, ANAK-ANAK FERRARI

Saya ingin menarik perhatian tuan/puan, oleh kerana saya adalah kaunselor di SMK Saujana Utama, Sg. Buloh, saya nyatakan senarionya.
  • Apabila anak-anak ditempatkan di SMK, dua subjek yang dilihat untuk meletakkan anak-anak di kelas adalah Matematik dan Sains. Sekiranya anak-anak berhajat untuk berada di kelas terbaik, pastikan memperolehi markah yang tinggi untuk subjek ini. Jika tidak, anak-anak akan berada di kelas-kelas belakang. Tidak bermakna anak-anak tidak berjaya jika berada di kelas-kelas belakang tetapi anak-anak akan struggle, dengan kawan-kawan yang suka main, anak-anak akan hilang fokus. Jadi ibu ayah dengar betul-betul pesanan saya - 'Pastikan anak-anak tuan/puan mendapat keputusan terbaik dalam mata pelajaran Matematik dan Sains'.
  • Apabila anak-anak melangkah ke Tingkatan 4, anak-anak ditempatkan di dalam kelas-kelas tingkatan 4, dua mata pelajaran yang dilihat juga adalah Matematik dan Sains. Dapatlah A semua pun, kalau dua mata pelajaran ini rendah, maka anak-anak akan diletakkan di aliran kemanusiaan/aliran sastera. Siapa yang berhajat menjadi jurutera, akan kuranglah peluangnya. Anak-anak yang ingin menjadi doktor, langsung tak dapatlah. Bagaimana subjek Matematik dan Sains ini memberikan impak yang sangat besar.
  • Apabila anak-anak menduduki SPM, mata pelajaran Matematik adalah wajib dikira untuk mendapatkan point/markah/merit selain dari Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Nak tak nak, Matematik tidak boleh ditinggalkan. Nak tak nak, anak-anak yang tidak suka Matematik, wajib suka!
  • Anak-anak yang berhajat untuk masuk SBP, MRSM, tolong pastikan mata pelajaran matematik dan sains sangat bagus. 

Berbalik kepada 'Ibu Ayah Alphad, Anak-anak Ferrari'
Kita nak anak-anak kita cemerlang tapi ibu ayah cemerlang tak? Ibu ayah memberikan sepenuhnya ke kepada anak-anak? Berapa pedulinya ibu ayah terhadap anak-anak?

Kita sering merasakan bahawa kita telah memberi sepenuhnya perhatian, terutama dalam konteks duit, 'tidak cukup ayah, tidak cukup ibu'. Betapa banyak isu/masalah ialah anak-anak yang sebenarnya mempunyai masalah di rumah terutamanya kasih sayang dan perhatian. Ayah tak mendengar, kadang-kadang bila kita bercakap. Ibu tidak mendengar, ibu tidak memberi ruang. 

Kalau kita nak anak-anak kita menjadi Ferrari, kita kena menjadi Alphard baru ianya setara. Ini belum lagi saya kongsikan semasa saya berada di dalam perbicaraan di mahkamah bagi kanak-kanak. Banyak isu-isu disebabkan oleh kesalahan ibu ayah yang menyebabkan anak itu terlibat dengan jenayah, akhlak hingga terpaksa di hantar ke pusat pemulihan akhlak. Sedih..!

Ibu ayah yang bersemangat untuk memastikan anak-anaknya berjaya cuba ingat balik, semasa isteri menyatakan yang dia mengandung, betapa bahagianya rasa terutama anak pertama seperti dunia ni aku yang punya, aku akan mendapat anak. Aku akan menjadi ayah tetapi kenapa masa demi masa, kasih sayang kita, perhatian kita makin menurun? Jika di SMK, pihak sekolah adakala menjemput ibu ayah datang membincangkan masalah disiplin anak-anak. Ini jawapan mereka:
  • 'cikgu uruskanlah sendiri, saya sibuk. Kalau cikgu nak gantung-gantung jelah, saya tak dapat hadir'.
  • 'Encik, anak encik kerap lewat' 'Tapi anak saya datang kan. Oklah datang'.
Sempoikan jawapan. Bagi dia anak dia 'Buatlah cikgu apa-apapun'. Kenapa perhatian dan kasih sayang dia makin menurun? Dia tidak sepertimana yang ibu ayah terima berita semasa ibu dan ayah mendapat tahu isteri mengandungkan anak itu dan semasa menyambut kelahiran bayi itu sedangkan itu anak yang sama.


CIRI-CIRI ALPHARD:
Besar, Luas, Muat, Mewah, Selesa.

CIRI-CIRI FERRARI:
Sporty, Eksklusif, Versatil, Inovasi, Daya kawalan terbaik, Jimat bahan api tanpa mengurangkan kuasa.

Ini semua ciri-ciri yang hebat. Ciri-ciri yang kita nak apply kepada anak-anak kita, kepada diri kita sendiri. Kebanyakkan ibu ayah mungkin berada Generasi X ataupun Y. Anak-anak sekarang adalah dari Generasi Z. Antara ciri-cirinya:
  • Generasi Digital
  • Hidup dan bernafas dengan teknologi - takde handphone mati. Ayah ambil handphone macam nak marah. Hyper Connected untuk internat sebagai otak kedua. Tanyalah apa sahaja mereka lebih tahu, sekejap aje google. Tanyalah mereka, otak google tu otak kedua mereka tapi kadang tak guna untuk pelajaran. Itu bahaya.
  • Multitasking
  • Kurang sabar
  • Aktif berfikir tapi tak berfikir secara mendalam
  • Pandai teknologi
  • Bermotivasi
  • Pro Aktif
  • Keyakinan diri tinggi
  • Kreatif, bertenaga tapi mereka ini pentingkan diri sendiri. Banyak cakap tapi malas.
  • Malas membaca buku - confirm. Baca kat handphone je.
  • Menunjuk-nunjuk, kurang mendengar cakap, memberontak, tidak berminat, mudah dipengaruhi, tidak tetap pendirian, bergantung kepada cikgu 'cikgu bagi je semua'.

