Followers Remaja Purba

Friday, July 30, 2021

Kucing baru - si Comot?


Mengenang kisah lama - dak Oyen
Dak Oyen, kucing ni asalnya kepunyaan jiran depan rumah kami. Rajin ia menyelinap masuk ke dalam rumah kami seolah-olah dengan sengaja menyerah diri.

Awalnya aku selalu marahkan ia sebab masuk rumah tak reti nak bagi salam tapi bila dah kerap kena bebel, tiap kali sebelum masuk rumah ia akan mengiow seolah-olah ia sedang memberi salam. Aku pula..

'Wa'alaikum salam, ha.. macam tu lah. Bagi salam sebelum masuk rumah. Ni tak. main redah masuk je'. Terkebil-kebil dak Oyen memandang aku.

Sejak dari itu, kami mula membeli makanan kucing untuk diberikan kepadanya. Penyakit kurap di bahagian telinganya pun semakin baik bila diberikan ubat. Alhamdulillah, kekallah dak Oyen di rumah kami. Kencing, berak itu biasalah, ada masa terbabas juga ia di dalam rumah. Niat aku hanya untuk memberi dak Oyen makan dan takde nak paksa ia untuk tinggal bersama kami. Kucing bertuan bukan kucing gelandangan.

DAN..
Akhirnya, sesuatu telah berlaku pada dak Oyen di SINI.. Kecewa tak terkata, sedih tak terluah, masih mengharap ia kembali sedangkan aku tak tahu ia di mana. Walau berusaha bersangka baik tapi tanpa bukti, takkan ada pesalah berjaya ditangkap.

Luahan hati dak Nuha atas kehilangan dak Oyen.
Nota: dak Oyen sedang tidur ala akrobatik.


KINI.. kisah si Comot
Kucing ni en. Hubby bawa pulang dari tempat kerja, berkemungkinan ia dibuang, ditinggal atau sesat mencari jalan pulang?

Beberapa hari sebelumnya en. Hubby ada menyuarakan hasrat untuk membawa pulang kucing ni dek kasihan menumpang teduh di situ, dahlah sebelum tu hujan setiap hari. 

'Kalau kucing bertuan, biasanya ia datang makan lepas tu balik. Ni tak ke mana-mana pun'. En. Hubby bercerita. 'Gigi taring sebelah bawah kucing tu dah takde sebelah'. Alahai, kesiannya.

Si Comot ni dibawa balik seminggu sebelum dak Oyen hilang terus dari pandangan mata kami. Walau ia tak sama seperti dak Oyen tapi takpelah, kami jaga ia selagi terdaya. Pernah sekali ia keluar tanpa ada yang perasan, dak Nuha mulalah tak senang duduk. Tak nak peristiwa sama berulang. Alhamdulillah, pagi esoknya ia ada di depan rumah. Alahai Comot, jangan buat macam tu lagi, awak tu bukan sihat mana. Tambah lagi baru-baru ini ada beberapa kucing yang mati dek penyakit kucing yang berjangkit. Itu juga antara punca banyak kucing tidak muncul di depan rumah seperti kebiasaannya.

Awal kehadiran si Comot, di sinilah tempat tidurnya.

Sejak ia dibawa balik, jarang sangat ia keluar rumah.
Banyak makan + tidur je tanpa sebarang exercise.
Eleh.. mengata kucing, kau pun sama Mak Budak..


Nak biar ia keluar merayau, aku takut ia dirogol dek kucing jantan yang dahagakan kasih sayang. Comot, mohon jaga diri sebaiknya ye, jangan mudah menyerah dengan kucing jantan di luar sana. 'Ibu belum bersedia nak menjaga cucu dan ibu tak nak ada komitmen ke arah tu'. Hadam kata-kata ibu ni.

#RemajaPurba: Moga si Comot ini terus kekal bersama kami.

Monday, July 26, 2021

Kreativiti disebalik kertas A4 dan BTS


'Ibu, esok ibu H ke O?'
Inilah soalan wajib dak Nuha dari hari Isnin hingga Jumaat sejak dari PKP 2.0 lagi. Mungkin susah agaknya untuk dia ingat WFO dan WFH, jadi aku ringkaskan je untuk dia lebih faham:

H = Home/Rumah
O = Office/Tempat Kerja

Bila berada di rumah, ada je ideanya, dengan menggunakan helaian kertas A4, dak Nuha berjaya menghasilkan pelbagai bentuk berdasarkan imaginasi dia selain dari tutorial yang dilihat di dalam youtube. Beberapa jenis warna kertas aku sediakan. Selain dari kertas, barang wajib lain yang perlu ada ialah:

Pensil color - cepat nau patah matanya. Ni alasan dia nak guna sharpener.
Salotape - jangkaan dua hari satu roll boleh habis.
Gam UHU - dia nak jenama ni je.
Water colour - yang ini nanti next entry aku cuba selitkan kisah disebaliknya.
Youtube - guru kedua terbaik setakat ini.

