Saturday, November 22, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 8]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sambungan dari [SINI]..

Kisah ini bermula apabila saya menjalani hukuman penjara selama lima tahun selepas rayuan saya ditolak di Mahkamah Tinggi. Disebabkan tempoh hukuman yang lama, saya telah memohon rayuan di peringkat mahkamah yang seterusnya.

Secara umumnya, proses mahkamah mempunyai tiga peringkat berikut:
    • Mahkamah Seksyen
    • Mahkamah Tinggi
    • Mahkamah Rayuan
Jika sesuatu kes bermula di Mahkamah Tinggi, proses rayuannya akan berakhir di Mahkamah Persekutuan yang diadili oleh lima orang hakim.




Selama lima tahun melalui proses perbicaraan dan rayuan, perjalanan saya berakhir dengan keputusan rayuan ditolak di Mahkamah Tinggi. Saya akan ditempatkan semula di bawah kuarantin selama tujuh hari dan tidak dibenarkan turun ke blok. Setiap kali prosiding ditangguhkan atau ditunda, proses yang sama berulang. Prosedur kuarantin ini dilaksanakan ke atas mana-mana banduan yang keluar dari kawasan penjara sebagai langkah keselamatan — bagi mengelakkan penyeludupan barang terlarang, khususnya dadah masuk semula ke dalam penjara. Dalam tempoh itu, banduan akan melalui pemeriksaan tertentu.


Walaupun kes saya berbeza, saya tetap kena melalui prosedur kuarantin yang ditetapkan. Setiap kali dikuarantin, saya ditempatkan di bahagian chamber, iaitu kawasan berhampiran sel asingan. Bangunan chamber ini turut menempatkan ruang pelaksanaan hukuman gantung dan bilik yang saya duduki merupakan bilik yang pernah digunakan untuk penahanan Mona Fandey sebelum hukuman dijalankan. Sepanjang tempoh kuarantin itu, saya mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam disebabkan adanya 'gangguan'. Rasa tidak tenteram itu berlarutan setiap hari sepanjang tempoh kuarantin.

Sebagai banduan yang dikategorikan sebagai perhatian khas, saya dikuarantin secara bersendirian dan tidak dibenarkan ditempatkan bersama banduan lain. Saya juga menjalani hukuman dalam tempoh yang panjang di penjara dengan pemeriksaan pegawai dilakukan setiap tiga puluh minit bagi tujuan pemantauan berterusan.


Menunggu selama lima tahun untuk keputusan mahkamah akhirnya berakhir dengan hukuman saya dikekalkan, meninggalkan rasa kecewa yang amat mendalam. Pada waktu itu, anak saya berusia empat tahun dan isteri yang merupakan suri rumah sepenuh masa, terpaksa berjuang sendiri tanpa sokongan tambahan dari keluarga terdekat. Keadaan ini amat mencabar dan penuh kesusahan.

'Isteri saya ni tak pandai bawa kereta, pandai naik bas. Hari tersebut, dia bawa beg baju dan anak naik bas sampai ke seksyen 16, naik grab pergi ke mahkamah tinggi mengharapkan suaminya pulang selepas lima tahun duduk di dalam penjara tapi keputusan yang sampai itu adalah keputusan yang mengecewakan'. — Masa ni kami di dalam dewan rasa sebak dan rasa sayu bila beliau menceritakan keadaan ketika itu.

Saya kemudian terpaksa kembali ke penjara untuk meneruskan baki hukuman. Saat itu, melihat anak saya, soalan pertama yang dia ajukan kepada seorang sahabat saya yang hadir pada waktu itu, 'Pakcik, abah saya macam mana?'. Inilah hakikat yang saya kena terima. Saya hanya mampu memeluk dan menciumnya seketika tapi tidak dapat bersama dengannya kerana terpaksa kembali ke penjara dalam keadaan kecewa yang mendalam.


Proses menjalani hukuman ini sangat perit dan saya berharap agar kamu tidak mengulangi kesilapan yang sama. Jangan mengikut 'contoh' saya semata-mata untuk menjadi penceramah atau tampil di pentas. Hakikatnya, Allah SWT yang menentukan perjalanan hidup saya seperti sekarang ini. Saya husnuzon dan terima sepenuhnya ketentuanNYA sambil berusaha melakukan yang terbaik dalam berdakwah kepada masyarakat mengenai bahaya pelanggaran integriti.