Anak-anak Generasi Z, dia tak reti kurang sabar. Kalau saya bercakap dengan anak-anak murid, 15 minit je. Masuk kelas, berdiri 'bagi saya 10 minit, 15 minit dengar saya cakap'. Lepas tu jangan sambung lagi, dia memang akan buat kerja dia je.

Jadi, ibu ayah:
  • Uruskan emosi ibu ayah dengan baik supaya setiap masa kita dapat membantu anak-anak kita. Jika emosi ibu ayah terjaga, maka anak-anak emosinya pasti akan terjaga.
  • Mana yang garang tu, kurangkan sikit garang dia. Garang tidak berapa efektif terhadap anak-anak generasi Z. Ibu ayah cakap penat-penat je kan, dia masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, tak lekat langsung. Kena ada pendekatan yang lain.
  • Uruskan emosi.
  • Peranan ibubapa, kita sangat berperanan tetapi mungkin ada yang kita tertinggal.
  • Tabiat ibubapa yang efektif.
  • Tidak dinafikan peranan DOA. Mustajabnya doa terutama doa ibu. Saya sejak tua ni berjaga-jaga mengucapkan kata kepada anak saya. Saya takut walaupun tak lafaz di mulut tapi terdetik di hati, saya takut Allah menerima doa saya terdetik di hati. Allah itu mendengar. Jadi bagaimana kita nak kawal, supaya kita tak kata 'kurang ajar anak ni' (takut betul-betul dia kuang ajar).

Setiap anak tidak terus dilahirkan berjaya, pandai, bahagia, menang. Anak-anak juga tidak dilahirkan gagal, menderita, kecewa, jahil, kalah. Anak-anak ni ibarat kain putih. Apa saja yang ibu ayah corakkan, akan menjadi begitu. Jangan harapkan cikgu! Masa berada di sekolah hanya 5 jam sahaja. Daripada 24 jam, selebihnya adalah di rumah. Jadi, kalau gagal ibu dan ayah itu kawal, didik anak-anak di rumah, maka apa yang kita takuti, anak-anak itu juga akan gagal.

Ibu ayah nak mencorakkan apa pun, dia sebenarnya terletak di tangan ibu ayah. Bagaimana kita melihat anak-anak berjaya dari keluarga doktor, semua anaknya menjadi doktor sebab dia adalah daripada dorongan ibu ayah itu. Ataupun ibu ayah yang biasa, kerja selain daripada kategori profesional. Sebenarnya banyak lagi kerjaya lain yang memberi demand atau market yang sangat bagus masih boleh dibuat rujukan.

Ibu ayah boleh mendorong anak untuk menjadi apa yang mereka mahu atau memberikan celik akal kepada mereka. Mungkin anak-anak di Sekolah Rendah tidak begitu kisah tentang cita-cita tapi ibu ayah boleh didik memberikan dorongan supaya mereka tahu apa yang mereka nak dan pastinya dalam matapelajaran dahulu.

===========================================

Kata-kata dari Puan Norhasrina binti Ghazali:
'Sebelum menjadi seorang Kaunselor, saya telah bertugas selama 32 tahun. Lama.. gila bapak lama. 17 tahun sahaja sebagai kaunselor, selebihnya adalah guru akademik. Saya pernah mengajar di SMK Meru pada tahun 2007 hingga 2012. Jadi ibu ayah tolong pastikan anak-anak itu berjaya, bukan akademik sahaja. Alah kalau tak pandai akademik pun berjaya juga TAPI perjalanannya akan jadi panjang dan jauh. Bila panjang dan jauh, likunya juga lagi macam-macam. Ujian pun akan jadi macam-macam'.


#RemajaPurba: Ok.. tunggu Part 2.. - update di SINI..

Monday, September 23, 2024

SISTEM SARAAN PERKHIDMATAN AWAM (SSPA) mengenai PENCEN KEKAL


Secara umum, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menggubal Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini sebagai satu sistem saraan yang lebih baik dan saranan yang dikemukakan daripada YAB Perdana Menteri. Kita tingkatkan perkhidmatan kita dengan persaraan yang lebih berdaya saing dan boleh membawa kita lebih maju ke hadapan.


Jabatan Perkhidmatan Awam melalui moderator Puan Diyana binti Hassim, Ketua Komunikasi Korporat, JPA bersama En. Pardon bin Munawar, Timbalan Pengarah, Bahagian Pencen telah memberi lebih pencerahan tentang Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSA) - Pencen Kekal,

FACEBOOK LIVE EPELANGGAN JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA)
TOPIK: SSPA – PENCEN KEKAL
🗓️ 𝟭𝟵 𝗦𝗲𝗽𝘁𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟰 | 𝗞𝗵𝗮𝗺𝗶𝘀
🕙 𝟭𝟬.𝟬𝟬 𝗽𝗮𝗴𝗶 - 𝟭𝟭.𝟬𝟬 𝗽𝗮𝗴𝗶
link di SINI..


