Thursday, August 7, 2025

BERMULA FASA BARU TANPA IBU DAN BABAH


01 Ogos 2025 - Jumaat (7 Safar 1447H) 

Sambungan dari [SINI]

Hari ini hari ketiga suai kenal dan juga hari terakhir sebelum dak Adik benar-benar melangkah masuk ke dunia pengajian yang sebenar. Dunia yang aku hanya mampu pandang dari jauh.

'Ibu rileks je, orang lelaki senang je dapat kawan nanti'Dalam diam, Tuhan aturkan satu kebetulan — rupa-rupanya ada juga kawan dari sekolah menengah yang menuntut di tempat yang sama dengan dak Adik, walaupun programnya berbeza. Sekurang-kurangnya, ada bayang yang dikenali.

Explorace bersama rakan sepasukan

Bagi aku.. aktiviti explorace adalah aktiviti yang paling menyeronokkan. Boleh hilang sekejap masalah yang ada bila masing-masing saling bantu dan bekerjasama mencari idea menyelesaikan tugasan yang diberikan. Dari tak kenal, dari rasa malu-maluakhirnya menjadi sahabat baik.

Dak Adik..?
Mungkin dunia baru ini boleh mengubah diri dan sikap Adik ke arah yang lebih baik.

Solat Jumaat pertama di Masjid di kampung

Tengah hari..
Adik sepupu aku menemani dak Adik menunggang sendiri motosikal ke masjid berdekatan dengan rumah bagi menunaikan solat Jumaat. 


Aku..?
Selepas hampir seminggu bercuti, aku kini kembali ke rutin bekerja seperti biasa. Dak Nuha pun sudah kembali ke sekolah selepas tiga hari cuti, cuma en. Hubby sahaja yang masih menikmati cuti. 

Kami tinggalkan Adik dengan seribu harapan. Bukan mudah untuk melepaskan tapi kami tahu ini adalah perjalanan yang harus dia tempuhi. Pandailah dia hidup berdikari walau hakikatnya bukan tinggal menyewa dengan rakan-rakan yang lain. Tapi rindu.. mana boleh elak. Biarpun anak nampak tenang, ibu tetap dihantui bayang — 'Cukup ke duit dia?' 'Okay ke makan dia?' 'Ada orang tolong ke kalau susah?'.  Aku hanya mampu memandang dari jauh sambil memeluk doa.

@RemajaPurba: Langkah kecil dak Adik, doa besar dari kami di rumah.

DAK ADIK TINGGAL, AKU BALIK

 
30 Julai 2025 - Rabu (5 Safar 1447H) 

Sambungan dari [SINI] dan [SINI]

Menjadi kebiasaan, bila balik kampung — mata meliar mencari apa yang ingin di bawa balik tapi kali ni tengok je, takde hati nak memetik walau sebiji buah lemon. 

'Pergilah tengok pokok sentul tu, buahnya dah masak ke belum? Monyet banyak sekarang'. Bila aku tengok, buahnya belum cukup masak untuk dipetik tapi banyak buahnya. Pokok sentul ni, benihnya aku ambil dari kampung mak aku dan tanam di rumah Pak Busu. Sekarang, membesar dengan sihat dan berbuah lebat pula tu cuma belum rezeki untuk merasa buahnya. Aduh.. kecur liur dibuatnya.

Pokok Sentul

Buah Sentul


Sempat juga aku menjenguk tanaman Pak Busu. Cili padi merah menyala, elok tersusun atas tangkai — tapi kali ni aku biarkan saja. Mood nak memetik tu tiada, mungkin sebab fikiran masih tertumpu pada dak Adik. Sekarang ni, Pak Busu lebih banyak luangkan masa dengan kambing-kambing peliharaannya. Manakala Mak Busu pula akan turun membantu bila ada masa dan tenaga mengizinkan. Maklumlah, beliau masih mengajar sesi petang di sekolah — penatnya bukan calang-calang.

Merah Menyala


Tak banyak yang mampu dijaga rapi, tapi begitulah hidup. Kadang-kadang apa yang kita harap tak menjadi, yang kita rancang pun tak selalu jadi. Akhirnya kita belajar untuk terima seadanya — asalkan masih ada yang hidup, itu pun dah cukup untuk disyukuri.


====================================

31 Julai 2025 - Khamis (6 Safar 1447H) 

Pagi..
Adik sepupu aku ditugaskan untuk menghantar dak Adik buat sementara. Ini kerana borang kebenaran membawa motor ke tempat pengajian belum diserah lagi kepada pihak pengurusan.

Selesai dak Adik pergi ke tempat pengajian untuk hari kedua sesi suaikenal, kami bersedia untuk bergerak pulang. 'Lepas ni, belajarlah berdikari ye, Adik..'. 'Jangan malu nak minta tolong kalau ada masalah, jangan berat mulut'.
 
Nampak macam takde orang tapi kiri dan kanan tepi kedai tu ramai yang tengah makan.

Kami singgah sarapan di kedai ini waktu dalam perjalanan balik, nampak menarik dan suasananya tenang, makan pula bawah pokok mangga. Jangan tanya nama kedai dan lokasinya sebab aku tak tengok pun nama kedainya tapi menu yang kami pesan memang sedap: roti canai, mee goreng basah dan nasi lemak. Paling menarik, nasi lemaknya siap ada kangkung — kegemaran dak Nuha, berselera dia makan + tak nak kongsi pun dengan aku takut kangkungnya habis.

Selesai makan, kami singgah beli bahan mentah untuk dibawa ke rumah emak. Rezeki dapat jumpa emak, kebetulan mak baru balik dari cabut gigi. Alahai, mak malu-malu tutup mulut — comel pulak aku tengok.