Apabila semua barang ini disatukan, banyaklah idea yang muncul dan adakala aku seperti wow.. tak sangka dia boleh buat.

'Nuha tak bijak, ini je yang Nuha reti buat'.

Inilah hasilnya = 'Sebuah Rumah untuk Ibu'.
Pandangan dari hadapan.

Zoom sikit.

Pandangan dari atas.

Bilik tidur utama.

Bilik RM - Kim Namjoon BTS..?

Bilik untuk kucing?

Ruang tamu yang sederhana.
Musim PKP ni kena berjimat-cermat.

Kolam renang lengkap dengan gelongsor.
Gelongsor? Terus teringat kisah dak Nuha di SINI.

Itu baru guna helaian kertas, belum lagi guna kotak. Entah berapa kali aku buang setiap kali dia dah puas main dan tinggalkan begitu je. Boleh jadi naga aku dibuatnya, hinggakan tiap kali beli barang yang dibungkus di dalam kotak, tak sempat berangan, babahnya - 'Kotak ni bagi Umi'. Umi ni jiran sebelahku yang akan menjadikan ia sebahagian kecil untuk sumber pendapatan.

Terbaru, dengan menggunakan sticker BTS, mulalah kotak menjadi mangsa hiasan. Buka setakat kotak, pintu bilik tidur, peti sejuk menjadi mangsa hiasannya. 
===========

Satu kelebihan yang dak Nuha suka bila aku berada di rumah, mulalah troli shopee aku dipenuhi dengan permintaannya. 'Ibu ada duit tak? Nuha nak beli satu je.. please ibu.. bolehlah'. 

Memang berhantu sungguh troli dalam tu, banyak permintaannya yang pelbagai dan pandai pula tu pilih barang yang harganya murah. Pada dia, kalau minta yang mahal belum tentu akan dapat lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan KPop BTS hinggakan ada antaranya aku delete tanpa belas kasihan. 'Ibu delete, Nuha cari yang lain'. Tapi ada juga permintaan dia yang aku layan, selagi mana barang tersebut boleh digunakan untuk tempoh yang lama. Definisi lama tu, bergantung pada kreativiti dia mengolahnya.

Sebelum menutup tirai di sini, aku kongsikan lagu terbaru dari kumpulan KPop BTS - Butter dan Permission to Dance. Ok, jujurnya aku pun turut terjebak dengan yang ini.

Lagu: Butter
(Release date: 21 May 2021

Lagu: Permission to Dance
(Release date: 09 July 2021

#RemajaPurba: Sudahnya.. en. Hubby pening dengan kerenah kami.

Friday, July 23, 2021

Saeng-il chukahamnida - Happy Birthday to You


Hari ini, di pagi hari Jumaat, 23 Julai 2021..
Bertambah setahun lagi usiamu en. Hubby. 

Mengenalimu sedari middle school (suka pulak dengan perkataan ni), manis je, jarang nak nampak yang pahit. Namun, apabila lafaz disahkan, bermulalah episod penampakan sisi positif dan negatif, suka dan duka, pahit dan masam manis serta susah dan senang.

Untuk hari yang istimewa hari ini..
생일 추카함니다
saeng-il chukahamnida my 'Baby We' en.  Hubby.
Happy Birthday to You,
Usaha tangga kejayaan.
Moga rutin harian dipermudahkanNYA.


selingan..
Spagetti goreng dan Teh O Lemon menghiasi sarapan pagi.

#RemajaPurba: Moga DIA sentiasa bersamamu sentiasa..

Wednesday, July 21, 2021

Lemang Aidiladha dan Positif Covid19


Sebelum ini, en. Hubby hanya masak menggunakan tong drum seperti yang INI. Bertahun sudah kami menggunakan cara itu, secara tak langsung tak mengganggu jiran keliling dengan asap bagai dan takde siapa pun yang perasan dengan apa yang kami buat.