SOALAN:
Adakah pegawai yang memilih option SSPA secara automatik bertukar kepada skim KWSP?
Di dalam Pekeliling Perkhidmatan, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), pada perenggan 1.3.3, Faedah Persaraan. Di dalam perenggan tersebut dinyatakan bahawa pegawai yang berada di bawah skim pencen, faedah persaraannya adalah tertakhluk kepada Akta Pencen 1980. Manakala pegawai yang berada di bawah skim KWSP, faedah persaraannya tertakhluk kepada Akta KWSP 1991. Maksudnya di sini, bagi mereka yang memilih SSPA, mereka akan terus kekal di dalam skim pencen atau skim KWSP. 


SOALAN:
Adakah SSPA menjejaskan taraf berpencen dan umur persaraan wajib yang pegawai telah pilih?
Berkenaan dengan taraf berpencen, sebenarnya dengan pelaksanaan SSPA ini, ianya tidak menjejaskan taraf berpencen yang telah diberikan kepada pegawai. Apabila pegawai memilih SSPA taraf berpencen yang diberikan adalah kekal dan ianya terpakai kepada mereka yang akan terlibat dengan urusan tukar lantik nanti.

Berkenaan dengan umur persaraan, adakah dengan SSPA ini umur persaraan akan berubah?
Merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan SSPA Perenggan 140 dinyatakan senarai atau kategori option yang ditawarkan kepada pegawai mengikut kategori berkaitan:
  • Skim perkhidmatan yang dikekalkan.
  • Skim perkhidmatan yang dinaiktaraf.
  • Skim perkhidmatan yang dijumudkan ke dalam skim perkhidmatan yang berkuatkuasa.
  • Skim perkhidmatan yang dijumudkan di bawah SSM.
  • Pegawai yang masih kekal di dalam skim perkhidmatan JKK atau Jawatankuasa Kabinet 1976 dan juga jawatan yang dihapuskan.

Berdasarkan senarai option yang terlibat, tiada satu pun option yang menawarkan perubahan umur persaraan. Maksudnya di sini, bagi pegawai yang telah dilantik mulai 01 Januari 2012, umur persaraan wajib adalah kekal 60 tahun. Bagi pegawai yang dilantik sebelum dari tarikh itu, umur persaraan wajib pegawai adalah bergantung kepada umur persaraan wajib yang telah dipilih pada tahun 2011. Berdasarkan option yang dipilih itu, sekiranya pegawai memilih umur 56 atau 58 tahun dan sekarang memilih SSPA, umur persaraan itu kekal. 

Apakah yang dimaksudkan dengan 50% dan 60% dari skim pencen. Adakah perubahan nanti akan bertukar kepada 50% atau 60%?
50% atau 60% itu adalah merujuk kepada jumlah pencen yang akan diterima. Sebelum tahun 2009, pencen maksimum yang layak diterima oleh pesara adalah setengah dari gaji akhir iaitu 50% tertakhluk kepada tempoh maksimum 25 tahun berkhidmat. Namun, kita telah menambah baik faedah persaraaan dan mulai tahun 2009, tempoh perkhidmatan yang boleh diambilkira iaitu tempoh maksimum sehingga 30 tahun ataupun 60% daripada gaji akhir. Itulah maksud 50% dan 60%. Jadi, kena lihat tarikh lantikan, sekiranya lantikan mulai 2009, adalah 60% dan sebelum 2009 adalah 50%.


SOALAN:
Bagaimana pula dengan pelarasan pencen? Adakah sama dengan SSPA kerana pegawai ini bukan lagi pegawai awam ketika ini?
Bagi pesara, dengan berkuatkuasanya SSPA ini nanti, mereka juga layak untuk menerima pelarasan pencen. Jadi, pelarasan pencen akan berlaku secara berfasa seperti mana penjawat awam iaitu fasa 1 pada bulan Disember 2024 sebanyak 8% dan fasa kedua pada Januari 2026 sebanyak 7%.

Contoh Kes:
Puan Ros, Pengarah BBTM yang akan berpencen sebelum 01 Disember 2024. Bagaimana dengan pelarasan yang akan dterima oleh beliau?
Bagi mereka yang akan bersara sebelum 01 Disember 2024, akan turut menerima pelaraan pencen kerana pada tarikh kuatkuasanya SSPA, mereka dikategorikan sebagai pesara dan akan menerimanya secara berfasa. Jadi, baik pesara atau pegawai awam tetap akan dapat merasai kenikmatan SSPA. Jika nak bersara dengan lebih mewah, pilihlah SSPA kerana ada pelarasan gaji.


SOALAN:
Pegawai telah dilantik secara tetap tetapi masih belum disahkan di dalam perkhidmatan, adakah pegawai tersebut masih ditawarkan untuk memilih skim Pencen atau skim KWSP?
Bagi pegawai yang dalam tempoh percubaan, kita akan lihat status lantikan pegawai tersebut. Sekiranya dilantik secara tetap dan masih dalam tempoh percubaan, pegawai akan ditawarkan option untuk memilih skim Pencen atau KWSP. Untuk memilih option ini, mohon pertimbangan sewajarnya dengan mengambilkira perancangan kewangan dan perancangan persaraan kerana setelah pemilihan option ini dibuat, tidak boleh ditukar lagi. No turning back.

Bagi penjawat awam yang memilih skim KWSP, ianya tertakhluk kepada akta KWSP. Berdasarkan akta tersebut, pengeluaran hanya boleh dibuat ketika umur bersara nanti. Bergantung kepada akaun KWSP di mana KWSP ada menyediakan beberapa bentuk akaun yang boleh dikeluarkan atas tujuan tertentu.

