21 Jun 2024 (Jumaat) - 14 Zulhijjah 1445H)
Berita duka dari jiran sebelah rumah aku..
Assalamualaikum..
Innalillahiwainnahilaihirojiun.
Dimaklumkan Pak Ya baru saja kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Jenazah masih di hospital.
Semoga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh.
- mesej diterima ketika aku baru sampai di tempat kerja -
Mesej tersebut, aku hanya baca selepas pukul 9 pagi, itupun selepas en. Hubby menghubungi aku bertanyakan aku dah sampai mana. Awalnya aku blur, 'dah sampai tempat kerjalah'. 'Tak baca mesej ke, cuba buka tengok!'. Terdiam aku bila aku baca berita tersebut. Selepas aku hubungi kak Lela isteri arwah, aku terus berjumpa pengarah dan boss untuk maklumkan yang aku emergency leave, terus pecut balik.
Aku..?
Ralat tak sempat ambil dak Adik di sekolah, aku hanya sempat ke sekolah dak Nuha sebelum ke masjid. Dak Nuha.. 'Kenapa ibu datang sekolah?' 'Ibu nak Nuha jangan nangis tau, acik Yahya dah tak ada'. Mahu tak terkejut dia, dahlah tertanya-tanya kenapa aku datang ambil dia, dapat pula berita kematian. Depan sekolah dia dah mula menangis. En. Hubby pulak tak dapat balik awal kerana berada di luar kawasan.
Arwah meninggal dunia di hospital di sini sebelum subuh dan selepas selesai semua proses berkaitan, arwah dimandi dan dikapankan di hospital, seterusnya di bawa terus ke masjid di sini untuk solat jenazah. Selesai di masjid, selepas diberi kebenaran untuk menatap buat kali terakhir, jenazah terus di bawa ke tanah perkuburan Islam di atas bukit sebelah taman perumahan kami.
اَللهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu
'Ya!Allah, ampunilah almarhum, berikanlah dia rahmat-Mu, kesejahteraan serta maafkanlah kesalahannya'.
إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Rumah baru buat arwah Pak Ya, jiran sebelah rumah kami.
Al-Fatihah..
Tahlil buat arwah diadakan tiga hari berturut-turut, bermula selepas maghrib. Alhamdulillah, jiran-jiran turut sama membantu menyediakan juadah untuk diserahkan di masjid.
22 Jun 2024 (Sabtu) - 15 Zulhijjah 1445H)
Pagi..
Ada program di sekolah dak Nuha, ini jika ada masa nanti aku kongsikan di lain
entry. (
update: di
SINI..) Program selesai hampir tengahari dan selepas itu kami terus menuju ke tanah perkuburan Islam di sini untuk menunjuk lokasi rumah baru Pak Ya kepada en. Hubby.
Suasana dari atas bukit
Hari kedua tahlil juga dibuat di masjid selepas solat Maghrib. Hari ini chef Hubby yang menjadi tukang masak. 'Jiran sepakat membawa berkat', semua bekerjasama saling membantu.
Aku..?
'Budak intern buat kerja paling senang'. Ini sebab dah penat keluar masuk rumah membuat kerja yang diminta oleh en. Hubby.
23 Jun 2024 (Ahad) - 16 Zulhijjah 1445H)
Sebenarnya hari ini, kami sepatutnya menghadiri kenduri doa selamat di kampung abang ipar en. Hubby tapi disebabkan en. Hubby kena masak dan tidak mahu terkejar-kejar, kami mengambil keputusan untuk tidak pergi dan meneruskan membantu keluarga arwah.
Hari ketiga tahlil, atas permintaan keluarga arwah, majlis tahlil dibuat di rumah dan di masjid. Majlis dimulakan selepas maghrib, ramai yang hadir memberi sokongan. Alhamdulillah..
24 Jun 2024 - Isnin (17 Zulhijjah 1445H)
- Mesej buat kak Lela, isteri arwah -
Assalamualaikum kak Lela,
Salam takziah dari kami.
Mohon maaf di atas semua kekurangan sepanjang majlis tiga hari dibuat di masjid dan di rumah kak Lela. Mohon maaf malam tadi ku masuk rumah awal. Jumpa kakak arwah je malam tadi. Mohon maaf juga andai apa yang dihidangkan terdapat kekurangan.
Janganlah kak Lela susah hati, rasa serba salah dengan apa yang dah kami buat sebab niat kami memang nak bantu semampu yang larat sebab kita bukan jiran sebelah rumah kan.. 🤭 Terima kasih sebab izinkan kami buat ikut suka kami. Halalkan apa saja yang kami makan ye dan kami juga halalkan apa jua bentuk sumbangan/bantuan dari pihak kami. Kami doakan kak Lela terus kekal kuat dan sihat dalam meledani rutin harian. Moga rutin harian kak Lela dan anak-anak dipermudahkanNYA.
Al-Fatihah buat arwah cikYahya.
Semoga Allah SWT memperluas kuburnya dan memberinya kedamaian abadi serta menempatkannya di tempat yang terbaik.
#RemajaPurba: Bila tengok macam ni, macam manalah giliran kita nanti.