- Bersambung dalam entry akan datang -


@RemajaPurba: ..

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 7]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Sebagai penceramah dan motivator profesional bertauliah, beliau tampil berkongsi pengalaman serta memberi pencerahan berkaitan isu integriti dalam perkhidmatan. Dengan satu niat — untuk memperingatkan bahawa amanah yang dipikul bukan sekadar tugas tetapi satu tanggungjawab yang menentukan maruah diri dan organisasi.


Sambungan dari [SINI]

Kisah Benar:
Saya pernah datang memberi ceramah tapi bila tiada kesedaran diri dan tiada nilai integriti, bila mereka terasa apa yang saya sampaikan 'kena batang hidung' sendiri, mereka bangun dan meninggalkan saya di hadapan pentas. Sedangkan tujuan saya hanyalah untuk berkongsi dan mengingatkan tentang bahaya perbuatan itu dan SPRM pun sebenarnya sudah lama tahu — hanya menunggu masa untuk bertindak.

Malangnya, ada yang menuduh saya datang bercerita kerana dengki, iri hati, seolah-olah saya berdendam kerana saya sendiri pernah dikenakan tindakan. Kononnya saya cemburu sebab mereka kini hidup mewah? Saya tak pernah peduli pun apa yang mereka ada.




Apa yang saya mahu hanyalah menyampaikan satu perkara:
Sedarlah bahawa perbuatan itu salah tapi itulah sikap sesetengah orang — enggan mendengar penjelasan, cepat menghukum dan lebih mudah menuduh saya sebagai tali barut SPRM hanya kerana saya sepatutnya menerima hukuman penjara yang lebih lama.

Jadi bila mereka nampak saya keluar awal, itulah puncanya mereka menuduh saya sebagai 'hantu SPRM'. Kononnya mesti ada sebab saya dibebaskan lebih awal dari penjara. Kadang-kadang nak je saya maki sebab saya pun ada mulut. Mereka tak hidup dengan saya, mereka tak tahu apa yang saya lalui.

Saya datang untuk bagi ceramah hanya kerana seorang sahabat meminta saya berkongsi pengalaman — pahitnya melalui situasi itu. Pengarah mereka sendiri yang memanggil saya untuk beri taklimat kepada stafnya. Katanya, 'Kau saja yang boleh jelaskan perkara sebenar sebab budak-budak ni tak faham. Mereka masih ikut tradiri, cara orang lama'.

Dengarlah dulu.. saya bukannya datang untuk mengutuk atau menuding siapa yang ambil. Saya cuma mahu menjelaskan perkara sebenar dan kesannya tapi mereka tetap menolak, malah menidakkan perkara itu.


Macam saya masuk kerja dulu, tradisi itu memang sudah wujud. Saya hanyalah penyambung warisan. Kalau ikutkan takkan saya kena, takkanlah saya boleh dilabel sebagai 'mastermind'.


Kenapa saya yang kena?
Sebab saya terlibat dalam tradisi itu. Kalau saya tak ambil, kalau saya menolak sejak awal, saya tidak akan ditahan. Saya tak pernah minta apa-apa imbuhan, saya tak rasa bersalah — tapi kerana saya tetap mengambil walaupun diberi, di situlah silapnya. Nampak tak.. perbuatan itu nampak simple saja.

Sebab itu jangan terlalu 'aktif' sangat. Terlebih aktif pun boleh jadi 'marking' kepada jalan cerita yang tidak baik dan perkara-perkara yang berisiko.


Satu Pesanan.
Jika kamu dipanggil oleh SPRM untuk siasatan, pergi jelah jangan takut. Kita takut kerana kita buat tapi kalau kita tak buat InsyaAllah kita tidak akan direman. Jadi, pilihlah untuk sentiasa menjaga integriti dan mematuhi undang-undang.


- Bersambung dalam entry akan datang -

@RemajaPurba: ...

Friday, November 21, 2025

TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi [Part 6]


13 November 2025 - Khamis [22 Jamadilawal 1447H]

Untuk yang baru membaca entry ini, disarankan rujuk dahulu entry sebelum ini. Terdapat beberapa siri yang telah aku kongsikan dan sekarang masih ada beberapa lagi dalam draft akan aku kongsikan untuk bacaan bersama. Ceramah yang aku hadiri pada 13 November 2025, membuatkan aku ingin kongsikan apa itu TUMBUK RUSUK: Pengkisahan Dari Tirai Besi – Guarantee Money – dengan izin dari empunya badan.