Bagi penjawat awam yang memilih skim Pencen, boleh memilih bersara pilihan. Dengan pelaksanaan SSPA ini, ianya tidak melibatkan pindaan mana-mana peruntukan di dalam Akta Pencen atau Peraturan-peraturan Pencen. Bagi pegawai yang sudah merancang untuk bersara pilihan, berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan:
  • Bagi pegawai lantikan selepas 12 April 1991, tarikh pembayaran pencen adalah pada umur 55 tahun. Kekal umur 55 tahun, tak perlu tunggu sehingga umur 60 tahun.
  • Bagi pegawai yang berhasrat untuk bersara pilihan, perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan boleh merujuk kepada garis panduan yang telah disediakan oleh JPA.

Melaui MyPPSM, Ceraian PP 1.2.11 ada dinyatakan syarat dan prosedur yang perlu dibuat. Antara syarat bersara pilihan adalah:
  • Minimum umur 40 tahun.
  • Tempoh perkhidmatan yang boleh dimasukkira sekuranya-kurangnya 10 tahun. Contoh: Sekiranya telah melepasi umur 40 tahun tetapi baru berkhidmat lapan tahun atau telah berkhidmat 15 tahun, tetapi belum mencapai umur 40 tahun, pegawai tersebut belum melayakkan untuk bersara pilihan.
  • Perlu bebas daripada tindakan tatatertib dan kes mahkamah.
  • Perlu melepasi tapisan keutuhan SPRM.
  • Sekiranya telah menepati syarat-syarat tersebut, bolehlah mengemukakan permohonan untuk bersara pilihan.

SOALAN:
Sekiranya saya tidak memilih option SSPA, adakah saya akan dibersarakan di bawah Seksyen 10.5b?
Bagi pegawai yang masih kekal di bawah Skim Perkhidmatan JKK, Jawatankuasa Kabinet, SSB dan juga jawatan yang dimansuhkan, mereka ini sekiranya tidak memilih option SSPA, kategori inilah yang akan dibersarakan di bawah Seksyen 10.5b.


SOALAN:
Adakah formula pengiraan pencen, ganjaran dan gantian cuti rehat (GCR) berubah apabila memilih option SSPA?
Formula pengiraan ini tidak berubah kerana dari segi Peraturan dan Akta Pencen, ianya masih kekal.

Formula pengiraan Ganjaran:
7.5% didarabkan dengan tempoh perkhidmatan sebenar (dalam kiraan bulan, bukan tahun) dan didarabkan dengan gaji akhir.

Formula pengiraan Pencen:
1/600 didarabkan dengan tempoh perkhidmatan (tertakhluk kepada maksimum 360 bulan) dan didarab dengan gaji akhir.

Formula pengiraan GCR:
1/30 didarabkan dengan jumlah cuti (tertakhluk kepada 180 hari) dan didarab dengan gaji akhir berserta dengan Imbuhan Tetap.

Bagi pegawai memilih skim KWSP, layak menerima GCR dengan syarat bersara wajib.


SOALAN:
Sekiranya saya tidak memilih option SSPA, adakah saya layak menerima pelarasan pencen apabila bersara pada tahun 2025?
Sekiranya pegawai berhasrat untuk tidak memilih option SSPA, maka pada fasa pertama bulan Disember 2024, pegawai tidak akan menerima pelarasan gaji. Walau bagaimanapun, ketika bersara pada tahun 2025 nanti, dari segi ganjaran, pencen dan GCR masih diterima tetapi berdasarkan gaji akhir SSM. Juga mereka layak menerima pelarasan pencen pada fasa kedua nanti berdasarkan gaji akhir SSM.


SOALAN:
Sekiranya pegawai telah memilih option SSPA tetapi meninggal dunia sebelum 01 Disember 2024, bagaimana pelaksanaan SSPA bagi kes begini?
Tempoh option yang akan ditawarkan bermula dari 21 Oktober hingga 30 November 2024. Bagi kes ini, pegawai telah memilih option SSPA namun telah meninggal sebelum tarikh kuatkuasa SSPA, maka pegawai tersebut dikategorikan sebagai pesara. Proses persaraannya berdasarkan gaji SSM dan waris yang layak akan menerima pencen terbitan dan pada 01 Disember nanti, penerima pencen terbitan layak menerima pelarasan pencen fasa pertama dan fasa kedua.

Sekiranya pegawai meninggal dunia telah memilih option SSPA, adakah waris tidak akan menerima pencen terbitan?
Kelayakan pencen terbitan masih berterusan, waris yang layak akan menerima pencen terbitan dengan jumlah yang sama seperti mana pesara itu terima. Waris yang layak berdasarkan Akta Pencen adalah suami/isteri/anak termasuk anak kurang upaya sehingga waris itu meninggal dunia.

Di dalam SSPA, kemudahan perubatan dan rawatan telah ditambah baik, kelayakan umur bagi anak tersebut sehingga umur anak 26 tahun. Kemudahan ini merujuk kepada Perintah Am Bab F, yang dipanjangkan kepada pesara. Bagi pesara yang mempunyai anak sehingga umur 26 tahun, layak mendapat kemudahan ini. Bagi penerima pencen terbitan, ianya masih tertakhluk kepada Akta Pencen 1980, yang mana dari segi umur anak yang layak menerima pencen terbitan ini adalah sehingga umur 21 tahun atau sehingga anak itu menamatkan ijazah kelas pertama.