Tapi kali ini..
#GengJiran en. Hubby turut serta membakar lemang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha yang hanya boleh disambut di rumah sendiri.

19 Julai 2021 (Isnin)
Masing-masing memberikan kerjasama di tengah panas terik mentari.

en. Hubby kata tak banyak, ada dalam 60 batang je.

Antara #GengJiran..

Sementara nak tunggu lemang siap dibakar..
Nangka masak lemak cili padi.

Makan tengahari di bawah pokok kelapa sawit.


Semalam - 20 Julai 2021 (Selasa)
Di petang Aidiladha, anak buah aku yang comel itu dibawa pergi ditemani oleh mamanya untuk menjalani kuarantin wajib. Moga urusan adik ipar aku dipermudahkanNYA dan moga anak kedua beliau yang positif Covid19 cepat baik. 

Dalam masa yang sama, Alhamdulillah, keputusaan swab test dak Kakak dan ahli keluarga myMIL negatif dan sekarang sedang menjalani kuarantin di rumah myMIL. 

Lemang Aidiladha.

di rumah MySIL
Tengok ketupat tu, teringat pada logo Kpop BTS.


Tiada persiapan raya seperti biasa dek kerana risau dengan situasi semasa di rumah myMIL, kerana itulah tiada gambar kenangan dari kami semua di pagi hari raya.

#RemajaPurba: Take a deep breath..

Monday, July 19, 2021

Kehilangan yang menjadi misteri


12 Jun 2021
Hari terakhir dak Oyen berada dalam pandangan aku. Hari ini juga hari kedua ia tidur di luar rumah. Bersangka baik, sebelum ini pun bukan tak pernah tidur di luar tapi bila bangun pagi mesti dah terkebil-kebil depan pintu rumah sambil mengeliat nak masuk ke dalam rumah.

13 Jun 2021
Aku dah mula bising pada anak² pergi cari dak Oyen, kalau dua hari tak nampak kelibat ia, bila balik mesti secomot alam. Tak kisahlah kan, janji kau balik rumah. 

5 hari selepas itu.. 
Jauh disudut hati (sampai sekarang sebenarnya), aku masih berharap dak Oyen balik rumah. Dak Nuha bising minta aku cari. Allahuakbar, dekat mana nak cari aku pun tak tahu sebab dak Oyen bukan seekor kucing yang pandai berjalan jauh.

DAN.. 
Sehingga ke hari ini, dak Oyen masih hilang ghaib. Ada yang kata ia di buang orang. Jangan kata dak Oyen, kucing jiran depan rumah aku pun hilang sebelum tu. Tak mungkin ia mati.. mustahil!


TIADA LAGI..
Tangan dan kaki memijak mengurut perut dan tidur di atas badanku - ini cara dak Oyen kejutkan aku bangun tidur. 

TIADA LAGI..
Cakaran di depan pintu bilik tidur aku - cubaan nak tidur dalam bilik aircond.

TIADA LAGI..
Kedengaran suara dak Oyen mengiow nak makan.

TIADA LAGI..
Bebelan aku bila dak Oyen buat onar di dalam rumah. 

CUMA.. 
Kalau ada yang menjumpainya, jagalah ia sebaiknya sebab ia belum baik dari selesema, tak suka tempat tinggi sebab kakinya pernah cedera (tak tahu dari mana punca kecederaannya masa tu).

TAPI.. 
Kalau ia mati.. pergilah Oyen dari kau terus terseksa.. Pergilah.. 

Kini hanya tinggal kenangan..

Jauh kau pergi..

Tanpa aku dan family mengetahui..

KINI..
Cuba untuk mengelak dak Nuha dari ternampak gambar dak Oyen di dalam telefon bimbitku, malah di socmed aku. Jangan kata dia, aku pun turut sama, boleh meleleh airmata kalau tak kuat menahan hati. 

'Maaf ibu, Oyen'.

#RemajaPurba: Sedih + kecewa..

Friday, July 16, 2021

Tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ( ͡° ͜ʖ ͡°)


16 Julai 2021 (Jumaat)
Tengahari tadi, selesai urusan en. Hubby dibantu oleh #GengJiran memasak nasi kukus + ayam goreng dan nangka masak lemak cili padi. Menyempurnakan hajat en. Hubby dan jiran 'saudara' sebelah rumah untuk diagihkan kepada warga taman perumahan kami. Alhamdulillah.