Sambungan dari [SINI]


GUARANTEE MONEY atau MONEY SETTING


Kisab Benar:
Pada Mei 2011, saya telah dituduh di mahkamah atas 31 pertuduhan yang melibatkan kemasukan warga asing ke Malaysia tanpa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Tiga hari selepas itu, saya menerima surat penahanan kerja. Bermulalah satu fasa baru dalam hidup saya, di mana saya tidak lagi dibenarkan hadir ke pejabat dan gaji hanya dibayar separuh kerana terlibat dalam prosiding mahkamah.


Bagaimana boleh timbul 31 pertuduhan?
Semua berpunca daripada transaksi wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank yang bukan milik saya tapi milik ejen. Ejen ini terlibat secara langsung dalam kartel, bertindak sebagai orang perantara untuk 'guarantee money'. Dia mengumpulkan wang itu, menyerahkan bahagian kita dan mengekalkan bahagiannya sendiri. Ejen ini juga bekerjasama dengan pegawai yang terbabit.

Konflik berlaku apabila ejen tidak berpuas hati disebabkan pengurangan daripada pihak pelanggan. Perselisihan ini akhirnya membawa kepada laporan kepada media oleh salah seorang yang kecewa. Ejen yang ditahan SPRM pula tidak dikenakan pertuduhan, malah ditukarkan menjadi saksi kerana dia yang membuat laporan.

Jangan mudah percaya kepada orang tengah seperti ini.
Sikap ejen yang dididik oleh kartel adalah untuk mencipta peluang atau 'engagement' dengan pegawai berkepentingan bagi membina hubungan. Dia bermula sebagai kawan, kemudian membawa kepada 'tolong adjust'. Kadang-kadang, dia bagi tugasan yang mudah dahulu kemudian tugasan lebih sukar. Kita yang termakan sedikit demi sedikit akhirnya terjerumus ke situasi yang lebih parah sehingga menjadi ancaman kepada kita. Kita tak boleh nak menolak walaupun tahu ia salah di sisi undang-undang. Dari awal, kita sudah tergadai kerana mengambil perkara yang nampak simple tapi membawa implikasi besar.


GUARANTEE MONEY ini apa?
Secara ringkas – wang jaminan yang dibayar untuk memastikan sesuatu kepentingan atau urusan berjaya, biasanya dalam rangka hubungan tidak rasmi antara pegawai dan pihak tertentu.

Bila seorang melanggar peraturan, orang lain akan ikut. Perlanggaran kecil seperti ini menimbulkan penyalahgunaan etika dan berpotensi membesar jika dibiarkan kerana ia menjadi asas kepada pelanggaran yang lebih serius. Itulah yang saya lihat sewaktu berkhidmat dalam jabatan kerajaan.

Sebab itu, saya ingin pesan kepada semua pegawai, sama ada di agensi kerajaan atau swasta – jangan sekali-kali melanggar integriti, walaupun sekecil mana. Sekali kamu langgar, ia membuka ruang kepada pelanggaran yang lebih besar, bermula daripada tindakan kamu sendiri yang kadang-kadang tidak disedari.

Jadi, apabila saya dikenakan 31 pertuduhan, ia berkait dengan kartel yang wujud iaitu berhubung dengan 'guarantee money'. Walaupun ramai mungkin tidak perasan, perkara ini masih berlaku, contohnya di pintu masuk negara dengan adanya 'kaunter setting'. Dulu ia dikenali sebagai 'guarantee money', sekarang nama ditukar kepada kaunter setting - sama ada je keadaannya, sama je fitrah kejadiannya.


Kalau ditanya kenapa sampai 2025 perbuatan itu masih wujud?
Ini isu kartel. Peluang untuk melakukan perbuatan tersebut memang ada dan sesiapa yang berjaya mencipta ruang di situ boleh menghasilkan perbuatan yang jahat itu tapi jika kamu menolak untuk bersekongkol dengan kartel, kamu bebas daripada terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.

Ambillah kisah ini sebagai peringatan - bukan untuk menuding sesiapa tetapi untuk mengingatkan kita tentang pentingnya memilih jalan yang betul sejak awal.

- bersambung -

Ok cukup dulu setakat ini, nanti aku kongsikan di entry akan datang.

@RemajaPurba: ..

AdSense

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...