SOALAN:
Selepas fasa kedua, adakah kenaikan pencen secara tahunan akan berlaku? Berapa peratus kenaikan akan dibuat?
Berdasarkan keputusan mahkamah persekutuan pada 27 Jun 2023, yang mana mahkamah persekutuan telah membatalkan kenaikan pencen secara tahunan sebanyak 2% tahunan itu, maka tiada lagi kenaikan pencen tahunan. Namun kenaikan pencen adalah berdasarkan semakan gaji sekiranya berlaku pada masa pada akan datang seperti mana SSPA ini.


SOALAN:
Bagaimana dengan tempoh perkhidmatan bagi pengiraan pencen? Adakah akan dikira berdasarkan tempoh berkhidmat atau bermula dari terima SSPA?
Dari segi tempoh yang boleh dimasukkira bagi tujuan pencen bermula dari tarikh lantikan pegawai. Tempoh pengiraan itu, kita ambil kira juga sekiranya ada tempoh yang kita tidak boleh ambil kira. Contohnya, cuti tanpa gaji, tindakan tatatertib, dan dari situ kita akan kira tempoh perkhidmatan sebenar yang boleh dimasuk kira. 


SOALAN:
Umut anak pegawai penjawat awam yang menerima kemudahan rawatan dan perubatan yang ditanggung oleh pihak kerajaan telah ditambahbaik kelayakannya sehingga anak tersebut mencapai usia 26 tahun tetapi adakah perkara ini turut dipanjangkan kepada anak pesara?
Sekiranya pesara mempunyai anak berumur di bawah 26 tahun turut layak menerima kemudahan ini seperti yang dinyatakan di dalam Perintah Am berkaitan.


SOALAN:
Apakah perbezaan di antara gaji akhir dengan gaji bersamaan?
Gaji akhir adalah untuk pengiraan faedah persaraan, ganjaran, pencen dan GCR. Apabila berlaku pelarasan pada bulan Disember 2024, gaji akhir pegawai akan dikira semula berdasarkan kenaikan 8% dan ini akan menjadi gaji akhir bersamaan dan akan dijadikan asas untuk pengiraan pelarasan pencen fasa kedua nanti. Pada Januari 2026, baki 7% akan diasaskan kepada gaji bersamaan.


SOALAN:
Adakah penerima pencen terbitan layak menerima pelarasan SSPA?
Walaupun berlaku SSPA sebab SSPA tidak akan ditawarkan kepada pesara dan penerima pencen terbitan serta COS. Option hanya diberikan kepada pegawai yang sedang berkhidmat tetapi berdasarkan kepada Akta Pelarasan Pencen 1980, pesara dan penerima pencen terbitan juga layak untuk menerima pelarasan pencen. Buat penerima pencen terbitan, juga akan menerima pelarasan pencen bagi fasa 1 dan fasa 2.


SOALAN:
Adakah pegawai yang dilantik mulai 01 Disember 2024 masih boleh memilih option pencen?
Sekiranya pegawai dilantik pada tarikh kuatkuasanya SSPA 01 Disember 2024, kena lihat apakah status lantikan tersebut. Sekiranya lantikan tersebut adalah lantikan tetap, pegawai masih layak untuk diberi pilihan untuk memilih skim Pencen atau skim KWSP. Sekiranya lantikan adalah lantikan kontrak (telah dilaksanakan mulai Februari 2024), tiada pencen dan hanya caruman KWSP dan bergantung kepada kaedah lantikan baru yang sedang dalam penelitian dan pertimbangan kerajaan. Sehingga kaedah tersebut dilaksanakan, pegawai tersebut masih kekal status lantikan kontrak.


SOALAN:
Pegawai mempunyai anak kurang upaya (OKU), jika pegawai menerima SSPA, adakah anak pegawai tersebut layak menerima pencen terbitan?
Sekiranya berlaku kematian, pencen terbitan layak diberikan kepada anak termasuk anak OKU berdasarkan kriteria dan syarat-syarat serta garis panduan untuk pendaftaran anak OKU. Permohonan boleh dikemukakan kepada Bahagian Pencen dan akan meneliti permohonan itu dan di bawa ke satu Jawatankuasa Penilaian Anak Kurang Upaya. Sekiranya layak, anak ini akan menerima pencen terbitan dengan jumlah pencen yang sama untuk seumur hidup. Sekiranya ada berlaku pelarasan pada masa hadapan, mereka juga layak menerima pelarasan pencen.

Permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang permohonan yang disediakan di dalam portal JPA, Bahagian Pencen. Permohonan ini perlu di bawa ke hospital pakar kerajaan untuk dinilai tahap kesihatan (ketidakupayaan) dan berdasarkan penilaian tersebut, kita akan lihat sama ada ketidakupayaan itu dari segi fizikal, otak atau mental. Kita akan bawa ke Jawatankuasa Penilaian Anak Kurang Upaya yang terdiri dari pakar-pakar mengikut bidang berkaitan. Sekiranya dipersetujui Jawatankuasa, anak ini layak dan akan didaftarkan sebagai anak OKU


SOALAN:
Apakah manfaat pencen lain yang boleh pegawai terima di bawah SSPA, adakah berbeza berbanding dengan SSM? Maksudnya penambaikan dan kelebihan selain dari kemudahan perubatan dan rawatan anak sehingga umur 26 tahun?
Dengan pelaksanaan SSPA, tidak melibatkan pindaan kepada peruntukkan Akta Pencen dan Peraturan-peraturan Pencen. Faedah persaraan masih kekal seperti mana faedah persaraan ketika ini dan akan diteruskan kepada semua penjawat awam yang memilih SSPA.


