Friday, September 5, 2025

MAULIDUR RASUL: MEMBANGUN UMMAH MADANI


05 September 2025 - Jumaat (12 Rabiulawal 1447H)

Alhamdulillah..
Sekali lagi kita dipertemukan dengan hari penuh keberkatan - kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, kekasih Allah dan rahmat bagi seluruh alam.

Hari ini bukan sekadar memperingati tarikh kelahiran Baginda tetapi lebih penting ialah menghidupkan kembali sunnah, akhlak dan perjuangan Baginda dalam kehidupan seharian. Baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia, menyebarkan kasih sayang serta membimbing kita menuju jalan hidayah dan keselamatan dunia serta akhirat.

Dari kehidupan baginda, kita boleh belajar banyak — tentang sifat mulia, kepimpinan dan bagaimana Baginda membentuk masyarakat sekeliling. Contoh sifat dan amalan Baginda itu kita boleh jadikan sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Tema Maulidur Rasul Tahun 2025: Membangun Ummah Madani
Menekankan pembangunan manusia bukan sahaja dari segi fizikal dan ekonomi tetapi juga dari aspek rohani, akhlak dan perpaduan sosial supaya masyarakat hari ini lebih bertanggungjawab dan harmoni.


Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025 bersamaan 1447H akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia MAEPS, Serdang, jam 9:30 pagi dan boleh ditonton melalui siaran di RTM TV1 dan platform media sosial rasmi JAKIM.

Jumaat yang tenang, moga semua urusan dipermudahkanNYA.

@RemajaPurba: ...

Thursday, September 4, 2025

KEMERDEKAAN - SAMBUTAN YANG 'DICEMARI'


04 September 2025 - Khamis (11 Rabiulawal 1447H)

Dulu, setiap kali hadir ke program, aku akan bawa buku nota untuk catat isi-isi penting. Sekarang, cara itu dah berubah — aku lebih selesa merakam, kemudian dengar semula sebelum diolah menjadi satu entry blog untuk dikongsikan sebagai pengajaran.


Beberapa hari sebelum Sambutan Hari Kemerdekaan, aku sempat merakam ucapan CEO dalam satu majlis. Dalam hati aku yakin, pasti ada isi menarik yang boleh aku kembangkan jadi bahan penulisan dalam blog nanti. Tak sangka, petang sebelum balik kerja, seorang pegawai datang bertanya soalan yang buat aku terkedu.

'Mesti dalam group awak sekarang tengah panas kan..?'
'Kenapa pula..?' Dalam hati — hebat betul, sampai orang luar group pun boleh tahu.
'La.. awak tak dengar ke waktu ucapan CEO tadi..?'
Aku terkeju.., 'Eh! Ada ke..?'
'Siapalah yang sampaikan hal tu kat CEO ye..?' Pegawai tersebut cuba mendapatkan jawapan dari aku.
Aku hanya mampu diam sambil tersenyum. Pada aku, tak semua benda perlu dijawab — walaupun isu tu mungkin dah tersebar luas.

Malamnya di rumah, aku teringat semula rakaman ucapan CEO. Aku buka dan dengar dengan teliti — memang betul, isu itu ada disebut. Rupanya aku tak perasan sebab waktu tu aku mengantuk, patutlah member sebelah sempat cuit aku. Barulah aku faham kenapa pegawai tersebut bertanya pada aku.

Pengajaran untuk aku — dan juga untuk kita semua: Jangan terlalu 'ramah' dalam group. Kadang-kadang tanpa kita sedar, ada perkara yang sampai ke telinga orang yang tak sepatutnya. Hingga hari ini, aku dan rakan-rakan masih tertanya-tanya siapa sebenarnya yang menyampaikan isu itu kepada CEO, sampai jadi kes. Rujukan dari [SINI]. 


===================================

Aku kongsikan rakaman ucapan beliau sebagai iktibar dan pengajaran buat kita semua.

Kita perlu sentiasa bersedia menghadapi perkara-perkara yang tidak dijangka. The word of RESPECT mesti ada dalam diri kita kerana rasa hormat tidak akan lahir sekiranya kita hanya sekadar melakukan perkara yang biasa.

Apabila kita menerima sesuatu yang baharu — sama ada arahan, tugasan atau inisiatif — kita hendaklah berlapang dada untuk melaksanakannya. Itulah yang diharapkan daripada kita. Pada masa yang sama, kita juga perlu membebaskan diri daripada belenggu minda lama. Janganlah kita masih terikat dengan cara fikir zaman penjajahan — bila tidak puas hati, terus diluahkan di media sosial.