Pokok Jambu Batu


Mak pelawa kami makan tengah hari tapi kami menolak dengan baik — bukan tak sudi, cuma tak nak susahkan mak. Lagipun kami baru je lepas makan. En. Hubby pun nak balik awal, takut tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Tak nak bertembung dengan orang balik kerja.

Sempat juga aku minta buah jambu batu yang bergayutan cantik di pokok jambu yang ditanam tepi rumah. Sayang nak makan, jambu tu masih elok tersimpan dalam peti sejuk. Emak pun bekalkan nenas, manis sungguh buahnya cuma aku terlupa nak ambil gambar.


Hampir sampai..

Alhamdulillah.. perjalanan pulang lancar dan sampai rumah pun awal. Petangnya baru kami ambil dak Jasmine dari hotelnya selepas siap digrooming. Nampak dia tak sabar nak keluar dari sangkar — biasalah, budak dah biasa bebas dalam rumah, bila dikurung mana mahunya. Staff hotel kata dak Jasmine tak banyak ragam, tak 'menangis' cuma bulunya banyak gugur. Mungkin stress, tak dapat tengok dunia luar agaknya.

Malam..
Selesai rutin harian, masa untuk berehat dan tidur. Ikutkan hati nak cuti lagi tapi esok dah mula kerja — ada tugasan urgent yang perlu diselesaikan.


Dak Adik..?
Bermulalah fasa hidup berjauhan dari ibu dan babah. Semoga dak Adik kuat semangat dan berjaya dalam bidang yang dipilih untuk sambung pengajian. Good luck and do your best, Adik. Semua ni untuk masa depan Adik. Tanggungjawab besar sedang menanti.

@RemajaPurba: …

Tuesday, August 5, 2025

SATAY BONDA - MASJID TANAH, MELAKA

 
30 Julai 2025 - Rabu (5 Safar 1447H) 

Hari kedua dak Adik sambung belajar — petang tu aku dan dak Nuha ikut En. Hubby ambil dia di kolej. Lepas tu kami ajak keluar makan, nak luang masa sikit sebelum dia makin sibuk dan tenggelam dalam dunia barunya. Dak Adik tak menyewa macam kawan-kawan lain, sebaliknya dia pilih untuk duduk dengan bapa saudaraku, rumah TokSu dia.

'Kenapa tak menyewa?' Itu memang pilihan dia sendiri. Katanya lebih selesa duduk dengan keluarga. Alhamdulillah.. sekurang-kurangnya ada juga orang yang boleh tengok-tengokkan dia bila aku jauh. Kurang sikit risau di hati ni.

Selepas mengambil dak Adik dari [SINI], kami terus mencari tempat makan kerana dak Adik lapar + penat. Kadang-kadang.. bila penat seharian, kita cuma nak sesuatu yang ringkas tapi puas — makanan yang sedap, tak terlalu fancy dan buat hati rasa selesa.

Dalam perjalanan menuju ke pantai, aku ternampak satu gerai di hadapan sebuah rumah — ada orang tengah bakar satay tapi waktu tu kami tak singgah pun sebab tak terlintas langsung nak makan satay. Kami teruskan je perjalanan ke pantai, konon nak cari makan kat sana tapi tak ada yang betul-betul menarik perhatian, mungkin sebab kami pergi bukan hujung minggu. Akhirnya, kami buat keputusan patah balik dan singgah di tempat satay yang aku nampak awal tadi dan ternyata pilihan tu memang tak salah.

Satay Bonda

Dekat bahagian beranda rumah tu pun boleh duduk makan


Sampai je, tengok-tengok dah ada beberapa meja yang penuh. Kami pun order satay daging, satay ayam dan nasi impit – standard SOP kalau makan satay kan? Kalau perhati betul-betul dalam gambar tu, tempat bakar satay elok je terletak berhampiran depan pintu masuk – bau satay dia memang tak bagi peluang nak buat-buat tak lapar. Air minuman pulak kat bahagian tepi, dekat belakang beranda rumah. Suasana kemas dan teratur, nampak bersih dan selesa. Mujur kami datang hari Rabu – tak terlalu ramai orang, jadi boleh duduk santai sambil menikmati hidangan tanpa rasa tergesa-gesa. Tapi kalau datang hujung minggu, mungkin perlu bersaing sikit untuk dapat tempat.


Daging dan Ayam

Satay dibakar depan mata atas bara hidup – bukan sekadar bau, tapi juga ujian iman untuk perut yang memang tengah berdondang sayang. Terus bagi hint: 'order cepat..!'  

Satay dia..?
Lembut, juicy, tak kering macam hubungan tanpa komunikasi. Rempah dia pun tak menjerit tapi cukup rasa.. ๐Ÿ˜† Bagi aku.. sedap, kena dengan tekak. Boleh repeat order kalau mahu.

Lokasi..?
Tak jauh dari Masjid Al-Ehsan, Kampung Londang – sesuai sangat kalau lepas solat nak terus jamu tekak.


Kepada yang berminat nak cuba, bolehlah google tempat ni:
Satay Bonda turut terima tempahan untuk majlis atau kenduri. Harga berpatutan, rasa puas hati.
๐Ÿ“ Alamat: Batu 19 ½, Kampung Londang, 78300 Melaka
๐Ÿ•” Waktu operasi: 5.30 petang – 10.00 malam
❌ Tutup setiap hari Selasa
๐Ÿ“ž Tempahan dan pertanyaan: 018-366 8538


@RemajaPurba: Rindu dekat dak Adik..

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...