SOALAN:
Bolehkah beri simulasi pengiraan pencen jika pilih kekal SSM vs SSPA?
Untuk simulasi pengiraan pencen, di dalam portal JPA, Bahagian Pencen ada disediakan kalkulator pengiraan pencen untuk persaraan wajib, persaraan pilihan di SINI.. Formula adalah kekal dan tidak berubah.


SOALAN:
Adakah kenaikan 8% pada fasa 1 dan 7% pada fasa 2 dilaksanakan ke atas amaun pencen atau gaji akhir pesara?
Dari segi pengiraan pelarasan pencen, perlu dibuat ke atas gaji akhir dahulu dan daripada kenaikan gaji akhir itu barulah dimasukkan ke dalam formula pengiraan pencen untuk mendapatkan pencen terkini bagi pesara.


SOALAN:
Pegawai merupakan suami dan isteri adalah penjawat awam. Sekiranya isteri meninggal, adakah suami akan mendapat kedua-dua pencen ataupun salah satu sahaja?
Selepas bersara, suami isteri akan menerima pencen masing-masing dan sekiranya isteri meninggal dunia, suami akan menerima pencen dirinya sendiri dan pencen terbitan arwah isteri. Suami akan menerima dua pencen dan apabila pelarasan pencen dibuat, suami akan turut menerima untuk kedua pencen teresbut.


SOALAN:
Pegawai lantikan N19 telah mendapat kenaikan pangkat N41. Adakah tarikh pencen disimpan tarikhnya daripada lantikan N19 atau berubah ketika N41?
Ini melibatkan skim pertukaran perkhidmatan. Di dalam situasi ini, pegawai perlu mendapat pelepasan dengan izin untuk kita lihat percantuman perkhidmatannya sebab melibatkan skim perkhidmatan berbeza. Sekiranya urusan itu teratur, pegawai layak dikira dari tempoh lantikannya sejak N19. Sekiranya pergerakan itu tidak teratur, ada kemungkinan tempoh sewaktu N19 tidak boleh diambil kira.


SOALAN:
Adakah betul bila-bila masa sisttem ini boleh u-turn?
Dari segi faedah persaraan, kerajaan sentiasa menambahbaik kemudahan faedah persaraan kerana hak pencen ini dilindungi dan termaktub di dalam perlembagaan persekutuan. Dilindungi hak pencen bagi pegawai yang berada di bawah skim Pencen termasuk skim KWSP. Sekiranya ada perubahan, penambaikan ianya akan dibuat ke arah yang lebih baik.

Konsepnya senang sahaja:
Apa yang telah dipilih dengan SSM, ianya kekal ke SSPA.

#RemajaPurba: ...

Friday, September 20, 2024

ULANGTAHUN KELAHIRAN DAK KAKAK dan GERAKAN REFORMASI


20 September 2024 - Jumaat (16 Rabiul Awal 1446H)

Bye bye 19 tahun.. 
Welcome 20 tahun..

Hari ni birthday cinta hati kami.. My anak sulung.. dak Kakak..  🥰 Love you to the moon and back Kakak. 

Sambutan birthday dak Kakak dan 'kembar'nya Arissa baru-baru ini.

Buatmu dak Kakak..
Semoga dikurniakan kesihatan yang baik dalam menjalani rutin harian, dilapangkan dari kesulitan dan dilimpahkan rezeki yang berkat serta berpanjangan. Moga Allah makbulkan setiap permintaanmu.. Aamiin Ya Rabbal Alamiin.. 🤲🏻

SELAMAT HARI LAHIR
N Umairah I
Happy Birthday to You
20092024

Terima kasih kerana banyak bantu Ibu dan Babah di rumah. Moga kakak sentiasa di bawah lindunganNYA.. gembira + ceria..

Hadiah dari mamanya..

Jauh di sudut hati, aku takut 'kehilangannya'..

Moga dak Kakak makin matang dan kuat dalam meledani rencah kehidupan. Jangan pedulikan apa orang nak kata. Ingat.. jaga maruah diri sebaiknya.


===============================================

Baru ku tahu..
20 September 1998, 26 tahun lalu adalah tarikh pemimpin jawatan kedua tertinggi negara ketika itu ditahan dan selepas dbicarakan akhirnya dihukum penjara. Siapa sangka kini beliau berada di tampuk kepimpinan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sebagai memperingati tarikh permulaan gerakan reformasi, malam ini di Stadium Axiata, Bukit Jalil akan diadakan Himpunan KEADILAN Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia MADANI untuk membawa semangat perjuangan yang tidak pernah pudar semenjak tahun 1998.

Aku..?
Sekadar berkongsi kisah je tapi tidaklah sehingga gigih nak ke sana. Aku hanya pejuang untuk keluarga kecilku ini.

#RemajaPurba: Happy Birthday #mySweetie..

Tuesday, September 17, 2024

PERTANDINGAN TARIK TALI dan BADMINTON TERBUKA HONG KONG


31 Ogos 2024 - Sabtu (26 Safar 1446H)

Sambungan dari SINI..
Jemputan kenduri aqiqah dari jiran belakang rumah. Alhamdulillah.. semua berjalan dengan baik.

chefHubby tukang masaknya.

dibantu jiran tetangga

Anak-anak turut memainkan peranan.