Baru-baru ini, seorang kakitangan telah ditegur kerana luahan ketidakpuasan hatinya melalui salah satu group di socmed. Budaya sebegini bukanlah budaya kita. Mengadu tentang organisasi sendiri di ruang terbuka, seolah-olah kita sudah tidak lagi menganggapnya sebagai sebuah keluarga.
  • Sama seperti dalam kehidupan berkeluarga — jika kita tidak puas hati dengan pasangan atau anak-anak, adakah wajar kita menyiarkannya di media sosial? Sudah tentu tidak. Masalah keluarga harus dibincangkan dalam keluarga sendiri, bukan diluahkan secara terbuka.
  • Sama juga dengan kita di sini — jika ada perkara yang tidak memuaskan hati dengan pihak pengurusan, janganlah memuat naik luahan itu di media sosial. Apa tujuan kita menulis di media sosial? Untuk memberitahu seluruh dunia bahawa kita tidak gembira di sini? Adakah anda fikir dunia akan datang membantu anda? NO! People may curse you.

Sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68 ini, marilah kita memerdekakan minda. Inilah cara baharu untuk kita terus bertahan pada masa hadapan — dengan kesediaan menerima apa jua cabaran selagi tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.
  • Kita mesti hentikan tabiat menyebarkan kata-kata atau komen negatif tentang organisasi kita di media sosial.
  • Dalam sebuah organisasi swasta di negara kita, sekiranya ada kakitangan yang menyatakan perkara negatif mengenai organisasi, dalam tempoh 24 jam sahaja tindakan akan diambil. Orang seperti itu jelas tidak layak berada dalam organisasi tersebut.
  • Kita tidak mahu melaksanakan tindakan sebegitu kerana kita percaya budaya hormat-menghormati perlu diamalkan. Kita tidak sepatutnya membuka aib atau keburukan organisasi kepada dunia luar — kita sudah merdeka dan kemerdekaan itu bermakna kita menjaga maruah sendiri.
  • Mana mungkin kita yang telah lama bersama dalam organisasi ini sanggup membuka keburukan sendiri kepada orang luar. Jika ada yang tidak puas hati, selesaikanlah di peringkat dalaman. InsyaAllah, setiap masalah ada jalan penyelesaian.


Aku..?
Moga kisah kecil ini jadi peringatan buat kita semua — kadang-kadang satu perkataan boleh membawa besar akibatnya. Ingatlah, setiap kata dan tindakan kita hari ini membentuk suasana esok, jadi bijaklah dalam berkata dan bertindak sebab aku pun pernah terkena satu ketika dulu..

@RemajaPurba: ...

SULTAN SELAMAT - RAKYAT TENANG


Umum mengetahui, satu insiden kekecohan telah berlaku melibatkan Sultan Perak semasa Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan yang diadakan di perkarangan Dewan Bandaran Ipoh pada pagi Ahad, 31 Ogos 2025.

Ketika itu, DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis sambutan tersebut. Namun, suasana menjadi kecoh ketika lagu Negaraku sedang berkumandang apabila seorang wanita secara tiba-tiba berjaya mara ke hadapan dan sempat menyentuh tubuh Sultan Perak.

Cubaan mendekati Sultan Perak berjaya digagalkan.

Dari sudut taktikal, tindakannya itu menandakan objektifnya telah tercapai dan keadaan boleh menjadi jauh lebih berbahaya sekiranya wanita tersebut membawa senjata seperti pisau atau pistol.

Namun, hasil tindakan pantas pasukan keselamatan, wanita tersebut berjaya ditahan untuk tindakan selanjutnya. Alhamdulillah, Sultan Perak tidak mengalami sebarang kecederaan dan majlis dapat diteruskan seperti yang dirancang. Insiden ini juga menegaskan bahawa sebarang kelonggaran mampu membuka ruang kepada ancaman yang tidak dijangka, justeru tahap kesiapsiagaan perlu sentiasa berada di tahap tertinggi.


=====================================

04 September 2025 - Khamis (11 Rabiulawal 1447H)

Cuti Rehat Yang Tak Jadi..
Hari ini aku ambil cuti rehat sebab ada urusan yang perlu diselesaikan tapi lain yang dirancang, lain pula yang jadi. Urusan yang sepatutnya berlangsung, tiba-tiba batal pada saat-saat akhir. Maka tinggallah aku dengan cuti rehat yang kosong — hanya duduk menatap masa yang bergerak perlahan. Esok pula cuti umum dan bersambung dengan cuti hujung minggu.

Begitulah hidup.. kadangkala penuh dengan plot twist yang tak dijangka. Tapi tak mengapa, sekurang-kurangnya aku masih diberi ruang untuk berehat, menarik nafas panjang dan reset semula tenaga sebelum kembali ke rutin kerja pada minggu hadapan.


@RemajaPurba: cubaan untuk update blog..

Ingatan Purba

The author will not be responsible for any comment left by the readers. Please comment using polite language. Thank you.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...