03 Julai 2021 hingga 16 Julai 2021
Hari ini genap 14 hari seluruh Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Dengan pertambahan saringan secara menyeluruh dan saringan kontak rapat membuatkan Selangor menjadi negeri yang tertinggi kes harian Covid-19 setakat ini.   

Petang tadi, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersetuju tidak melanjutkan PKPD di kesemua mukim terbabit selepas mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat.

"Tolonglah, jangan rentas daerah dan negeri ketika Aidiladha". pesan TPM di SINI..

Aku..?
Ada je ni, rutin harian berjalan seperti biasa.

#RemajaPurba: ...

Thursday, July 15, 2021

Penerima Vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre, Shah Alam

 
Sambungan dari SINI..
Dek kerana tempat tersebut ditutup sehari pada 13 Julai 2021, maka temujanji en. Hubby telah ditukar pada 14 Julai 2021 (Rabu).

Tempat: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre, Shah Alam
Jenis vaksin: Vaksin A to Z (Astrazeneca)
Masa: 1830

Terima kasih kepada en. polis dan anggota bertugas membantu melancarkan pergerakan dari laluan masuk dan keluar di sepanjang jalan utama menuju masuk ke dalam bangunan. Tanpa mereka, pasti jalan akan bertambah sesak. Alhamdulillah, urusan dipermudahkanNYA walau sedikit lewat disebabkan kesesakan jalan raya.

15 Julai 2021 (Khamis)
Setakat ni aku tengok en. Hubby ok cuma rasa sakit dekat bahagian yang disuntik. Macam aku hari tu, hampir nak demam. Seharian rasa tak sedap badan. 

Esok pulak hari terakhir persekolahan sebelum cuti persekolahan selama seminggu. Kita tunggu apa kata Menteri Pendidikan berkenaan sesi persekolahan adakah akan dibuat secara bersemuka atau masih kekal dengan yang sedia ada menggunakan medium Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) terutama di negeri Selangor yang kita sedia maklum pertambahan dari hari ke hari makin meningkat naik.

#RemajaPurba: Moga apa sahaja yang kita rancang dipermudahkanNYA. 

Tuesday, July 13, 2021

Penutupan Sementara Pusat Pemberian Vaksin Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam


#SimpanSiniSebagaiKenangan

1 Julai 2021 (Khamis)
Serangan migrain bermula di sebelah kanan kepalaku. 

2 Julai 2021 (Jumaat)
Tak cukup di sebelah kanan, bahagian kiri kepalaku pula menjadi mangsa. Dalam keadaan macam ni, MakBudak perlu menghadiri temujanji vaksinasi pertama:

Masa: 1630
Tempat: Depan matamu
Jenis vaksin: Vaksin A to Z (Astrazeneca)
Gagah aku membawa diri ke dalam dewan yang besar itu. Proses dari awal hingga akhir, Alhamdulillah berjalan dengan baik, sekejap je dah selesai.

I have been vaccinated


3 Julai 2021 (Sabtu)
Kesan serangan migrain masih belum hilang sepenuhnya yang mana akhirnya, ku kibarkan jua bendera putih. Cuti sakit khas bersama 'elaun makan' diberi. Pesan en. Hubby.. 'Tak perlu masak, kita beli je nanti'.

Alhamdulillah, badan cuma rasa dedor tapi takdelah sampai demam.


KISAH HARI INI
13 Julai 2021 (Selasa)
Penutupan Sementara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam selama satu hari pada 13 Julai 2021 (Selasa) susulan kes positif Covid-19 yang dikenal pasti dalam kalangan petugas di PPV tersebut.

Langkah segera penutupan diambil hasil daripada keputusan ujian Covid-19 yang diperoleh malam tadi bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, CITF juga menyarankan mereka yang hadir untuk vaksinasi di IDCC di antara 29 Jun hingga 12 Julai 2021 untuk membuat penilaian kendiri dan sekiranya bergejala supaya menjalankan ujian saringan COVID-19.

Janji temu yang telah diberikan pada hari tersebut akan dijadualkan semula kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan secepat mungkin.

Butiran lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19
Kenyataan dikeluarkan pada 13 Julai 2021, 12:20 pagi
 
Hari ini juga..
Kali pertama kes baharu Covid-10 mencatat lima angka.
Jumlah kes baharu: 11,079


Esok.. 14 Julai 2021 (Rabu)
Moga urusan en. Hubby di IDCC, Shah Alam dipermudahkanNYA.

#RemajaPurba: Risau..

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...