=============================================

01 September 2024 - Ahad (27 Safar 1446H)

Pertandingan tarik tali peringkat kariah kampung telah di adakan di padang bola berhadapan masjid di situ dan dak Adik turut terlibat.

Berjaya hingga ke peringkat suku akhir

dak Adik yang tak sebesar mana.

Bagi aku, dengan mara sehingga peringkat suku akhir adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan apabila latihan yang dibuat beberapa hari sebelum perlawanan.

=============================================

15 September 2024 - Ahad (11 Rabiul Awal 1446H)

Hadiah paling istimewa menjelang Hari Malaysia 16 September 2024 di mana Beregu Wanita Negara, Duo T&T (Pearly Tan & Thinaah Muralitharan) berjaya menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, Liu Sheng Shu/Tan Ning dari China dalam Badminton Terbuka Hong Kong.

di SINI..

Perlawanan akhir yang berlangsung di Kowloon, Hong Kong, China sebelum menang straight set 21-14 dan 21-14 ke atas beregu wanita China.

BEREGU WANITA: Pearly Tan & Thinaah Muralitharan
bersama jurulatih mereka, Hoon Thien How

Sumber gambar dari en. Google

=============================================

16 September 2024 - Isnin (12 Rabiul Awal 1446H)

Cuti Gantian tidak terpakai walaupun berlaku pertindihan hari kelepasan am pada Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul) dan Hari Malaysia.

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA

SALAM MAULIDUR RASUL
Al-Falah Pemacu Malaysia Madani


17 September 2024 - Selasa (13 Rabiul Awal 1446H)

Bekerja seperti biasa.


#RemajaPurba: ...

Sunday, September 15, 2024

LOGO DAN TEMA HARI KEBANGSAAN DARI TAHUN 1970 HINGGA 2024


Simpan sini.. 

30 Ogos 2024 - Jumaat (25 Safar 1446H)

Alhamdulillah, selesai sudah Sambutan Bulan Kemerdekaan Tahun 2024 yang diadakan di tempat kerja. Tak dapat nak turut serta meraikan kerana terlibat di bahagian 'dapur' menguruskan agihan makanan yang telah ditempah awal. Sekadar melihat dan mendengar dari tepi..

===============================================

31 Ogos 2024 - Sabtu (26 Safar 1446H)

Kenangan di SINI..

Sambutan Hari Kebangsaan diadakan pada 31 Ogos 2024 (Sabtu) di Putrajaya dan sambutan Hari Malaysia akan diadakan pada 16 September 2024 di Sabah.

Hari ini juga ada kenduri aqiqah di rumah jiran belakang rumah dan en. Hubby main chefnya. Nanti ada masa aku kongsikan kisahnya - update di SINI..


LOGO DAN TEMA HARI KEBANGSAN 2024:

2024 - Malaysia Madani Jiwa Merdeka


LOGO Hari Kebangsaan:
Mempunyai elemen dan identiti yang istimewa bersifat kenegaraan, dengan menggunakan warna bendera Jalur Gemilang iaitu merah, biru, kuning dan putih.

TEMA Hari Kebangsaan:
Nilai-nilai dan matlamat penting negara pada tahun semasa dan mencerminkan semangat dan matlamat nasional.

Logo dan Tema Hari Kebangsaan dari tahun 1993 - 2023

  • 2023 - Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan
  • 2022 - Keluarga Malaysia, Teguh Bersama
  • 2020-2021 - Malaysia Prihatin
  • 2019 - Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih
  • 2018 - Sayangi Malaysiaku
  • 2017 - Negaraku Sehati Sejiwa
  • 2015-2016 - Sehati Sejiwa
  • 2014 - Malaysia.. Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta
  • 2013 - Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku
  • 2012 - 1Malaysia. Janji Ditepati
  • 2011 - 1Malaysia. Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera
  • 2010 - 1Malaysia. Menjana Transformasi
  • 2009 - 1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan
  • 2008 - Perpaduan Teras Kejayaan
  • 2007 - Malaysiaku Gemilang
  • 2000-2006 - Keranamu Malaysia
  • 1999 - Bersatu ke Alaf Baru
  • 1998 - Negara Kita Tanggungjawab Kita
  • 1997 - Akhlak Mulia Masyarakat Berjaya
  • 1996 - Budaya Penentu Kecapaian
  • 1995 - Jatidiri Penggerak Wawasan
  • 1994 - Nilai Murni Jayakan Wawasan
  • 1993 - Bersatu Menuju Wawasan

Logo dan Tema Hari Kebangsaan dari tahun 1970 - 1992

  • 1992 - Wawasan Asas Kejayaan
  • 1991 - Wawasan 2020
  • 1990 - Berjaya
  • 1988-1989 - Bersatu
  • 1987 - Setia Bersatu Berusaha Maju
  • 1986 - Bangsa Tegas Negara Teguh
  • 1985 - Nasionalisme Teras Perpaduan
  • 1984 - Amanah Asas Kejayaan
  • 1983 - Bersama ke Arah Kemajuan
  • 1982 - Berdisiplin Giat Maju
  • 1981 - Berdisiplin Berharmoni
  • 1980 - Berdisiplin Berbakti
  • 1979 - Bersatu Berdisiplin
  • 1978 - Kebudayaan Seni Perpaduan
  • 1977 - 20 Tahun Bersatu Maju
  • 1976 - Ketahanan Rakyat
  • 1975 - Masyarakat Berdikari
  • 1974 - Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
  • 1973 - Masyarakat Kebudayaan Malaysia
  • 1972 - Masyarakat Adil
  • 1971 - Masyarakat Progresif
  • 1970 - Muhibbah dan Perpaduan


#RemajaPurba: Sumber dari Jabatan Penerangan Malaysia di SINI..

Friday, September 6, 2024

ALANGKAH MENGERIKANNYA MENJADI TUA


 السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهْ
۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى  سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

06 September 2024 - Jumaat (2 Rabiulawal 1446H)

Jumaat pertama di dalam bulan September.
Semakin hari terasa diri semakin tidak kuat berhadapan dengan kesesakan jalan raya. Bergelut dengan masa ditambah dengan kerenah segelintir pemandu yang seperti dia terpaling lambat ke destinasi.

Dalam keadaan sekarang..
Selagi larat, hadaplah tapi kalau dah tak larat tinggalkanlah. Jangan sampai kita menyusahkan orang lain.


'Alangkah mengerikannya menjadi tua dengan kenangan masa muda yang hanya berisi kemacetan jalan, ketakutan datang terlambat ke kantor, tugas-tugas rutin yang tidak menggugah semangat, dan kehidupan seperti mesin, yang hanya akan berakhir dengan pensiun tidak seberapa'

-Menjadi Tua di Jakarta, Seno Gumira Ajidarma-


'Ketika Allah menentukan takdir yang berat untukmu, yakinlah itu sudah ditentukan sesuai dengan kekuatanmu, tak ada beban yang kamu angkat melebihi kekuatanmu.. ingat Allah ada bersamamu..'

#RemajaPurba: ...

Thursday, September 5, 2024

EMAS dan PERAK buat MALAYSIA di BADMINTON TERBUKA KOREA 2024 - Seoul


Aku bukan peminat tegar badminton tapi tumpang bangga bila kejayaan diraih oleh pemain badminton negara. Latihan demi latihan dan usaha yang bukan sedikit buat mereka layak untuk diberi penghormatan.  


01 September 2024 - Ahad (27 Safar 1446H)

Kejohanan Badminton di Seoul, Korea bermula pada 27 Ogos 2024 dan telah melabuhkan tirai pada 01 September 2024. 

Di dalam kalendar siri BWF World Tour 2024, BWF Korea Open 2024 merupakan kejohanan ke-22 di dalam kategori Super 500 di mana menawarkan mata ranking bersama dengan hadiah wang tunai berjumlah $420,000 atau sekitar RM1.8 juta.

Badminton World Federation (BWF) Korea Open 2024

Senarai pemain Badminton Malaysia yang mewakili negara yang mana terdiri daripada pemain di bawah naungan BAM dan juga pemain profesional negara di Korea Open 2024:

  • Perseorangan Lelaki: Leong Jun Hao
  • Perseorangan Wanita: Tiada wakil
  • Beregu Lelaki: Nur Mohd Azriyn Ayub/Tan Wee Kiong, Goh Sze Fei/Nur Izzuddin, Boon Xin Yuan/Goh V Shem, Choong Hon Jian/Muhammad Haikal, Low Hang Yee/Ng Eng Cheong, Man Wei Chong/Kai Wun Tee
  • Beregu Wanita: Go Pei Kee/Teoh Mei Xing, Lai Pei Jing/Lim Chiew Sien, Pearly Tan/Thinaah Muralitharan
  • Beregu Campuran: Chen Tang Jie/Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron/Cheng Su Yin, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing, Wong Tien Ci/Lim Chiew Sien, Choong Hon Jian/Go Pei Kee, Goh Soon Huat/Lai Shevon Jemie

BEREGU CAMPURAN: Chen Tang Jie & Toh Ee Wei

Juara Terbuka Korea 2024 bagi kategori Beregu Campuran

Warna rambut deme pun lain dari perlawanan di Sukan Olimpik Paris 2024 hari tu

Aku suka tengok gandingan mereka berdua.

Sweet je moment ni.. 

Beregu campuran negara berjaya menewaskan beregu muda China Li Qian/Guo Xin Wa dengan keputusan 17-21, 21-13, 21-13 dan menghadiahkan JUARA kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos 2024.

Ketika perlawanan berlangsung, geram pulak aku dengar jeritan pemain wanita China tu, nyaring sangat bunyinya tapi semua itu berjaya 'didiamkan' dengan menewaskan mereka. Jadi, kalau nak menang.. tak usah galak sangat nak menjerit. 

================================================

BEREGU WANITA: Pearly Tan & Thinaah Muralitharan

Naib Juara Terbuka Korea 2024 bagi kategori Beregu Wanita

Sekalung Tahniah buat pasangan beregu wanita Malaysia yang telah berjuang hingga ke peringkat akhir sebelum tewas di tangan tuan rumah iaitu Jeong Na Eun/Kim Hye Jeong 21-12 dan 21-11. 

Baju deme kali ni lagi cantik dari perlawanan di Sukan Olimpik Paris 2024

================================================

Semangat dan ketabahan semua pemain sepanjang perlawanan ini telah membuktikan bahawa mereka tetap yang terbaik untuk Malaysia. Aku percaya, menang atau kalah dalam pertandingan ini akan menjadikan mereka semakin kuat dan pengalaman yang diperoleh akan dijadikan sebagai pemangkin semangat untuk terus berjaya pada masa hadapan.

Tahniah buat semua jurulatih. Tanpa anda, mereka tidak akan sampai ke tahap ini dan buat semua pemain, usaha dan terus usaha selagi terdaya.
Sumber dari SINI..

#RemajaPurba: Sumber gambar dari en. Google.

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...